Sunday, July 31, 2011

Selamat Berpuasa Dan Menggandakan Amalan Di Bulan Ramadhan

Kedah bina hub pengumpulan hasil pertanian


SUNGAI PETANI: Pewujudan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai (4PLJ) melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Kedah Agro Holdings Berhad merupakan sebahagian dari hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘Belanda Timur’.

Melaluinya, hasil pertanian dari petani dan pekebun kecil akan dapat dikumpulkan di mana pihak kerajaan pula mengambil inisiatif dan tanggung jawab untuk terus memasarkan atau menjadikannya produk hiliran.

Usaha ini dapat memberikan pendapatan tambahan kepada petani dan pekebun kecil sekaligus mengatasi lambakan hasil pertanian yang menyebabkan harganya mudah jatuh.

Exco Pertanian Negeri, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, beliau optimis dengan kewujudan pusat tersebut mampu menjadi hub pengumpulan memandangkan kedudukannya di tengah negeri ini.

Pusat tersebut telah dibuka sejak 15 Julai baru-baru ini telah mengadakan jualan pelbagai hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayuran tempatan.

Terletak antara Hospital Sultan Abdul Halim dan Kompleks Kastam Di Raja Malaysia, Sungai Petani itu, kawasan luas di sini turut mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang banyak selain tandas awam dan surau.

Menurut Amiruddin, pada ketika ini juga percubaan mengetinkan rambutan sedang dilakukan dengan kapasiti 5,000 tin sehari menggunakan kira-kira tiga tan rambutan dan akan dipertingkatkan kepada 10,000 tin sehari setelah percubaan itu berjalan lancar.

“Kita juga berurusan dengan syarikat-syarikat yang memerlukan buah-buahan tempatan ini. Ketika ini terdapat sebuah syarikat yang perlukan buah rambutan, durian, mempelam sala dan naka untuk penghasilan produk roti.

“Sekiranya persetujuan dicapai, saya percaya industri menghasilkan puri buah-buahan dapat diwujudkan di kampung-kampung. Ini membantu mengurangkan lambakan buah sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk,” ujarnya yang turut memaklum bahawa musim rambutan lebih awal di utara dan sesuai dipasarkan ke negeri-negeri selatan ketika ini.

Orang ramai dijemput berkunjung bagi mendapatkan pelbagai produk pertanian yang dijual secara borong dan runcit, sementara para peniaga turut dialu-alukan menyertai jualan di situ.






Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Saturday, July 30, 2011

Tema "BN Menang, Kedah Senang" memalukan! - Presiden PAS

SUNGAI LALANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan tema “BN Menang, Kedah Senang” yang diperkenalkan BN Kedah selepas 51 tahun memerintah sebagai memalukan.

“Saya difahamkan BN negeri Kedah memperkenalkan tema “BN Menang, Kedah Senang”. Tak malu sudah memerintah 51 tahun, baru nak memperkenalkan “BN Menang, Kedah Senang”, maknanya selama ini tak senang, 50 tahun lebih,” bidasnya.

Ujar beliau, semasa Kedah diperintah BN, hanya sedikit hasil balak diperolehi disebabkan berlakunya amalan rasuah.

Tetapi katanya, di bawah pemerintahan PAS, Kerajaan Negeri Kedah telah menurunkan cukai tanah hingga dana negeri kekurangan RM50 juta setahun, tetapi menampungnya dengan memperolehi hasil yang banyak dari cukai balak.

Menurut Ustaz Hadi, kemampuan kerajaan membolehkan cukai ke atas rakyat dikurang atau dihapuskan sepertimana juga penghapusan cukai kediaman yang pernah dilaksanakan PAS semasa mentadbir Terengganu.

Terang beliau, kaedah digunapakai adalah dengan menaikkan cukai dari kalangan mereka yang berada, sedang golongan miskin tidak dibebankan.

“Mereka yang kaya tak marah naikkan cukai kerana mereka bayar rasuah semasa BN lebih banyak lagi. Inilah rahsianya,” ujar Tuan Guru.

Mengulas mengenai isu akta hiburan yang disensasikan awal bulan lalu, beliau membidas Umno sebagai tidak tahu beramal sedangkan akta itu dibuat oleh mereka semasa memerintah Kedah.

“Kita membuat pindaan, hiburan dibenarkan orang bukan Islam, hak dia nak berhibur. Yang diizinkan oleh agamanya untuk minum arak, untuk makan babi, itu hak dia yang tidak boleh dihalang dalam pemerintahan Islam. Ini bukan (peraturan) PAS buat, tapi diajar oleh Nabi SAW.

“Dalam masa sama, orang Islam tidak boleh masuk ke tempat ini. Kalau orang Islam masuk, kita boleh ambil tindakan kepada premis ini. Adapun yang Umno buat hari ini, orang Islam boleh masuk juga, inilah yang menyebabkan orang Islam tidak boleh jadi contoh.

