Monday, April 23, 2012

Presiden PAS sahkan turun Bersih 3.0

Harakahdaily,24 Apr 2012

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan akan turun ke Dataran Merdeka bersama seluruh rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' sempena himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Dalam satu kenyataan yang dikirim oleh setiausaha akhbar beliau Mohd Nasaie Ismail, beliau berkata ianya sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap usaha NGO yang bergabung dengan Bersih 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

"Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Dataran Merdeka pada himpunan Duduk dan Bantah Bersih 3.0.

"Begitu juga dengan seluruh ahli PAS diminta berhimpun secara damai di Dataran Merdeka pada tanggal 28 april," katanya.

Pejabat agung PAS juga, ujarnya sudah membuat arahan kepada semua ahli untuk hadir sama ke himpunan tersebut.

Sejak Bersih mengumumkan untuk mengadakan Bersih 3.0, PAS telahpun menjalankan usaha mobilisasi ahli dan penyokongnya dari seluruh negara untuk hadir.

Semua negeri telah menyatakan komitmen sementara PAS Terengganu dan Selangor secara rasmi mengumumkan masing-masing akan mengerahkan 50,000 ahli mereka.

Sementara itu, Bersih malam tadi mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan himpunan itu diadakan di Dataran Merdeka.

Friday, April 13, 2012

Rakyat Kedah tolak Lynas

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Seruan menyelamatkan Malaysia dari bencana masa hadapan akibat kesan nadir bumi berasaskan nuklear melalui logi penapisan bahan berkenaan yang dibina di Gebeng, Pahang turut bergema di Kedah.

Lebih 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir dalam Solidariti Hijau SeMalaysia menyatakan bantahan terhadap pembinaan logi tersebut dalam himpunan bantahan aman di Dataran Zero Kilometer, di sini.

Himpunan diketuai Timbalan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Kedah, Johari Abdullah itu turut menerima provokasi dari kira-kira 30 penyokong pro-Lynas dipercayai anggota Perkasa yang membawa pelbagai sepanduk.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad; Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Helmi Abdul Wahab; Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dato’ Johari Abdul dan Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan, Simon Oii.

Selain ucapan pimpinan, kumpulan anti-Lynas turut menyanyikan lagi Negaraku dan membacakan doa.

Himpunan berlangsung dalam keadaan aman dengan kawalan Unit Amal dan pantauan pihak polis.









Wednesday, April 11, 2012

Nedim, anak menteri yang tidak peduli publisiti negatif

   Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 April:Kehidupan para menteri dan ahli keluarga mereka kini kembali mendapat perhatian awam apabila tertimbulnya kes yang melibatkan Mohamad Nedim (gambar), anak kepada Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Reaksi alam maya terhadap laporan berita mengenai insiden tersebut, berdasarkan satu laporan polis daripada seorang pengawal yang mendakwa Nedim dan pengawal peribadi beliau telah mengasari beliau, telah menaikkan tahap kemarahan rakyat biasa terhadap sikap yang ditunjukkan di tempat awam oleh manusia yang bersikap seperti Nedim.

Dulu, berita yang mendapat kutukan awam begini sudah pasti memenuhi ruang utama akhbar-akhbar tempatan, seperti krisis perlembagaan pada tahun 1993, yang timbul akibat kes Sultan Johor dengan seorang jurulatih hoki, yang kedua-duanya sudah meninggal kini.

Kisah tersebut adalah pembuka kepada pindaan kontroversi mengurangkan immuniti raja-raja yang dinikmati dulu sehingga kini apabila berdepan dengan kes jenayah.

Dalam kes Nedim, kutukan awam terhadapnya yang boleh diperhatikan di alam maya bukan sahaja terhadap tingkah-lakunya.

Fokus insiden tersebut telah berubah daripada fakta kes mengasari pengawal kepada fakta Nedin pada usia yang begitu muda kini sudah memandu Porsche and mempunyai pengawal peribadi untuk mengawal beliau dalam MPV mewah.

Seseorang kini boleh memahami apa maksud kata-kata Ketua Umum PKR Datuk Anwar Ibrahim semasa beliau berkata bahawa PRU13 ialah perang antara kelas kaya dan miskin.

Nedim dan jadual padatnya


(Gambar-gambar Nedim yang disiarkan dalam internet...Datuk Seri Nazri pernah berkata, anaknya itu akan mengendalikan sendiri kesnya)

Harakahdaily telah menemui gambar-gambar Nedim dan rakan-rakannya di dalam laman web perkongsian gambar Lockerz, di mana orang awam boleh melihat personaliti beliau, dan lebih penting lagi, ia memberikan satu penjelasan bergambar terhadap jurang antara miskin-kaya yang kini sedang melanda rakyat Malaysia.

