Monday, February 27, 2012

Siap sedia seolah-olah pilihan raya esok

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Ahli PAS diminta bersiap sedia seolah-olah Pilihan Raya Umum akan berlaku esok hari walaupun pelbagai teori mengatakan ianya akan berlangsung bulan Mac, April dan sebagainya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Tegasnya, semua ahli perlu menjaga dan menyelesaikan segala urusan berkaitan yang belum selesai termasuk tanggung jawab terhadap rakyat.

Katanya, dahulu orang tidak yakin kepada PAS, tetapi kini ramai mulai memberi kepercayaan kepada PAS dan melihat serta menilai sikap ahli-ahli PAS.

Akui beliau, terdapat pihak-pihak yang cuba mengeruhkan suasana, namun hal itu merupakan asam garam dalam perjuangan.

“Saya tahu ada yang merasa susah dan penat walaupun empat tahun mentadbir tapi tak semua kita dapat keselesaan. Itu fitrah dalam perjuangan. Macam Nabi SAW, baginda menang dalam peperangan, tetapi nabi tidak hidup selesa kerana ada tanggung jawab menguruskan perjuangan.

“Inilah sebab kita boleh bertahan dan ramai yang cemburu pada kita serta mahu mengkucar kacirkan kita,” ujarnya pada Majlis Taujihat PRU13 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, generasi PAS terdahulu telah membina perpaduan dan perjuangan untuk memenangi pilihan raya sehingga kejayaan yang diperolehi hari ini dan menjadi amanah pula kepada generasi kini untuk menjaganya dengan baik dan membina negeri ini.

Menyentuh persiapan BN dalam menghadapi pilihan raya, Ustaz Azizan menjelaskan, tidak pernah dalam sejarah berlakunya rasuah dan penyelewengan politik sebagaimana hari ini sepertimana pemberian wang, salah guna wang zakat dan geran lembu fidlot.

Semua itu katanya, antara sebab cadangan untuk mengadakan pilihan raya terpaksa ditunda beberapa kali.


Friday, February 24, 2012

Media gembar-gemburkan keadaan di Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dakwaan kemelut dalaman PAS Kedah sebagaimana pendedahan oleh pihak media hakikatnya tidak semua benar bahkan segala andaian belum tentu akan berlaku, demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Ujarnya, Pemuda PAS Kedah yakin Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak akan menyelesaikan perkara yang cuba digembar-gemburkan media itu dengan baik dan bijaksana.

“Saya minta semua ahli PAS dan rakyat bertenang serta tidak mudah menerima setiap perkara yang diperbesar-besarkan media,” ujarnya ketika diminta Harakah mengulas desas desus tersebut.

Tegas beliau, Pemuda PAS Kedah berdiri teguh di belakang kepimpinan Ustaz Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Media arus perdana kebelakangan ini giat memberikan gambaran negatif kepada Kedah dengan terbaru membuat dakwaan kononnya PAS Kedah sedang bergolak, berkrisis dan berkemelut menjelang angkat sumpah jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah pada 28 Februari ini.


UMNO Pening Kepala Dengan Ustaz Azizan Di Kedah


Surau Aman Central yang akan dibangunkan menggantikan Surau Salihiah Kanchut...Porjek yang menyakitkan mata dan terbengkalai 30 tahun dahulu kini dibangunkan semula dengan jayanya di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak.Ini yang memeningkan kepala UMNO..

Kredit Picture to Khairun Ismail ( FB)

Monday, February 20, 2012

Penyokong Hijau Kuning diseru teruskan sokongan padu kepada pasukan Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Hijau Kuning yang berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kejayaan itu membuktikan pasukan tersebut mampu bangkit semula setelah diuji sedikit kehambaran dalam saingan awal Liga Super.

Ujarnya, atas semangat tersebut, para penyokong setia pasukan bola sepak Kedah diseru terus memberikan sokongan padu untuk pasukan melangkah lebih berjaya musim ini.