“Pusat judi terbesar di Asia Tenggara adalah di Genting Hinghland di bawah Kementerian Kewangan, Umno yang menguasainya. Tidak ada sekatan untuk orang Islam masuk.

“Demikian itu, perkara yang dibenarkan dalam agama bukan Islam, maka ia dibenarkan kepada orang bukan Islam. Sedang, orang Islam mesti menunaikan tanggung jawabnya meninggalkan perkara haram yang termaktub sama sebagai amanah pemerintah. Malangnya, sempadan itu yang tidak diamalkan Umno,” tempelaknya.



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


Lawatan Najib ke Kedah adalah program politik!


SUNGAI LALANG: Lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kedah pada Khamis lalu hakikatnya adalah program politik kepartian, demikian ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Menurut beliau, Najib sebenarnya datang atas tujuan politik tetapi menggunakan kemudahan kerajaan dengan membabitkan penglibatan agensi-agensi Persekutuan dan para pegawai.

“Kalau buat lawatan rasmi ke negeri Kedah atas nama Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Kedah yang kena sambut bukannya Umno. Yang sambut (sepatutnya) Menteri Besar, Ahli-ahli Exco dan Pegawai Kanan Kerajaan kerana ini lawatan Perdana Menteri ke negeri Kedah.

“Tetapi (sebenarnya) bukan lawatan Perdana Menteri, (ianya) lawatan Presiden Umno ke negeri Kedah. Semua guna kemudahan kerajaan. Sampai Masjid Mergong isytihar kerajaan peruntukan lebih RM 1 juta untuk baik pulih Masjid Mergong. Duit siapa (ini)? Duit kerajaan. Duit kerajaan, duit siapa? (Ini) duit rakyat.

“Sampai sana sini isytihar jutaan ringgit sedangkan lawatan atas tujuan politik. Kerana falsafah dalam BN mereka menganggap segala pemberian kepada rakyat sebagai budi yang menuntut balasan. Kerana itu selalu disebut, saya tolong kamu, kamu tolong saya.

“Jadi PM bercakap sebagai Presiden Umno, dia beri sumbangan kepada rakyat, dia anggap dari parti politik dia, dia tidak anggap sebagai dana kerajaan. Jadi apabila dia beri sumbangan, membina sesuatu projek, dia anggap dia tanam budi, dia mahu rakyat balas budi kepada parti politik apabila pilihan raya,” tempelaknya.

Ujar Phahrolrazi, ketika parti pemerintah mengadakan program atas nama politik, kakitangan awam turut dikerah hinggakan antara parti politik dengan kerajaan sudah tidak dibezakan.

Katanya, terdapat juga agensi-agensi kerajaan khusus untuk politik di mana dana kerajaan dari sumber awam digunakan sepertimana Kemas dan Jabatan Penerangan.

Terang beliau, apabila kerajaan memberi peruntukan jalan raya, elektrik, bekalan air dan sebagainya, ia telah dianggap tafsir sebagai pemberian daripada Umno

Bagaimanapun katanya, berbeza di bandar-bandar, semua kemudahan itu sebenarnya tidak percuma apabila semua bayaran tersebut dikenakan bersama harga rumah yang dibeli.

“Umno tidak bawa keluar duit untuk projek-projek itu, dia ambil lagi ada,” tempelak Phahrolrazi.



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Friday, July 29, 2011

Presiden PAS vs Presiden Umno


Dikatakan seramai 10,000 hadir ke Jamuan Rakyat bersama Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Guar Chempedak semalam, 28 Julai. Mereka itu ada dari kalangan penjawat awam yang diwajibkan hadir. Ramai juga datang dengan bas yang 'disewa khas'. Yang hadir melalui satu agensi persekutuan berorientasikan pertanian menerima RM15 seorang tidak termasuk RM5 ditambah dari sumber Najib sendiri. Diberi makan percuma dan lain-lain.

Di Sungai Lalang sebentar tadi, sekitar 10,000 juga hadir bersama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Mereka tidak diwajibkan hadir dan tiada diangkut khas. Mengeluarkan wang sendiri untuk derma selain yang menyertai makan malam membayar RM20 dan RM50.


Foto&Teks: Izwan Abdul Halim

Muslimat penjana kemenangan


KUALA NERANG: Tanggung jawab selepas menerima anugerah kemenangan adalah dengan meningkatkan gerakerja sebelumnya, demikian tutur Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin.

Menurutnya, selama ini muslimat telah membuktikan komitmen mereka di dalam urusan pilihan raya sekaligus telah menjana kemenangan hari ini.

