| |||
Thursday, August 4, 2011
Bekas Kerani ATM Mengaku Diarah Pangkah 500 Undi Pos
Pemuda Baling tekad pertahan kemenangan
SUNGAI PETANI: Tekad menjalankan tugas parti sebagai amanah perjuangan dalam meninggikan Islam, Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling telah mengadakan Konvensyen Pemuda PAS Baling di Hotel Amanpura, di sini 30 Julai lalu.
Seramai 114 peserta melibatkan Ketua dan Setiausaha Pemuda dari 54 Cawangan menyertai konvensyen sehari itu yang telah memdedahkan peserta mengenai peranan sebagai pimpinan Pemuda Cawangan. Turut dibentangkan mengenai gerakerja pilihan raya termasuk pendedahan mengenai teknik berkempen dan menjawab tohmahan musuh.
Menurut Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, program seumpama itu perlu diteruskan dalam usaha memantapkan pemuda.
Ujarnya, peranan Pemuda dalam pengurusan adalah untuk memperkemaskan organisasi dan menambah keahlian pemuda.
Selain itu, sebagai sayap penting parti, Pemuda juga perlu menunjukkan kesungguhan serta tanggung jawab kepada jamaah.
Beliau turut menyeru para pemuda bersikap mengambil berat arahan jamaah untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin selain memiliki tatacara pengurusan yang ‘smart’ agar berupaya menghadapi cabaran siasah dan dakwah masa kini.
Di akhir konvensyen tersebut, Khairul Faizi turut menyerahkan buku gerakerja kepada setiap cawangan bagi memantapkan lagi organisasi Pemuda Cawangan.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Wednesday, August 3, 2011
Imej bersih PAS tarik bukan Islam sertai DHPP
ALOR SETAR: Imej politik PAS yang bersih dari rasuah antara tarikan masyarakat bukan Islam menyokongnya, demikian akui Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) PAS Negeri Kedah, Tan Weng Fatt.
Menceritakan pengalaman peribadi, jelasnya beliau sebagai ahli perniagaan sememangnya tidak pandai berpolitik.
Dengan tertubuhnya DHPP ujarnya, usaha mendekati dan menghubungkan masyarakat bukan Islam dengan PAS telah diusahakan.
Maklumnya, pihak beliau pernah menganjurkan dialog dengan masyarakat Cina dalam menyuarakan sama pandangan dan kehendak peniaga untuk memajukan Bandaraya Alor Setar.
Begitu juga masalah penduduk bukan Islam di Pulau Langkawi, DHPP katanya telah memanjangkan banyak perkara berkaitan kepada wakil kerajaan negeri.
Antara perkara itu termasuklah berkaitan pembinaan Wat Siam dan kawasan perkuburan Hindu hingga akhirnya geran berkaitan diperolehi dari Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.
Antara kenangan manis kepada Tan adalah dalam menghubungkan masyarakat Siam di Naka, Padang Terap dengan PAS.
“Ketika kami mula-mula pergi sana hanya ada dua orang sudi datang jumpa. Mereka tidak mahu pada PAS, mereka percaya kepada orang Melayu,” terangnya.
Ditanya sebab masyarakat Siam tidak percaya kepada orang Melayu, ujarnya adalah kerana masyarakat Siam sering diberi janji oleh orang Melayu Umno di sana tetapi tidak ditunaikan sehingga difikiran mereka begitu kuat menolak orang Melayu.
Maka, DHPP berusaha meyakinkan masyarakat Siam di sana bahawa PAS tidak seperti yang mereka sangkakan.
“Jadi kami buat program di sana. Jam 6 petang hanya beberapa orang hadir. Pukul 8 malam pun hanya ada 200 hingga 300 orang sahaja. Saya sangat susah hati kerana Menteri Besar akan sampai,” ceritanya mengimbau detik itu.
Tetapi apabila MB tiba sekitar jam 9 malam di situ ujarnya, ribuan orang Siam juga hadir sehingga MB kagum.
Pun begitu akuinya, dalam menjalankan gerakerja dan membentuk pasukan yang kuat, DHPP masih memerlukan masa dan sokongan. Beliau berharap agar PAS Kedah dapat mewujudkan dana khas untuk tujuan itu.
