Sunday, October 30, 2011

Umno tidak faham mengenai Negara Berkebajikan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyanggah pandangan Umno bahawa Negara Berkebajikan yang diutarakan PAS sama sepertimana difahami Umno dan Barat.

Negara Berkebajikan PAS tegasnya, bukan sepertimana negara kebajikan yang dipentingkan pada mereka adalah berkaitan pemberian semata-mata.

Jelasnya, negara kebajikan difahami Umno seperti perumpamaan memberi ikan pada seseorang dan bukannya memberikan joran pancing.

Perkara itu dinyatakannya pada sidang media selepas pembentangan kertas kerja pada Konvensyen Menuju Negara Berkebajikan sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 22 Oktober lalu.

Berbeza dengan Negara Berkebajikan yang didasari konsep keadilan, keihsanan dan amanah.

“Kekuatan Negara Berkebajikan, ia mempunyai kaitan soal kepimpinan di dunia dengan akhirat iaitu selepas kematian (melibatkan) soal dosa, pahala, syurga dan neraka,” katanya.

Ujar Idris, ianya bukanlah perubahan dasar atau prinsip perjuangan PAS tetapi adalah rutin tema yang menjadi tawaran dalam tindakan dan manifesto PAS.

Terang beliau, konsep Negara Berkebajikan sudah lama diperkatakan PAS, cumanya dahulu Umno tidak bising mengenai perkara itu kerana menganggap PAS tidak kuat.

Tetapi sekarang katanya, apabila Pakatan Rakyat diterima kuat, maka segala yang dibuat dipersoal Umno-BN.

Dalam perkara yang diperjuangkan PAS dan Umno juga tegasnya, wujud perbezaan yang ketara.

Umno jelasnya, menggadaikan prinsip kerana sanggup tunduk kerapa MCA dan Gerakan apabila parti komponen mereka itu mengugut untuk keluar BN.

“Berbeza PAS yang tetap dengan pendirian dan pendirian itu dihormati rakan KeADILan dan DAP. Hubungan kita dengan KeADILan dan DAP adalah dalam konteks tahaluf ‘smart partnership’,” jelasnya.

Ujar beliau, disebalik hal-hal yang tidak dipersetujui, tetapi antara PAS, KeADILan dan DAP wujud banyak persamaan dalam agenda yang disepakati.

DAP katanya, walaupun tidak setuju sesuatu perkara, tetapi tidak sampai mengugut hendak keluar dan tidak setuju parti itu dalam hal hudud adalah hak mereka.

Thursday, October 27, 2011

Campur tangan BN dalam kampus

SERDANG: BN tetap dengan egonya menggunakan premis universiti bagi tujuan program kepartian di mana telah mengadakan Majlis Penerangan Perdana di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia, di sini 22 Oktober lalu.
Sedangkan parti itu dipercayai ramai telah campur tangan dalam mempengaruhi keputusan kontroversi berhubung penggantungan Professor Dr Abdul Aziz Bari.

Malah, pelaksanaan program tersebut juga dianggap sengaja mencabar kelantangan mahasiswa yang selama ini menuntut universiti dibebaskan dari cengkaman politik.

Tinjauan mendapati, laluan masuk ke Dewan Besar tersebut dipasang bendera dan pelbagai publisiti BN yang lain.

Program Nurani Rakyat Sayangi Selangor Bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu melibatkan pertemuan dengan anggota komponen BN Selangor dalam kempen mereka untuk kembali menawan negeri tersebut.

Wednesday, October 26, 2011

Laporan Ketua Audit Negara 2010: TAHNIAH KERAJAAN NEGERI KEDAH

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010. Walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia 'setahun jagung' iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah. DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

PERTAMA: Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta. Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun!!

KEDUA : Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta!! Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan. Ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut. Berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus!!

KETIGA: Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri. Tahniah kepada para pegawai.

KEEMPAT: Laporan ini telah memperakui peningkatan penerimaan hasil Cukai Tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus.  Kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta. Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun!!

KELIMA:  Peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa 5 tahun!!

KEENAM: Sekali lagi premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta. Berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta!! Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun!! Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus !!!

KETUJUH: Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir!! Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus!!

DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan ini, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat. Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas. DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat.

YB Mohd Nasir Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Lu Bukan Ustad..Lu Tepung Kastard ! ( Dialog dalam filem Terbitan Dewan Pemuda PAS Malaysia)

Tuesday, October 25, 2011

PAS tahu siapa Zulkifli Noordin sebenarnya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kepimpinan tertinggi PAS sejak dahulu lagi sedia maklum dan mengenali keperibadian sebenar Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Kerana itulah, pencalonannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004 ditolak Majlis Syura PAS walaupun ketika itu beliau ialah pimpinan PAS di Bandar Tun Razak.

Malah sebelum itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-10 tahun 1999, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor juga menolak pencalonan PAS Kawasan Baling untuk meletakkan Zulkifli bagi bertanding kerusi parlimen tersebut.

“Maksudnya keperibadian dia sudah diketahui. Dia ditolak dari bertanding. Dia nampak hebat ketika itu, tetapi kita kenal keperibadiannya. Dia bercakap macam mana dan perbuatannya macam mana, kita tahu.

“Tetapi tidak perlulah kita dedahkan (kepada umum) siapa dia. Kita tak mahu layan dia, lagipun dia wakil rakyat yang tiada maruah,” demikian didedahkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 22 Oktober lalu.

Sementara itu, Pemangku Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Salleh berkata, walaupun Zulkifli cuba mendakwa dirinya sebagai wakil rakyat Bebas, hakikatnya dia membawa suara Umno-BN.

Ujarnya, Zulkifli sememangnya seorang yang beramal dengan pembohongan di mana beliau sering menggambarkan pada penulisannya di blog, kononnya beliau turun melawat masalah rakyat di parlimen diwakilinya sedangkan dia sebenarnya tidak berbuat demikian.

Khairi juga menempelak Zulkifli yang sibuk mencabar orang lain bertanding pada pilihan raya akan datang sedangkan kedudukannya sendiri sebagai calon mana-mana parti dilihat mustahil.

“Parti mana hendak ambil dia calon? Pakatan Rakyat tak mungkin. Tidak ada calon mampu bertanding melainkan dengan kekuatan dari jentera parti.