“Insya-Allah, jika kita bekerja keras, kita akan dapat menawan Padang Terap keseluruhannya dan Kedah masih kita perintah,” ujarnya menyuntik semangat hadirin pada Ijtima’ Muslimat PAS Kawasan Padang Terap di Kompleks PAS Kawasan Padang Terap, Kampung Barohkas, di sini baru-baru ini.

Tegasnya, kemenangan dikecapi ketika ini akan dapat dipertahankan dengan meningkatkan gerakerja yang sedang dilakukan antaranya banci keluarga dan daftar pemilih berterusan selain perhatian terhadap pengundi luar kawasan.

Disebalik majlis penuh tekad itu, para tetamu dan hadirin turut bersantai menikmati pelbagai hidangan buah-buahan tempatan. Paling istimewa adalah pulut panas yang dimakan dengan durian dan santan.

Pada pilihan raya umum lalu, kerusi Parlimen Padang Terap telah dimenangi PAS sedang kedua-dua Dun di dalamnya iaitu Kuala Nerang dan Pedu masih ditangan Umno.

Hadir sama pada majlis itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan, Ustaz Zawawi Ahmad dan Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Mohd Nasir Zakaria.




Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Thursday, July 28, 2011

Isteri pendorong suami laksana amanah perjuangan




MERBOK: Sokongan muslimat, baik dari seorang ibu mahupun isteri mampu membangkitkan dorongan besar kepada anak atau suami dalam melaksanakan amanah perjuangan, demikian ulas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Katanya, itu kerana keutamaan di dalam perjuangan bagi seorang lelaki adalah kepada jamaah yang memerlukan seorang ibu mahupun isteri memberi sokongan melalui bantuan terhadap urusan berkaitan.

“Sokong muslimat dari seorang ibu sangat besar, demikian saya mengira cukup besar sokongan dari wanita yang bernama isteri,” ujarnya menyuntik motivasi pada Ijtima’ Tarbawi Isteri-isteri Aktivis PAS Kawasan Merbok di Pusat Tarbiyah Islamiyah Merbok, Pengkalan Kakap, di sini baru-baru ini.

Dalam taujihatnya itu, beliau menyingkap kisah rumah tangga Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Pertama, Imam Hassan al-Banna.

Menurut Ustaz Ahmad, Imam Hassan pada malam pertama perkahwinannya telah menjelaskan kepada isteri beliau bahawa isterinya itu telah dimadukan dengan perjuangan Islam.

Hal itu jelasnya, bermakna Imam Hassan telah menegaskan kepada si isteri bahawa beliau perlu mengadakan giliran antara perjuangan dengan isterinya itu.

Imam Hassan juga ceritanya, pernah diuji dengan anak yang sedang sakit walhal beliau ketika itu perlu keluar melaksanakan urusan jamaah.

Apabila ditunjukkan keadaan anaknya itu oleh isteri beliau, maka Imam Hassan penuh yakin menjawab bahawa sekiranya anak itu meninggal, datuknya tahu di mana kuburan untuk pengkebumiannya.

“Jawapan ini memberi satu gambaran ketegasan Imam Hassan al-Banna dalam melaksanakan tugas perjuangan,” terang Ustaz Ahmad penuh yakin dan menyeru para isteri mengenali suami mereka juga sebagaimana demikian.

Para isteri aktivis juga katanya, perlu meninggikan rasa syukur kerana dipilih Allah menjadi isteri kepada suami yang bernaung di dalam perjuangan Islam.

Serunya lagi, dalam mendepani realiti kesibukan dan sering ditinggalkan suami, para isteri perlu merasakan perkara itu sebagai izzah dan kemuliaan.

“Bukan kebanggaan itu untuk kita mendabik dada, tetapi bersyukur pada Allah,” ujarnya mengajak muslimat mengadakan sujud syukur untuk pilihan tersebut.

Beliau turut mengajak para isteri merenung dan memohon dijauhi dari bersuamikan mereka yang melakukan perbuatan tidak elok, sering masuk keluar penjara atau berkelakuan tidak sewajarnya.

Sebagai menyedari kedudukan suami selaku pemimpin, isteri kata Ustaz Ahmad, perlu memahami bahawa tanggung jawab suami bukan hanya pada dirinya dan anak-anak dalam keluarga sahaja.

“Dalam bahasa lain, suami bukan milik kita seorang berkongsi. Perkara itu merupakan cabaran yang isteri kena ditempuh,” ujarnya mendakap realiti.

Ustaz Ahmad turut mengimbas nostalgia kisah perjuangan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor di mana sepanjang 13 tahun sebagai pemimpin PAS, keluarganya jarang dapat bersama beliau.

Katanya, cuma 13 hari terakhir sahaja Almarhum dapat ‘bersama’ keluarganya itupun dalam keadaan Almarhum di atas perbaringan.

