Sunday, October 28, 2012

Pemuda PAS pelawa Pemuda BN sertai laporan ke SPRM



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dan ‘projek sakit’ yang pernah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah semasa pemerintahan BN.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, laporan penyelewengan itu akan dibuat sebagaimana pendedahan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Mereka yang terlibat mesti bertanggung jawab dan bersedia untuk disiasat serta didakwa sekiranya didapati bersalah.

“Kami komited menyatakan bahawa kepentingan dan hak rakyat perlu sentiasa dipertahankan serta diurus tadbir sebagai amanah terutamanya oleh kerajaan yang diberi kepercayaan memerintah.

“Penyelewengan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat oleh mereka yang telah lebih 50 tahun diberi kepercayaan mentadbir negeri ini,” luahnya kesal.

Menurut beliau, rakyat negeri ini hakikatnya telah menanggung beban apabila kepimpinan lalu turut ‘mewariskan’ hutang berbilion ringgit.

Kini katanya, penyelewengan dan ‘projek sakit’ berkenaan pula menjadi ‘biawak hidup’ yang terpaksa ditanggung akibatnya.

Beliau turut mempelawa Pemuda BN Kedah untuk bersama membuat laporan tersebut.

“Sebagai pewaris masa hadapan dan pembelaan terhadap kepentingan rakyat serta demi negeri Kedah yang dicintai ini, kami mempelawa Pemuda BN untuk turut serta.

“Kita (pemuda) tidak harus berdiam diri agar penyelewengan dan salah urus tadbir seperti ini dapat dihentikan dari terus berulang serta menjadi pengajaran kepada mereka yang berwewenangan terhadap amanah rakyat,” seru Ahmad.

Sunday, October 21, 2012

Gerakan Kedah angkuh!



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sikap Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai kekal mempertahankan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berhubung sindiran kontroversinya mengenai garis panduan papan iklan di Bandaraya Alor Setar menunjukkan sikap angkuh dan sombong pemimpin parti itu.

Ketua Pemuda PAS Pendang, Ustaz Fuzi Saad berkata, Gerakan Kedah ternyata bebal apabila terus menongkah arus sensitiviti semasa yang telah meluahkan rasa tidak senang dengan ulasan dilakukan Keng Liang.

“Sewajarnya teguran, laporan polis dan ajakan berdialog dari pelbagai pihak telah menyedarkan Gerakan Kedah untuk membetulkan keterlanjuran tersebut dan bukannya terus menegakkan benang basah, seolah-olah mengajak berperang.

“Dr Cheah juga seakan menganggap perkara ini remeh apabila mendakwa sindiran Keng Liang melalui twitter itu sebagai peribadi.

“Jika demikian, akan berleluasalah tindakan peribadi yang sewenang-wenangnya mengganggu gugat keharmonian, bahkan mungkin keselamatan awam. Dr Cheah harus sedar implikasi kenyataannya itu,” bidas Fuzi.

Menurut beliau, kedegilan Pengerusi Gerakan Kedah itu juga menjurus kepada sikap mengapi-apikan permusuhan dan sentimen negatif ke atas garis panduan tersebut tanpa cuba mendapatkan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan perkara itu.

Malah katanya, tindakan Dr Cheah menempelak ajakan Pemuda PAS Kedah untuk berdialog jelas satu amalan politik tidak matang dan kegagalan memanfaatkan peluang meredakan konflik.

“Sepatutnya beliau membidas dakwaan sandiwara itu kepada Pemuda Umno Kedah yang secara tiba-tiba bangun membela Islam dari sindiran Keng Liang.

“Sedangkan ketika sama Pemuda Umno menikus berdiam diri apabila Islam jelas nyata dihina pemimpin utama MCA, Dato’ Dr Chua Soi Lek.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno memberi nasihat atau teguran kepada rakan komponennya dalam BN berkaitan Islam,” ujar beliau.

Katanya lagi, kedangkalan Gerakan Kedah mempertahankan prejudis mereka membayangkan budaya yang ada pada segelintir pemimpin dalam komponen BN iaitulah kemaruk kepada ikon seks dan kelucahan.

Oleh itu ujarnya, rakyat di negara ini diseru menolak BN yang nyata mempunyai minda merbahaya terhadap maruah dan keselamatan kaum wanita.

Thursday, October 18, 2012

Mengangkat martabat kaum hawa



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Garis panduan baru untuk pemasangan papan iklan di Bandaraya Alor Setar sebagaimana diumumkan Datuk Bandar adalah satu langkah ke arah mengangkat masyarakat yang bertamadun dan bermaruah, demikian menurut Ketua Pemuda PAS kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Sehubungan itu katanya, Dewan Pemuda PAS Kedah mengalu-alukan pengenalan garis panduan tersebut.

Ujar beliau, usaha itu perlu dilihat secara positif dan disokong semua pihak di mana ia telah menjulang martabat dan penghormatan sekaligus menyekat eksploitasi khususnya ke atas kaum hawa.

