Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: PAS terpaksa
menggunakan pentas ceramah sebagai medium penerangan berikutan media arus
perdana dimonopoli secara khusus hanya untuk kepentingan pemerintahan BN, tegas
Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.
Malah katanya, Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS sejak empat tahun
lalu tidak pernah sekali pun diberi ruang untuk bersiaran atau ke udara di
corong Radio Kedah FM.
Sebaliknya ujar beliau, Umno-BN merakusi media perdana semahunya termasuk
menyebarkan fitnah dan laporan tidak benar terhadap Pakatan Rakyat.
Ustaz Ahmad berkata demikian sebagai menjawab tempelakan Ketua Perhubungan
Umno Kedah, Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyatakan bahawa PAS
hanya tahu berceramah berbanding mentadbir kerajaan negeri.
“Demokrasi berat sebelah yang diamalkan ini menyebabkan PAS tiada pilihan
lebih popular melainkan pentas ceramah.
“Pun demikian, pelaksanaan ceramah oleh PAS tidak pernah mengganggu
perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di mana telah terbukti sepanjang
empat tahun pentadbiran ini telah menjangkau pelbagai pencapaian.
Bahkan jelasnya, pentas ceramah turut menjadi medium penerangan berkesan
terhadap pencapaian Kerajaan Negeri hingga Umno-BN Kedah terpaksa mengambil
langkah sama turut serta mengadakan ceramah memburukkan Kerajaan Negeri Kedah
walaupun mereka mempunyai akses luas kepada media massa.
Dewan Pemuda PAS Kedah juga katanya, melahirkan rasa berbangga mengadakan
ceramah kerana ia termasuk kerja-kerja yang banyak dibuat para Nabi disamping
menulis dan mentadbir.
Ini ujar beliau, sebagaimana ayat 5 surah Nuh yang bermaksud: “(Nabi Nuh
berkata) “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam”.”
Terang Ahmad, hakikatnya Umno-BN berasa bimbang terhadap kesungguhan PAS
dan Pakatan Rakyat meneruskan jelajah ceramahnya.
“Jika Umno-BN mahu penerangan menerusi pentas ceramah ini dihentikan, Dewan
Pemuda PAS Kedah mencabar BN yang menerajui pemerintahan negara memberi ruang
seluas-luasnya kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk akses media massa dan
elektronik secara adil sebagaimana digunakan Umno-BN,” ujarnya mengakhiri
kenyataan.