Beliau turut menasihatkan muslimat agar memiliki keterbukaan dan menampung kekurangan perhatian dari suami terhadap keluarga sebaiknya agar matlamat besar perjuangan iaitu sekeluarga berjaya ke syurga akan tercapai.

Beliau juga melontarkan harapan agar para isteri menjadi penggerak kepada ibadah berjamaah suami kerana hubungan dan penyerahan diri kepada Allah akan memberi kekuatan dan kejayaan yang sebenar.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


Wednesday, July 27, 2011

10,000 Pakatan Rakyat VS 10,000 BN


SUNGAI PETANI: Kebanggaan BN kepada laungan dan simbol 1 Malaysia kononnya sebagai gagasan penyatuan kaum tidak lebih merupakan lolongan dan tunggul yang dibayangi kepalsuan penuh racun.

Hakikatnya, ketika lawan mereka yakni PAS, KeADILan dan DAP dibelasah tanpa belas kasihan sejak PRU-12 lalu, rakyat menyimpan azam yang lebih kuat untuk mengakhirkan hayat BN pada PRU-13 nanti.

Seruan Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar pengundi senyap menunjukkan sokongan sebenar mereka pasca Bersih 2.0 tidak ubah seperti mengejutkan singa dari tidurnya.

Ternyata padah sedang membayangi BN dengan mesej yakin ditunjukkan apabila hampir 10,000 hadir ke Himpunan Perpaduan Masyarakat India Kedah (KIUG) di Dewan Lip Seang Kor, di sini 24 Julai lalu.

Mengejutkan apabila program yang bertujuan mengukuhkan sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat itu turut dihadiri sama masyarakat pelbagai kaum dan agama sehingga padat memenuhi ruangan dalam dewan serta kawasan sekitarnya.

Pelbagai acara pendemokrasian diadakan pada program tersebut antaranya tayangan Himpunan Bersih 2.0, kempen referandum menggesa pembebasan PSM6 dan juga persembahan tarian klasik India, Kathakali.

Kemuncaknya, pidato yang membariskan Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Menurut Penasihat KIUG, K. Vasantha Kumar, masyarakat India mahu terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU-13 dalam mempertahankan Kedah dan menawan Putrajaya sekaligus yakin untuk menobatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Bakal Perdana Menteri Malaysia Ketujuh. 





Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Memanjangkan jariah Ramadhan ke Kedah

BIL
PAS KAWASAN

AKAUN BANK ISLAM
1.
Langkawi
02066011054099
Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi
2.
Jerlun
02011010105827
Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam
3.
Kubang Pasu
02039010013436
PAS Kawasan Kubang Pasu
4.
Padang Terap
02075010010914
Dewan Pemuda PAS Padang Terap
5.
Pokok Sena
02075010010446
Dewan Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena
6.
Alor Setar
02011010108890
Tabung Kebajikan PAS Kawasan Alor Setar
7.
Kuala Kedah
02011010006531
PAS Kawasan Kuala Kedah
8.
Pendang
02011010015089
Mohd Hayati Othman
9.
Jerai
02084010001166
PAS Kawasan Jerai
10.
Sik
02084010029865
PAS Kawasan Sik
11.
Merbok
02020010038528
PAS Kawasan Merbok
12.
Sungai Petani
02020010009681
PAS Kawasan Sungai Petani
13.
Baling
02048010005806
PAS Kawasan Baling
14.
Padang Serai
02057010021586
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai
15.
Kulim/Bandar Baharu
02057010029229
Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Ramadan menjelma lagi memberikan kita peluang mengaut segala kurniaan limpahan Allah pada bulan pernuh barakah ini.

Barakahnya bulan ini sehinggakan iman yang tipis juga menjadi berbunga-bunga merebut sebegitu banyak ganjaran diperuntukan-Nya.

Dalam meningkatkan kekuatan tauhid pada-Nya melalui ibadat puasa dan solat-solat sunat di malam hari serta menghayati bicara-Nya melalui lembaran suci al-Quran, jangan dilupakan tuntutan sesama manusia untuk berjariah.

Untuk itu, Kedah adalah destinasi ‘strategik’ dalam menyempurnakan sumbangan sempena Ramadan ini.

Boleh jadi sumbangan yang diberikan akan membantu usaha dan cita-cita merealisasikan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ dan kerajaan memimpin akan terus berpeluang memerintah. Sejenak mengimbas tradisi Ramadan dan program yang bakal dilangsungkan.

Di Langkawi, rutin setiap kali tibanya Ramadan adalah aktiviti ziarah khususnya kepada golongan memerlukan terdiri daripada warga emas, fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal serta amilin PAS. Dalam ziarah diadakan, rombongan PAS Kawasan akan menghulurkan sumbangan berupa keperluan harian termasuk persediaan menyambut lebaran.

