Monday, August 29, 2011

Sunday, August 28, 2011

Ramadhan eratkan pemimpin dengan rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Hakikatnya sumbangan kecil yang dihulurkan tidak mampu mengubah kemiskinan atau keuzuran diri. Namun, keramahan, kesantunan dan kasih sayang dari keprihatinan yang diberikan sedikit sebanyak merasakan diri dihargai dan dipunyai. Biarpun air mata tetap jua tidak mampu diseka, namun mengalirnya bukan lagi luahan derita rasa, tetapi rasa terharu lantaran perhatian dari pemimpin berjiwa rakyat.

Apatah lagi kesudian pemimpin menjengah turun ke teratak usang atau membelai doa tubuh yang tidak bermaya di atas pembaringan. Semua itu lebih besar ertinya dalam menyuntik semangat diri mereka yang selama ini seperti terbiar diabaikan. Tidak dilupakan juga mereka yang sama menyumbang bakti berjasa. Dari kalangan pemimpin yang memiliki, kemampuan dikongsi sama petugas bawahan tanda ikatan dan penghargaan.


Rutin Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof di dalam Ramadan ini padat untuk bersama penduduk sama ada turun ke lokasi permasalahan atau menjengah ke rumah disamping menyampaikan sumbangan. