Tuesday, July 26, 2011

Mengejar kejayaan dunia dan akhirat


Bagaimana perbincangan kumpulan usrah seperti ini dalam hadirnya mereka dengan berkain pelikat, bersila di lantai, tetapi mampu melahirkan insan yang mentauhidkan Allah SWT? Beramal dan bergerakerja atas nama dakwah untuk mengenalkan Islam kepada manusia. Sanggup pula berkorban dan bermujahadah. Kasih dan tidak kekok bersama golongan marhaen. Juga mampu mengembleng ketaatan ramai. Lebih dari itu, mampu juga mengurus tadbir pemerintahan negeri.

Kenapa tidak pencapaian itu (mendaulatkan Islam) oleh mereka yang selesa dan mewah dibangunan-bangunan besar disamping menikmati pelbagai habuan?

Dari masa ke masa, kumpulan seperti inilah melahirkan generasi terbaik untuk memenangkan Islam di atas muka bumi. Allahuakbar!!! 

Monday, July 25, 2011

Pidato HESA asah bakat pendakwah muda


POKOK SENA: Komunikasi berkesan adalah antara kemahiran yang sangat penting dalam berdakwah agar mad’u dapat memahami risalah Islam disampaikan.

Pidato termasuk salah satu seni komunikasi tersebut yang mampu membina tarikan masyarakat ke arah Islam.

Demikian itu, mengasah bakat di kalangan bakal pendakwah muda, Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) telah menganjurkan Pertandingan Pidato Piala HESA sejak awal bulan ini melibatkan 36 sekolah agama yang bernaung di bawah Hesa.

Pertandingan peringkat akhir melibatkan 24 peserta kategori rendah dan menengah telah diadakan Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang di sini 16 Julai lalu.

Sekolah Integrasi Faizin, Guar Chempedak menggungguli edisi sulung pertandingan ini apabila ketiga-tiga pemidatonya untuk Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris muncul Johan bagi kategori rendah.

Menarik juga apabila pemidato dari Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Alor Setar; Sekolah Rendah Agama Al-Islah, Sungai Petani dan Sekolah Nurul Hidayah Penghulu Elang, Kulim antara yang mendominasi kedudukan Naib Johan hingga Tempat Keempat bagi ketiga-tiga bahasa.

Manakala bagi kategori menengah menyaksikan kemenangan seimbang antara pemidato lelaki dan perempuan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Dzil Afnan dan hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi HESA, Ustaz Ahmad Yahaya.



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Mengembalikan kegemilangan legasi Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
 
Menginjak kaki ke lapangan Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena menghadirkan rasa tenang yang mendamaikan walaupun di balik kedengaran suara-suara garau lantunan isu kitab turath. Dalam asyik bola mata melihat sergaman indah perkampungan ilmu tersebut, tidak lupa di sana juga hening pusara yang bersemadi jasad insan kesayangan ramai; Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor. Segera gambaran lalu melintas di tabir ingatan mata dan tanpa semena-mena tangisan mula mengesak, terasa seperti adanya kehilangan besar dijiwa.

Tentunya perasaan itu jauh lebih membungkam di hati mereka yang pernah bersama Almarhum dalam perjuangan ini. Setidak-tidaknya mengimbau kebangkitan untuk mempertahankan tanah Muassasah dari dirampas pemerintah zalim ketika itu. Ada yang diseret kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sebahagian dari mereka telah pun pergi bersama beliau. Atau mengingati izzahnya himpunan puluhan ribu hadirin ketika kompleks ini dirasmikan 17 tahun yang lalu. Kebanggaan yang jangan dibiarkan luput tenggelam dek berlalunya masa dan nikmat kemenangan hari ini









Namun yang lebih besar dari semua itu adalah cita-cita disematkan Almarhum kepada tujuan penubuhan Muassasah Darul Ulum iaitu untuk melahirkan ulama amilin serta menjadikannya ‘Al-Azhar Asia Tenggara’.

“Adalah menjadi harapan saya agar Muassasah Darul Ulum (MDU) yang sama-sama kita asaskan ini akan dapat melahirkan ulama yang mampu mendorong dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup, melahirkan intelektual Islam yang berkemampuan dalam berbagai bidang kehidupan dan mampu menangani pemasalahan ummah dan negara,” demikian wawasan yang pernah terbit dari ucapan Almarhum.

