Wednesday, June 20, 2012

Hero Filem Leftenan Adnan Pula Sertai PAS


Harakahdaily :

BATU GAJAH: Pelakon, seniman, sastrawan kini berbondong-bondong menyertai PAS dan yang terbaru, pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman pula akan menyertai PAS.

Menurut Hairie, beliau bersama-sama pelakon, Zulkifli Ismail akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu dalam satu program di Taman Melewar, Gombak 6 julai ini.

Beliau tampil dalam siri ceramah PAS di Batu Gajah bersama Leman Raja Lawak yang baru sahaja sertai PAS, semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarang Berita Harakah,  Tarmizi Mat Jam, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Bekas Setiausaha Dewan Negara, Salleh Bakar.

Dalam ucapan sulungnya di pentas PAS, Hairie berkata, faktor mendorongnya untuk menyertai PAS ialah atas kesedarannya sendiri.

"Tidak sesiapa yang mempengaruhi dan memaksa saya masuk perjuangan ini tetapi atas kesedaran saya sendiri," katanya di hadapan ratusan hadirin.

Katanya, ramai artis yang menyokong BN kerana untuk mencari 'makan' dan meneruskan karier dalam bidang hiburan.

Anak kelahiran Negeri Kedah ini sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad yang mendakwa artis yang menyertai PAS ini bukanlah untuk berdakwah sebaliknya untuk berpolitik.

"Kenapa jika artis yang tidak sealiran dengan mereka dihina dan dijadikan isu sedangkan yang menyertai Umno tidak pula dibangkitkan?

"Saya telah memberikan komen tentang kenyataan menteri itu di facebook dan ramai yang menyokong komen saya itu," jelasnya.

Hairie berkata, ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas komen-komennya dalam laman facebook seolah-olah pro kepada pembangkang.

"Ramai yang memberi sokongan dan mengajak saya sertai PAS dan hari ini, hari bersejarah saya berucap pertama kami dipentas PAS," katanya dalam nada gembira.

Beliau mengakui tindakan ini akan memberi kesan kepada karier lakonannya namun beliau sanggup menghadapinya.

"Kalau saya fikir dunia, saya tidak akan membuat keputusan menyertai perjuangan ini namun saya sanggup menerima risiko kerana yang memberi rezeki bukannya BN tetapi Allah ," jelasnya.

Hairi menjelaskan, umat Islam perlu mengetahui serta mengakui politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu, katanya Umat Islam perlulah menyokong parti yang memperjuangan Islam iaitu PAS dan menolak parti yang memperjuangkan assobiyyah.

"Saya akan bersama-sama membantu  dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya.