Selain itu cabaran lain ujar Tan, adalah persepsi ramai bahawa DHPP tidak berperanan kerana tidak dijemput dan dialukan sama dalam program-program kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu masih perlu difahamkan kepada semua pihak bahawa DHPP adalah entiti parti dan sememangnya wajar ia tidak menerima jemputan rasmi.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Tuesday, August 2, 2011
Dari mulut buaya, masuk mulut singa
SUNGAI LALANG: Hidup semasa pemerintahan penjajah seperti berada di dalam mulut buaya, tetapi berada di bawah pemerintahan BN seumpama masuk ke dalam mulut singa, demikian bidalan dibuat Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Rakyat baik parti kanan mahupun kiri ujar beliau, telah sama-sama bangkit berjuang untuk kemerdekaan.
“Kita berharap lepas merdeka, kita terlepas dari mulut buaya kita jadi bebas, kita berpemerintahan sendiri. Kita telah bentuk satu perlembagaan tahun 1957, setuju negara demokrasi berparlimen dan setuju raja berpelembagaan. Tetapi selepas 50 tahun kita masih seperti dijajah. Ada demokrasi tetapi berat sebelah.
“Awal pemerintahan Perikatan nampak kebebasan, tetapi lama kelamaan di bawah BN telah menjadikan negeri ini seperti haknya. Buat satu sistem hingga pihak lain tidak boleh menang dalam pilihan raya. Jika menang sekadar sikit-sikit,” terangnya.
Jelas Phahrolrazi, Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bebas, wujud kongkongan media dan berlakunya ketaatan paksa kakitangan awam kepada parti politik.
Katanya, BN telah menganggap harta negara sebagai hak mereka antaranya sepertimana perjanjian Lebuh Raya Utara Selatan dan air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
“Sangat rahsia hingga rakyat tidak boleh tahu. Ini perjanjian kerajaan, kenapa tidak boleh didedahkan kepada rakyat? Perjanjian klasifikasikan sebagai rahsia. Kenapa rahsia, kenapa tidak boleh didedahkan kepada umum. Kenapa tidak transparen? Kenapa semua perkara mesti disembunyikan?” ujarnya melontarkan persoalan bertalu-talu.
Beliau turut menyentuh perjanjian Petronas di mana semua itu telah dijadikan milik individu dan parti politik.
Tambahnya lagi, segala perjanjian projek mega yang lain juga rahsia tetapi rakyat menanggung semuanya itu, sedang ia terus dimiliki dan dikuasai parti politik.
“Segala beban dihadapi rakyat. Ini sebenarnya yang kita katakan, masa di zaman penjajah duduk dalam mulut buaya, lepas merdeka ingat bebas, tetapi rupanya masuk mulut singa pula,” sindir beliau
Tegas Phahrolrazi, Pakatan Rakyat memberi komitmen melaksanakan perubahan apabila diberi mandat memerintah kelak di mana kerajaan akan menjadi pengurus hak rakyat.
“Apabila dilaksanakan kemudahan atau projek untuk rakyat, itu semua adalah hak rakyat. Itu semua hak rakyat, kerajaan hanya urus dengan baik dan telus,” terangnya.
Di bawah BN juga katanya, wujud pilih kasih di mana pemberian hak rakyat ditentukan berdasarkan sokongan politik selain banyak urusan memerlukan sokongan dari jawatan politik kepartian.
Sedang di bawah Pakatan Rakyat, segala pemberian adalah berdasarkan kelayakan dan langsung tidak melihat kepada latar belakang kaum, agama mahupun parti politik.
Perkara itu jelasnya, kerana Pakatan Rakyat memegang kepada konsep keadilan. Maka rakyat dan pegawai perkhidmatan awam tegasnya, tidak perlu takut dan tunduk kepada jawatan politik.
Pun begitu ujar beliau, segala amalan tersebut di dalam pentadbiran mengambil masa untuk diperbetulkan.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Malaysia mampu jadi negara kuat dan hebat - Presiden PAS
SUNGAI LALANG: Malaysia mampu menjadi negara yang hebat dan kuat sekiranya kepelbagaian dari semua kaum dapat disatukan, demikian keyakinan dilontarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Perkara itu ujarnya, kerana setiap kaum di negara ini mempunyai keistimewaan masing-masing.
Tegas beliau, penjajahlah sebenarnya yang telah memisahkan antara kaum dan memperhambakan kaum-kaum yang ada di negara ini.
Terang Ustaz Abdul Hadi, peperangan berlaku kerana adanya pihak yang melampau dan zalim.
Maka apabila tidak ada yang melampau dan zalim ujarnya, secara tabienya manusia akan tolong menolong antara satu sama lain.
Untuk itu serunya, semua kaum di negara ini perlu menerima hakikat bahawa mereka telah berada di dalam sebuah negara dan disatukan dengan keadilan.