Kedah layak ke pusingan kedua setelah menewaskan PKNS 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Darulaman, di sini baru-baru ini.

Thursday, February 16, 2012

Kerana 'pilih kasih', BN halang pembangunan ke Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sikap pilih kasih BN yang menerajui Kerajaan Pusat merupakan punca perubahan sengaja tidak dibawa ke negeri Pakatan Rakyat, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Malah katanya, sikap itu menunjukkan bahawa BN tidak menghayati dan melaksanakan konsep federalisma yang menyatukan semua negeri di bawah Persekutuan Malaysia.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Kerajaan Pusat juga mengambil cukai dari rakyat di semua negeri termasuk Kedah. Bahkan negeri-negeri Pakatan Rakyat juga tidak pernah menghalang sebarang usaha dan pemberian dari Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat,” ujarnya membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam lawatannya ke Kedah, Muhyiddin menyata bahawa perubahan lebih besar dapat dibawa ke Kedah jika BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Di mana katanya, matlamat pembangunan boleh dicapai dengan lebih mudah sekiranya kepimpinan negara dan negeri diterajui parti yang sama.

Pun begitu sanggah Ahmad, semua halangan berlaku akibat sikap pilih kasih BN sebagaimana berlaku dalam isu royalti petroleum.

Jelasnya, ketika Terengganu ditadbir PAS, royalti petroleum disekat namun diberikan semula ketika BN mengambil alih. Kelantan yang diterajui PAS langsung dinafikan royalti tersebut, sedangkan ketika sama Sabah diberikan.

“Jadi sebenarnya, keadaan ini dicipta oleh BN. Semua hal dinafikan hanya kerana berbeza parti, adakah ini yang dimaksudkan Muhyiddin?

“Jika ini menjadi kesukaran kepada BN untuk melaksanakan pembangunan di seluruh negara, maka lihat nanti bagaimana Putrajaya di bawah Pakatan Rakyat. Perubahan lebih baik akan dibawa kepada semua rakyat dan negeri, insya-Allah” jawab beliau.


Saturday, February 11, 2012

Malaysia akan lebih baik di bawah Pakatan Rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

LANGKAWI: Malaysia akan berada lebih baik di bawah pemerintahan Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat berbanding BN, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Ujarnya, perkara itu dapat dilihat dari pencapaian tiga negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum lalu iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta masing-masing mewakili pentadbiran PAS, DAP dan KeADILan.

Katanya, jika diibaratkan ketiga-tiga negeri tersebut sebagai pelajar, bermakna mereka telah lulus cemerlang dalam tiga tahun ini.

Bahkan jelas beliau, perakuan berkaitan datangnya dari Laporan Audit Negara dengan pujian sebagai negeri yang bijaksana, telus dan cemerlang dalam urus kewangan negeri.

Sedangkan terangnya, Menteri Besar dan Ketua Menteri ketiga-tiga negeri itu bukanlah dari latar belakang pentadbir.

Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak katanya, bekas pensyarah, Lim Guan Eng pula pegawai kewangan dan Tan Sri Khalid Ibrahim cuma memiliki pengalaman korporat.

“Semua mereka tidak pernah jadi pegawai kerajaan. Tetapi telah beri keyakinan kepada rakyat dan rakyat pula sudah boleh beri kepercayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat bahawa mereka mampu mentadbir Malaysia jauh lebih baik dari Umno-BN,” ujarnya pada ceramah di Ulu Melaka, di sini 5 Februari lalu.

Beliau turut membicarakan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai PAS memulai pembayaran hutang peninggalan BN sebanyak RM2 bilion. Begitu juga Pulau Pinang di bawah DAP telah melangsaikan semua hutang peninggalan BN berjumlah RM600 juta dalam tempoh tiga tahun.

Malah katanya, negeri-negeri berkenaan terus maju dan membangun sekaligus menolak dakwaan bahawa hanya Umno-BN mampu memerintah dan membawa kemajuan.