Saturday, June 16, 2012

1.5 Juta Untuk Parlimen BN Adalah Peruntukkan Terakhir BN ?


Oleh RIDUAN MOHD NOR Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap paruntukan yang diterima oleh ahli Parlimen BN sebanyak RM 1.5 juta menandakan bahawa BN sudah berada dalam keadaan terdesak untuk terus berkuasa.
DPPM mempersoalkan, apakah jentera BN sudah terlalu lemah sekarang sehingga terpaksa disuntik dengan RM 1.5 juta lagi bagi memulihkan jentera mereka yang semakin lesu di bahagian-bahagian? Atau mungkinkah segala program yang mereka laksanakan selama ini belum mampu ‘menjinakkan’ hati pengundi-pengundi untuk bersama mereka sehingga terpaksa ditambah dengan jumlah yang besar bagi membeli hati mereka?
Kemungkinan juga peruntukan ini sebagai tanda mengikat kesetiaan ahli Parlimen BN dengan BN ekoran adanya khabar angin mendakwa beberapa orang ahli Parlimen BN terutama dari Sabah yang akan ‘melompat’ parti kebelakangan ini. Malah, terdapat juga khabar angin bahawa beberapa orang ahli parlimen BN dari semenanjung turut menyuarakan hasrat yang sama untuk melompat parti menyeberang ke Pakatan Rakyat. Kesemua perkhabaran ini meresahkan Perdana Menteri dan bagi meredakan kekusutan ini, beliau sanggup menyerahkan sejumlah RM 1.5 juta untuk dibelanjakan di parlimen masing-masing.
DPPM mempersoalkan dari mana Barisan Nasional memperolehi duit sebanyak itu sehingga mampu berbelanja beratus juta ringgit sebagai peruntukan kepada setiap ahli parlimen mereka. Ini belum dikira dengan jumlah yang mereka telah serahkan sebelum ini dan akan serahkan semasa kempen pilihan raya umum nanti.  Jika ianya datang dari duit kerajaan, mengapa tidak disalurkan juga kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana pengundi di kawasan mereka juga adalah rakyat di negara ini yang layak mendapat segala kemudahan sebagaimana rakyat di parlimen dimenangi oleh BN.
Peruntukan besar ini menandakan BN hanya mampu bertahan melalui duit yang mereka taburkan untuk memastikan jentera mereka bergerak mengikut arahan. Duit inilah yang terus menyambung hayat mereka kepada suatu tempoh tertentu sehingga mereka tidak lagi peduli berapa banyak lagi duit rakyat dan kerajaan terpaksa dihabiskan bagi ‘membela’ ahli dan pemimpin parti mereka. DPPM yakin, talian hayat ini akan terhenti dan riwayat hidup BN akan tamat sepenuhnya jika mereka kalah dalam PRU ke 13 kerana tiada lagi peruntukan yang akan mereka nikmati seperti sekarang.

Wednesday, June 13, 2012

PRU musim haji khianati hak muslim


Salmiyah Harun ,  Harakahdaily,13 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Pilihanraya pada musim haji adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat di dalam menunaikan hak mereka sebagai seorang muslim yang beriman, demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Nik Mohd Abduh Nik Aziz.

Katanya, ibadah haji boleh ditangguhkan oleh kehadiran kewajiban lain yang perlu disegerakan dan disempitkan terhad waktunya seperti pilihanraya.

Bahkan katanya, asasnya orang muda yang berkemampuan berhak memilih tarikh hajinya sendiri dengan keluasan masa kurniaan Allah.

Tambahnya, kerajaan mestilah mempertegaskan secara pasti bahawa pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji demi keselesaan rakyat menetapkan tarikh ibadah haji masing-masing.

"Oleh kerana tarikh pilihanraya yang samar disebabkan was-was seorang perdana menteri, PAS mencadangkan bukan mewajibkan umat Islam agar memilih untuk menangguhkan haji jika wujud kebarangkalian berlakunya pilihanraya pada musim haji iaitu Oktober dan November nanti," katanya.

Katanya, undi adalah satu persaksian atau syahadah di hadapan Allah bahawa setiap muslim wajib memilih Islam sebagai satu ugama dan cara hidup yang tidak mungkin ditinggalkan.

Malangnya, kata beliau Umno melihat sebaliknya bahkan undi boleh dibeli dengan sekampit gula demi survival sekularisme.

Tegasnya, PAS melihat penyertaan rakyat dalam pilihanraya adalah satu kewajiban agama yang mesti ditunaikan.

Manakala Umno pula, katanya, melihatnya sebagai satu kewajiban warganegara yang tidak sama dengan kewajiban agama.

"Umno terus dengan otak sempitnya, melihat urusan politik dan kepimpinan negara sebagai terpisah daripada ugama," katanya di laman Facebooknya.

Justeru, baginya isu ini satu perbahasan hukum yang menarik untuk memahamkan masyarakat Islam mengenai hukum mengundi dalam pilihanraya umum untuk memilih kepimpinan negara.

"Kerajaan jangan asyik menghina diri sendiri dengan mengugut rakyat dengan kemungkinan kuota haji ditarik balik kerana aksi berani anak-anak muda menolak politik kotor umno di tanah suci umat Islam dengan peragaan baju Bersih," katanya.

