Wednesday, November 30, 2011

Umno dalang sebenar isu tanah Padang Terap

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Disebalik janji manis para pimpinan Umno Padang Terap untuk menyelesaikan isu tanah di daerah itu, hakikatnya merekalah yang terlibat memanipulasi dan memperdayakan penduduk hingga menyerahkan pemilikan tanah suatu ketika dahulu.

Perkara itu didedahkan sendiri bekas pimpinan Umno Bahagian Padang Terap, Mat Isa@Mehat Saud.

Menurut beliau, para pimpinan Umno kini cuba menjadi jaguh memperjuangkan isu tersebut dan menghasut penduduk untuk menuding jari kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Sedangkan perkara itu katanya, sengaja dibangkitkan bertujuan menutup segala kepincangan yang terdahulu.

“Umno suruh PAS korek balik bangkai gajah yang dia bunuh dan kambus (tanam) puluhan tahun yang lalu. PAS pula payah hendak korek balik sebab Umno kambus terlalu dalam.

“Maka, masa itulah Umno menangguk di air keruh dan mengambil peluang menghasut rakyat (untuk) maki hamun dan benci PAS,” ujarnya cuba beranalogi.

Beliau mengimbas kembali sejarah itu di mana para pimpinan Umno Padang Terap telah berperanan sebagai orang tengah (broker) mengambil milik tanah-tanah penduduk.

Katanya, oleh kerana percaya bahawa pengambilan itu bertujuan pelaksanaan projek perladangan di bawah Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Negeri diserta dengan pelbagai janji, penduduk pun menyerahkan tanah mereka.

Malangnya, selepas itu tanah-tanah tersebut berpindah milik kepada syarikat perladangan swasta dan dijual dengan harga yang sangat murah seperti projek tanah rancangan Felcra Durian Burung dan projek Ladang Gula Padang Terap Berhad. Manakala para pimpinan Umno Padang Terap membuat keuntungan melalui peranan mereka itu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Isa turut mencabar pimpinan Umno untuk membeli semula tanah-tanah tersebut dari korporat terbabit dan berikan semula kepada penduduk.

Perkara itu turut dikongsi rakannya yang merupakan bekas Ketua Umno Cawangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Baru, Padang Sanai iaitu Mahmud Lebai Samaun.

Ujar Mahmud, penduduk tidak patut terus terpedaya dengan pemimpin Umno, sebaliknya mengenang kembali segala janji manis mereka semasa hendak mengambil tanah-tanah penduduk dahulu.

Antara janji tersebut terang Mahmud ialah penduduk boleh bekerja di ladang dan kilang sehingga tidak mampu untuk bekerja. Sebaliknya apabila tanah dijual kepada korporat yang hanya bertujuan keuntungan, mereka diberhentikan dan digantikan dengan buruh asing.

Malah katanya, penduduk juga diperdaya dengan janji untuk diberi lot ladang tebu selepas 10 tahun selain kebun getah, tanah sawah dan rumah kediaman di Bukit Iboi.

Hadir sama berkongsi isu tanah Padang Terap itu ialah Ketua PAS Cawangan Padang Sanai, Ustaz Ruslan Umar. Ceritanya, perkara seumpama juga menimpa para peserta tanah rancangan Felcra Durian Burung yang bersempadan dengan negara Thailand.

Tanah seluas 1,006 hektar yang telah pun ditanam pokok getah itu turut dijual dengan harga murah kepada sebuah korporat ternama. Sedangkan perjanjian pindah hak milik antara Pengarah Felcra Negeri dengan para peserta telah ditandatangani.

Malah ujar beliau, isu tanah yang berlaku turut melibatkan banyaknya kes pertindihan milik antara syarikat kroni dengan tanah pusaka persendirian. Malang sekali, terdapat beberapa kawasan yang telah dijadikan tanah perkuburan Islam terpaksa ‘dibongkar’ dan dicerobohi.