Malah, sekiranya disemak lembaran sejarah institusi-institusi pendidikan di dalam PAS yang bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), di sana terdapat sama kesungguhan Almarhum dalam menjayakannya. Semuanya itu menjadi legasi Almarhum yang telah diwasiatkan dari ungkapannya “...yang sama-sama kita asaskan ini...” dalam ucapan tersebut.

           Almarhum adalah tokoh yang paling bersungguh-sungguh menyemarakkan budaya ilmu di situ

Maka atas nama melangsungkan perjuangan Islam, amanah tersebut perlu terus didokong seluruh ahli PAS. Tidak lain adalah dengan kita turut serta meneladani kesungguhan Almarhum; membawa MDU ke lapangan masyarakat dan menyuntik perhatian masyarakat kepadanya. Seterusnya bersama menyegarkan kembali pembudayaan ilmu di situ dan menyemarakkan kemampuan melalui sumbangan dan wakaf kepada segala usaha yang sedang dikembangkan. Sehingga penerusan itu akan turut menjadi legasi jariah kita dalam menjayakan gagasan dicetuskan Almarhum, sedang kita pula menikmati barakahnya di akhirat kelak.


Meriahkan Pesta Konvokesyen KIDU sempena Majlis Konvokesyen Ke-10 pada 28 - 30 Julai ini. Layari:

Sunday, July 24, 2011

Kaedah Biometrik Terdedah Manipulasi--Dakwat Kekal Negeri Termaju Pun Guna

Bukan sistem biometrik tetapi dakwat kekal.

Itulah reaksi dua pemimpin kanan pembangkang susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan sudah menyediakan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan sistem itu yang dijangka bermula pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak yakin terhadap sistem biometrik kerana tidak ada jaminan pengundi akan mengundi sekali sahaja.

“Sistem ini setakat mengesahkan maklumat warganegara tetapi kemungkinan pengundian dua kali tetap berlaku. Selain itu, adakah mereka (SPR) mampu meletakkan sistem itu di setiap pusat pengundian?” katanya.

Bagi pastikan pelaksanaan pilihan raya yang telus dan adil, kata Salahuddin, SPR perlu penuhi tuntutan Bersih 2.0) terutama dalam penggunaan dakwat kekal.

“SPR jangan berdolak-dalih kerana dakwat kekal terbukti efektif yang digunakan sebahagian negara Komanwel. Itu lebih terjamin,” katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, sistem biometrik yang akan dilaksanakan SPR tidak dilakukan secara menyeluruh terhadap daftar pemilih sedia ada. -SH


Sistem biometrik tidak selamat
Huzir Sulaiman   
Tidak dinafikan penggunaan teknologi maklumat dalam banyak aspek pentadbiran negara, malah pengurusan syarikat telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, produktiviti, keselamatan, kesihatan dan banyak lagi khususnya kepada kepentingan pihak awam. Tidak ketinggalan peranan utamanya untuk memastikan tahap ‘competitive’ atau daya saing negara terus kekal dan berdaya maju berbanding negara-negara lain.

Satu keperluan ‘survival’ rakyat Malaysia untuk menggunakan teknologi maklumat sebagai alat untuk memacu negara di dalam proses penjanaan pendapatan dan seterusnya mempertingkatkan pendapatan per-kapita agar rakyat tidak terus menerus lemas di bawah tekanan ekonomi khususnya dari negara luar yang juga menggunakan kaedah yang sama untuk tujuan ‘survival’ mereka.
Tidak terlalu 'extreme' atau berat kalau saya katakan, kita amat memerlukan teknologi maklumat untuk mempertahankan kedaulatan negara khususnya daripada penjajahan ekonomi.

Saya pasti ramai yang akan bersetuju impak positif teknologi maklumat kepada kehidupan sosio-budaya serta pengaruhnya kepada aturan perjalanan kehidupan harian kita, walaubagaimanapun keputusan SPR dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan Sistem Biometrik di atas justifikasi ketelusan ketika pilihanraya khususnya di dalam mengekang pengundi hantu sebenarnya merupakan satu tindakan buat masa ini, dengan tahap integriti yang meragukan daripada sebuah kerajaan yang  dilihat kini tidak adil, korup dan zalim dilihat sebagai satu tindakan atau keputusan yang TIDAK SELAMAT.