Sunday, June 10, 2012

Tentang WWW 1

Subky Latif,06 Jun 2012

DULU plat motokar nombor MCA1 dibida hingga RM300,000. Untuk plat nombor WWW1 ia dibida setinggi RM520,000.

Siapa yang berjaya membidanya tidak penting, tetapi ia menggambarkan bahawa negara dan bangsa kita sudah masuk ke  alam seperti itu dan ada orang yang sedia membida setinggi itu malah mungkin lebih tinggi dari itu hanya untuk satu nombor motokar.

Ia terjadi begitu ialah sistem yang  terpakai di negara ini oleh orang-orang yang membenarkan sistem itu begitu.

Ia halal dan dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi adakah ia benda yang betul  dan bijaksana?

Sistem menjual nombor plat yang elok dengan harga yang setinggi itu tentulah disebabkan JPJ merasa  sukar untuk memberi nombor yang elok-elok oleh  disebabkan ramai orang yang mahukannya.

Kalau yang mahukan nombor yang elok itu adalah orang awam biasa, maka mudah kepada pemberi nombor memberi kepada siapa yang dia suka. Kalau yang memohon itu orang bernama, maka payah bagi memberinya, apa lagi kalau ia adalah raja-raja.

Kalau seorang raja yang memohon maka ia mudah  diperkenankan, tetapi kalau serentak sekalian Sultan memohonnya, maka kepada raja yang hendak diberi.

Maka diadakan sistem membida. Siapa yang boleh memberi tender yang tertinggi, maka orang lain tidak boleh takwil. Jika ia diberi percuma, maka ditakuti ada orang dalam bermain kayu tiga secara gelap atau pintu belakang,  mengambil  harga untuk diri  sendiri. Siapa yang boleh menyogok sekian banyak, maka dia boleh dapat nombor itu.

Bagi mengelakkan berlaku bentuk rasuah yang demikian, maka ia tawarkan kepada semua di pasaran terbuka untuk membida. Gara-garanya ada bida sampai setengah juta.

Orang seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Tony Farnandez, Vincent Tan dan Syed Mokhtar tak terasa apa sekali pun membida pada harga sejuta atau lebih. Duit mereka tidak luak.

Tetapi adakah bijak dan waras membida setinggi itu sedang dalam masyarakat kita penuh  dengan serba ketempangan.  Orang yang memerlukan duit, makanan, pakaian dan lain-lain begitu ramai sedang duit yang banyak digunakan untuk membeli satu nombor motokar.

Dari mana duit itu diperolehi tidak penting. Adakah dari duit loteri, menang judi, atau keuntungan perniagaan dan sebagainya, tetapi apakah ia satu amalan yang wajar?

Jika dengan setengah juta digunakan untuk menghantar orang yang belum pernah haji menunaikan haji, besar mana ganjaran pahala yang diperolehi. Seorang haji perlu RM10 ribu, dengan bida itu boleh hantar 50 jamaah. Segala ibadat dan pahala wajib haji setiap orang itu  akan diperolehi oleh orang yang menghantarnya.

Setiap hamba Allah akan  ditanya dari mana hartanya diperolehi dan bagaimana ia digunakan. Seorang kaya yang soleh setengah hari lewat masuk syurga dibandingkan dengan orang miskin yang soleh. Sebab Allah tanya cara dia berbelanja atas hartanya.

Nabi Sulaiman a.s. adalah maksum, kerana baginda adalah orang terkaya di dunia, baginda ditanya setiap kekayaannya digunakan, maka baginda menunggu 40 tahun masuk  syurga selepas nabi-nabi lain.

Bagaimana sekalian membida nombor itu berbelas dan berpuluh ribu hendak menjawab apakah masing-masing telah menggunakan wang secara betul?