Hari ini jelas mereka bertiga, para pimpinan Umno berkenaan hanyalah pandai berjanji, namun tidak ada satu pun janji-janji itu ditunaikan.


Tuesday, November 22, 2011

Timbalan Menteri Belia& Sukan Jangan buat kenyataan jahat, tak berasas

Timbalan Menteri Belia& Sukan Jangan buat kenyataan jahat, tak berasas


Aziz Muda-Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim diingatkan agar jangan membuat kenyataan jahat dan tidak berasas terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya berhubung layanan buruk peminat sukan Indonesia terhadap pasukan Malaysia.
Sebaliknya, kenyataan beliau yang menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung layanan buruk yang diterima pasukan Malaysia oleh peminat sukan Indonesia pada Sukan SEA ke-26 di Jakarta, mestilah disertakan dengan bukti yang jelas.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, bagaimanapun, kenyataan Razali mengenai perkara itu jelas tidak berasas kerana ia tidak disertakan dengan sebarang bukti.
[Gambar: Nasir (kiri) dan Razali (tengah) turut menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia dengan Indonesia menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka, malam tadi.]

Menurut beliau, malahan kenyataan Razali itu ternyata berniat jahat dan semata-mata untuk mencemarkan imej para pemimpin Pakatan Rakyat.

Katanya, kenyataan itu juga turut dilihat sebagai usaha beliau untuk menyembunyikan dan meletakkan kelemahan Kerajaan BN sendiri ke bahu para pemimpin Pakatan Rakyat.

"Jadi saya minta Datuk Razali jangan membuat kenyataan umum yang tidak berasas. Jika benar begitu, nyatakanlah siapa pemimpin pembangkang itu? Bila dia berkata begitu dan di mana?" katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Razali semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan 2012 peringkat kementerian itu di Dewan Rakyat semalam menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung perkara itu.

"Mengapa mereka pendam kebencian sebegitu terhadap kita? Kenapa tidak Thailand? Mengapa tidak orang lain? Ia bukan kerana persepi penganiayaan terhadap rakyat Indonesia.

"Pada pendapat saya, ia adalah kerana pemimpin-pemimpin pembangkang yang seringkali ke Indonesia dan memburuk-burukkan negara ini.

"Mereka melabel perkataan buruk terhadap Malaysia, umpamanya ‘Maling’ yang dalam bahasa Indonesia bererti pencuri," kata Razali.

Malam tadi, pasukan bola sepak Malaysia, Harimau Muda, terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno bagi perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia.

Langkah tersebut terpaksa dilakukan bagi keselamatan para pemain dan ia bukanlah asing buat skuad negara dalam menghadapi kira-kira 100,000 penyokong Indonesia yang mahu melihat Malaysia ditundukkan oleh negara itu.

Menurut Nasir, tuduhan seperti itu terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata tidak berasas, sebaliknya mereka sendiri sentiasa berusaha mengangkat martabat dan maruah negara di mata dunia dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

Katanya, bagi para pemimpin Pakatan Rakyat, kepentingan negara dan semangat patrotisme mengatasi segala-galanya.

"Jadi tak mungkin para pemimpin Pakatan Rakyat yang memburukkan negara. Sebaliknya, pembangkang bukan kerajaan. Yang pegang polisi dan dasar-dasar kerajaan adalah kerajaan. Jadi kenapa pemimpin-pemimpin pembangkang pula yang dipersalahkan dalam perkata itu," ujarnya.

Beliau menegaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menyokong penuh skuad negara, sejajar dengan usaha dan keinginan untuk mempertingkatkan mutu bola sepak dan sukan negara.

Sehubungan itu, beliau juga turut bersama-sama dengan Razali untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Harimau Muda dan Indonesia menerusi skrin besar di Dataran Merdeka malam tadi.

"Tindakan saya itu jelas membuktikan sokongan saya dan para pemimpin Pakatan Rakyat terhadap skuad negara dan ia sekali gus menolak dakwaan Datuk Razali itu," tegas beliau.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini turut kesal kerana kenyataan tidak berasas Razali itu turut disiarkan RTM.