“Dasar adil adalah untuk semua bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk bukan Islam. Bila PAS buat kerjasama dengan KeADILan yang di dalamnya juga ada bukan Islam; Cina dan India, bila PAS mengadakan persefahaman dengan DAP, maka media-media Umno; Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, TV3 dan lain-lain membuat dakyah mengatakan PAS sudah meleweng daripada Islam.
“Mereka mengatakan PAS diperkudakan DAP, DAP perkudakan PAS. Maknanya mereka akui PAS adalah parti Islam. Umno tak mengapa kerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan, dengan PPP, (tetapi) PAS tidak boleh kerana PAS ini parti Islam. Alhamdulillah.
“Bila sebut parti Islam bukan bermakna tidak boleh kerjasama dengan bukan Islam. Al-Quran ajar manusia dijadikan pelbagai bangsa dan berpuak-puak. Manusia kena berhubungan bukan sahaja dalam sekampung, dalam negara, tetapi juga dunia. Ini tabie alam yang ditetapkan Allah,” terang Tuan Guru.
Untuk itu, beliau menyeru semua kaum bersatu agar negara ini mampu menjadi kuat dan hebat.
“Jangan kita bina negara dengan duit, dengan kebendaan. Berlumba-lumba untuk kepentingan masing-masing, jangan. Dengan semangat kebangsaan masing-masing, ini tidak boleh. Sayang kepada bangsa tidak menjadi salah. Yang menjadi salah ialah assabiyah di mana kamu menolong bangsamu berlaku zalim kepada kaum lain. Ini makna assabiyah. Ini diharam, dilarang oleh Islam,” jelas beliau.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Monday, August 1, 2011
Mengisi makna ibadah Ramadhan
Oleh itu tegasnya, dalam menjalani ibadah puasa, kita disarankan makan tidak terlalu kenyang kerana bahagian tidak kenyang itu menjadi bahagian atau makanan untuk roh selain memberi keadilan dan tidak menzalimi unsur roh.
Malah, makan terlalu kenyang juga bermakna menuruti hawa nafsu yang menyanggahi hikmah disyariatkan berpuasa Ramadan sekaligus melemahkan roh.
Jelas beliau, roh yang lemah akan menyebabkan rasa sukar untuk melaksanakan ibadah-ibadah sepanjang Ramadhan.
Sedangkan katanya, ibadah Ramadhan yang dilakukan dengan penuh mengharap keampunan Allah, Dia telah menjanjikan keampunan untuk dosa terdahulu dan akan datang.
Maka ujar beliau, rugilah sekiranya roh tidak mampu melaksanakan ibadah tersebut kerana roh adalah seumpama enjin yang memberi kekuatan untuk menggerakkan ibadah.
Terangnya lagi, lawan kepada roh adalah nafsu dan nafsu boleh dilemahkan dengan mengurangkan makan.
Tetapi katanya, sering berlaku perbelanjaan melebihi kebiasaan untuk makanan walaupun sepatutnya di bulan puasa manusia kurang makan.
“Ini kerana mereka buat jamak takhir. Himpun sarapan pagi, himpun makan tengahari dan petang. Bila hendak makan tak habis, kemudian buang, membazir,” sindirnya.
Ustaz Zainal turut menegaskan bahawa puasa sepenarnya akan menjadikan manusia lebih kuat dan menolak tanggapan bahawa puasa itu melemahkan.
Bahkan menurutnya, kekuatan puasa juga terletak pada niat di mana ia meneutralkan peranan hempedu yang menyebabkan asid di dalam perut hingga menimbulkan gejala penyakit seperti gastrik dan seumpamanya.
Demikian itu, puasa yang sebenar-benarnya yakni puasa seluruh anggota akan melahirkan perasaan takwa pada diri manusia.
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Abd Ghani Ahmad pula berkata, kehadiran Ramadhan yang disambut dengan gembira dan tawaduk untuk melaksanakan perintah Allah akan menghilangkan perasaan ghaflah atau ragu.
Sedangkan perasaan sedemikianlah membawa manusia kepada perbuatan yang akan merosakkan puasa seperti mengunjungi premis menjual makanan di siang hari dan pusat-pusat hiburan.
Demikian itu katanya, iman di dalam diri akan memberi jawapan terhadap kesediaan dan penantian diri untuk berada di dalam bulan Ramadan.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Konsep Negara Berkebajikan
SUNGAI LALANG: Negara Berkebajikan yang menjadi sasaran manipulasi dan polemik oleh lawan politik PAS dan media perdana bukanlah negara kebajikan sebagaimana diamalkan di Barat, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Malah, tegas beliau, bukan juga negara kebajikan untuk membela keadilan sosial sepertimana yang diamalkan di negara-negara blok komunis dan sosialis.