“Jadi Zulkifli ini sekarang aktif menonjolkan diri sebenarnya berharap-harap kalau Umno boleh bagi jawatan Senator pada dia,” ujar Khairi pada Taklimat Lajnah Penerangan PAS Negeri Kedah di Pejabat PAS Kulim-Bandar Baharu, Serdang, 24 Oktober lalu.

Sunday, October 23, 2011

Pintu sempadan Malaysia - Thailand mudah bolos?

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BUKIT KAYU HITAM: Para pemandu teksi di sini melahirkan rasa kecewa terhadap Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak mengambil tindakan berhubung masalah kemasukan kenderaan Thailand ke negara ini terutamanya di pintu masuk sempadan.

Menurut Pengerusi Persatuan Kereta Sewa Bukit Kayu Hitam, Badaruddin Mustafa, permasalahan tersebut telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian.

Ujar beliau, pihaknya telah mengajukan perkara tersebut sejak lebih tujuh tahun lalu kepada agensi kerajaan dan menteri-menteri yang berkaitan.

Malah katanya, permasalahan tersebut juga pernah dipanjangkan ke pengetahuan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melalui serahan memorandum.

Kesal melihat tiada sebarang penguatkuasaan disebalik janji yang diterima, para pemandu teksi di sini katanya, pernah melancarkan pelbagai bentuk bantahan sama ada melalui media massa, kain rentang dan poster, demonstrasi, hinggalah ‘ugutan’ dengan menaikkan bendera parti politik.

Jelas beliau, tanpa penguatkuasaan, kenderaan Thailand dilihat masuk secara berleluasa sekaligus memungkinkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti komersial. Keadaan itu katanya, turut meragut hak pemandu teksi Malaysia untuk mendapatkan penumpang di dalam sempadan negara sendiri.

Permasalahan itu terangnya, bukan semata-mata berkaitan hak dan kebajikan pemandu teksi yang semakin hilang punca pendapatan, tetapi juga soal pendapatan dan keselamatan negara.

Badaruddin memberikan contoh mengenai kenderaan-kenderaan persendirian Thailand yang membawa masuk barangan jualan tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan.

Begitu juga dakwanya mengenai kenderaan-kenderaan tersebut yang mengisi minyak di negara ini dengan kadar meragukan. Jelas beliau, walaupun kenderaan asing hanya boleh membeli petrol RON97, namun harga di negara ini masih terlalu murah berbanding Thailand.

Oleh itu ujarnya, dipercayai kebanyakan kenderaan tersebut membuat pengubahsuaian tangki untuk tujuan mengisi petrol dalam jumlah besar sebelum dijual semula di Thailand.

Menurut Badaruddin, lebih membimbangkan adalah berkaitan keselamatan apabila pemeriksaan kemasukan di pintu sempadan itu dilihat sangat longgar.

Perkara itu jelasnya, boleh dibuktikan dengan melihat sendiri ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada kenderaan persendirian Thailand menggunakan ‘Laluan Hijau’ (Green Lane) tanpa sekatan atau pemeriksaan walaupun laluan itu dikhaskan untuk kenamaan, tentera dan polis sahaja.

Malah katanya, banyak kenderaan Thailand yang masuk itu menggunakan cermin gelap, selain dilihat bergerak di merata tempat dalam negara ini hingga ke Johor Bahru termasuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti perniagaan dan bekerja di ladang-ladang.

Sedangkan pintu sempadan itu maklumnya, dikawal oleh agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Imigresen, Unit Pencegah Penyeludupan, Pasukan Gerakan Am, Polis Sempadan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tentera Regimen Sempadan.

Untuk itu, pihaknya menuntut agar kerajaan segera bertegas terhadap penguatkuasaan berkenaan dengan mengambil tindakan serta-merta sebagaimana termaktub dalam peraturan sedia ada.

Ujar beliau, para pengusaha hanya mahukan keadilan dengan pihak Thailand mengakhiri usaha mereka di pintu sempadan itu tanpa perlu mengambil hak pengusaha teksi Malaysia.

Tinjauan Harakah pada 17 Oktober lalu mendapati kenderaan dari Thailand yang dipercayai bukan atas tujuan dan permit pelancongan masuk dengan mudahnya di pintu sempadan tersebut. Bahkan, banyak kenderaan tersebut dilihat tidak mengakhiri kegiatan sekadar di pintu sempadan sebaliknya bergerak langsung menghala ke selatan atau jauh dari sempadan.

Harakah juga dimaklumkan, perkara sama turut berlaku di pintu-pintu sempadan Malaysia-Thailand yang lain.


Dengan identiti cermin gelap, berkemungkinan kenderaan Thailand juga ada melakukan
kegiatan menyalahi undang-undang

Friday, October 21, 2011

Kenyataan Rasmi Dewan Pemuda PAS Kedah Isu Professor Aziz Bari

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) memandang serius isu terbaru yang melibatkan penggantungan  Professor Undang-undang terkemuka dan kritis negara Professor Aziz Bari. Isu ini adalah satu lagi titik hitam sejarah negara. Ia hanya akan menghitamkan lagi  rekod Barisan Nasional memerintah negara kita. Penggantungan beliau selaku pensyarah sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.

Pertama.  Beliau adalah pensyarah kanan Universiti Islam Malaysia yang sudah berkhidmat selama 22 tahun. Beliau adalah antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau.

Kedua. Beliau terkenal berani dan kontroversi. Beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang. Beliau sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan.

Ketiga. Alasan yang diberikan oleh Universiti Islam Antarabangsa ialah kerana "membuat kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti". Ia adalah satu alasan yang sangat subjektif bagi sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa. Masyarakat tertanya-tanya, bertentangan dengan kepentingan universiti itu juga bermaksud bertentangan dengan kepentingan pemerintah lanjutan laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

Keempat. Penggantungan ini akan menjatuhkan lagi imej universiti Malaysia di mata dan ranking universiti di dunia. Sudahlah para mahasiswa dan pensyarah terpaksa berdepan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kali ini pensyarah pula berdepan dengan pelbagai akta dan halangan 'kepentingan' universiti.