"Kenyataan Datuk Razali itu ternyata kenyataan dari orang yang bermanteliti rendah dan tidak sepatutnya disiarkan oleh RTM. RTM atau pihak kerajaan sepatutnya malu menyiarkkan kenyataan dari orang yang bermantaliti rendah seperti itu," katanya.

Ketika bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat kementerian itu, beliau berkata, RTM turut menjadi stesyen penyiaran tanpa standard kerana menyiarkan kenyataan yang tidak mempunyai standard dari Razali itu.

Bukti kenyataan Razali itu tidak berasas, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, boleh dirujuk dengan langkah Nasir Zakaria sendiri yang turut menyokong skuad negara dengan turut mengikuti perlawanan itu menerusi skrin besar di Dataran Merdeka bersama-sama Razali sendiri malam tadi

Persadakan zakat, wakaf dan sedekah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

LANGKAWI: Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yakin bahawa zakat, wakaf dan sedekah mampu menjadi strategi alternatif dalam membenteras kemiskinan global yang tidak dapat diselesaikan pada hari ini.

Justeru itu, beliau menyeru agar zakat, wakaf dan sedekah disegarkan ke satu tahap baru dalam pembangunan ekonomi Muslim dan dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kewangan dan  Ekonomi Islam Antarabangsa Langkawi Kali Ketiga (Life3) di Berjaya Resort, di sini bulan lalu.

“Wakaf, zakat dan sedekah ini telah diperkenalkan oleh Islam dan dipraktikkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW merupakan dana pembiayaan bersifat dermawan.

“Ia berbeza dengan pembiayaan kebaratan yang membangunkan manusia hanya dari satu sisi, sedang pembiayaan Islam itu menggabungkan soal rohani dan unsur lain dalam pembangunan ekonomi komuniti,” terangnya.

Untuk menggerakkan cita-cita itu katanya, perlu pendekatan bersepadu melibatkan institusi kewangan Islam, pihak pengurusan dan jaringan pertubuhan mereka yang berkembang baik dan tersusun untuk memainkan peranan utama bersama institusi-institusi zakat, wakaf dan sedekah.

Menurut Ustaz Azizan, antara tahun 1555 hingga 1823, terdapat 761 institusi wakaf di Bursa, Turki dan di era 1900, tradisi itu kembali segar di Turki hingga menjadi penggerak utama mewujudkan banyak universiti terkemuka dunia, maktab dan sekolah.

Malah katanya, melahirkan ramai profesional pelbagai bidang sekaligus membantu perkembangan ekonomi komuniti.

Jelasnya, para profesional dan usahawan berjaya inilah yang meneruskan usaha sehingga ke hari ini memberikan sumbangan wakaf termasuk mewujudkan lebih banyak institusi pendidikan di seluruh dunia.

Perkara itu juga ujarnya sebagaimana Universiti Al-Azhar yang berjaya dikendalikan sejak 1000 tahun dengan wakaf.

“Melalui jaringan cawangan atau pertubuhan kewangan ini, inisiatif perlu disediakan untuk membolehkan pelanggan meletakkan deposit mereka sebagai sumbangan tunai wakaf. Ia juga mungkin menjadi penyelesaian perancangan harta Islam untuk para pelanggan bank, termasuk wasiat, hibah dan amanah.

“Dengan wakaf, bank-bank dan pelanggan mereka mempunyai peluang menyertai program pengedaran komuniti yang lebih berstruktur atau aktiviti ekonomi komuniti sebagai sebahagian daripada strategi pengagihan kekayaan,” ujarnya melontarkan idea untuk persidangan tahunan tersebut.

Hadir sama menyampaikan pembentangan pada persidangan itu ialah Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB) Jeddah, Tan Sri Dr Ahmad Mohamed Ali al-Madani dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.


