Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS
Negeri Kedah hadir untuk kali ketiga dalam tempoh sebulan menggesa siasatan
penyelewengan yang pernah berlaku semasa pemerintahan BN Kedah kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, 10 Disember baru-baru
ini.
Kali ini aduan adalah mengenai ‘arahan politik’ salah guna kuasa dan salah
urus tadbir Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKed) hingga menghadapi perintah saman
RM11 juta oleh mahkamah.
Ia ekoran kegagalan YIKed menyelesaikan masalah tanah yang telah
dipersetujui bersama dengan Syarikat Senisinga Sdn Bhd di mana ketika itu
Senisinga mengambil alih pinjaman tidak berbayar (NPL) Southern Finance Berhad.
YIKed sebelum itu membuat pengambilan semula tanah di Tandop untuk projek
pembangunan Kawasan Industri Ringan Tandop dengan usahasama Syarikat Cayman
Development Sdn Bhd di mana syarikat usahasama Yiked Pengkalan Kundor Sdn Bhd
ditubuhkan dengan ekuiti 20:80.
Bagi mendapat pinjaman kos pembiayaan pembangunan, Cayman telah menggadai
tanah-tanah di situ kepada Southern Finance Berhad dengan jaminan korporat oleh
YIKed.
Bagaimanapun, Yiked Pengkalan Kundor Sdn Bhd gagal membangunkan projek ini
sekaligus tidak dapat membayar balik pinjaman dan pampasan kepada tuan-tuan tanah.
Rentetan itu, Syarikat Long Island Properties (K) Sdn Bhd dipilih
meneruskan projek terbengkalai tersebut di mana sebuah syarikat usahasama Long
Island Development Sdn Bhd antara YIKed dan Long Island Properties ditubuhkan
sekaligus mengubah cadangan pembangunan asal kepada Perumahan Desa Seraya.
Untuk itu, Long Island Development bertanggung jawab menebus semula tanah
yang tergadai dari Southern Finance Berhad tetapi gagal menebus 16 keping hak
milik.
Ketika sama, Long Island Development memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri
permohonan ubah syarat dan pecah sempadan atas tanah tersebut di mana Kerajaan
Negeri telah memberi kelulusan terhadap permohonan itu dan Pejabat Pengarah
Tanah Dan Galian Negeri Kedah telah mengeluarkan hak milik tanah baru.
Keadaan ini menimbulkan dua pemilikan atas satu tanah hingga mencetuskan
saman Senisinga ke atas YIKed dan Kerajaan Negeri Kedah atas tindakan menyalahi
undang-undang dan fraud yang menyebabkan pengeluaran hak milik dipecah bahagi.
Dakwaan itu juga kerana rumah-rumah dibina di atas tanah yang dipertikaikan
tanpa menyerahkan 16 hak milik asal dari pegangan bank.
YIKed kalah dalam saman tersebut dan diperintah mahkamah membayar RM11 juta
kepada Senisinga.
No comments:
Post a Comment