Kelima. Selepas peristiwa ini, DPPNK dapat merasakan pendemokrasian ilmu akan semakin terhakis dan akan menyebabkan kebebasan bersuara akan semakin kelam. Imej universiti sebagai menara ilmu dan harapan ummat sebagai lubuk kebijaksaaan akan semakin dipandang sinis. Autoriti seorang sarjana akan semakin diperlekehkan. Alangkah malangnya negara ini.

Keenam. Apa yang kebih besar ialah kesan terhadap para mahasiswa yang sedang menyiapkan tesis serta mengikuti kelas yang dipimpin oleh beliau.

Ketujuh. Apapun alasannya termasuk alasan beliau menghina raja, DPPNK mengharapkan agar penggantungan beliau sebagai sarjana dan pensyarah ditarik balik terlebih dahulu.  Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis yang menyiasat beliau susulan isu ini juga akan menjadikan ahli akademik semakin terkongkong dalam menyampaikan ilmu dan menegakkan kebenaran.

YB MOHD NASIR ZAKARIA
AHLI PARLIMEN PADANG TERAP
KETUA PENERANGAN DPPNK

Wednesday, October 19, 2011

Dakwa BN dalangi pembatalan Majlis Deepavali bersama Anwar

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Masyarakat India Kedah selaku penganjur Majlis Sambutan Deepavali Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kuil Sri Subramania Swami, Jalan Sekerat, di sini yang membatalkan tempahan dewan untuk majlis tersebut.

Menurut ketua penganjur, K Vasantha Kumar, kebenaran penggunaan dewan tersebut telah diterima melalui surat rasmi bertarikh 30 Ogos 2011. Bagaimanapun, pihaknya menerima surat rasmi pembatalan pada tarikh 11 Oktober 2011.

Ujarnya, pihak beliau dimaklumkan bahawa pembatalan tersebut atas tekanan pimpinan BN. Sehubungan itu, pihaknya berusaha berbincang dan mendapatkan penjelasan, namun pihak Jawatankuasa Kuil enggan melayan kunjungan mereka pada 16 Oktober baru-baru ini.

Jelas beliau, kehadiran Anwar adalah untuk meraikan jamuan makan dan pihaknya amat arif dengan hukum agama Hindu yang tidak membenarkan ucapan politik di dalam kuil.

Beliau juga mempersoalkan ketidakadilan itu memandangkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pernah berkunjung ke kuil tersebut tanpa sebarang bantahan.

Oleh itu tegas Vasantha, sekiranya selepas ini terdapat pimpinan BN mengadakan perkara sama di situ, bantahan akan dilakukan.

Maklum beliau, majlis tersebut bagaimanapun akan tetap diteruskan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Sidam, Jalan Sekerat, di sini pada Sabtu, 22 Oktober jam 7.30 malam.


Tuesday, October 18, 2011

Pupuk keharmonian kaum dengan saling membantu

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib menyeru masyarakat agar terus memelihara dan memupuk keharmonian antara kaum.

Ujarnya, sikap prihatin dan tolong-menolong adalah perkara yang dituntut ke atas semua manusia untuk hidup di muka bumi ini. Sehubungan itu juga, sokongan kepada majlis-majlis kebajikan untuk membantu golongan memerlukan perlu diadakan.

Beliau berucap demikian pada majlis Sumbangan Ikhlas oleh Pertubuhan Penganut Por Mui Tian Tow Bo Keng di Jalan Pergam, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan program kebajikan tahunan di mana pihak pertubuhan memberikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur untuk fakir miskin tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama.

Ia diadakan dalam bulan sembilan kalender lunar Cina sempena Hari Sembilan Maharaja Dewa yang turut dikenali sebagai Perayaan Tokong Sayur sebagaimana amalan penganut Taoist di seluruh dunia.

Monday, October 17, 2011

Pelbagai acara menarik di Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Ustaz Musoddak Ahmad

ALOR SETAR: Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah akan dilangsungkan secara besar-besaran selama empat hari empat malam di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 20 hingga 23 Oktober ini.

Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, Kedah menjadi tapak awal gerakan PAS setelah penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951.

Sejarah itu katanya, boleh dihayati semula dengan mengunjungi pameran sempena sambutan ini untuk melihat perkembangan PAS di Kedah yang menjadi titik pengaruh penerimaan kuat kepada gerakan Islam khususnya di utara tanah air.

Menurut beliau juga, antara slot tumpuan pada sambutan tersebut adalah Konvensyen Membangun Negara Berkebajikan yang akan diadakan pada Sabtu, 22 Oktober jam 10 pagi.

Ujarnya, kupasan ilmiah konvensyen itu akan mengenengahkan tasawwur dan realiti Kedah dalam menjayakan gagasan Negara Berkebajikan melalui dua panelis iaitu Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Program khas untuk Muslimat, Pemuda dan kanak-kanak juga akan dilangsungkan, masing-masing pada Jumaat dan Ahad.

Turut akan diadakan sepanjang sambutan adalah majlis tahlil setiap malam dan ceramah yang akan menampilkan antaranya Saifuddin Nasution Ismail, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dato’ Paduka Husam Musa, Mohamad Sabu dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta para pimpinan negeri.




Monday, October 10, 2011

BAJET 2012: MANIFESTO PRU 13


MONDAY, 10 OCTOBER 2011
ustaz_nasir_kecik1.jpgMenekuni Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib dan respon segera rakyat menjadikan kita percaya bahawa inilah bajet yang menentukan hidup mati Barisan Nasional. Lebih tepat ia adalah sebuah manifesto yang merupakan satu 'counter offer' atau tawaran balas terhadap bajet Pakatan Rakyat. Tekanan yang kerajaan pimpinan DS Najib hadapi apabila berdepan dengan tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah kayu ukur terhadap beberapa tindakan terdesak termasuklah pengumuman pemansuhan ISA dan bajet durian runtuh pada kali ini
.