Monday, November 14, 2011

Tunku Sultan Kedah kesal Kerajaan Pusat belum bina 2 buah hospital

Oleh: SARINA ISMAIL
          (Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah)



KDYMM Sultan Kedah berasa kesal kerana perancangan untuk membina Hospital bagi daerah Pendang dan Bandar Baharu masih belum dilaksanakan. Ini mengakibatkan rakyat Kedah di daerah tersebut masih menghadapi kesukaran kerana perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan dari hospital daerah di tempat lain. Baginda juga mengharapkan tindakan susulan hendaklah diambil oleh pihak persekutuan bagi menyediakan kemudahan hospital yang dimaksudkan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk Pendang dan Bandar Baru dapat diselesaikan segera. 

Bertitah sempena Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Penggal Ke Empat Mesyuarat Bajet 2012, baginda turut melahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan kerajaan negeri terutama dalam melaksanakan projek utama menerusi Pelan Strategik Kedah Sejahtara yang melibatkan projek-projek pertanian, akuakultur, pembuatan, pelancongan, prasarana dan pembangunan insan. 

Di samping itu,baginda turut berbangga dengan tindakan kerajaan negeri membangunkan semula beberapa projek terbengkalai seperti Bangunan Plaza Tunku Yaakob, pembangunan semua Kuala Kedah, bandar baru Pokok Sena dan Pekan Bukit Pinang. 

Langkah kerajaan negeri mewujudkan Institusi Maahad Tahfiz Sains meyakinkan baginda usaha membentuk genarasi pelajar yang memiliki daya intelektual yang tinggi, keperibadian terpuji, berakhlak mulia dan boleh menguasai Al-Quran sebagai panduan hidup akan mendapat sambutan yang memberansangkan di kalangan pelajar dan ibu bapa. 

Baginda turut tertarik dengan usaha kerajaan negeri menyediakan asas pembangunan dalam bidang pengeluaran makanan melalui penubuhan Taman Industri Halal dan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian, Zon Industri Akuakultur untuk ternakan ikan dalam sangkar laut terbuka di perairan Langkawi serta galakan kepada ternakan Burung Walit. Usaha sedemikian dapat mengembelingkan pihak swasta melabur dan menerajui bidang yang dimaksudkan. 

Titah baginda lagi, keadaan aman tenteram yang tidak mengalami musibah dan bencana besar merupakan nikmat yang tidak ternilai  dan ianya membuktikan kesungguhan kerajaan negeri mewujudkan suasana yang harmoni melalui dasar pentadbiran yang adil, amanah dan mengambil kira kepentingan semua pihak. Oleh itu, baginda menyeru kepada semua agar terus menyumbang buah fikiran dan tenaga bagi menyebarkan kesedaran dikalangan rakyat supaya menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal disamping memiliki akhlak yang mulia. 

Baginda juga mengharapkan semua anggota jentera pentadbiran negeri terus meningkatkan tahap kecemerlangan dan kecekapan melalui latihan sedia ada serta memendekkan masa berurusan dengan pelanggan. Penubuhan Jawatankuasa antara kerajaan dengan swasta yang dikenali sebagai PEMUDAH merupakan satu usaha yang terpuji bagi meningkatkan 
' delivary system". 

Tuesday, November 1, 2011

Gambar Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan

Dapatkan gambar-gambar terpilih sepanjang Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 dari pautan-pautan di bawah:

http://www.facebook.com/HarakahMuda#!/media/set/?set=a.226291040767166.56623.110531025676502&type=1

http://www.facebook.com/HarakahMuda#!/media/set/?set=a.226903480705922.56807.110531025676502&type=3

http://www.facebook.com/media/set/?set=a.227298423999761.56910.110531025676502&type=1

Pemuda PAS sebagai 'pembebas' Putrajaya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pembebasan Putrajaya dari cengkaman regim Umno-BN bakal direalisasikan melalui kesepaduan Pemuda PAS sebagai penjana penting kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Kesediaan itu dibuktikan dengan penyertaan sekitar 5,000 pemuda PAS dari seluruh negara pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Perkasa Amal Tarbawi Menangi Pilihan Raya” di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 hingga 30 Oktober lalu.