Tegas Nik Mohd Amar, kejayaan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor berbanding negeri diperintah BN menunjukkan kehebatan dan kekuatan Pakatan Rakyat serta pemimpinnya memerintah.

“Itu baru perintah negeri, kalau perintah Malaysia, saya jadi Perdana Menteri, selesai semua masalah. Kalau nak banding saya dengan Najib, jauh baik saya. Saya berani jamin kalau jadi imam sembahyang mayat, saya tidak rukuk. Pemimpin Umno belum tentu,” sindirnya disambut laungan takbir dan tepukan serta ketawa hadirin.

Tambah beliau, banyak hak rakyat telah hilang dari negara ini misalnya pendidikan yang dahulunya beroleh biasiswa tetapi segalanya kini dengan bebanan pinjaman. Sedangkan tempelak beliau, ada isteri pemimpin negara yang membeli cincin dengan harga RM24 juta.

Akui Adun Panchor itu, dahulu pengundi merasa ragu tetapi hari ini pengundi lebih yakin dengan segala perkara yang telah dibuktikan.

Kejayaan itu juga katanya, sebagaimana di Kelantan walaupun Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat penampilannya dilihat hanya dengan jubah, kain pelikat dan serban.

“Hendak perintah ini bukan dengan pakaian. Kalau kita tengok sejarah, Mahatma Gandhi memperjuangkan kemerdekaan India jumpa Queen Victoria dan akhirnya India merdeka hasil usaha dibuat Mahatma Gandhi. Sedangkan Mahatma Gandhi pakai macam mana? Tidak pakai blazer pun.

“Jadi kita harap, walaupun pilihan raya lalu penduduk Langkawi tidak beri kemenangan kepada Pakatan Rakyat, tetapi dengan bukti kejayaan kita memerintah Kedah tiga tahun ini, kita harap pilihan raya akan datang undilah Pakatan Rakyat.

“Buang BN, masuk dalam beg plastik campak ke tengah laut. Kerana BN gagal menunaikan amanah dan harapan rakyat, bukan sahaja di Kedah tetapi juga seluruh negara,” seru Amar pada ceramah yang turut disertai Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Tuan Guru Nik Aziz itu.


Wednesday, February 8, 2012

Teras yakin PAS sentiasa konsisten dengan prinsip Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: PAS masih konsisten mempertahankan prinsip Islam dalam perjuangannya dan tidak dilihat sebarang tanda telah menggadaikan Islam seperti didakwa sesetengah pihak, demikian pandangan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelas beliau, pihaknya berpendirian adalah tidak wajar dibiarkan berlanjutan gejala saling tuduh menuduh dengan mengguna istilah yang tidak menjaga adab dalam berbeda pendapat di kalangan para aktivis Islam.

“Jika hujahnya ialah persoalan label Negara Islam, pendirian kami ia bukan persoalan pokok. Kerana dalam penelitian kami, jika sebuah negara menggunakan label Islam tetapi melaksanakan dasar yang bercanggah dengan Islam akan menjadi lebih merbahaya dan membuka kepada potensi untuk menjadi fitnah kepada Islam.

“Persoalan pokok yang harus ditumpu ialah adakah semua ciri pemerintahan sebuah negara itu dilaksanakan secocok dengan Islam atau tidak,” ujarnya melontar forum.

PAS katanya, dengan kepimpinan yang ada tidak menunjukkan anjakan dari segi prinsip ini, sebaliknya telah menggunakan strategi sesuai dengan keadaan semasa.

Ujarnya, keyakinan masyarakat bukan Islam untuk mendampingi PAS adalah kerana mereka semakin yakin dengan penjelasan PAS terhadap konsep Negara Berkebajikan.

Oleh yang demikian menurutnya, untuk menyerang PAS dengan hujah bahawa ia telah terpesong dari prinsip Islam, hanya suatu tohmahan.