“Setiap wanita, biarpun mereka tiada pertalian darah dengan kita, hakikatnya mereka adalah ibu, isteri atau anak perempuan kepada seorang lelaki.

“Demikian itu kami berpandangan, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang begitu lantang mengkritik dan menyindir garis panduan tersebut tentunya tidak mahu melihat ibu atau isteri atau anak perempuannya dijadikan produk pemerdagangan dan hiasan mata dalam penampilan tidak sopan dan menjolok mata.

“Kami yakin, setiap lelaki budiman tidak akan membiarkan perkara tersebut berlaku bukan sahaja ke atas ibu, isteri dan anak perempuan mereka, tetapi seluruh kaum wanita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Keng Liang tidak harus prejudis dan stigma bahawa setiap garis panduan atau peraturan yang diperkenalkan itu dilabelkan sebagai hudud atau undang-undang syariah Islam.

Dalam pandangan lebih luas ujar Ustaz Ahmad, peraturan atau undang-undang yang digubal ke arah kesejahteraan dan keharmonian serta meninggikan darjat manusia perlulah disokong bersama.

“Sebagai rakyat, kita berhak bersuara mengkritik atau membantah tetapi mestilah disusuli cadangan kepada penambahbaikan yang lebih efisien.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah secara terbuka dan sukarela menawarkan kesediaan kami untuk berdialog dan berbincang dengan Keng Liang dan sesiapa sahaja dalam usaha menerangkan sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam agar ia tidak terus menjadi salah sangka.

“Suka juga kami menyatakan jika sekiranya garis panduan seperti itu dianggap kecil dan remeh, ia sebenarnya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat begitu komited memikul amanah lebih besar terhadap hak dan masa depan setiap individu rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak bahawa berdasarkan pengalaman sedia ada, sebarang perkara yang timbul berkaitan hudud atau syariah Islam seringkali dimanipulasi pihak tertentu terutamanya Utusan Malaysia yang merupakan lidah rasmi ‘Syaitan Dikenali’.

Maka, Dewan Pemuda PAS Kedah tegasnya, menyeru seluruh masyarakat bertamadun dan bermaruah untuk terus memboikot Utusan Malaysia dan media fitnah yang seangkatan dengannya.

Tuesday, October 2, 2012

Himpunan Hijau 1,000 Ekor Ayam




Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BERSAHAJA tetapi berjaya memupuk hubungan muhibah dan ceria serta menyampaikan mesej parti. Begitulah suasana program Himpunan Hijau BBQ 1,000 Ekor Ayam anjuran Dewan Pemuda PAS Baling dalam kesungguhan mereka mengakrabkan hubungan dengan golongan muda. Malah Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menyifatkan program tersebut sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang membuktikan penganjurannya telah meluaskan interaksi mesra Pemuda PAS dengan masyarakat dalam Parlimen Baling.

Program bermula dengan konvoi 700 motosikal anak muda membawa bendera PAS dari lima destinasi parlimen itu menuju ke Markas PAS Baling di Kupang. Di situ mereka menunaikan solat berjamaah dan menyambut ketibaan Ustaz Nasrudin. Gabungan besar konvoi itu kemudian bergerak ke lokasi himpunan yang terletak 300 meter dari situ.

Di tapak himpunan telah ramai hadirin yang datang bersama keluarga berada di situ sedang pihak urusetia bertungkus lumus menyiapkan hidangan. Di satu sudut, petugas BBQ sibuk membakar ayam dengan peralatan terkini.

Tarikan awal bermula dengan Leman Raja Lawak yang berceloteh dengan hadirin disusuli ucapan pimpinan terdiri daripada Adun Kupang, Johari Abdullah; Yang DiPertua PAS Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan dan Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi.

Dalam keenakan menikmati hidangan nasi bersama ayam BBQ dan sup ayam, hadirin turut disajikan deklamasi sajak oleh Ustaz Nasrudin. Biarpun spontan, sajak sinis tersebut berjaya menjelaskan kepada hadirin perihal Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri sehari sebelumnya.

Leman Raja Lawak kembali mengisi slot utama ceramah pada malam itu. Nyata pendekatan ceramahnya yang santai tetapi mengolah hampir segala isu dan mudah difahami. Bukan sahaja menyegarkan pendengar, bahkan hadirin turut mengiyakan motif ceramah yang dicorakkannya. Slot terakhir ceramah diisi Ustaz Nasrudin yang banyak menyuntik keyakinan untuk Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya.

Menurut Pengarah Program, Ustaz Mohd Hilmi Abdul Wahab, himpunan itu sebagai menyemarakkan dokongan anak muda dalam Kawasan Baling untuk kekal bersama gerakerja PAS. Ujarnya, penduduk Baling khususnya golongan muda sejak pilihan raya 2008 lalu telah menunjukkan peningkatan sokongan memberangsangkan kepada PAS. Momentum itu terangnya, akan sentiasa diperkemaskan dalam usaha mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Baling, Dun Kuala Ketil dan Dun Kupang serta menawan Dun Bayu sekaligus membantu mempertahankan kemenangan negeri Kedah.