Kerajaan dan JPJ yang membenarkan amalan itu telah menyebabkan begitu  ramai orang yang terlibat dalam perkembangan yang tidak sihat itu.

Kalau raja-raja  terlibat membida, maka yang pertama dipersoal bukan  raja-raja, tetapi ialah pihak yang menyediakan sistem hingga kejadian yang tidak sederhana berlaku. Islam yang sederhana tetapi yang melampaui tahap kesederhanaan.

Kita telah tercebur dalam amal kapitalisme yang parah.

Monday, May 28, 2012

Pemuda PAS Desak Majlis Fatwa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini mempersoal tindakan kerajaan menganjurkan Himpunan Jutaan Belia 2012 lalu yang dicemari program maksiat dan menyimpang jauh dari ajaran agama.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, apa yang turut mengecewakan adalah kenapa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir yang menjaga hal ehwal agama Islam tidak menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita menganggap Datuk Seri Jamil Khir turut bersekongkol dalam menganjurkan program maksiat ini. 

"Kita mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung Sambutan Hari Belia yang diadakan oleh kerajaan," katanya.

Penganjuran sambutan hari belia itu yang bermula 23 Mei lalu dan berakhir semalam mencetus pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai.

Di Facebook, Twitter dan blog, rata-rata mereka kecewa dengan program hiburan melampau yang dihidangkan kepada anak muda.

Antaranya penampilan artis jemputan Kpop, kumpulan wanita dari korea yang mempersembahkan tarian dengan berpakaian seksi dan menjolok mata.

"Dengan menampilkan artis seksi sebagai hidangan masyarakat, kerajaan menganggap itu sebagai suatu perkara yang biasa dan tidak ada salahnya. 

"Mungkin inilah nilai wassatiyyah (kesederhanaan) yang hendak diterapkan oleh Perdana Menteri," kata Riduan lagi.

Kerajaan ujarnya seperti tidak kisah jika golongan belia hanyut dengan kelalaian dan rosak akhlak asalkan mencapai matlamat mereka untuk menarik kehadiran ramai belia.

"Apakah mesej yang hendak disampaikan dari penganjuran program maksiat seperti ini? 

"Adakah konsert ini akan membina sebuah masyarakat yang sihat, berakhlak mulia dan berminda positif atau menjadikan generasi muda lebih liar dan jauh daripada agama Islam? 

Apa yang berlaku dalam sambutan hari belia itu tegas Riduan, hanya mengesahkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti untuk umat Islam berpaut, kerana Umno hanya menjauhkan anak muda dari nilai agama.

Saturday, May 26, 2012

Kenapa Tok Guru Nik Aziz sebak dan menangis?


MACHANG: Di saat pihak tertentu yang tidak sebulu dengan perjuangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menuduh sebagai ‘bapa kafir’, beliau terus menunaikan solat sunat rutin hariannya tidak kira di mana sahaja berada.

Semalam Tuan Guru menunaikan solat sunat syukur sebaik sahaja melihat pelajar menunaikan solat sunat dhuha di bawah pokok tanpa sejadah dan hanya berlantaikan tanah di hujung dewan Madu bersebelahan khemah masing-masing.

Tuan Guru tidak dapat membendung perasaan sedih gembiranya apabila melihat pelajar sekolah aliran Yayasan Islam Kelantan (Yik) menunaikan solat sunat dhuha.

Lebih 1,000 pelajar Yik menghadiri program Muqayyam Tarbawi di Kompleks Tarbiah Islam Ulama (Madu), dekat sini pagi semalam, antara pengisiannya menunaikan solat sunat dhuha.

Tuan Guru yang kebetulan melalui laluan itu untuk merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan di dewan besar Madu, tidak dapat menahan sebak kerana syukur anak didik rakyat Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan negeri begitu tekun menunaikan solat sunat itu.

Kerana sebak dan terharu yang amat sangat, menyebabkan bacaan solatnya sesekali teresak dan terganggu.