Bajet adalah instrumen utama dalam urus tadbir kewangan kerajaan yang melibatkan perancangan, unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Inti kepada belanjawan ialah cukai dan perbelanjaan kerajaan demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan, pengawalan inflasi dan pengurangan pengangguran. 
Sebagai anak muda, saya ingin membawa tulisan ini bagi melihat secara ringkas bajet ini berdasarkan pemerhatian sepintas lalu. :

Pertama. Bajet ini kata DS Najib ialah Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. Kebanyakan tawaran bersifat 'one off'  ini betul, boleh menggembirakan dan menghiburkan rakyat yang bersifat sementara. Sebanyak 1.3 juta rakyat yang terdiri daripada penjawat awam agak dilayan oleh Barisan Nasional. Sedangkan jumlah sebenar pekerja di dalam negara kita ialah kira-kira 12 juta. Apa nasib mereka yang terlibat di dalam sektor swasta dan pekerjaan tidak formal. 

Kedua. Kesan langsung kenaikan gred sektor awam ini akan menyebabkan sektor masyarakat terbanyak yang terdiri daripada swasta dan pekerja tidak formal berdepan dengan inflasi. Contohnya bagaimana nasib, penoreh getah dan petani di Padang Terap Apakah insentif dalam bentuk polisi yang disediakan kepada khalayak  ini. Kuasa beli semakin menurun.

Ketiga. Kerunsingan saya juga ialah berkaitan dengan golongan belia yang menganggur. Menanggung hutang pengajian daripada PTPTN ataupun yang terrcicir daripada pengajian. Golongan belia yang menganggur yang sudah menghampiri 100 ribu daripada golongan siswazah. Berdasarkan unjuran Bajet 2012, pengangguran dalam lingkungan 3.5 peratus. Ia mewakili hampir 400 ribu daripada guna tenaga rakyat Malaysia!!. Unjuran kerajaan itupun masih dipertikaikan oleh pakar ekonomi.

Keempat. Umur pencen yang dinaikkan oleh kerajaan kepada 60 tahun juga menimbulkan reaksi pelbagai. Pada persepsi saya, ia akan menyebabkan peluang pekerjaan baru kepada siswazah dan kenaikan pangkat akan terbeku selama dua tahun paling kurang. Janji Perdana Menteri akan mewujudkan peluang baru melalui sektor swasta adalah sangat subjektif berdasarkan unjuran angka pengangguran yang semakin membesar.

Kelima. Saya sangat gusar apabila bajet yang lebih populis ini hanya menyebut 'durian runtuh' kepada peneroka. Apakah sebenarnya polisi kerajaan untuk membantu anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA, FELCRA dan lembaga-lembaga  seperti KEDA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain. Penyenaraian Felda Global Ventures yang diumumkan juga menimbulkan beberapa tandatanya termasuklah tentang keperluan Felda mendapatkan kewangan melalui IPO dan pembukaan saham Felda kepada orang luar Felda. 

Keenam. Saya masih menunggu pelancaran kerajaan satu Skim Amanah yang patuh syariah. Seingat saya, daripada 10 skim amanah yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad, masih belum wujud walaupun satu Skim Amanah yang benar-benar patuh syariah.

Ketujuh. Peruntukan sekolah agama rakyat yang masih dikesampingkan lanjutan dendam politik sejak sekian lama. Tanpa mempertikaikan bantuan kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cinadan Tamil serta sekolah agama bantuan kerajaan dan mubaligh, Sekolah Agama rakyat yang berjumlah  161 buah dengan 20 764 orang murid masih tiada cerita. Manakala Sekolah Rendah Agama berjumlah  1132 buah dengan 208,000 pelajar masih terkebelakang. 

Kelapan. Arahan khusus agar GLC menggunakan instrumen kewangan Islam dan menggunakan sistem perbankan Islam. Keperluan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan GLC menyokong perbankan Islam. Hanya sekitar 22 peratus penyertaan GLC. 

Kesembilan. Saya kecewa apabila bajet ini tidak ditekankan peperangan terhadap rasuah dan ketirisan. Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira 28 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan dan rasuah pada 2008. Bajet durian runtuh ini akan mendedahkan lebih ruang terhadap berlaku ketirisan.

Kesepuluh. Saya menyambut baik bajet pembangunan fizikal untuk golongan belia. Namun program peningkatan iman, shahsiyyah masih lagi bukan keutamaan kerajaan. Gejala sosial yang parah termasuk kes zina, rogol dan bunuh yang menakutkan tidak akan mampu ditangani tanpa pembangunan bersepadu mental, jasad dan roh.

Kesebelas. Dalam kerancakan industri perbankan dan kewangan Islam Malaysia, kerajaan yang mendakwa ingin terus mengekalkan Malaysia sebagai antara hub kewangan Islam terbaik dunia meneruskan sokongan kepada sistem riba. Dana Perkhidmatan Profesional yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih dalam bentuk pinjaman mudah masih mengenakan faedah 4 peratus. 

Kedua belas. Isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos sara hidup. Persoalannya adakah bajet kali ini memberi nilai sebenar kepada kos sara hidup rakyat. Fomca telah melaporkan harga makanan naik 83 peratus dalam masa 4 tahun..!!!! Harga gula naik 27 peratus manakala sayur naik 16 peratus, telur, dairy dan daging naik 10 peratus dan buah naik 9 peratus berbanding tahun lepas. Perbelanjaan isirumah utk makanan adalah 40-50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.
Justeru itu, saya masih melihat bahawa bajet ini masih bersifat satu langkah berbentuk populis, tak mengambil  kira strategi khusus dengan memberi fardah langsung tanpa mengira impak ekonomi jangka panjang. Apapun Pakatan Rakyat telah memberi satu dimensi baru terhadap penyediaan bajet kerajaan dengan satu pilihan dan tawaran kepada rakyat. Bajet Pakatan Rakyat telah diberi satu perhatian serius oleh kerajaan dan saya percaya diteliti dengan penuh minat oleh rakyat. 

YB Mohd Nasir Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah

Friday, October 7, 2011

Tagih budi bicara Jabatan Perikanan selesai isu pukat surung

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

TANJONG DAWAI: Para nelayan kecil di sini melahirkan harapan agar pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah sudi berbincang dengan mereka dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan penggunaan pukat surung.

Harapan itu diluahkan mereka kepada Adun Tanjong Dawai, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan pada sesi dialog khas di Kampung Nelayan, di sini 28 September lalu.

Pada dialog itu, mereka menyatakan kesediaan untuk menunjukkan kaedah perikanan pukat surung kepada pihak Jabatan Perikanan yang mungkin tidak mendapat gambaran sebenar penggunaannya.