Rakyat ragu-ragu dengan KETELUSAN yang diucapkan. Rakyat juga ragu-ragu dengan SPR yang dilihat tidak telus, tidak bebas dan kepartian. Malah rakyat juga melihat kawalan politik kepada agensi-agensi yang tertentu yang dilihat terpaksa menyokong dasar parti yang memerintah walaupun bercanggah dengan kepentingan rakyat khususnya dari aspek Hak Asasi termasuk hak-hak yang jelas termaktub di bawah perlembagaan. Malah, Rakyat rata-rata khuatir dengan tindakan pemerintah yang mirip kepada pemerintahan kuku besi seperti yang berlaku di Tunisia.

Kerajaan yang memerintah perlu memulihkan persepsi negatif ini dulu sebelum menimbang untuk menjuarai ‘ketelusan’ melalui cadangan sistem Biometrik itu yang dilihat rakyat satu lagi alat manipulasi keadilan yang akan mencacatkan lagi persepsi rakyat kepada proses pilihanraya yang adil dan bersih.

Bagaimana Sistem Biometrik boleh dimanipulasi?

Setiap sistem teknologi maklumat yang memerlukan pengesahan aplikasi sistem akan merujuk kepada pengkalan data. SPR diketahui umum telah lama menggunakan aplikasi teknologi maklumat untuk menyimpan maklumat pengundi di dalam pengkalan data. Malah maklumat daftar pengundi boleh dicapai oleh setiap pengundi secara ‘online’ dengan menggunakan kekunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk aplikasi sistem SPR itu mengarahkan capaian maklumat pengundi daripada pengkalan data SPR.

Rakyat tahu masalah utama aplikasi sistem Teknologi Maklumat SPR bukanlah pada aplikasi itu tetapi DATA atau MAKLUMAT yang berada di dalam pengkalan data SPR.

Capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data sebelum ini melalui aplikasi Teknologi Maklumat atau Sistem Pengurusan Maklumat jelas menunjukkan ada pengundi yang mempunyai 2 tempat malah beberapa tempat mengundi. Malah paparan berita yang dipetik dari Suara Keadilan semalam (24/7/11) mendakwa bahawa terdapat lebih 1600 pengundi yang berusia lebih 100 tahun di Perak di mana 1447 orang daripadanya berusia di antara 100 sehingga 109 tahun. Kita punyai warga emas seramai itu di Perak? Bagaimana pula di seluruh negara?

Jawapan yang mudah kepada masalah integriti data atau maklumat walaupun melalui aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat yang telah lama digunapakai SPR bukanlah kerana aplikasi  itu tetapi kerana data atau maklumat yang dimasukkan ke dalam pengkalan data.

Hanya SPR sahaja yang tahu siapa yang bertanggungjawab untuk memasukkan dan mengemaskinikan data atau maklumat tersebut di dalam pengkalan data. data atau maklumat di dalam pengkalan data tidak boleh berubah dengan sendirinya. Ia hanya boleh berubah dengan tindakan manusia yang menggunakannya. Siapa yang menggunakannya? Anda tahu Siapa?

Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti DATA atau MAKLUMAT bukanlah kerana aplikasi capaian Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat itu, kenapa SISTEM BIOMETRIK dicadangkan? SISTEM BIOMETRIK juga adalah sebuah aplikasi Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan ‘hardware’ atau perkakasan serta perisian dan bukan ‘software’ atau perisian semata-mata untuk capaian DATA atau MAKLUMAT pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini.

