Sunday, March 3, 2013




Ulama Teraju Kebangkitan
Segi Tiga Emas titik kebangkitan Islam di Asia Tenggara


Oleh IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

Pengaruh ulama turath terhadap perjuangan rakyat dan perkembangan Islam di rantau ini jelas turut tercatat dalam susur galur sejarah Islam yang panjang. Biarpun di era ini majoriti mereka setia menjadi peneraju utama di pondok-pondok pengajian, namun roh perjuangan mereka melata dalam sosio kehidupan umat Islam. Mereka tetap menjadi cetusan dan sandaran dalam menyemarakkan penerimaan terhadap Islam di dalam institusi masyarakat dan negara.


Perkara itu dapat dibuktikan dengan perkembangan pesat pusat pengajian dan kecenderungan geopolitik massa kepada aliran Islam. Secara khusus dapat dilihat di Selatan Thailand meliputi Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala, manakala Negeri Perlis dan Kedah serta Kelantan dan Terengganu masing-masing di Utara dan Timur Semenanjung Malaysia. Inilah Segi Tiga Emas Islam yang bakal menjadi titik peluasan kekuatan Islam di rantau ini. Menerusi wadah tertentu, para ulama tersebut menyusun persiapan dan strategi seiring putaran kebangkitan Islam sedunia khususnya dalam menyuntik roh Islam.

Antara siri-siri pertemuan mereka adalah sebagaimana Ijtimak Ulama Turath Malaysia – Thailand yang diadakan di Pondok Tok Guru Yahya, Bukit Pinang, Pokok Sena pada 7 hingga 9 Februari lalu.

Sebaliknya pula di pihak yang mahu menyekat kebangkitan ini, pelbagai tindakan jahat dan hamburan madiyyah digandakan. Bahkan, sanggup menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja dan melacur moral diri serta kepentingan negara demi mengukuhkan kedudukan. Gerakan halus ini memeras kekayaan sumber dan tenaga rakyat, manakala secara khusus Selatan Tanahair dijadikan ‘benteng pertahanan’ mereka dan negara jiran berhampiran sebagai rakan strategik. Mereka menaiktaraf segala kelengkapan dan menguasai kemodenan semasa dalam menampung keperluan terhadap cita-cita itu. Kerana itulah zon pembangunan negara ini rancak bertumpu ke Selatan dalam dekad ini berbanding Utara dan Timur.

Banyak perkara melibatkan keselamatan negara dilihat lompang hingga menimbulkan keraguan banyak pihak. Kedudukan Singapura bukan sahaja dianggap strategik, lebih merisaukan ura-ura wujud ‘kawalan jauh’ penguasaan kepentingan di situ dari Zionis Israel. Apatah lagi Malaysia kian mesra menjalin hubungan dagang dengan negara penjenayah itu. Ahli hikmah Islam di negara ini tanpa menguar-uarkan kebimbangan mereka yakin bahawa perkembangan itu didorong untuk menyaingi seterusnya menafikan kebangkitan Islam di rantau ini.

Lebih perlu ditakuti adalah sikap ahli politik pemerintah dalam negara yang sedia ‘menjual’ kedaulatan demi untuk terus berkuasa dengan menyerahkan hak kerakyatan secara pasar borong kepada para migrasi. Kemasukan sama ada secara sah atau pencerobohan oleh warga asing menimbulkan tanda tanya berikutan prosedur untuk menjejakkan kaki ke tanah Melayu ini dikawal oleh banyak agensi.

Kelicikan mereka yang semakin menimbulkan prasangka di hati rakyat perlu diubah kepada kecenderungan mendampingi ulama sebagai benteng utuh Islam di sepanjang zaman. Rakyat perlu yakin bahawa kelompok terbesar ulama di rantau ini prihatin dan telahpun mengizzahkan kesanggupan mereka dalam menerajui umat. Dokongan bersama itu penting agar umat ini tidak dikembalikan kepada perhambaan mereka yang cuba menggerakkan agenda Dajal di akhir zaman ini. Ayuh selamatkan negara kita dan bersama dengan kebangkitan Islam!