Meriahnya Ramadan di Jerlun dapat dilihat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam. Sejak 1999 lagi apabila PAS memenangi kerusi tersebut, di situlah tempat masyarakat setempat berkumpul menjalankan pelbagai aktiviti Ramadan. Sementara wakil rakyatnya, Ustaz Abd Ghani Ahmad pula menjadikan Ramadan sebagai masanya untuk berkunjung ke kebanyakan masjid dan surau dalam kawasan itu sama ada menyampaikan tazkirah dan bersolat tarawikh atau menghulurkan sumbangan.

Begitu juga Markaz PAS Kawasan Kubang Pasu yang terletak di Kampung Padang Tok Kesop jelas meriahnya dengan kunjungan umum bersama dalam aktiviti Ramadan dengan solat tarawikh, tazkirah dan tadarus di situ. Juadah berbuka puasa dan moreh juga disediakan PAS Kawasan setiap hari untuk hadirin. Manakala pada minggu terakhir Ramadan, majlis sumbangan untuk fakir miskin diadakan.

PAS Kawasan Padang Terap pula terkenal dengan nama program Cakna Ramadan yang biasanya melibatkan konvoi bermotosikal bersama anak muda. Antara komitmen mereka adalah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin, OKU dan warga emas. Tahun ini, mereka mensasarkan lebih 1,000 sumbangan akan dihulurkan melalui Cakna Ramadan.

Bagi penduduk di Pokok Sena, mereka berpeluang bersama pimpinan PAS Kawasan itu melalui banyak majlis berbuka puasa yang dianjurkan disamping solat tarawikh dan tazkirah.

Turut diadakan adalah program sumbangan kurma dan kanji untuk umum. Amilin PAS terdiri dari aktivis veteran dan guru Pasti antara golongan paling diberi perhatian PAS Kawasan setiap kali Ramadan. Selain itu, antara rutin mereka adalah tahlil perdana, ceramah Badar al-Kubra, qiyamullail dan bersahur.

Jika ke Alor Setar pada Ramadan ini, pastikan singgah ke Pejabat PAS Kawasan di tepi jalan Lebuhraya Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan bubur kanji sabil. Ramai mengaku di situlah bubur kanji yang masih tidak hilang tradisi keasliannya dibalik arus pembangunan pesat Bandaraya Alor Setar.

Atas nama Ihya’ Ramadan, PAS Kawasan juga aktif menganjurkan majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim serta sumbangan untuk fakir miskin. Selain itu, turut diadakan ialah tahlil perdana dan khatam Quran.

Ramadan di Kuala Kedah memang meriah hinggakan kaum bukan Islam juga mahu berpuasa. Dengan ketiga-tiga Dun ‘ditawan’ PAS, lokasi agihan bubur kanji dapat dilihat merata-rata dan adakalanya terpaksa memakai petugas dari Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk membantu.

Begitu juga majlis berbuka puasa dan sumbangan untuk fakir miskin, telah menjadi program tradisi sejak PAS mula bertapak di situ lagi. Selain itu, PAS Kawasan turut mengadakan sumbangan wang ke surau-surau dalam kawasan itu.

Di Pendang, legasi program Ramadan oleh Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor diteruskan oleh Ahli Parlimennya, Dato' Dr Mohd Hayati Othman.

Bersama PAS Kawasan, program agihan bubur lambuk serta program Jejak Fakir dan Yatim antara yang aktif dianjurkan.

Antara bubur kanji yang masyhur juga adalah di Jerai. Setiap kali Ramadan, Rasdi Ahmad yang mesra dipanggil Pak Rasdi adalah teraju utama yang bertungkus lumus menyediakan 1,000 bungkus bubur kanji setiap petang. Jadi, mereka yang melalui jalan utama Butterworth – Alor Setar jangan terlepas peluang singgah di Pejabat PAS Kawasan di Padang Lumat untuk mendapatkan bubur kanji panas di situ.

Markas itu juga meriah setiap kali Ramadan dengan majlis sumbangan untuk ibu tunggal, anak yatim dan warga miskin. Untungnya mereka kerana Yang DiPertua PAS Kawasan juga adalah Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Lain pula di Sik, dalam meneruskan tradisi orang dulu-dulu dan juga menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, PAS Kawasan menganjurkan program Gerak Sahur di mana ia dikatakan aktif semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Program tersebut bermula dengan qiyamullail sebelum ke rumah-rumah mengejutkan penghuninya bersahur. Di rumah-rumah fakir miskin, rombongan akan menghulurkan bungkusan hamper berupa barangan keperluan dapur.

Sumbangan kepada fakir miskin dan para pesakit di hospital pula adalah aktiviti wajib di Merbok. PAS Kawasan melaksanakan program itu dari pintu ke pintu bertemu warga miskin manakala ‘warga hospital’ baik pesakit mahupun kakitangan, akan menerima sumbangan menjelangnya Aidilfitri.