“Kami mendapati juga, struktur keorganisasian PAS seperti wujudnya Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan pelbagai lujnah yang ada tidak memungkinkan sebarang prinsip Islam digadai tanpa melalui perbahasan dan tapisan yang ketat.

“Apatah lagi PAS sudah cukup matang melalui pelbagai karenah ahli serta kepimpinan sema ada diperingkat bawah mahupun di peringkat tertinggi,” yakininya.

Jelas Mohd Azmi, Teras memperhatikan walaupun PAS bukan sebuah parti yang maksum, namun dengan dasar Islam dipegang secara istiqamah telah menyebabkan perjalanannya sebagai sebuah jamaah gerakan Islam, dapat terkawal dan ini telah dapat menjamin parti itu terlindung dari sebarang penyelewengan besar.

Beliau turut melontarkan harapan agar keterbukaan PAS untuk menerima pandangan dari pelbagai pihak demi mewujudkan keadaan dan ruang perbahasan berasaskan ilmu dan adab, sentiasa disuburkan dalam PAS.


Tegasnya, hanya dengan itu PAS boleh menjadi bukan sahaja sebuah parti politik dalam persaingan piliharan raya akan tetapi sebuah parti berteraskan ilmu yang subur dan sihat.


Monday, February 6, 2012

Najib belum temui tarikh PRU13

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak belum menemui tarikh yang sesuai dan dilihat terpaksa menunda tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 beberapa kali berikutan perkembangan politik yang tidak memihak kepadanya, demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, bermula dengan jangkaan pada November lalu, ura-ura PRU13 diadakan Mac ini juga semakin mustahil.

Situasi itu ujarnya, berikutan pelbagai permasalahan yang turut berlaku di peringkat kementerian-kementerian sebagaimana Laporan Audit Negara sebelum ini.

Mendedahkan budaya penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan, Mohamad memetik situasi yang berlaku di Mesir.

Menurut beliau, di bawah pemerintahan regim Hosni Mubarak, rasuah berleluasa hingga sesiapa sahaja pasti menghadapi kerenah birokrasi. Namun katanya, keadaan itu berubah apabila pemerintahan kini dipimpin Ikhwanul Muslimin.

Keadaan sama katanya, berlaku di Malaysia apabila pegawai kerajaan turut mengamalkan rasuah berikutan para menteri juga terlibat dengan rasuah dan hanya akan berubah apabila teraju pemerintahan ditukar kepada Pakatan Rakyat.

Tegasnya, negara ini mesti diselamatkan segera dari jangkaan bankrap, apatah lagi hutang negara kini telah melebihi RM450 bilion sedangkan hanya RM200 bilion pada 10 tahun lalu. Malah katanya, laporan agensi luar mengatakan bahawa sebanyak RM1.07 trilion wang negara di bawa lari keluar negara.

Dalam menyemarakkan kebangkitan dan perubahan, beliau menyeru agar anak muda Malaysia meneladani anak muda di Timur Tengah.

“Anak-anak mudalah yang bangun buat perubahan di dunia Arab.  Anak-anak muda sekarang pandai bermain sms, twitter, facebook dan macam-macam. Sms boleh digunakan utk bercinta, facebook boleh untuk hantar gambar macam-macam.

“Tetapi alat ini juga boleh digunakan untuk menjatuhkan regim yang zalim atas muka bumi. Anak muda inilah yang menggerakkan kebangkitan rakyat dan mereka tidak berganjak walaupun menghadapi tembakan. Akhirnya wujud negara demokrasi di Tunisia dan Mesir,” ujarnya membakar semangat anak muda yang majoriti hadir pada ceramah Pelancaran Gelombang Hijau PAS Kawasan Merbok, di Zon Mawar, Sungai Lalang di sini 30 Januari lalu.

Hampir 10,000 hadirin memenuhi majlis ceramah yang turut diisi oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh. Sempena majlis itu juga Mohamad menerima serahan borang menyertai PAS dari penduduk sekitar Zon Mawar.