Sebagai Contoh : SISTEM BIOMETRIK yang menggunakan cap jari akan bertindak sebagai KUNCI UNIK seperti No.Kad Pengenalan untuk capaian DATA atau MAKLUMAT daripada PENGKALAN DATA. Setiap rakyat Malaysia mempunyai No.Kad Pengenalan Unik dan boleh dipadankan dengan Cap Jari yang  juga unik. Sepertimana maklumat No.Kad Pengenalan yang perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan maklumat pengundi dicapai (nama penuh, alamat, tempat mengundi dan sebagainya), Cap Jari juga perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan capaian itu dilakukan. Sepertimana didapati terdapat No.Kad Pengenalan yang sama tetapi mempunyai tempat mengundi yang berbeza (pelbagai lokasi), Cap Jari juga boleh dipadankan dengan tempat mengundi yang berbeza selagimana No.Kad Pengenalan dan Cap Jari yang sama diMASUKKAN oleh SPR ke dalam beberapa rekod (tempat mengundi dan alamat) yang BERBEZA, keputusan daripada SISTEM BIOMETRIK juga akan menghasilkan senarai pengundi yang boleh mengundi di beberapa lokasi mengundi.

Isu KETELUSAN dan PENGUNDI HANTU bukanlah kerana APLIKASI CAPAIAN (perkakasan atau/dan perisian).

Apa perlu ia ditukarkan jika prosesnya sama? Pertukaran lebih dilihat hanya dari aspek kosmetik luaran.

Jawapannya adalah tidak perlu. Siapakah lagi yang akan mendapat habuan dari kegawatan ini melalui cadangan SISTEM BIOMETRIK itu?. Saya biarkan Umno BN untuk merangka jawapan itu. Pasti ramai yang akan tersenyum. Rakyat lebih tahu.

Secanggih manapun aplikasi capaian Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat itu (perkakasan atau perisian, biometrik (cip/kad ID, suara, pengesahan ibu jari atau mata), jika DATA atau MAKLUMAT yang sedia ada di dalam PENGKALAN DATA tidak diBERSIHkan, tidak dikawal dan diurus selia secara bebas oleh badan yang bebas serta dipercayai Rakyat akan KETELUSAN mereka, saya tidak melihat sumbangan Sistem BIOMETRIK itu kepada ‘KETELUSAN’ itu khususnya penyelesaian kepada solusi isu pengundi hantu.

Manipulasi SISTEM BIOMETRIK boleh dilakukan kepada PENGKALAN DATA.

“Biometrics can prevent electoral fraud; Biometric can be used to fraud electoral as well.”

“Biometrik boleh mencegah penipuan pilihanraya, Biometrik juga boleh digunakan untuk menipu pilihanraya”.

Proses pengesahan melalui sistem itu adalah usaha sia-sia, membazir dan TIDAK SELAMAT pada pandangan peribadi saya kerana sebab-sebab di atas. SPR harus menimbang 8 cadangan Jawatankuasa BERSIH 2.0 untuk Pilihanraya yang ADIL dan BERSIH. Semoga imej dan integriti pemerintah dan SPR di mata dan hati rakyat Malaysia dapat dipulihkan dengan menerima semua cadangan itu.

Wallahua’lam.

**Penulis mempunyai pengalaman hampir 15 tahun di dalam Industri Teknologi Maklumat. Cadangan rujukan kepada pihak umum adalah di http://www.eff.org/wp/biometrics-whos-watching-you


 Dari Ulasan Penulis Mohd Sayuti Omar : MSO: Biometerik: Najib Menyuluh Apa Yang Sudah Terang
Beberapa minggu lalu timbalan perdana menteri, Udin anak Yassin mengumumkan kerajaan akan melakukan pemutihan terhadap Pendatang Tanpa Izin (Pati) di negara ini. Salah satu syarat yang perlu dilakukan ialah Pati dikenakan pemeriksaan biometerik atau dalam erti kata lain identiti mereka disimpan dalam data khas. Data itu juga menghuraikan akan status dan juga latar belakang mereka.

Bila mereka melalui sistem ini bermakna identiti mereka akan disimpan dalam data khas. Apa kena mengena sistem biometerik ini dengan pilihan raya? Bagaimana mereka akan digunakan untuk membantu UBN dalam pilihan raya? Sebelum mengundi - dan proses itu kini sedang berjalan mereka akan diberikan kad pengenalan sementara yang membolehkan mereka menjadi pengundi. Selepas mereka melalui sistem biometerik ini mereka akan didaftar sebagai pengundi secara automatik.

