Wednesday, February 8, 2012

Teras yakin PAS sentiasa konsisten dengan prinsip Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: PAS masih konsisten mempertahankan prinsip Islam dalam perjuangannya dan tidak dilihat sebarang tanda telah menggadaikan Islam seperti didakwa sesetengah pihak, demikian pandangan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelas beliau, pihaknya berpendirian adalah tidak wajar dibiarkan berlanjutan gejala saling tuduh menuduh dengan mengguna istilah yang tidak menjaga adab dalam berbeda pendapat di kalangan para aktivis Islam.

“Jika hujahnya ialah persoalan label Negara Islam, pendirian kami ia bukan persoalan pokok. Kerana dalam penelitian kami, jika sebuah negara menggunakan label Islam tetapi melaksanakan dasar yang bercanggah dengan Islam akan menjadi lebih merbahaya dan membuka kepada potensi untuk menjadi fitnah kepada Islam.

“Persoalan pokok yang harus ditumpu ialah adakah semua ciri pemerintahan sebuah negara itu dilaksanakan secocok dengan Islam atau tidak,” ujarnya melontar forum.

PAS katanya, dengan kepimpinan yang ada tidak menunjukkan anjakan dari segi prinsip ini, sebaliknya telah menggunakan strategi sesuai dengan keadaan semasa.

Ujarnya, keyakinan masyarakat bukan Islam untuk mendampingi PAS adalah kerana mereka semakin yakin dengan penjelasan PAS terhadap konsep Negara Berkebajikan.

Oleh yang demikian menurutnya, untuk menyerang PAS dengan hujah bahawa ia telah terpesong dari prinsip Islam, hanya suatu tohmahan.

“Kami mendapati juga, struktur keorganisasian PAS seperti wujudnya Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan pelbagai lujnah yang ada tidak memungkinkan sebarang prinsip Islam digadai tanpa melalui perbahasan dan tapisan yang ketat.

“Apatah lagi PAS sudah cukup matang melalui pelbagai karenah ahli serta kepimpinan sema ada diperingkat bawah mahupun di peringkat tertinggi,” yakininya.

Jelas Mohd Azmi, Teras memperhatikan walaupun PAS bukan sebuah parti yang maksum, namun dengan dasar Islam dipegang secara istiqamah telah menyebabkan perjalanannya sebagai sebuah jamaah gerakan Islam, dapat terkawal dan ini telah dapat menjamin parti itu terlindung dari sebarang penyelewengan besar.

Beliau turut melontarkan harapan agar keterbukaan PAS untuk menerima pandangan dari pelbagai pihak demi mewujudkan keadaan dan ruang perbahasan berasaskan ilmu dan adab, sentiasa disuburkan dalam PAS.


Tegasnya, hanya dengan itu PAS boleh menjadi bukan sahaja sebuah parti politik dalam persaingan piliharan raya akan tetapi sebuah parti berteraskan ilmu yang subur dan sihat.


No comments:

Post a Comment