Suntikan keazaman para pemuda itu turut disemarakkan dengan taujihat dari pimpinan Hamas Palestin, Syeikh Ahmad Najjar yang mengisahkan pengalaman dan tribulasi perjuangan Palestin serta usaha pembebasan Masjidil Aqsa.

Malah, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mohd Mehdi Akif dan pimpinan Ikhwanul Muslimin, Dr Kamal al-Helbawy juga hadir berkongsi cabaran perjuangan serta menyegarkan optimisma golongan muda terhadap kemenangan sebagaimana berlaku di Timur Tengah ketika ini.

Sepanjang tiga hari tersebut, para peserta juga mengikuti sesi rohani yang disampaikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Penerangan PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad

Selain itu, peserta turut mengikuti huraian tafsir surah As-Saff oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara talaqi.

Pembentangan kertas kerja pula melibatkan perbincangan berhubung Tahaluf Siyasi yang disampaikan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dr Khairudin Aman Razali at-Takiri.

Manakala kuliah khas bertajuk “PAS dan Ijtihad Politik” disampaikan Pegawai Arkib PAS Pusat, Mohd Fadli Ghani.

Ceramah pentas pemuda pula dipanaskan dengan penampilan Naib Presiden, Dato’ Mahfuz Omar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Selain itu, slot Forum Tarbawi membawakan dua mantan Ketua Pemuda PAS Pusat iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik membicarakan tajuk “Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Lanskap Politik Semasa.”

Antara yang menarik perhatian peserta adalah sesi Wacana Khas membicarakan tajuk “Pemuda PAS Memimpin Kebangkitan Anak Muda” oleh para pimpinan tertinggi Pemuda PAS Malaysia iaitu Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi, Ustaz Nik Mohd Abduh dan Mohd Sany Hamzan serta tayangan filem pendek berjudul “Gua Ikut Enta” terbitan Dewan Pemuda PAS Production dan filem pendek kreativiti sendiri berjudul “Janji”.

Kebanyakan peserta ‘berkampung’ di sekitar Taman Melewar selain turut memenuhi khemah tertutup khas yang disediakan urusetia. Manakala peserta muslimat menginap di dalam dewan utama.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, para pemuda dibentuk untuk menjadi ansarullah (penolong agama Allah) yakni menjadi golongan yang menggerakkan peranan penting kepada cita-cita kemenangan Islam sebagaimana hawariyyun.

Untuk itu tegasnya, proses amal tarbawi amat penting untuk diperkasakan pada setiap diri dan gerakan pemuda agar matlamat tersebut mampu dicapai.

Ini jelasnya, akan melahirkan individu-individu baik yang akan mengintimakkan diri kepada jamaah. Sedang jamaah yang baik itu katanya, adalah syarat Allah memberikan kemenangan sebagaimana pasukan tentera Salahuddin Ayyub dan tentera Sultan Muhammad al-Fateh.

Pembebasan Palestin pasti berlaku! - Pemimpin Hamas

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Najjar menyeru umat Islam di seluruh dunia agar terus memberi sokongan dan dokongan kepada perjuangan mereka untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.

Beliau berucap sedemikian pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 Oktober lalu.

Katanya, biarpun menghadapi serangan dan pembunuhan dahsyat dari Israel, namun Hamas merasa bersyukur kerana mendapat sokongan dari gerakan Islam di seluruh dunia termasuk PAS. Malah, mereka juga bersyukur memiliki pemimpin yang hebat untuk memimpin gerakan itu.

Beliau yang juga merupakan penterjemah kepada Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyeh memaklumkan, Israel bukan sahaja telah membunuh ratusan ribu masyarakat awam Palestin tetapi juga melakukan pembunuhan strategik dengan menyerang dan mengebom masjid-masjid yang menjadi lokasi para mujahidin.