Proses ini sedang berlaku sekarang ini. Tanya kepada 300 agensi yang diberi tanggungjawab (berbayar) melakukan pemutihan ini, ada yang jujur menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Misalnya satu keluarga Pati dari Indonesia yang menjadi rakan kepada seorang rakan saya dengan bangga menceritakan yang beliau sudah mendapat kad pengenalan biru negara ini. Apakah erti semua ini.

Jadi apabila mereka diberikan kad pengenalan mereka akan mempunyai suara untuk mengundi. Bila sistem biometerik digunakan pada hari mengundi tidak memberi apa-apa masalah kepada mereka kerana data peribadi mereka sudah pun dimasukan dalam sistem bimeteri berkenaan. Sebaliknya apa yang akan menjadi masalah ialah kepada pengundi asal yang lahir dan membesar di negara ini yang beberapa kali pernah mengundi. Tidak mustahil apabila sistem biometerik digunakan nanti mereka tidak dapat mengundi kerana ditunjukkan oleh sistem itu sebagai tidak sah. Sistem tali hayat UBN ini boleh menggelapkan mana-mana pengundi yang dikenal sebagai pengundi tegar oposisi.

Penggunaan sistem biomterik ini adalah tektik dan strategi terbaru UBN untuk menang dan memastikan kuasanya yang sudah meniru itu kekal. Sebenarnya pengumuman Najib hari ini adalah tidak ubah seperti lagak orang yang senganja mendedahkan apa yang sudah berada dalam terang. Protes terhadap pendaftaran Pati ini sudah pun kecoh dan kecur sebelum ini. Beberapa pendedahan telah pun dibuat berhubung kerja jahat UBN ini. Tetapi ia dinafikan hidup-hidup oleh SPR dan juga UBN.

Saya rasa sekiranya SPR bersetuju dan akur dengan tawaran Najib itu ia akan mendatangkan bala besar kepada pembangkang. Usah bersih untuk mewujudkan pengundian bersih dan adil bukan saja tidak tercapai tetapi akan jadi lebih kotor dan hampak dari yang ada sekarang ini.

Nah, baik Bersih, parti-parti pembangkang perlu memastikan sistem biometerik - yang akan menjadi 'berukmeterik' ini tidak dilaksanakan. Kalau ia dilaksana saya bolehlah menganggap usaha itu sebagai rampasan kuasa oleh UBN ke atas negara ini melalui sistem atau tidakan haram yang dihalalkan. Biometeri adalah berukmeterik.

Saturday, July 23, 2011

ISU PANJANGKAN MASA SIDANG DUN-ADUN BN KEDAH PERLU DIBERI KURSUS

‘Sidang Dewan Sejam’ menjadi antara isu yang dimainkan pembangkang (BN) berhubung Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini. Mereka menjaja di luar Dewan kononnya kerajaan Negeri takut menghadapi pertanyaan pembangkang.

Hanya empat soalan sempat dijawab dalam Sidang Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas baru-baru ini. Kemudian Dewan pun ditangguhkan.

Isu sidang Dewan yang singkat bukan perkara baru. Ia dibangkitkan oleh pembangkang di zaman Almarhum Dato’ Fadzil Noor menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah. “Takkan nak bincang masalah negeri hanya peruntukkan masa sejam dua.” Ayat yang pernah digunakan PAS sewaktu jadi pembangkang itu, kini digunakan pula oleh mereka.

Menteri Besar memulang paku buah keras. “Dulu masa jadi pembangkang kita minta tambah masa, mereka tak bagi, sekarang mereka nak minta pula.” Beliau mencadangkan supaya pembangkang menggunakan peluang di Sidang Bajet bulan November nanti untuk ‘bercakap panjang’ kerana pada masa itu semua ADUN boleh berucap.

Bagi sesiapa yang mengikuti persidangan DUN Kedah, mereka dapat menyaksikan lemahnya pihak pembangkang memahami peraturan Dewan walaupun sudah lebih tiga tahun BN jadi pembangkang. Mereka mencelah dan berhujah sesuka hati sewaktu sesi soalan lisan, macam mesyuarat pakatan pinggan mangkuk dan khemah kenduri.

