Monday, February 27, 2012

Siap sedia seolah-olah pilihan raya esok

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Ahli PAS diminta bersiap sedia seolah-olah Pilihan Raya Umum akan berlaku esok hari walaupun pelbagai teori mengatakan ianya akan berlangsung bulan Mac, April dan sebagainya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Tegasnya, semua ahli perlu menjaga dan menyelesaikan segala urusan berkaitan yang belum selesai termasuk tanggung jawab terhadap rakyat.

Katanya, dahulu orang tidak yakin kepada PAS, tetapi kini ramai mulai memberi kepercayaan kepada PAS dan melihat serta menilai sikap ahli-ahli PAS.

Akui beliau, terdapat pihak-pihak yang cuba mengeruhkan suasana, namun hal itu merupakan asam garam dalam perjuangan.

“Saya tahu ada yang merasa susah dan penat walaupun empat tahun mentadbir tapi tak semua kita dapat keselesaan. Itu fitrah dalam perjuangan. Macam Nabi SAW, baginda menang dalam peperangan, tetapi nabi tidak hidup selesa kerana ada tanggung jawab menguruskan perjuangan.

“Inilah sebab kita boleh bertahan dan ramai yang cemburu pada kita serta mahu mengkucar kacirkan kita,” ujarnya pada Majlis Taujihat PRU13 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, generasi PAS terdahulu telah membina perpaduan dan perjuangan untuk memenangi pilihan raya sehingga kejayaan yang diperolehi hari ini dan menjadi amanah pula kepada generasi kini untuk menjaganya dengan baik dan membina negeri ini.

Menyentuh persiapan BN dalam menghadapi pilihan raya, Ustaz Azizan menjelaskan, tidak pernah dalam sejarah berlakunya rasuah dan penyelewengan politik sebagaimana hari ini sepertimana pemberian wang, salah guna wang zakat dan geran lembu fidlot.

Semua itu katanya, antara sebab cadangan untuk mengadakan pilihan raya terpaksa ditunda beberapa kali.


No comments:

Post a Comment