Malah terangnya, muslimat turut menggerakkan peranan penting dalam jihad di Palestin dan banyak keluarga yang memberikan anak-anak mereka untuk berjuang serta syahid di jalan Allah.

Maklum beliau, Hamas tidak pernah menyeludup sebarang keperluan dari luar, tetapi membelinya dengan harga yang mahal.

Syeikh Ahmad yang turut pernah dipenjarakan Israel menegaskan, walaupun Zionis Israel gigih untuk menghalau keluar umat Islam Palestin dari bumi suci itu, namun mereka telah berikrar untuk tegar menghadapinya sama ada menemui syahid ataupun kemenangan dalam perjuangan mereka.

Jelasnya, Hamas sama sekali tidak mengiktiraf Israel dan bertegas menyatakan bahawa tanah di situ juga bukan milik Israel, tetapi ia adalah milik umat Islam Palestin dan milik umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berharap agar umat Islam di seluruh dunia terus berdoa kepada Palestin serta menyalurkan bantuan kewangan kerana setiap dokongan itu akan mendapat pahala seperti mana mereka yang berjuang di sana.

Mengakhiri ucapannya, beliau penuh yakin menyatakan bahawa pembebasan Palestin pasti berlaku suatu hari nanti.

Pemuda sebagai aset tetap dan modal pusingan PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Para pemuda merupakan aset tetap dan modal pusingan kepada perjuangan PAS, demikian tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 Oktober lalu.

Sehubungan itu, para pemuda ujarnya, perlu bijak memasarkan PAS agar menjadi keperluan kepada masyarakat.

Untuk itu, para pemuda perlu memiliki ilmu dan keperibadian untuk menguruskan perjuangan menyampai dan menegakkan Islam di atas muka bumi dan sentiasa bersikap mengutamakan urusan agama serta merasa amanah terhadapnya.

Jelas beliau, ilmu dan keperibadian akan tercerna menjadi sikap masyarakat, maka pemuda perlu memiliki ilmu dan akhlak soleh untuk di bawa dalam masyarakat.

Perkara tersebut tegasnya, adalah dengan melalui proses pentarbiyyah dan pengkaderan seterusnya akan memperkayakan prestasi dan parti.

Ujar Ustaz Nasrudin, PAS mendokong gerakerja dakwah melalui wadah politik dan setiap pemuda mesti memahami hubungan antaranya.

Tetapi yang sering berlaku ujarnya, orang politik hanya berfikir mengenai pilihan raya dan untuk memenanginya. Manakala orang tarbiyah pula katanya, hanya fikir mengenai program tarbiyah, usrah dan tamrin. Sedang orang dakwah pula hanya untuk menyampaikan pengisian.

“Adapun kita pemuda-pemuda PAS, kita bukan orang politik, kita bukan orang tarbiyah dan kita bukan orang dakwah sahaja. Tetapi kita adalah pemuda yang melengkapi segala-galanya. Melahirkan saf perjuangan yang seimbang dalam menegakkan cita-cita Islam di atas tanah air kita cintai ini.

“Kesimpulannya kita adalah pemuda-pemuda yang memenuhi muwasafat ansarullah dan rabbani yakni bekerja, berjuang dan mati untuk agama Allah serta memenuhi kesyumulan Islam. Menjadi pendita yang tekun bertaqarrub kepada Allah di malam harinya dan seperti kuda-kuda pantas di siang hari.

“Bukanlah mereka yang membawa perjuangan ini secara sampingan atau secara cebisan atau membawa sebahagian dengan meninggalkan sebahagian yang lain,” ujar beliau dalam taujihatnya itu.

Anak muda perlu kuasai pelbagai ilmu

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Anak muda perlu menguasai ilmu yang pelbagai bagi membentuk kebijakan mereka bertindak dalam menghadapi sepak terajang politik berdepan dengan Umno-BN di negara ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata demikian ketika berucap dalam ‘Ceramah Pentas Pemuda’ sempena Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, dekat sini 28 Oktober lalu.