“Semua wakil rakyat sepatutnya memberi ruang kepada Ahli Exco menghabiskan jawapan bagi setiap soalan terlebih dahulu sebelum membuat soalan tambahan kerana jawapan yang diberikan adalah penting untuk rujukan,” katanya Speaker DUN Kedah Dato’ Dr. Abd Isa Ismail.

Tindakan beliau enggan memberi ruang kepada wakil rakyat pembangkang bertanyakan soalan tambahan disebabkan kebanyakan mereka bukan serius dalam mengemukakan soalan tambahan, di samping terlalu banyak soalan tambahan yang diminta. Mereka lebih terarah hendak memberi syarahan.

Mengikut peruntukan, mana-mana wakil rakyat yang tidak puas hati dengan penjelasan mana-mana Ahli Exco Kerajaan Negeri dan menganggap jawapan mengelirukan mereka boleh mengemukakan usul tergempar meminta Ahli Exco berkenaan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan.

Sekiranya usul itu disokong semua ahli dewan maka Jawatankuasa berkenaan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Exco berkenaan termasuk larangan masuk ke dalam dewan.

Dalam keadaan lemahnya pihak pembangkang memahami peraturan Sidang DUN, wajarkah masa soal jawab ditambah? Wajar, sebab ini mesyuarat untuk bincang masalah negeri tetapi dengan syarat pembangkang hendaklah diberi kursus memahami peraturan Dewan terlebih dahulu.


'Penyelewengan' peruntukan jalan

Antara perkara yang dipertikaikan pembangkang ialah jawapan berhubung soalan asal Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang ingin tahu ‘penyelewengan’ peruntukan jalanraya seperti yang didakwa oleh seorang menteri terhadap kerajaan negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi, Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa tiada penyelewengan yang berlaku. Kerajaan negeri menerima RM147,535,242.00 pada tahun lalu dan sebanyak RM54,355,763.00 dibelanjakan bagi tujuan penyelengaraan 168 batang jalan raya seluruh daerah dalam negeri Kedah. Bermakna ada lebihan kewangan.

Memang dalam mana-mana sistem kewangan perbelanjaan tidak boleh melebihi peruntukan tetapi haruslah dibelanjakan dalam lingkungan bajet.

“Perbelanjaan tidak sama dengan perolehan atau penerimaan kerana perbelanjaan adalah mengikut bajet yang diluluskan oleh Sidang Dewan,” jelas Menteri Besar.

Tambahnya lagi, kerajaan sekarang hanya meneruskan proses sebagaimana yang telah dilakukan oleh pentadbiran dahulu. Itu jawapan yang tepat terhadap soalan tambahan pembangkang, kemana lebihan wang tersebut dibelanjakan?Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, pernah mendedahkan kepada media antara 'penyelewengan' kerajaan negeri sekarang ialah guna duit tersebut untuk bina jalan kampung. Di zaman BN pun sama, tidak semua peruntukan pusat untuk jalan negeri digunakan untuk jalan negeri. Lebihannya mereka gunakan untuk pelbagai perbelanjaan mengurus negeri. Bezanya, apa yang dibuat oleh PR semuanya haram dan halal jika dibuat oleh BN.

Peruntukan penyelengaraan jalan oleh Kerajaan Pusat diberi kepada semua negeri termasuklah negeri Kedah adalah berdasarkan syarat-syarat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dahulu. Ia adalah geran wajib berdasarkan kepala atau jumlah kutipan cukai yang dikutip dari Kedah. Itu hak negeri bukan wang ehsan dari Pusat.

Dalam isu 'penyelewengan' peruntukan pusat, tamsilannya mudah saja: Kerajaan Pusat sendiri menetapkan bajet untuk penyelenggaraan jalan raya, tetapi mereka tidak berbelanja lebih dari bajet. Adakah penyelenggaraan jalan bersumberkan jumlah kutipan cukai jalan yang dikutip dari rakyat jelata semata-mata (sebab namanya pun ‘cukai jalan’)? Kalau duit cukai jalan hanya untuk penyelenggaraan jalan, mengapa kerajaan tak asingkan kutipan cukai jalan? Mengapa belanja mesti ikut bajet juga tanpa memperdulikan jumlah kutipan cukai jalan sama ada lebih atau kurang dari peruntukan bajet?

