Saturday, February 11, 2012

Malaysia akan lebih baik di bawah Pakatan Rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

LANGKAWI: Malaysia akan berada lebih baik di bawah pemerintahan Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat berbanding BN, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Ujarnya, perkara itu dapat dilihat dari pencapaian tiga negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum lalu iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta masing-masing mewakili pentadbiran PAS, DAP dan KeADILan.

Katanya, jika diibaratkan ketiga-tiga negeri tersebut sebagai pelajar, bermakna mereka telah lulus cemerlang dalam tiga tahun ini.

Bahkan jelas beliau, perakuan berkaitan datangnya dari Laporan Audit Negara dengan pujian sebagai negeri yang bijaksana, telus dan cemerlang dalam urus kewangan negeri.

Sedangkan terangnya, Menteri Besar dan Ketua Menteri ketiga-tiga negeri itu bukanlah dari latar belakang pentadbir.

Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak katanya, bekas pensyarah, Lim Guan Eng pula pegawai kewangan dan Tan Sri Khalid Ibrahim cuma memiliki pengalaman korporat.

“Semua mereka tidak pernah jadi pegawai kerajaan. Tetapi telah beri keyakinan kepada rakyat dan rakyat pula sudah boleh beri kepercayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat bahawa mereka mampu mentadbir Malaysia jauh lebih baik dari Umno-BN,” ujarnya pada ceramah di Ulu Melaka, di sini 5 Februari lalu.

Beliau turut membicarakan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai PAS memulai pembayaran hutang peninggalan BN sebanyak RM2 bilion. Begitu juga Pulau Pinang di bawah DAP telah melangsaikan semua hutang peninggalan BN berjumlah RM600 juta dalam tempoh tiga tahun.

Malah katanya, negeri-negeri berkenaan terus maju dan membangun sekaligus menolak dakwaan bahawa hanya Umno-BN mampu memerintah dan membawa kemajuan.

Tegas Nik Mohd Amar, kejayaan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor berbanding negeri diperintah BN menunjukkan kehebatan dan kekuatan Pakatan Rakyat serta pemimpinnya memerintah.

“Itu baru perintah negeri, kalau perintah Malaysia, saya jadi Perdana Menteri, selesai semua masalah. Kalau nak banding saya dengan Najib, jauh baik saya. Saya berani jamin kalau jadi imam sembahyang mayat, saya tidak rukuk. Pemimpin Umno belum tentu,” sindirnya disambut laungan takbir dan tepukan serta ketawa hadirin.

Tambah beliau, banyak hak rakyat telah hilang dari negara ini misalnya pendidikan yang dahulunya beroleh biasiswa tetapi segalanya kini dengan bebanan pinjaman. Sedangkan tempelak beliau, ada isteri pemimpin negara yang membeli cincin dengan harga RM24 juta.

Akui Adun Panchor itu, dahulu pengundi merasa ragu tetapi hari ini pengundi lebih yakin dengan segala perkara yang telah dibuktikan.

Kejayaan itu juga katanya, sebagaimana di Kelantan walaupun Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat penampilannya dilihat hanya dengan jubah, kain pelikat dan serban.

“Hendak perintah ini bukan dengan pakaian. Kalau kita tengok sejarah, Mahatma Gandhi memperjuangkan kemerdekaan India jumpa Queen Victoria dan akhirnya India merdeka hasil usaha dibuat Mahatma Gandhi. Sedangkan Mahatma Gandhi pakai macam mana? Tidak pakai blazer pun.

“Jadi kita harap, walaupun pilihan raya lalu penduduk Langkawi tidak beri kemenangan kepada Pakatan Rakyat, tetapi dengan bukti kejayaan kita memerintah Kedah tiga tahun ini, kita harap pilihan raya akan datang undilah Pakatan Rakyat.

“Buang BN, masuk dalam beg plastik campak ke tengah laut. Kerana BN gagal menunaikan amanah dan harapan rakyat, bukan sahaja di Kedah tetapi juga seluruh negara,” seru Amar pada ceramah yang turut disertai Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Tuan Guru Nik Aziz itu.


1 comment:

  1. apa kejayaan atau pembangunan yang dibuaT dalam masa 3 tahun itu?

    ReplyDelete