Sungai Petani pula meriah dengan majlis berbuka puasa di mukim-mukim dan sumbangan kepada golongan memerlukan. Yang DiPertua PAS Kawasan, Abdullah Jusoh aktif berziarah menyertai penduduk berbuka puasa bersama.

Ihya’ Ramadan di Baling yang diterajui PAS Kawasan bertumpu aktiviti menghidupkan tarbiyah Ramadan dan sumbangan kepada ahli-ahli PAS dan masyarakat setempat. Turut diadakan adalah program tradisi iaitu sumbangan kuih raya di Hospital Baling.

Ramadan di Padang Serai selain ibadah, adalah aktiviti hujung minggu PAS kawasan yang aktif menjelajah program dinamakan Jejak Fakir Miskin. Sumbangan itu biasanya diagihkan dari korporat dan syarikat yang bertaburan hampir di kawasan itu

Manakala di Kulim Bandar Baharu, PAS Kawasan itu lazimnya menyantuni  fakir miskin melalui program bersepadu melibatkan Lajnah Kebajikan, Majlis Tindakan Dun dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bandar Baharu, Unit Amal dan Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Demikian itu, mereka yang berhasrat memanjangkan jariah Ramadannya ke Kedah bolehlah memilih saluran sumbangan seperti tertera.

Tuesday, July 26, 2011

Teks Usrah DPPNKedah

RAMADHAN DAN TARBIYAH


Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Hai orang-orang yang beriman telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (Al Baqarah: 183)


Muqaddimah

Ramadhan adalah bulan tarbiyah. Bulan ini  adalah madrasah untuk mendidik hamba-hamba Allah yang mu'min untuk menjalani tarbiyah islamiyah mutakamilah meliputi tarbiyah ruhiyah , aqliyah , dan jasadiyah. Tarbiyah ramadaniyah diikuti seluruh kaum muslimin, tidak memandang suku bangsa warna kulit atau pun bahasa, semua yang mengaku beriman sama-sama mengikuti perintah Allah berpuasa Ramadhan.

Matlamat  utama dari tarbiyah ramadhan adalah menghubungkan manusia dengan Rabbul Alamin. Menghidupkan hati nurani dan mengisi jiwa dengan nilai-nilai keimanan yang tinggi. Melalui dua program utama: Taqarrub ila-Llah dengan ibadah total siang dan malam hari, serta Taqarrub ila minhajillah berpaksikan Al-Quranul Karim. Hasil  yang akan diperoleh mereka yang mengikuti program pendidikan ini adalah "Taqwa", seperti yang dijelaskan melalui ayat di atas.


Memahami Makna Pendidikan

Mendidik adalah menumbuh kembangkan dengan bimbingan dan pimpinan sedikit demi sedikit hingga mencapai kesempurnaan. Allah memberikan pimpinan, bimbingan, untuk tumbuh bagi seluruh makhluknya yang ada di alam semesta. Setiap makhluk telah diprogram sedemikian rupa sehingga mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan peranan hidupnya. Sebatang pohon mangga telah ditentukan kejadiannya mulai dari tumbuhnya benih, biji, batang , cabang dan ranting.

Bagi sepohon mangga Allah menentukan jumlah daunnya yang rimbun dan buah mangga yang akan dihasilkannya. Bahkan di mulut siapa mangga tersebut akan berkhidmat telah ditentukan Allah. Itulah taqdir kauni (ketentuan Allah) di alam semesta.

Begitulah manusia pun memperoleh bimbingan rabbaniyah ini. Dia tumbuh berkembang seperti halnya makhluk Allah lain. Dari setitis air mani tumbuhlah embrio manusia. Di dalam rahim ibu janin bayi hidup dan berkembang, kemudian menjadi bayi yang sempurna kejadiannya. Setelah itu bayi pun dilahirkan Allah dari perut ibunya. Bayi itu terus tumbuh berkembang menjadi kanak-kanak, selanjutnya menjadi remaja, kemudian dewasa. Seiring perkembangan itu, berkembang juga aqalnya sehingga ia menjadi manusia  yang semakin dewasa dan semakin pintar.

Manusia yang dipanjangkan usianya kelak akan menjadi tua, kemudian sangat tua. Kemampuan akalnya pun berkurang. Tidak ada manusia yang kekal dan bertahan hidup terus menerus. Pada akhirnya dia harus menghadap Allah untuk dipertanggungjawabkan semua amalannya. Kesemuanya dalam program Ilahiyah yang sangat hebat. Namun manusia bukan hanya makhluk yang bersifat jasmani semata-mata. Dia merupakan manusia jasmani dan ruhani. Bimbingan Allah dan tarbiyahnya untuk membangun ruhani khas dan istimewa. Itulah tarbiyah rabbaniyah (ketuhanan) yang disampaikan Allah berdasarkan wahyu yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba pilihan iaitu para Nabi dan Rasul Alaihimus Salaam.

