Tuesday, February 12, 2013
Anak muda diseru tingkatkan munajat
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Ketua
Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menyeru anak-anak muda yang mendukung
perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat agar mengadakan solat hajat setiap hari
disamping bermunajat dan berdoa setiap malam sebagai persiapan menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ujar beliau, persiapan itu agar Allah mengekalkan kemenangan kepada PAS dan
Pakatan Rakyat di Kedah dan menganugerahkan kemenangan menawan Putrajaya.
“Tarikhnya sangat hampir!” tegasnya ringkas seakan-akan melontarkan isyarat
siap siaga.
Bashah 'bongkak' hadapi Bongkar 403J
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Dewan
Pemuda PAS Negeri Kedah menempelak sikap bongkak Pengerusi BN Kedah, Dato’
Ahmad Bashah Md Hanipah dalam menghadapi dakwaan NGO ‘Bongkar 403J’.
Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, sikap bongkak itu dilahirkan Bashah
yang menganggapnya dakwaan NGO itu sebagai tuduhan liar, fitnah dan tidak
berasas serta menggesa laporan kepada pihak berwajib, seakan-akan membayangkan
beliau kebal dari tindakan perundangan.
“Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri dan memimpin komponen parti politik
yang sedang bersaing untuk memimpin kerajaan, beliau sewajarnya menunjukkan
kematangan berpolitik dengan tampil memberi penjelasan untuk membersihkan
dakwaan tersebut.
“Malangnya, beliau mengambil pendekatan menyerang semua pihak termasuk
kepada PAS Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah. Sedangkan isu RM403 juta itu adalah
berkaitan penyelewengan, kecurangan pengurusan dan salah urus tadbir Kerajaan
BN Kedah yang memerintah sebelum 2008 hingga menjadi liabiliti sehingga kini,”
tegas Ustaz Ahmad kepada Harakah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang
Semut, di sini 7 Februari lalu.
Ujar beliau, dakwaan tersebut mempunyai asas fakta dan keraguan munasabah
dari sumber rasmi sebagaimana tindakan Pemuda PAS Kedah yang pernah membuat
laporan sebahagian dari nilai tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.
Oleh itu katanya, menghampiri saingan Pilihan Raya Umum, rakyat berhak tahu
penjelasannya sebagai satu asas penilaian terhadap ketelusan dan integriti
pihak yang akan dipilih nanti.
Tetapi menurutnya, sikap bongkak Bashah menyebabkan beliau menyerang
membuta tuli hingga fakta laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakannya turut
‘diseleweng’ apabila mendakwa kerugian pelaburan di Papua New Guinea sebanyak
RM130 juta sedangkan laporan sebenar ialah RM6.4 juta.
Bashah dalam reaksinya terhadap Bongkar 403J menuduh kumpulan itu telah
membuat tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas serta propaganda PAS Kedah.
Saturday, February 9, 2013
Saturday, February 2, 2013
Pemuda PAS Kedah gandakan kekuatan masuki PRU13
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
JITRA: Sifat sabar itu dapat melahirkan kekuatan hingga 10 kali
ganda atau seorang individu akan berupaya mengatasi 10 lawannya.
Dengan syarat ia beriman dan teguh bersatu di bawah pemimpin yang berpegang
kepada sunnah Nabi SAW serta bersungguh-sungguh berjuang meninggikan agama
Allah. Itulah janji Allah sebagaimana terpahat pada ayat 65 surah al-Anfal.
Atas keimanan dan amanah untuk melaksanakan seruan ayat tersebut, Jabatan
Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah mengadakan Himpunan Seribu Amal di Kem
Paya Pahlawan, di sini pada 21 dan 22 Disember baru-baru ini.
Dengan harapan, melalui penganjurannya akan menyuntik kesatuan ahli pemuda
untuk meningkatkan kekuatan amal menghadapi medan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang
akan berlaku tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Amal Kedah, Ustaz Zelani Nik Chik berkata, melalui
aktiviti yang diadakan diharap akan menambahkan kekuatan para pemuda serta
mengembangkan kekuatan ke kawasan masing-masing.
Tegasnya, perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT memerlukan pengorbanan masa,
tenaga hatta nyawa dan wajib diterjemahkan menerusi gerakerja dan amal.
Dalam menjalankan semua amanah itu nasihatnya, mestilah mengharapkan
ganjaran di akhirat bukannya di dunia.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya dalam ucapan
penutupnya memuji peranan digerakkan Jabatan Amal memainkan gerakerja kebajikan,
khidmat bakti, perkhidmatan tenaga.
