Mohd Nasir Zakaria
Mohd Nasir (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat.
KUALA NERANG - Pemuda Pas Padang Terap membuat satu laporan polis berhubung sekeping gambar yang disebarkan di Internet, mempamerkan aksi dua pemuda sedang melalukan perbuatan tidak senonoh pada gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicetak pada kain rentang.
Laporan polis itu dibuat Ah;i Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Pusat, Azman Shafawi Abdul Rani di Balai Polis Kuala Nerang, pagi semalam.
Mohd Nasir berkata, laporan polis itu dibuat ekoran tindakan melampau yang juga suatu penghinaan terhadap pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat (PR).
“Saya kesal terhadap insiden yang berlaku, perlakuan tidak senonoh pada gambar pemimpin adalah satu perbuatan yang keji,” katanya.
Menurutnya, perbuatan tidak bermoral itu bukan ajaran Islam dan pihak berkuasa perlu bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Saya harap polis akan bertindak secara profesional dengan tidak membuat siasatan secara terpilih untuk kes-kes tertentu sahaja,” katanya.
Azman Shafawi berkata, walaupun berlainan ideologi politik adalah biadab dan kurang ajar.
“Kami menuntut pihak polis mengotakan janji bahawa polis akan bertindak sekiranya ada laporan. Sebelum ini polis menyatakan tindakan diambil terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terdapat laporan,” katanya.