Tuan Guru mendedahkan perkara itu sewaktu berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan.

“Di saat-saat anak muda merempit di jalan-jalan, di tengah anak-anak muda lepak di pasaraya, di tengah anak-anak muda leka bersama teman masing-masing di luar Kelantan, tetapi pelajar Yik, anak muda Kelantan tekun menunaikan solat.

“Saya tidak dapat menahan sebak, saya begitu terharu, ya Allah ini hasil yang telah kami dapat hasil pentadbiran kami selama 22 tahun lalu, subhanallah,” ujarnya sekali lagi lagi menahan sebak.

Hampir seluruh pelajar Yik mewakili program yang diadakan setiap tahun selama tiga hari itu.

Selain seminar, turut diadakan slot solat berjemaah, riadah, qiamullail dan lain-lain lagi.

Monday, May 21, 2012

Lagi Bekas Pegawai Kerajaan Sertai PAS


MIRI: Sekarang ini adalah musim untuk golongan professional, selebriti, dan juga bekas pengawai kerajaan menyertai PAS.

Kalau di Perak bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS dan di Miri Sarawak pula seorang bekas pegawai kerajaan merangkap bekas Timbalan Residen Miri juga telah menyertai PAS baru-baru ini.

Sempena  lawatan Pimpinan Tertinggi PAS Pusat ke Sarawak, bekas Timbalan Residen Miri, Haji Johari Bujang telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada Majlis Hi-Tea di rumahnya di Luak baru-baru ini.

Beliau semasa Pilihanraya DUN Sarawak yang lepas bertanding di DUN Lambir atas tiket SNAP namun beliau tidak menjadi ahli SNAP.

Dalam ucapannya, Johari Bujang menyebut bahawa sebelum ini beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik walaupun sebelum ini pernah bertanding di DUN Lambir dalam Pilihanraya DUN Sarawak tahun lepas atas tiket Parti SNAP.

Menurutnya lagi, beliau membuat keputusan untuk menjadi ahli PAS setelah sedar dan yakin akan prinsip perjuangan PAS serta begitu tertarik dengan kseungguhan PAS khususnya PAS Kawasan Miri dalam usaha membawa perubahan serta pembelaan kepada nasib rakyat.

Beliau ingin bersama-sama berada di dalam PAS bagi menyumbang secara langsung kepada perjuangan rakyat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, Ketua Penerangan PAS Sarawak M Azwani, Ketua Pemuda PAS Sarawak M Arifiriazul Paijo dan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri, Yeo Kian Leong.

Acara sederhana tersebut menunjukkan yang PAS telah diterima oleh semua golongan masyarakat.

Pada sebelah malam, Datuk Mahfuz Omar bersama rombongan PAS Miri melawat rumah panjang Empading di Sg Bakas.

Penduduk di rumah panjang tersebut menyambut dengan baik dan memberi sambutan hangat kunjungan rombongan PAS pada malam itu.

PAS Miri memberi sedikit buah tangan sebagai tanda hormat atas kunjungan ke rumah panjang tersebut dan juga memberi penerangan tentang kunjungan serta matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Dalam rumah panjang tersebut terdapat 2 orang OKU (Orang Kurang Upaya) salah seorang dari OKU tersebut, Idai ak Entebang mengadu kepada PAS bahawa beliau tidak menerima BR1M, E-Kasih dan juga bantuan dari kebajikan masyarakat.
"Kita minta pihak yang berkenaan agar dapat membantu Idai ak Entebang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kerana beliau juga golongan yang kurang upaya yang sepatutnya dapat menerima sumbangan dari wang pembayar cukai.

"Kita ingin mengingatkan pihak yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan masyarakat agar dapat menjalankan tugas mereka dengan adil untuk semua, jangan disebabkan mereka ini tidak sehaluan dengan fahaman kita maka kita meminggirkan mereka ini tanpa balas kasihan," kata Jofri Jaraiee.