Menurutnya, asas kepada perjuangan dibawa PAS ialah soal akidah, tetapi anak-anak muda juga perlu memikirkan kaedah mereka boleh bertindak dengan bijak dalam menghadapi sesuatu situasi.

Katanya, kebijakan itu tentunya bermula dengan ketumbukan ilmu yang perlu ada dan dimiliki oleh anak muda, kerana keluasan ilmu ini akan membentuk kebijakan bertindak.

“Perkembangan teknologi yang ada hari ini, sudah tentu memerlukan anak-anak muda melakukan penjelajahan ilmu untuk memastikan kebijakan itu benar-benar dikuasai oleh semua,” ujarnya.

Mahfuz berkata, ia merupakan perkara penting untuk dilihat, sebagaimana disebut oleh para ulama bahawa orang berilmu adalah mereka yang menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan masyarakat.

Beliau menceritakan peristiwa Jalut dan Talut serta pilihan Allah mengambil Jalut sebagai pemimpin kerana keluasan ilmu dimiliki serta digandingkan dengan kegagahan fizikal yang ada padanya.

Di atas keluasan ilmu dan kebijakan bertindak inilah tegas beliau, PAS mampu membuat bacaan-bacaan atau
mengandaikan perkara yang akan berlaku pada lima atau sepuluh tahun akan datang.

“Ini akan membolehkan kita melakukan setiap persiapan mantap dan jitu untuk menghadapi sepak terajang
politik yang lebih mencabar,” tegasnya.

Pemimpin juga katanya memerlukan pembantu berilmu dan bijak bagi memberi nasihat yang baik untuk membuat keputusan lebih tepat.

PAS terus 'hidup' dengan perjuangan Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Allah tidak menyuruh orang susah sahaja berjuang dan orang yang senang boleh duduk di rumah memeluk isteri. Malah Allah juga tidak pernah meminta orang kaya sahaja berjuang dan orang miskin boleh ambil cuti kerana miskin, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Sebaliknya semua orang kena berjuang. Orang kaya berjuang dengan cara orang kaya, dan orang miskin akan berjuang dengan cara orang miskin. Begitu juga orang yang cacat dan sakit akan berjuang mengikut cara mereka masing-masing,” tegas beliau sewaktu merasmikan Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar pada 28 Oktober lalu.

Perjuangan dalam Islam katanya, tidak mengira sama ada orang itu kaya atau miskin, sebaliknya semua orang Islam wajib berjuang menegakkan agama Allah pada sebarang situasi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian melahirkan rasa syukur kerana PAS mempunyai pemimpin yang begitu istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, PAS tidak akan mati kerana ia didukung oleh pemimpin yang tidak pernah dibisikkan ke telinga mereka dengan janji emas dan perak.

Pemimpin yang lahir di dalam PAS tegasnya, tidak pernah berundur daripada perjuangan dalam sebarang keadaan menimpa mereka.

Ini tegasnya, kerana PAS mempunyai pemimpin hebat dan berpengalaman serta ditarbiyah oleh kitab tulisan ulama muktabar, guru dan mereka yang hidup untuk perjuangan Islam.

Sebab itulah jelas Salahuddin, PAS berbeza dengan parti lain di negara ini sehingga ada pejuang PAS mati dengan sikap dan pendirian tegas serta tidak mudah digoda dan digamit dengan perhiasan dunia.

Beliau mengajak lebih 5,000 anak-anak muda yang menyertai ijtima itu, mengkaji serta belajar sejarah supaya kemudahan pada hari ini tidak menjadi alasan untuk menangguhkan perjuangan.

Katanya, pemimpin terdahulu dan yang ada sekarang sentiasa berhadapan dengan kesukaran dalam perjuangan.

