Thursday, November 8, 2012

PAS ceramah kerana BN monopoli media massa



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: PAS terpaksa menggunakan pentas ceramah sebagai medium penerangan berikutan media arus perdana dimonopoli secara khusus hanya untuk kepentingan pemerintahan BN, tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS sejak empat tahun lalu tidak pernah sekali pun diberi ruang untuk bersiaran atau ke udara di corong Radio Kedah FM.

Sebaliknya ujar beliau, Umno-BN merakusi media perdana semahunya termasuk menyebarkan fitnah dan laporan tidak benar terhadap Pakatan Rakyat.

Ustaz Ahmad berkata demikian sebagai menjawab tempelakan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyatakan bahawa PAS hanya tahu berceramah berbanding mentadbir kerajaan negeri.

“Demokrasi berat sebelah yang diamalkan ini menyebabkan PAS tiada pilihan lebih popular melainkan pentas ceramah.

“Pun demikian, pelaksanaan ceramah oleh PAS tidak pernah mengganggu perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di mana telah terbukti sepanjang empat tahun pentadbiran ini telah menjangkau pelbagai pencapaian.

Bahkan jelasnya, pentas ceramah turut menjadi medium penerangan berkesan terhadap pencapaian Kerajaan Negeri hingga Umno-BN Kedah terpaksa mengambil langkah sama turut serta mengadakan ceramah memburukkan Kerajaan Negeri Kedah walaupun mereka mempunyai akses luas kepada media massa.

Dewan Pemuda PAS Kedah juga katanya, melahirkan rasa berbangga mengadakan ceramah kerana ia termasuk kerja-kerja yang banyak dibuat para Nabi disamping menulis dan mentadbir.

Ini ujar beliau, sebagaimana ayat 5 surah Nuh yang bermaksud: “(Nabi Nuh berkata) “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam”.”

Terang Ahmad, hakikatnya Umno-BN berasa bimbang terhadap kesungguhan PAS dan Pakatan Rakyat meneruskan jelajah ceramahnya.

“Jika Umno-BN mahu penerangan menerusi pentas ceramah ini dihentikan, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar BN yang menerajui pemerintahan negara memberi ruang seluas-luasnya kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk akses media massa dan elektronik secara adil sebagaimana digunakan Umno-BN,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Sunday, November 4, 2012

Pemuda PAS Kedah lapor SPRM isu projek Kerpan



Oleh Harakah Kedah & Panglima Perang
dppnkedah@yahoo.com

ALOR SETAR: Kehilangan ‘misteri’ RM6.15 juta dari Projek Ternakan Udang Kerpan membabitkan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah telah diadukan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini 4 November.

Laporan itu menggesa SPRM menyiasat penyelewengan tersebut yang tidak mengembalikan keuntungan diperolehi kepada entiti pengurusannya menerusi akaun khas diwujudkan.

Malah turut mengakibatkan anak syarikat terbabit diarah mahkamah membayar saman RM2.16 juta kepada syarikat rakan usahasama.

Pendedahan mengenai perkara itu telah dibuat Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Stadium Sultan Abdul Halim pada 23 Oktober lalu.

Kontroversi projek tersebut bermula sejak tahun 1993 apabila mengorbankan beribu-ribu ekar tanah petani di Kerpan, Ayer Hitam.

Kemudian pada 27 Disember 2007, satu perjanjian pengurusan dengan persetujuan nisbah keuntungan 40:60 telah dibuat antara Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) dengan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB).

KASB merupakan syarikat ditubuhkan bersama antara Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) ketika di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun, keuntungan sebanyak RM6,156,397.00 telah hilang secara ‘misteri’ di mana gagal dimasukkan ke dalam akaun khas yang diwujudkan dan tidak diagihkan.

Akibatnya, KASB telah mengemukakan saman terhadap KAIMB dan memenangi kes itu pada 5 Jun 2012 apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan KAIMB membayar sebanyak RM2,160,993.40 kepada KASB.