Kontroversi tercetus apabila terdapat rakan mereka yang ditahan dan dirampas semua peralatan oleh pihak berkuasa atas kesalahan penggunaan pukat surung awal bulan lalu.

Hal tersebut menimbulkan pertikaian memandangkan penggunaan pukat surung di kalangan nelayan di situ telah melewati usia 20 tahun. Ketidakselarasan penguatkuasaan tersebut juga menimbulkan persoalan berikutan dakwaan nelayan di Perak diberi permit untuk penggunaan pukat yang sama.

Malah, mereka juga kesal kerana penguatkuasaan tegas melalui rampasan dan penahanan tersebut seolah-olah pihak nelayan telah melakukan kesalahan berat. Berbeza dalam kes seperti kesalahan penggunaan pukat tunda, nelayan akan melalui beberapa peringkat amaran sebelum dihadapkan kepada tindakan undang-undang.

Rata-rata mereka yang merupakan nelayan kecil berharap pihak Jabatan Perikanan sedia menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan pertikaian tersebut. Pihak nelayan juga memohon agar peralatan rakan mereka yang dirampas dikembalikan serta takrifan penggunaan pukat surung diperjelaskan sebaiknya.

Pada ketika ini kebanyakan mereka tidak dapat turun ke laut berikutan bimbang diambil tindakan pihak berkuasa sekaligus menjejaskan pendapatan mereka yang kebanyakannya miskin dan bergantung hidup kepada hasil laut.

Thursday, October 6, 2011

Manipulasi isu punca pemuda tolak Umno

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KUALA NERANG: Seramai 169 penduduk di daerah ini yang sebahagian besar mereka adalah anak muda bertindak menyertai PAS sebagai memberi mesej jelas kepada Umno agar tidak mengamalkan politik semberono dalam meraih sokongan hingga sanggup membangkitkan isu-isu tidak masuk akal.

Apatah lagi dengan perkembangan maklumat yang semakin terbuka sekarang, isu-isu ditimbulkan Umno dan media pro-Umno dilihat mereka sebagai momokan untuk menipu rakyat dari hakikat sebenar.

Misalnya dakwaan 50 ahli PAS di Padang Terap yang menyertai Umno kerana kecewa dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera gagal dibuktikan Umno Padang Terap sehingga kini.

Begitu juga tindakan pimpinan Umno Padang Terap mengepalai isu remeh demontrasi buah rambutan dan berlagak menjadi jaguh isu tanah menyebabkan rasa mual di kalangan anak muda yang semakin menilai maklumat diterima mereka.

Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis ceramah di Kampung Tandop Besar, di sini 2 Oktober lalu.

Wednesday, October 5, 2011

BN terdesak tarik sokongan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JITRA: BN nyata semakin terdesak untuk menarik sokongan di Kedah apabila menggunakan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bagi mengadakan majlis yang lebih menjurus kepada kempen politik disamping memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Perkara itu sebagaimana arahan JPN kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah seluruh Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap dan Pendang untuk menghantar wakil ke program tersebut yang berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra pada 10 September lalu.

Program atas nama Majlis Penerangan Perdana anjuran Pejabat Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa kehadiran adalah direkodkan.

Menurut sumber yang memaklumkan kepada Harakah, selain ceramah para peserta majlis turut dibekali pelbagai bahan cetakan mengenai BN sepenuhnya selain menyerang pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Malah menurutnya, dominasi input kempen BN jauh terlalu banyak berbanding penerangan dan bahan mengenai transformasi kerajaan.

Monday, October 3, 2011

TARBIYYAH RUHIYYAH

Muqaddimah
            Harakah Islamiah dewasa ini amat berhajat kepada pendukung-pendukungnya yang mempunyai pandangan yang jelas mengenai kepentingan persediaan ruhiyyah di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mengembalikan semula Islam di tempatnya.

Berjalan di atas perjalanan kerohanian atau ruhiyyah adalah suatu keperluan yang tidak dapat tidak, pendukung gerakan Islam mesti berada di atasnya. Permasalahan tanzim dan takhtit  semata-semata tidak menjamin keselamatan dan kesejahteraan para pendukungnya di dalam menghadapi situasi dan cabaran semasa.

            Di dalam kertas kerja ini, kita cuba untuk mengetengahkan  permasalahan kerohanian yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah dan pendapat ahlil haq yang bertepatan dengan keimanan kita.

            "Perjalanan kepada Allah" sama sekali tidak dapat disangkal dan dilupakan oleh pendukung-pendukung gerakan Islam. Bahkan ia adalah suatu tuntutan dan kehendak yang wajib dijelmakan ke dalam setiap peribadi anggota gerakan agar kemenangan Islam di era lalu dapat dikembalikan. Justeru kita meyakini hanya golongan yang mempunyai jiwa kerohanian sahajalah yang mampu membawa pelita hidayah dan menerangi kegelapan jahiliyyah yang sedang meruntun setiap ruang kehidupan ummah dewasa ini.

DEFINISI TARBIYYAH RUHIYYAH / KEROHANIAN
          Tarbiyyah ruhiyyah secara umumnya ditakrifkan ialah suatu proses tarbiyyah membentuk roh dan jiwa, melalui beberapa marhalah tertentu dan didasarkan kepada pembentukan hati yang sentiasa digilapkan dengan aqidah, roh yang sentiasa dididik dengan ibadah dan mempertingkatkan jiwa kepada setinggi-tinggi pencapaian kesempurnaan.

TARBIYYAH RUHIYYAH BEKALAN DI ATAS JALAN DAKWAH
            Jalan dakwah adalah segalanya di dalam kehidupan pendakwah. Betapa jalan dakwah dipenuhi onak dan duri, jalan berliku, bahkan terlalu jauh matlamat dan tujuan yang hendak ditujui. Di atas jalan ini, pendakwah berhadapan dengan ketakutan dan ugutan, ancaman pembunuhan dan ujian.

Firman Allah yang bermaksud: ( iaitu orang yang mentaati Allah dan rasul ) yang kepada mereka ada orang-orang mengatakan : Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan  pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka . Maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab : Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung .

