Tuesday, February 12, 2013

Gegar ! Konvoi Terbesar Kedah Di Padang Terap 15 feb 2013


Anak muda diseru tingkatkan munajat



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

 
ALOR SETAR: Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menyeru anak-anak muda yang mendukung perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat agar mengadakan solat hajat setiap hari disamping bermunajat dan berdoa setiap malam sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ujar beliau, persiapan itu agar Allah mengekalkan kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Kedah dan menganugerahkan kemenangan menawan Putrajaya.

“Tarikhnya sangat hampir!” tegasnya ringkas seakan-akan melontarkan isyarat siap siaga.


Bashah 'bongkak' hadapi Bongkar 403J



Oleh IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menempelak sikap bongkak Pengerusi BN Kedah, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah dalam menghadapi dakwaan NGO ‘Bongkar 403J’.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, sikap bongkak itu dilahirkan Bashah yang menganggapnya dakwaan NGO itu sebagai tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas serta menggesa laporan kepada pihak berwajib, seakan-akan membayangkan beliau kebal dari tindakan perundangan.

“Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri dan memimpin komponen parti politik yang sedang bersaing untuk memimpin kerajaan, beliau sewajarnya menunjukkan kematangan berpolitik dengan tampil memberi penjelasan untuk membersihkan dakwaan tersebut.

“Malangnya, beliau mengambil pendekatan menyerang semua pihak termasuk kepada PAS Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah. Sedangkan isu RM403 juta itu adalah berkaitan penyelewengan, kecurangan pengurusan dan salah urus tadbir Kerajaan BN Kedah yang memerintah sebelum 2008 hingga menjadi liabiliti sehingga kini,” tegas Ustaz Ahmad kepada Harakah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 7 Februari lalu.

Ujar beliau, dakwaan tersebut mempunyai asas fakta dan keraguan munasabah dari sumber rasmi sebagaimana tindakan Pemuda PAS Kedah yang pernah membuat laporan sebahagian dari nilai tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Oleh itu katanya, menghampiri saingan Pilihan Raya Umum, rakyat berhak tahu penjelasannya sebagai satu asas penilaian terhadap ketelusan dan integriti pihak yang akan dipilih nanti.

Tetapi menurutnya, sikap bongkak Bashah menyebabkan beliau menyerang membuta tuli hingga fakta laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakannya turut ‘diseleweng’ apabila mendakwa kerugian pelaburan di Papua New Guinea sebanyak RM130 juta sedangkan laporan sebenar ialah RM6.4 juta.

Bashah dalam reaksinya terhadap Bongkar 403J menuduh kumpulan itu telah membuat tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas serta propaganda PAS Kedah.


Saturday, February 2, 2013

Pemuda PAS Kedah gandakan kekuatan masuki PRU13



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JITRA: Sifat sabar itu dapat melahirkan kekuatan hingga 10 kali ganda atau seorang individu akan berupaya mengatasi 10 lawannya.

Dengan syarat ia beriman dan teguh bersatu di bawah pemimpin yang berpegang kepada sunnah Nabi SAW serta bersungguh-sungguh berjuang meninggikan agama Allah. Itulah janji Allah sebagaimana terpahat pada ayat 65 surah al-Anfal.

Atas keimanan dan amanah untuk melaksanakan seruan ayat tersebut, Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah mengadakan Himpunan Seribu Amal di Kem Paya Pahlawan, di sini pada 21 dan 22 Disember baru-baru ini.

Dengan harapan, melalui penganjurannya akan menyuntik kesatuan ahli pemuda untuk meningkatkan kekuatan amal menghadapi medan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan berlaku tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Amal Kedah, Ustaz Zelani Nik Chik berkata, melalui aktiviti yang diadakan diharap akan menambahkan kekuatan para pemuda serta mengembangkan kekuatan ke kawasan masing-masing.

Tegasnya, perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT memerlukan pengorbanan masa, tenaga hatta nyawa dan wajib diterjemahkan menerusi gerakerja dan amal.

Dalam menjalankan semua amanah itu nasihatnya, mestilah mengharapkan ganjaran di akhirat bukannya di dunia.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya dalam ucapan penutupnya memuji peranan digerakkan Jabatan Amal memainkan gerakerja kebajikan, khidmat bakti, perkhidmatan tenaga.