Kadang-kadang jawapan kena diberi dalam bentuk soalan. Supaya mereka tidak menuding jari terhadap perkara sama yang mereka sedang lakukan atau pernah lakukan.

Maka jawapan terhadap soalan tersebut adalah standard (walaupun tidak dinyatakan) iaitu: bagi BN apa yang dibuat oleh PR semuanya haram dan halal jika dibuat oleh mereka sendiri. http://kedahla.blogspot.com/2011/07/wajar-tambah-masa-sidang-dun-tapi.html

Friday, July 22, 2011

Kedah Tambah Dana Untuk Usahawan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah terus menyuntik galakan kepada usahawan di negeri ini yang gigih meneroka ke arah kejayaan lebih besar.

Untuk itu, pinjaman sebanyak RM565,000 telah disampaikan kepada 28 usahawan terpilih menerusi skim bantuan Dana Teroka Usahawan pada majlis penyerahan bantuan tersebut di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di sini pada 19 Julai baru-baru ini.

Menurut Exco Usahawan Kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Abd Ghani Ahmad, jumlah tersebut adalah daripada RM 3 juta yang disediakan PKNK bagi tahun ini.

Ujarnya, pada tahun lalu PKNK memperuntukkan sebanyak RM 2 juta, manakala RM 1.7 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu ujarnya menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan kejayaan usahawan sekaligus membantu merancakkan perkembangan ekonomi negeri.

Jelas Ustaz Abd Ghani, setiap usahawan menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 di mana ia hanya diberikan kepada usahawan atau bakal usahawan yang gagal mendapat pinjaman atau tidak cukup syarat untuk memperolehi pinjaman dari mana-mana institusi kewangan.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihati para usahawan agar mendisiplinkan diri dengan menggunakan pinjaman itu hanya untuk tujuan perniagaan.

Katanya, pinjaman yang diberikan untuk tujuan memajukan perniagaan itu tidak harus digunakan untuk perkara seperti melangsaikan hutang, membeli kenderaan atau seumpamanya.

“Ini disebabkan tujuan yang lain itu akan menghancurkan minat untuk maju dalam perniagaan kerana pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan sudah hilang dan tidak lagi dapat membantu meningkat perniagaan kerana tiada lagi wang,” ujarnya.

Beliau juga menyeru para usahawan agar mengeluarkan zakat perniagaan di mana dengannya akan mendatangkan barakah dalam perniagaan.

Kerana jelasnya, di atas harta kepunyaan itu adanya hak saudara se-Islam yang miskin dan daif.

“Jika mereka dibantu dengan hak yang wajib diperolehi atas harta kita, maka mereka juga boleh membangunkan diri mereka dalam kehidupan seterusnya berupaya untuk mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Inilah hikmah zakat dalam membangunkan ekonomi ummah,” terangnya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim itu.

Wednesday, July 20, 2011

Kedah Bentuk Majlis Tuan Guru Pondok


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Institusi pondok merupakan benteng terakhir dalam menjaga dan menyelamatkan akidah masyarakat pada masa kini.

Selain itu, ia merupakan pejuang utama kepada ilmu-ilmu turath yang sangat berharga dan sekiranya tidak dipelihara akan hilang ditelan zaman.

Jika diamati pembangunan dan persekitaran pula, ia seumpama ‘Madinah Kecil’ di mana rumah tuan guru hampir dengan madrasah utama selain dikelilingi pondok anak-anak muridnya.

Segala keistimewaan dan keunikan itulah menambahkan lagi keberkatan ilmu dan kehebatan institusi pondok di mata masyarakat.

Atas semangat itulah, Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa) telah menganjurkan Majlis Pertemuan Para Tuan Guru Pondok di Seri Mentaloon, di sini baru-baru ini.

Hasil pertemuan yang dihadiri 19 tuan-tuan guru pondok itu, sebuah jawatankuasa khas dinamakan Majlis Tuan Guru Pondok Kedah telah dibentuk dan bernaung di bawah Hesa.

Mudir Madrasah Manabi’ Al Ulum Al Diniah, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir telah dipilih selaku pengerusi yang pertama kepada jawatankuasa majlis tersebut.