            Sesungguhnya, hanya 'persedian ruhiyyah' sahajalah yang dapat menyelamatkan  pendakwah dan melepaskannya daripada semua ujian itu. Betapa pendakwah amat berhajat kepda bekalan ini agar pendakwah tetap tidak tergugat di atas jalannya, tidak teragak-agak dan cemas untuk meneruskan perjalanannya. Tanpanya, pendakwah tidak akan mampu meneruskan perjalanannya.

OBJEKTIF TARBIYYAH RUHIYYAH
          Objektif Tarbiyyah Ruhiyyah ialah untuk mencapai hati yang sejahtera, bercahaya dan nur iman yang sentiasa bertambah. Semua keadaan hati yang menjadi matlamat perjalanan ini adalah hasil daripada amal ibadah, sehingga dengan itu hati memuncak mencapai maqam  Ihsan. Sabda Rasulullah SAW : Sembahlah Tuhan mu seolah-olah kamu melihatNya, sekalipun kamu tidak dapat melihatNya, sesungguhnya Ia melihat mu.

            Mengikut kadar kenaikan dan kesuburan iman dan pencapaian terhadap maqam Ihsan, terbentuklah peningkatan istiqomah, akhlak dan pengamalan seorang muslim.

PERJALANAN MENUJU ALLAH
            Perjalanan Tarbiyyah Ruhiyyah adalah perjalanan menuju Allah. Perjalanan menuju Allah bererti berpindah daripada jiwa yang kotor kepada jiwa yang bersih, pemikiran yang tidak syarie kepada pemikiran yang diredhai syariat, daripada hati yang ingkar, fasiq dan sakit hati yang keras membata kepada hati yang tenang dan sejahtera, daripada roh yang tidak mengenal ketundukan kepada Tuhan kepada roh yang mengenal Tuhannya dan menunaikan semua haq pengabdian kepada Tuhannya, daripada jasad yang tidak patuh kepada peraturan syariat kepada jasad yang tunduk dan patuh kepada Allah dan daripada diri yang tidak sempurna kepada diri yang lebih atau paling sempurna. Semua yang tersebut ini adalah ibarat pada pentakrifan erti perjalanan menuju Allah yang terkandung di dalamnya ertikata yang lebih khusus, ianya adalah matlamat pencapaian kita di dalam  perletakan Tarbiyyah Ruhiyyah di dalam perjalanan jemaah.

TAQWA SEBAGAI JALAN
          Taqwa adalah jalan mencapai matlamat kerohanian di dalam Tarbiyyah Ruhiyyah dan jalan untuk mencapai kepada maqam taqwa ialah dengan melalui proses-proses :
           
a)         Muahadah
            Muahadah ialah bersendirian diri seorang muslim dengan Tuhannya, membuat dan memberi janji bahawa ia tidak akan memberi hak pengabdian melainkan hanya pada Tuhannya, tidak memohon pertolongan melainkan hanya pada Allah, dan tidak akan memenuhi kehidupannya melainkan hanya dengan manhaj Tuhannya yang lurus. Inilah makna daripada ucapan seorang muslim di dalam tiap rakaat solatnya.

b)         Muhasabah
            Muhasabah ialah dengan perkiraan dan hisab seorang muslim terhadap dirinya setiap kali berlalu dan berakhir amalannya, adakah amalannya ikhlas dan hanya menuntut keredhaan Allah, adakah perasaan riya telah memasuki ketaatannya, adakah ia telah menunaikan hak yang wajib ke atasnya terhadap Tuhannya dan hak yang wajib terhadap sesama manusia. Seandainya pada pengamalan seluruhnya adalah kebaikan maka kepada Allah ia meletakkan pujian, dan seandainya berlaku sebaliknya, ia hendaklah bersegera beristighfar dan memohon ampun kepada Allah. Inilah makna yang terkandung di sebalik ucapan Saidina Umar RA :

c)         Mujahadah
            Ia adalah usaha dan kesungguhan seorang muslim melawan hawa nafsunya ke arah memperelokkan ketaatan yang mendekatkan dirinya kepada Allah, berusaha menambah dan melipatgandakan ketaatan  yang telah dan sentiasa dikerjakannya, sehingga ketaatan itu menjadi keutamaan di dalam hidupnya. Inilah makna yang terkandung di dalam firman Allah :
KEDUDUKAN MUJAHADAH DI DALAM TARBIYYAH RUHIYYAH
          Tarbiyyah Ruhiyyah seperti yang dijelaskan adalah perjalanan untuk sampai kepada Allah. Hasil yang dicitakan ini hanya akan dapat dicapai dan diperolehi melalui mujahadah.

Firman Allah Taala :
Maksudnya : Dan orang-orang yang berjhad untuk mencari keredhan Kami, benar-benar kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.

            Jelaslah mujahadah adalah merupakan usaha untuk mencapai matlamat di dalam  perjalanan kerohaniannya. Dan hidayah itu adalah limpah kurnia dan pemberian Allah kepada hamba-hambaNya. Sesungguhnya, mujahadah dan hidayah itu tidak akan sempurna melainkan dengan taufik dan pertolongan Allah jua.
           
Firman Allah :
Maksudnya : Akan dikau kami sembah dan akan dikau kami mohon pertolongan

Firman Allah :
Maksudnya : Dan orang-orang yamg mendapat petunjuk Allah, Allah menambah petunjuk mereka dan member kepada mereka balasan ketaqwaan.

            Kesimpulannya, mujahadah adalah wasilah untuk menyamaikankepada hidayah,  sementara hidayah dapat menyampaikan seorang muslim kepada ketaqwaan. Kedudukan mujahadah di dalam Tarbiyyah Ruhiyyah hendaklah didasarkan kepada empat persoalan pokok demi mujahadah yang di dalam tarbiyyah ruhiyyah tidak terkeluar dan tergelincir  daripada jalannya yang sebenar. Mujahadah yang benar adalah didasarkan kepada :
a)         Keimanan kepada Allah dan mentauhidkannya serta mengimani kerasulan Nabi               Muhammad SAW.
b)         Mendirikan semua kefardhuan Ibadah di dalam waktunya
c)         Mengisi diri dengan keperluan-keperluan ibadah sunat
d)         Rukun mujahadah. Rukun mujahadah ialah :
            i-          Uzlah
            ii-         Mendimkan diri dari sesuatu yang tdak bermanfaat
            iii-         Berjaga malam dan menghidupkannya
            iv-        Berlapar                                 


PEMUSATAN TERADAP PENGISLAHAN HATI
            Marhalah pertama di dalam perjalanan kerohanian ialah marhalah perpindahan dari hati yang sakit kepada hati yang sihat sejahtera. Dan marhalah kedua ialah marhalah pengisian  hati dengan 'bekalan hariannya' atau bekalan yang diperlukan oleh hati pada setiap detik dan waktu agar hati tetap kekal terjaga di dalam keadaan keimanan yang tinggi sehinggalah ia bertemu Tuhannya.