Daripada gambar “menyejukkan badan di tepi kolam renang”, melibatkan diri dalam konvoi kereta mewah, bercuti di Eropah dan makan mewah di restoran berbintang, Nedin ialah contoh paling sempurna kategori 1% rakyat Malaysia yang memiliki jumlah kekayaan 99% rakyat negara ini.
Sudah pasti, seseorang tidak akan melihat orang sedemikian mempunyai rungutan terhadap kenaikan kos kehidupan yang kini mewarnai debat politik di seluruh dunia.

Sudah pasti, tidak seperti anak-anak kaya daripada pemimpin-pemimpin di Timur Tengah yang kecundang, dalam gambarnya juga menunjukkan sifat belas kasihan daripada orang kaya, di mana dalam kes Nedim, sekeping gambar beliau bersahur dengan anak yatim.

Pandangan politik beliau, rasanya tidak perlu dihuraikan kerana ia adalah secebis kain daripada baju yang sama.

Dalam satu mesej di Lockers, beliau memaparkan satu mesej Twitter, yang mengandungi nada Umno dalam mengejek nama Bersih: “Kepala hotak PKR,DAP and ambiga babi!”, dengan satu poster yang menyatakan perhimpunan Bersih adalah untuk kepentingan seorang peliwat.

Selain itu, beliau turut mempunyai bukti bergambar bahawa beliau ada menghadiri solat Tarawih ketika Ramadan, dan juga makanan kegemaran beliau, bubur ayam di dalam satu pinggang bersalut emas untuk sahur.

Pengerusi muda


Nedim, berdasarkan akaun Twitternya, ialah pengerusi syarikat Harrison (M) Berhad, selain seorang pengarah Charisma Positief, sebuah syarikat yang menjual kereta mewah terpakai.

(Nedim memperkenalkan dirinya dalam Twitter)

Jika tidak silap, Harrison yang dimaksudkan ialah syarikat yang laman webnya www.harrisons.com.my, syarikat yang bertapak di Sabah yang fokus perniagaannya di Timur Malaysia membuat “pemasaran, jualan, pergudangan dan pengedaran barangan pengguna bergerak pantas, bahan binaan, produk kejuruteraan dan bahan kimia pertanian; penghantaran dan pelancongan.”

Salah satu pelanggan Harrisons di bawah kategori barangan pengguna bergerak pantas (fast-moving consumer goods) ialah Asia Pacific Brewery yang membekalkan jenama minuman seperti Tiger Beer, Heineken, Anchor,Guinness, Anglia and Malta.

Selain itu, salah satu anak syarikat Harrison, Harrisons Marketing and Services Sdn Bhd telah ditubuhkan untuk bisnes khusus wine (arak) bertempat di Jalan 222, Petaling Jaya.

Jika situasi di mana para menteri terpaksa membuat pengistiharan harta, maklumat sebegini, sekiranya benar, akan membawa implikasi negatif pada Nazri daripada anaknya.

Ini jelas, kerana Nedim sememangnya tidak kisah dengan publisiti negatif yang diterimanya.

“Saya rasanya mudah menarik pembenci/media dan saya menikmati setiap saatnya,” tulis Nedim ketika memperkenalkan dirinya dalam Twitter.

Wednesday, April 4, 2012

Minta Perhatian Seluruh Pemuda ! PAS sedia sertai himpunan Bersih 3.0

PAS sedia sertai himpunan Bersih 3.0

Harakahdaily,04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: PAS hari ini menyatakan sokongan terhadap hasrat NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang akan mengadakan himpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini.

Sehubungan itu juga, naib presidennya Salahuddin Ayub (gambar) berkata, PAS juga tidak teragak-agak untuk menyertai himpunan itu kerana ia selari dengan perjuangan parti itu yang menuntut pembersihan daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah katanya, ia juga selari dengan kandungan laporan minoriti yang ditolak oleh Dewan Rakyat semalam untuk dilampirkan bersama dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

"Kita akan menyertai perhimpunan itu selain terus memperjuangkan kandungan laporan minoriti," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya pendirian parti itu terhadap pengumuman himpunan Bersih 3.0 oleh Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said pagi tadi.
Bagaimanapun pendirian rasmi PAS berhubung perkara itu dijangka akan diumumkan timbalan presidennya Mohamad Sabu yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS pada satu sidang media khas esok.

Bersih 2.0 pagi tadi mengumumkan sekali lagi akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada hari Sabtu 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut mereka, keputusan untuk mengadakan himpunan itu dibuat ekoran pihak PSC dan kerajaan dilihat tidak mengambil serius terhadap tuduhan penipuan khususnya dalam isu pembersihan daftar pemilih.

Himpunan kali ini memilih tema 'Duduk Bantah' dan bakal diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.