PAS katanya, telah pun memperkenalkan manifesto bertemakan “Menuju Ke Arah Negara Berkebajikan” pada Pilihan Raya Umum 2008.
Jelasnya, amalan berkebajikan ini sebahagian daripadanya telah diperkenalkan dalam Buku Jingga yang dikemukakan Pakatan Rakyat.
“Sebenarnya, di antara kebajikan ini kita telah amalkan di Kedah, di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan pernah diamalkan di Terengganu dan Perak semasa pemerintahan kita. Walaupun tempoh pemerintahan kita masih terlalu awal, kita telah tunaikan sebahagiannya.
“Walaupun ada diantara kebajikan itu termasuk di dalamnya menolong orang miskin, orang susah, membantu rakyat, memberi rawatan percuma, pelajaran percuma dan berbagai percuma. Semua perkara kebajikan yang difahami pengamal-pengamal itu politik hanya menumpu kepada bidang ekonomi,” bidasnya.
Katanya, al-Quran telah menjelaskan maksudkan berkebajikan menurut ajaran Islam di mana ia bukan sahaja kerja-kerja amal dan kebajikan yang berkait dengan masyarakat seperti menolong dan membantu golongan memerlukan.
Termasuk kebajikan itu ialah pemimpin pemerintah, orang yang mendirikan sembahyang, tidak mengerjakan maksiat, tidak melakukan rasuah serta ikhlas kerana Allah dan segala hubungan dengan Allah.
“Termasuk dalam kebajikan itu matlamatnya bukan sekadar dunia, tetapi juga untuk mendapatkan keredaan Allah SWT di hari akhirat. Inilah kebajikan yang luas dimaksudkan oleh PAS.
“Apa yang kita ucapkan dalam janji, bukan janji kosong, bukan hanya janji kepada rakyat. Ini termasuk janji kita dengan Allah SWT. Alhamdulillah, kita telah membuktikan kesetiaan kita kepada rakyat,” kata Tuan Guru dalam ceramahnya di Taman Bandar Baru, di sini 29 Julai lalu.
Menjelaskan lanjut, Ustaz Abdul Hadi berkata, tidak semua perkara diberikan percuma tetapi konsep Negera Berkebajikan itu secara konsepnya menekankan untuk harta negara ditunaikan dengan amanah dan wujudnya tolong menolong antara satu sama lain.
Beliau memberikan contoh aplikasi zakat dalam mengenakan cukai di mana ia dikenakan mengikut kadar pengeluaran atau kemajuan, sekaligus tidak membebankan.
Dalam masa sama tegasnya, Negara Berkebajikan mengharamkan rasuah di mana ia dapat merangsang korporat membantu masyarakat melalui keuntungan mereka hasil projek diberikan kerajaan.
Hasil negeri yang banyak pula terang Tuan Guru, dijadikan keutamaan untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin.
Malangnya di negara ini ujar beliau, berlaku pembahagian kekayaan yang tidak betul di mana hasil negara berlegar di kalangan orang tertentu sahaja selain berleluasanya rasuah.
Dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ Peringkat Parlimen Merbok itu, beliau turut melontarkan keyakinan terhadap kekuatan gabungan di dalam Pakatan Rakyat.
“Alhamdulillah, diperingkat ini tidak ada wakil-wakil rakyat PAS yang melompat, keluar parti. Rakan-rakan DAP dan PKR, mereka membersihkan diri mereka. Mana-mana yang tidak bersih, yang rasuah, mereka keluar dari rakan-rakan kita, mereka masuk BN atau bersama BN.
“Sebab itulah perkataan bersih, perkataan yang sangat ditakuti BN. Mereka mengharamkan perkataan bersih kerana mereka gerun mendengar perkataan bersih.
"Macam orang sakit kurap, bila sebut sahaja kurap rasa gatal. Walaupun orang tak sedar dia sakit kurap, kurap dalam baju, sebut sahaja kurap rasa gatal. Inilah perasaan yang dihadapi BN hari ini,” sindir Ustaz Abdul Hadi.
"Macam orang sakit kurap, bila sebut sahaja kurap rasa gatal. Walaupun orang tak sedar dia sakit kurap, kurap dalam baju, sebut sahaja kurap rasa gatal. Inilah perasaan yang dihadapi BN hari ini,” sindir Ustaz Abdul Hadi.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Subscribe to:
Posts (Atom)