Firman Allah :
Maksudnya : Dan sembahlah Tuhnmu sampai datang kepadamu yangt di yakini ( ajal )

            Di dalam Tarbiyyah Ruhiyyah, pemusatan kepada pengislahan hati adalah titik tolak yang benar dan tepat, justeru dengan itu tercapainya hati kepada kesejahteraannya. Sehingga seorang muslim dengan hatinya yang sejahtera dapat menyelamatkannya daripada tipu daya syaitan, bisikan dan fitnahnya, sama ada syaitan manusia atau syaitan jin.

Firman Allah :
Maksudnya : Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap nabi-nabi itu musuh, iaitu syaitan jin dan manusia, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu manusia.

            Seorang muslim di dalam gerakan adalah amat patut memberi perhatian yang serius  terhadap pengislahan hati dan bekalannya agar dengan itu menjadikan hatinya bercahaya, bersinar dan sejahtera dan melayakkannya memikul tugas pembawa risalah dan perubah masyarakat.

KEPERLUAN WIRID HARIAN DAN 'DAURAH RUHIYYAH'
Wirid Harian
Seorang muslim adalah amat perlu menyuburkan ruhnya di dalam waktu seharian hidupnya. Wirid harian ini merangkumi penjagaan terhadap kewajipan solat di dalam waktunya dan sentiasa berkekalan mengerjakan solat sunat mengikut kadar kemampuan  seseorang, mengikut keperluan di dalam pengislahan hatinya.
Secara umumnya, wirid harian yang dituntut menjadi perlaksanaan di dalam tarbiyyah ruhiyyahnya ialah :
a)         Solat berjemaah, serta solat sunat rawatibnya dengan menjaga pengamalan                     zikirnya, qiamullail dan solat sunat dhuha
b)         Istighfar harian tidak kurang 100 kali
c)         Hauqalah tidak kurang 100 kali
d)         Selawat tidak kurang 100 kali
e)         Surah Al Ikhlas 3 kali
f)          Sejuzuk daripada Al Quran setiap hari
g)         Menjaga zikir dan doa makan, tidur, masak dan keluar rumah
h)         Memperbanyakkan zikir-zikir yang sunat secara mutlak seperti tasbih, tahmid  dan sebagainya.

Daurah Ruhiyyah
Di dalam menjayakan tarbiyyah ruhiyyah, seorang muslim hendaklah mempunyai 'daurah ruhiyyah' di dalam kehidupannya. Pusingan dan daurah ruhiyyah ini adalah juga mengikut kadar kemampuan seseorang muslim. Ia boleh dilakukan di dalam tempoh 40 hari, 3 hari, 7 hari dan sebagainya.

            Di dalam tempoh 'daurah', adalah suatu yang amat baik kalau dapat dihimpunkan di dalamnya puasa dan qiamullail, solat berjemaah, membaca Al Quran dan zikir. Ia amat bermakna, memberi kesan dan bermanfaat di dalam perkembangan dan peningkatan ruhiyyah seorang muslim, sehingga ianya dapat dirasai oleh seorang muslim yang ikhlas di dalam perlaksanaannya.
            Daurah Ruhiyyah yang menjadi perjalanan di dalam tarbiyyah ruhiyyah adalah     bersumberkan perjalanan Rasulullah SAW sebagai contohnya ialah iktikafnya Rasulullah SAW  di dalam sepuluh terakhir di dalam bulan Ramadhan.


Sabda Rasulullah Saw mengenai solat dalam konteks 'daurah ruhiyyah' :

Maksudnya : Sesiapa yang sembahyang di masjid secara berjemaah 40 malam, tidak tertinggal rakaat pertama daripada sembahyang isyak, Allah menetapkan dengan demikian itu kelepasan daripada api neraka.
                       
Tidak syak lagi, seorang muslim yang memilki 'daurah ruhiyyah' ini, atau dalam ertikata lain seorang muslim yang mempunyai ketetapan atau 'qarar' terhadap dirinya di dalam penunaian ibadah seperti ini akan bertambah nur iman dan tauhidnya, jernih fikrahnya, dan akan membawa kepada kesucian rohnya. Seterusnya, sentiasa  berulangnya 'daurah' ini dalam kehidupannya, mengekalkan nur iman di dalam hatinya dan menjadikan imannya di dalam keadaan sentiasa di perbaharui. 

KE ARAH MENYUBURKAN RUHIYYAH
            Di dalam tarbiyyah ruhiyyah, secara kesimpulannya, solat ( fardhu dan sunat ), wirid serta zikir dan sentiasa mengekalkan pembacaan Al Quran adalah merupakan tiga pengisian utamanya.
           
Sebahagian besar waktu yang dipenuhi dengan pengsian ini amat bermakna di dalam pengislahan hati dan jiwa. Ketiga-tiga pengisian utama ini, meskipun sedikit, namun amat meninggalkan kesan di dalam pengislahan hati dan jiwa seorang muslim.
Namun, di sana terdapat beberapa pengisian yang dapat membantu ke arah menyuburkan ruhiyyah seorang muslim. Di antaranya ialah :
            a)         Sentiasa bermuraqabah dengan Allah
            b)         Mengingati mati dan ahwalnya
            c)         Mengingati akhirat dan huru-haranya
            d)         Menghayati sirah perjalanan Rasulullah SAW
            e)         Bersahabat dengan golongan pemilik hai yang suci dan mengenal Allah
            f)          Menangis kerana Allah di waktu bersunyian diri

PROSES PEUBAHAN DAN KEPERLUAN KEPADA GOLONGAN RUHIYYAH
            Permasalahan ummah dan kerja-kerja menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya adalah kerja-kerja dan tugas berat yang tidak mungkin dapat ditanggung melainkan oleh golongan yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih, suci, dan benar kerana proses perubahan yang ditaja oleh Islam adalah proses perubahan yang didasarkan kepada kesucian dan kemurnian jiwa berpandukan aqidahnya yang suci dan benar.

