Monday, February 6, 2012

Najib belum temui tarikh PRU13

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak belum menemui tarikh yang sesuai dan dilihat terpaksa menunda tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 beberapa kali berikutan perkembangan politik yang tidak memihak kepadanya, demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, bermula dengan jangkaan pada November lalu, ura-ura PRU13 diadakan Mac ini juga semakin mustahil.

Situasi itu ujarnya, berikutan pelbagai permasalahan yang turut berlaku di peringkat kementerian-kementerian sebagaimana Laporan Audit Negara sebelum ini.

Mendedahkan budaya penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan, Mohamad memetik situasi yang berlaku di Mesir.

Menurut beliau, di bawah pemerintahan regim Hosni Mubarak, rasuah berleluasa hingga sesiapa sahaja pasti menghadapi kerenah birokrasi. Namun katanya, keadaan itu berubah apabila pemerintahan kini dipimpin Ikhwanul Muslimin.

Keadaan sama katanya, berlaku di Malaysia apabila pegawai kerajaan turut mengamalkan rasuah berikutan para menteri juga terlibat dengan rasuah dan hanya akan berubah apabila teraju pemerintahan ditukar kepada Pakatan Rakyat.

Tegasnya, negara ini mesti diselamatkan segera dari jangkaan bankrap, apatah lagi hutang negara kini telah melebihi RM450 bilion sedangkan hanya RM200 bilion pada 10 tahun lalu. Malah katanya, laporan agensi luar mengatakan bahawa sebanyak RM1.07 trilion wang negara di bawa lari keluar negara.

Dalam menyemarakkan kebangkitan dan perubahan, beliau menyeru agar anak muda Malaysia meneladani anak muda di Timur Tengah.

“Anak-anak mudalah yang bangun buat perubahan di dunia Arab.  Anak-anak muda sekarang pandai bermain sms, twitter, facebook dan macam-macam. Sms boleh digunakan utk bercinta, facebook boleh untuk hantar gambar macam-macam.

“Tetapi alat ini juga boleh digunakan untuk menjatuhkan regim yang zalim atas muka bumi. Anak muda inilah yang menggerakkan kebangkitan rakyat dan mereka tidak berganjak walaupun menghadapi tembakan. Akhirnya wujud negara demokrasi di Tunisia dan Mesir,” ujarnya membakar semangat anak muda yang majoriti hadir pada ceramah Pelancaran Gelombang Hijau PAS Kawasan Merbok, di Zon Mawar, Sungai Lalang di sini 30 Januari lalu.

Hampir 10,000 hadirin memenuhi majlis ceramah yang turut diisi oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh. Sempena majlis itu juga Mohamad menerima serahan borang menyertai PAS dari penduduk sekitar Zon Mawar.


No comments:

Post a Comment