Dengan Al Islam, Al Qur-an, Sunnah, dan warisan peradaban Islam, Allah mendidik manusia mencapai kesempurnaan hidupnya. Wahyu Allah sebagai pedoman hidup mempunyai keistimewaan sebagai pembimbing hati dan jiwa manusia mencapai darjat yang mulia iaitulah taqwa. Al Quran adalah kitabut tarbiyah wal hidayah yang tiada bandingnya dalam membentuk akhlak dan pekerti manusia. Telah terbukti selama 15 abad lamanya, Al-Quran merupakan pedoman hidup orang bertaqwa, bersifat universal, berlaku sepanjang masa untuk setiap manusia di seluruh penjuru dunia.

"Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan-jalan keselamatan, dan dengan Kitab itu pula Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan seidzin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. " (Al Maaidah: 16)


Tarbiyyah Ilahiah

Allah mendidik manusia secara khas dengan dua cara:
Pertama : Tarbiyah talqiniyah dengan mengutus Jibril untuk mengajarkan agama-Nya kepada hamba-hamba pilihan (para Nabi dan Rasul). Secara talqiniyah Jibril memahamkan hati Nabi Muhammad SAW pengertian ayat yang diturunkan kepada Baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya, Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaan itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasan ayat-ayat itu." (Al Qiyamah: 17-20)

Kedua: Tarbiyah khafiyah, iaitu proses kehidupan yang dipenuhi beraneka ragam pengalaman batin yang mematangkan hidup para utusan Allah dan para pengikut mereka yang setia iaitu hamba-hamba Allah yang mu'min. Nabi Yusuf misalnya, menjadi pemimpin negara setelah mengelami ujian penderitaan, dicampakkan ke dalam telaga oleh saudara-saudaranya, dijadikan hamba, seterusnya lulus dari godaan wanita cantik dan kaya, serta dimasukkan ke dalam penjara. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang terbaik. Apalagi pengalaman mereka para Nabi dan Rasul,

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur-an itu bukan cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (Yusuf: 111)

Nabi Muhammad SAW ditempa Allah dengan tarbiyah khafiyah dalam berbagai situasi dan kondisi yang mematangkan jiwa Nabi SAW sehingga layaklah Baginda memimpin hidayah untuk disampaikan kepada seluruh manusia dan seterusnya lahir sebagai pemimpin ummah yang tiada tolok bandingnya.


Hakikat Madrasah Ramadhaniyyah

Puasa Ramadhan adalah tarbiyah khafiyah dan talqiniyah yang sangat istimewa dalam membangun kesempurnaan jiwa manusia. Ramadhan bagaikan sebuah madrasah, dimana Allah sendiri bertindak sebagai Guru Maha Pendidik yang mengarahkan setiap murid menuju kesempurnaan ruhaniyah. Madrasah ini berlangsung selama sebulan penuh, iaitu dalam tempuh 720 jam atau 2,592,000 detik. Setiap detiknya sangat berharga sehingga dapat berlipat ganda antara 10 sampai 700 kali ganda.

Bahkan di setiap Ramadhan ada malam Lailatul Qadar yang lebih baik nilainya dari 1000 bulan atau dari 720,000 jam. Ini artinya setiap 1 jam pada malam itu lebih baik dari 60,000 jam, atau setiap 1 detiknya lebih baik dari 60,000 detik dalam timbangan Allah. Jika dalam saat itu kita berzikir dengan sekali mengucapkan "Laa ilaha illa-Llah" secara ikhlas, maka nilainya lebih baik dari mengucapkan zikir yang sama 60,000 kali di hari yang lain. Kemudian cubalah kita hitungkan pula nilai solat atau membaca Al Quran dan ibadah-ibadah lainnya di dalam bulan Ramadhan.

Tarbiyah khafiyah rabbaniyah diberikan dengan latihan intensif menahan lapar dan haus, dan hal-hal yang membatalkan puasa. Tidak itu saja, ruhani mu'min diisi dengan menjauhi maksiat seluruh anggota tubuh; mata, telinga, mulut, perut, dan lain-lain yang mengurangi nilai keutamaan puasa. Kemudian mengisi diri dengan ibadah wajib dan sunnah, solat-solat fardhu, rawatib, qiyamullail, memperbanyak sedekah, infaq, dan melakukan amal khairat (kebaikan) sebanyak-banyaknya. Maka akhlak yang mulia diharapkan dapat tumbuh dan berkembang dengan pesatnya di dalam bulan suci ini.  Maka sifat-sifat yang baik menjadi mantap dan sifat buruk pun akan melenyap.