Malah katanya, anggota Jabatan Amal sanggup menerima arahan pada setiap masa, dengan niat penuh ketulusan hati iaitulah beramal kerana Allah.

Katanya, itulah rahsia mereka mampu bertahan selama ini dan diyakini untuk terus berada disaf hadapan dalam mendepani Umno yang ketika ini berusaha dengan pelbagai cara untuk mempertahankan kuasa.

Turut hadir menyuntik semangat peserta pada himpunan itu ialah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Pusat diketuai Pengarah, Johari Osman.


ARC kian berkembang di Kedah



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Golongan anak muda menzahirkan cara tersendiri dalam menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Antaranya menerusi penyertaan mereka sebagai anggota Alternative Riding Club (ARC).

Ternyata semarak konvoi bermotosikal melibatkan kira-kira 3,000 individu pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar awal bulan ini kekal membugar.

Maka Pemuda PAS berusaha meluaskan penyertaan golongan ini ke kawasan seluruh negeri Kedah menerusi pelancaran ARC peringkat kawasan.

Pelancaran kawasan pertama di Kedah melibatkan Kawasan Sungai Petani yang berjaya menarik lebih 80 penyertaan baru menjadikan keahlian kawasan itu meningkat kepada hampir 400 penunggang berdaftar pada majlis di Dewan MPSPK, Tikam Batu, di sini 20 Disember lalu.

Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi dalam ucapannya melahirkan harapan agar sambutan itu dipanjangkan sebagai semangat anak muda untuk menawan Putrajaya.

Ujarnya, kemampuan PAS menghimpun dan mendisiplinkan penunggang motosikal dari kalangan anak muda perlu terus menjadi ikon yang disegani.

Pelancaran yang diadakan bersama dengan Majlis Makan Malam Kelab Motosikal Kedah itu telah disempurnakan Adun Kupang, Johari Abdullah mewakili Exco Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib. Hadir sama Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh.


Lembu feedlot BN diseret ke SPRM



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah terus menyeret Umno-BN ke penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila membuat aduan berhubung penyelewengan semasa pemerintahan Kerajaan BN Kedah dahulu.

Terbaru, kesangsian terhadap Projek Feedlot di Paya Mat Insun, Pendang oleh Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB), sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah dilaporkan.

Menurut fakta sebagaimana diadukan, projek di bawah KAIMB itu melibatkan peruntukan RM 3.3 juta dengan infrastruktur projek dibina oleh Bina Ekoculture Sdn Bhd.

Bagaimanapun, projek itu tidak diusahakan KAIMB sebaliknya disewakan kepada pihak lain dengan bayaran RM 5,000 sebulan atau RM 60,000 setahun;

Ini bermakna KAIMB seolah-olah memberi pinjaman kepada syarikat berkenaan di mana memerlukan masa selama 58 tahun untuk memperolehi semula modal tersebut.

Lebih aneh, segala aktiviti syarikat tersebut tidak diketahui menerusi rekod rasmi dan kini tidak lagi beroperasi selain gagal menjelaskan bayaran sewa RM 5,000 sebulan

Kerajaan Negeri Kedah yang mahu mengambil semula semula infrastruktur Projek Feedlot itu tidak dapat berbuat demikian kerana mendapati tanah tersebut milik persendirian di mana sebenarnya tiada wujud sebarang perjanjian dibuat antara KAIMB dengan tuan tanah tempat projek dijalankan.

“Maka kami menggesa pihak SPRM membuka siasat atas pengaduan ini. Berdasarkan keterangan dinyatakan, bahawa kami mendakwa wujudnya salah urus dalam pentadbiran berkenaan hingga berlaku pengaliran dan penggunaan wang tanpa pulangan jelas dan kesangsian berat terhadap pelaksanaan serta status projek tersebut.

“Adalah perkara ini telah menyimpang dari integriti di mana berunsur pecah amanah dan penyelewengan melibatkan sebuah syarikat milik kerajaan yang mempunyai tanggung jawab terhadap kepentingan rakyat,” demikian tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.