Malah katanya, anggota Jabatan Amal sanggup menerima arahan pada setiap
masa, dengan niat penuh ketulusan hati iaitulah beramal kerana Allah.
Katanya, itulah rahsia mereka mampu bertahan selama ini dan diyakini untuk
terus berada disaf hadapan dalam mendepani Umno yang ketika ini berusaha dengan
pelbagai cara untuk mempertahankan kuasa.
Turut hadir menyuntik semangat peserta pada himpunan itu ialah bekas
Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir serta Ahli-ahli Lembaga
Pengarah Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Pusat diketuai Pengarah, Johari Osman.
ARC kian berkembang di Kedah
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SUNGAI
PETANI: Golongan anak muda menzahirkan cara tersendiri dalam
menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Antaranya menerusi penyertaan
mereka sebagai anggota Alternative Riding Club (ARC).
Ternyata semarak konvoi bermotosikal melibatkan kira-kira 3,000 individu
pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar awal
bulan ini kekal membugar.
Maka Pemuda PAS berusaha meluaskan penyertaan golongan ini ke kawasan
seluruh negeri Kedah menerusi pelancaran ARC peringkat kawasan.
Pelancaran kawasan pertama di Kedah melibatkan Kawasan Sungai Petani yang
berjaya menarik lebih 80 penyertaan baru menjadikan keahlian kawasan itu
meningkat kepada hampir 400 penunggang berdaftar pada majlis di Dewan MPSPK,
Tikam Batu, di sini 20 Disember lalu.
Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi dalam ucapannya
melahirkan harapan agar sambutan itu dipanjangkan sebagai semangat anak muda
untuk menawan Putrajaya.
Ujarnya, kemampuan PAS menghimpun dan mendisiplinkan penunggang motosikal
dari kalangan anak muda perlu terus menjadi ikon yang disegani.
Pelancaran yang diadakan bersama dengan Majlis Makan Malam Kelab Motosikal
Kedah itu telah disempurnakan Adun Kupang, Johari Abdullah mewakili Exco Belia
dan Sukan Negeri, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib. Hadir sama Adun Pantai
Merdeka, Abdullah Jusoh.
Lembu feedlot BN diseret ke SPRM
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS
Negeri Kedah terus menyeret Umno-BN ke penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) apabila membuat aduan berhubung penyelewengan semasa
pemerintahan Kerajaan BN Kedah dahulu.
Terbaru, kesangsian
terhadap Projek Feedlot di Paya Mat Insun, Pendang oleh Kedah Agro Industries
Marketing Berhad (KAIMB), sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah
dilaporkan.
Menurut fakta sebagaimana diadukan,
projek di bawah KAIMB itu melibatkan peruntukan RM 3.3 juta dengan
infrastruktur projek dibina oleh Bina Ekoculture Sdn Bhd.
Bagaimanapun, projek itu tidak
diusahakan KAIMB sebaliknya disewakan kepada pihak lain dengan bayaran RM 5,000
sebulan atau RM 60,000 setahun;
Ini bermakna KAIMB seolah-olah memberi
pinjaman kepada syarikat berkenaan di mana memerlukan masa selama 58 tahun
untuk memperolehi semula modal tersebut.
Lebih aneh, segala aktiviti syarikat
tersebut tidak diketahui menerusi rekod rasmi dan kini tidak lagi beroperasi
selain gagal menjelaskan bayaran sewa RM 5,000 sebulan
Kerajaan Negeri Kedah yang mahu
mengambil semula semula infrastruktur Projek Feedlot itu tidak dapat berbuat
demikian kerana mendapati tanah tersebut milik persendirian di mana sebenarnya
tiada wujud sebarang perjanjian dibuat antara KAIMB dengan tuan tanah tempat
projek dijalankan.
“Maka kami menggesa pihak SPRM membuka
siasat atas pengaduan ini. Berdasarkan keterangan dinyatakan, bahawa kami
mendakwa wujudnya salah urus dalam pentadbiran berkenaan hingga berlaku
pengaliran dan penggunaan wang tanpa pulangan jelas dan kesangsian berat
terhadap pelaksanaan serta status projek tersebut.
“Adalah perkara ini telah menyimpang
dari integriti di mana berunsur pecah amanah dan penyelewengan melibatkan sebuah
syarikat milik kerajaan yang mempunyai tanggung jawab terhadap kepentingan
rakyat,” demikian tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.
Subscribe to:
Posts (Atom)