Dalam Madrasah ini Allah menghendaki setiap mu'min yang mengikuti program Ramadhan ini meningkatkan hubungannya dengan Al Qur-an. Mereka hendaklah membaca Al Qur-an sebanyak-banyaknya, mentadabburkan isinya seolah-olah Allah berbicara langsung kepada dirinya, kemudian mengamalkannya sekuat kemampuan. Jadikan amaliyah Ramadhan sebagai titik mula pelaksanaan ibadah yang kelak akan menjadi amalan yang berkesinambungan, berkekalan dan terpelihara.

Rasulullah SAW telah membahagikan Bulan Ramadhan kepada tiga fasa. Sepuluh hari pertama dilimpahi dengan rahmat (kasih sayang) Allah yang tiada terhingga. Sepuluh hari berikutnya dipenuhi dengan lautan ampunan bagi hamba-hamba Allah yang taat dan bertaubat. Sedangkan sepuluh hari terakhir merupakan saat-saat pembebasan dari api neraka.

Sesungguhnya semakin hari keberkahan Ramadhan semakin ketara. Terutama bagi mereka yang benar-benar mengikuti program tarbiyah rabbaniyah. Ketika itu para peserta tarbiyah ramadaniyah mulai dapat dibezakan, siapa yang bersungguh-sungguh dan siapa yang sekadar ikut-ikutan.

Pada sepuluh malam terakhir, Nabi SAW mengikat kainnya (menjauhi isteri) dan beriktikaf di masjid. Nabi menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti baginda sehingga melakukan apa pun di masjid selama 10 hari. Dalam fasa terakhir Ramadan ini, Baginda lebih khusyuk dalam solatnya, lebih banyak membaca Kitabullah, lebih banyak bersedekah kepada fakir miskin.

Dalam hadis-hadis tentang lailatul Qadar, Baginda bersabda yang bermaksud,

 "Sesungguhnya pernah ditampakkan kepadaku lailatul qadr, kemudian dijadikan aku lupa, atau aku lupa kepadanya, maka hendaklah kalian mencarinya pada sepuluh yang akhir; di malam-malam yang ganjil. Dalam riwayat yang lain hendaklah kalian mencarinya pada tiap-tiap malam yang ganjil". (Bukhari Muslim).

Rasulullah menekankan pentingnya mencari Lailatiul qadr karena bila seseorang beribadah di malam itu dengan ikhlas dan khusyu nilainya sama dengan beribadah 60,000 kali di bulan yang lain. Siapa saja yang bersungguh-sungguh mencapai puncak kehambaan tentu akan berusaha mendapatkan nilai tertinggi yang dapat mengangkat darjatnya di sisi Allah.


Penutup

Al Qur-an yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW kini berada di hadapan kita. Tinggal  kita untuk memahaminya dengan tafsir Al Qur-an, hadis, ataupun sirah kehidupan Rasulullah dan para sahabatnya. Baik dengan mengkajinya sendiri atau pun dengan bertalaqqi kepada ahlinya. Karena itulah Bulan Ramadhan disebutkan sebagai bulan turunnya Al Qur-an.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan Al Qur-an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang bathil)." (Al Baqarah: 185) 

Apabila seorang mujahid telah sempurna menggarap seluruh ruang lingkup tarbiyah di dalam bulan ini, lengkaplah ia menjalani bulan menterapi diri sebagai mukmin yang sejati. Seusai keluar daripada Ramadhan ia telah melengkapkan diri menjadi mujahid dan mukmin yang layak untuk menerima hadiah dan kurniaan berharga daripada Allah SWT, iaitulah anugerah taqwa, yang dengan beroleh ketaqwaan kita telah mencipta untuk perjuangan kita satu ’senjata’ yang tidak mampu dicipta oleh musuh kita. Lalu,  tidak hairanlah mengapa umat Islam sentiasa menang di medan pertarungan sekalipun kalau dibandingkan kekuatan meterial dengan pihak musuh, umat Islam sentiasa tidak dapat melebihi musuhnya. Itulah keberuntungan dan kelebihan umat ini melalui senjata taqwa, yang menjadi sebab kita ’dipandang’ oleh Allah, dan perjuangan kita mendapat keberkatan dan diredhai-Nya.

Sesungguhnya Ramadhan yang difardhukan puasa oleh Allah bukan untuk menjadikan umat ini lemah dan malas, tetapi inilah bulan yang mencipta seribu kekuatan dan keajaiban untuk umat dan perjuangan yang maha suci ini. Justeru itu bersiaplah wahai para mujahid untuk memasuki bulan tarbiyah, yang dengan itu melayakkan engkau memikul tugas berat untuk memenangkan agama Allah di ’padang yang tidak sama rata’ ini. Allahu Akbar!


Disediakan oleh:
Ustaz Muhd Zainal Asri Romli