Sunday, October 28, 2012

Pemuda PAS pelawa Pemuda BN sertai laporan ke SPRM



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dan ‘projek sakit’ yang pernah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah semasa pemerintahan BN.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, laporan penyelewengan itu akan dibuat sebagaimana pendedahan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Mereka yang terlibat mesti bertanggung jawab dan bersedia untuk disiasat serta didakwa sekiranya didapati bersalah.

“Kami komited menyatakan bahawa kepentingan dan hak rakyat perlu sentiasa dipertahankan serta diurus tadbir sebagai amanah terutamanya oleh kerajaan yang diberi kepercayaan memerintah.

“Penyelewengan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat oleh mereka yang telah lebih 50 tahun diberi kepercayaan mentadbir negeri ini,” luahnya kesal.

Menurut beliau, rakyat negeri ini hakikatnya telah menanggung beban apabila kepimpinan lalu turut ‘mewariskan’ hutang berbilion ringgit.

Kini katanya, penyelewengan dan ‘projek sakit’ berkenaan pula menjadi ‘biawak hidup’ yang terpaksa ditanggung akibatnya.

Beliau turut mempelawa Pemuda BN Kedah untuk bersama membuat laporan tersebut.

“Sebagai pewaris masa hadapan dan pembelaan terhadap kepentingan rakyat serta demi negeri Kedah yang dicintai ini, kami mempelawa Pemuda BN untuk turut serta.

“Kita (pemuda) tidak harus berdiam diri agar penyelewengan dan salah urus tadbir seperti ini dapat dihentikan dari terus berulang serta menjadi pengajaran kepada mereka yang berwewenangan terhadap amanah rakyat,” seru Ahmad.

Sunday, October 21, 2012

Gerakan Kedah angkuh!



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sikap Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai kekal mempertahankan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berhubung sindiran kontroversinya mengenai garis panduan papan iklan di Bandaraya Alor Setar menunjukkan sikap angkuh dan sombong pemimpin parti itu.

Ketua Pemuda PAS Pendang, Ustaz Fuzi Saad berkata, Gerakan Kedah ternyata bebal apabila terus menongkah arus sensitiviti semasa yang telah meluahkan rasa tidak senang dengan ulasan dilakukan Keng Liang.

“Sewajarnya teguran, laporan polis dan ajakan berdialog dari pelbagai pihak telah menyedarkan Gerakan Kedah untuk membetulkan keterlanjuran tersebut dan bukannya terus menegakkan benang basah, seolah-olah mengajak berperang.

“Dr Cheah juga seakan menganggap perkara ini remeh apabila mendakwa sindiran Keng Liang melalui twitter itu sebagai peribadi.

“Jika demikian, akan berleluasalah tindakan peribadi yang sewenang-wenangnya mengganggu gugat keharmonian, bahkan mungkin keselamatan awam. Dr Cheah harus sedar implikasi kenyataannya itu,” bidas Fuzi.

Menurut beliau, kedegilan Pengerusi Gerakan Kedah itu juga menjurus kepada sikap mengapi-apikan permusuhan dan sentimen negatif ke atas garis panduan tersebut tanpa cuba mendapatkan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan perkara itu.

Malah katanya, tindakan Dr Cheah menempelak ajakan Pemuda PAS Kedah untuk berdialog jelas satu amalan politik tidak matang dan kegagalan memanfaatkan peluang meredakan konflik.

“Sepatutnya beliau membidas dakwaan sandiwara itu kepada Pemuda Umno Kedah yang secara tiba-tiba bangun membela Islam dari sindiran Keng Liang.

“Sedangkan ketika sama Pemuda Umno menikus berdiam diri apabila Islam jelas nyata dihina pemimpin utama MCA, Dato’ Dr Chua Soi Lek.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno memberi nasihat atau teguran kepada rakan komponennya dalam BN berkaitan Islam,” ujar beliau.

Katanya lagi, kedangkalan Gerakan Kedah mempertahankan prejudis mereka membayangkan budaya yang ada pada segelintir pemimpin dalam komponen BN iaitulah kemaruk kepada ikon seks dan kelucahan.

Oleh itu ujarnya, rakyat di negara ini diseru menolak BN yang nyata mempunyai minda merbahaya terhadap maruah dan keselamatan kaum wanita.