Salahuddin yang pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat, kagum dengan kepimpinan pemuda hari ini kerana merangka pelbagai alternatif bagi menyampaikan dakwah dan berhibur dengan cara Islam.

Katanya, kejayaan Pemuda PAS Pusat mengeluarkan filem pendek bertajuk “Gua Ikut Anta” menunjukkan mereka memberi tempat kepada golongan seni bagi mengembangkan karya mereka.

Beliau juga mahu pemuda terus menggunakan teknologi yang ada seperti Facebook, Twitter, sms, mms dan blog bagi menyebarluaskan Islam di negara ini dan seluruh dunia.

“Apa yang penting, maklumat mesti sampai kepada golongan sasar supaya Islam dapat ditegakkan,” katanya dalam ucapan.

Pemuda PAS jangan 'kurung' isteri di rumah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS diminta jangan ‘mengurung’ isteri mereka di dalam rumah tanpa memberi ruang dan peluang untuk bersama-sama menyumbang kepada parti dan Islam, tegas Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Menurutnya, terdapat keluhan daripada isteri pemuda PAS bahawa mahu memberi sumbangan tetapi tidak diberi ruang dan peluang oleh suami, sedangkan suami mereka adalah pemuda yang berketerampilan di dalam parti.

Katanya kepada lebih 5,000 peserta Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Perkasa Amal Tarbawi Menangi Pilihan Raya” di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm), Taman Melewar, dekat sini 28 hingga 30 Oktober lalu, sumbangan muslimat amat penting kerana mereka juga mempunyai ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama di kalangan muslimat.

“Saya menyarankan, terutama pemuda PAS libatkan sama isteri, beri peluang, ruang dan kerjasama kerana kita tidak mahu isteri ini mengadu kami nak bersama, kami nak aktif tetapi tidak diberi kerjasama oleh suami.

“Ini harapan Dewan Muslimat PAS kerana kepada siapa lagi kami harapkan. Di belakang Rasulullah s.a.w. yang membela perjuangan Islam ini ialah isteri-isterinya dan para sahabat.

“Mereka juga ada yang bersama di medan perang membantu perjuangan Rasulullah s.a.w.,” katanya.

Justeru itu, tegas Siti Zailah, jika mahu melihat Islam menang, libatkanlah keluarga, isteri dan anak-anak untuk bersama mengharungi perjuangan demi mencapai kemenangan cemerlang.

“Kita tidak mahu sebelum ini muslimat aktif berjuang tetapi apabila sudah berkahwin dan dapat anak, mereka terus hilang daripada perjuangan,” katanya lagi.

Sebab itulah kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, beliau mahukan pembabitan muslimat diberi dorongan dan insya-Allah jika diberi kerjasama satu gelombang lebih kuat bagi berdepan dengan Umno dapat diwujudkan.

Bagi anak muda yang baru menghadapi perjuangan ini katanya, hendaklah sentiasa melalui tahap-tahap sebagaimana garis telah ditetapkan.

Katanya, mintalah bantuan daripada abang atau kakak-kakak yang boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar, kerana perjuangan di kampus hanya lima peratus sahaja daripada pengalaman dan perjuangan sebenar di medan.

“Kita tidak boleh lagi tertumpu kepada program di markas, masjid dan surau semata-mata. Saya setuju supaya pemuda dan muslimat turun ke medan, jejaki orang muda sehingga ke kelab-kelab malam, pasar-pasar raya untuk mendekati mereka dan tarik mereka untuk bersama PAS,” tegasnya.

Beliau berkata, PAS bukan hanya mahu mendapat sokongan daripada orang berkopiah sahaja tetapi juga mereka yang berambut merah, berpakaian jeans, ranggi dengan tujuan memberi kesedaran kepada mereka dan dakwah kepada Islam.

Ini katanya, cabaran yang cukup besar untuk melihat kemenangan Islam kerana ia perlu menyentuh semua golongan dan menjadi tanggung jawab terutama kepada orang muda hari ini mesti turun ke medan.