Kemantapan fikrah dan keutamaan di sudut haraki sahaja, tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang membelit ummah, kerana kerja-kerja yang jaminannya keberkesanan dan kejayaan adalah bermula daripada permasalahan jiwa dan hati yang diredhai oleh Allah.

            Namun begitu, keperluan melahirkan generasi pembawa risalah yang mempunyai   keutamaan dan persediaan yang sempurna di sudut fikrah, jiwa ( ruhiyyah ) dan persediaannya di sudut haraki adalah tuntutan yang sama penting demi keberkesanan dakwah dan kerja  menyelamatkan ummah berjaya dipenuhi dan mencapai matlamatnya.

KESAN RUHIYYAH DI DALAM PROSES PEMBINAAN DAN PERUBAHAN
            Seorang muslim yang berjalan di atas jalan dakwah dan bekerja di dalam proses pembinaan dan perubahan ummahnya, selayaknya adalah seorang muslim yang sentiasa terpancar jiwanya dengan pancaran ruhiyyah, sentiasa bertiup keimanan di dalam hatinya, sentiasa membekalkan diri dengan taqwa, insan yang soleh, muslim yang warak, mukmin yang bertaqwa dan rijal dakwah yang ikhlas.  
           
            Seorang pendakwah yang mengandungi ciri-ciri dan sifat-sifat ini, ucapannya menyentuh hati, tingkah lakunya menjadi qudwah, air mukanya memaut dan menenangkan hati, teori dan fikrahnya mengandungi pancaran nur Ilahi.

            Seorang pendakwah apabila hilang pada dirinya ciri-cirinya ruhiyyah yang sempurna, cacatlah keperibadiannya, tidak mampu meninggalkan kesan di hati madu dari ucapan dan tulisannya, atau dalam ertikata yang lain akan berlakulah kesamaan antara murabbi dan anak didiknya atau pendakwah dan madunya. Pada ketika itu jadilah jiwanya kosong dan musnah, jiwa yang tidak mampu mengilham dan menggerak. Dan pendakwah pada ketika itu, tidak layak lagi menjadi jurubicara ummah, pemimpin dan pendakwah, penyelamat, perubah dan pendidik ummah, bahkan dirinyalah yang lebih layak untuk dididik dan ditarbiah.
GOLONGAN RUHIYYAH MASA LALU
            Golongan ruhiyyah dan angkatan kerohanian masa lalu adalah sebaik-baik contoh kepada perjalanan atau 'proses taghyir' yang sedang kita lalui dewasa ini. Sesungguhnya merekalah yang telah menyebar dan mengembangkan Islam di benua Afrika, Asia Tenggara, Asia Tengah dan di serata alam ini. Kita lihat bahawa merekalah yang telah meninggikan panji-panji jihad di negara-negara mereka, gerakan As-Sanusi di Libya, gerakan Al Mahdi di Sudan, bahkan merekalah yang telah berjasa terhadap pembbasan bumi Islam di Al Jazair, Tunisia, Al Maghrib dan di mana sahaja.

PENINGKATAN RUHIYYAH DAN BERINTIMA DENGAN GERAKAN
          Memberi keutamaan dan mengambil berat di dalam pengislahan hati serta peningkatan di sudut kerohanian atau ruhiyyah, tetapi memandang ringan terhadap penunaian hak terhadap membantu dan menolong agama Allah, menguat  dan menggerakkan perjuangan mendaulatkan syariat bererti tidak memenuhi syarat-syarat  pengislahan jiwa dan tidak menepati kehendak, tuntutan dan pengarahan syariat. Memperjuangkan agama Allah, memperkuat  dan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Menggerakkan perjuangan pendaulatan syariat atau dalam ertikata lain berintima  dengan gerakan Islam adalah kewajipan setiap mukmin yang benar dengan agamaNya.
           
Firman Allah :
Maksudnya : Sesungguhnya kami mengutuskan kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul NYA, menguatkan agama NYA dan membesarkanNYA.

            Bagaimana mungkin boleh berlaku  dan menjadi sempurna pengislahan hati, tetapi memandang ringan terhadap permasalahan menegakkan syariat Allah dan pendaulatan hukum hakamnya.

            Berintima dengan gerakan Islam adalah jalan yang sahih dan benar di dalam ertikata perjuangan pendaulatan syariat Allah dan hukum  hakamnya. Justeru itu tidak mempunyai  sebarang erti pengislahan hati dan peningkatan ruhiyyah seandainya tidak sempurna intima dan wala kepada gerakan dan jemaah Islam.


PENUTUP
Di dalam pembentukan peribadi muslim yang sebenar, kita meletakkan tarbiyah ruhiyyah adalah asas kepada dakwah kita. Hakikat tarbiah ruhiyyah ialah proses atau marhalah pendidikan diri, membersihkan jiwa dan menggilapnya sehingga mencapai kedudukan yang paling di dalam skop kesempurnaan jiwa kemanusiaan. Ia adalah merupakan uslub dari beberapa uslub dakwah yang diiktibar dan mesti dilalui di dalam perjalanan madrasah dakwah kita.

            Mudah-mudahan akan lahir daripada madrasah dakwah ini, generasi pembela yang tidak sekadar mempunyai peningkatan dan kemampuan di dalam sudut pembacaan politik dan siasah, teori dan fikrah, kemantapan amal dan tindakan, bahkan mempunyai peningkatan dan perkembangan di sudut ruhiyyah dan kerohanian kerana gerakan Islam dewasa ini, di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mencapai matlamatnya amat perlu kepada tenteranya yang hidup di dalam ungkapan ringkas yang cukup memberi erti dan bermakna, demi terjaminnya sejarah di era lalu berulang sebagai kenyataannya di era ini. InsyaAllah.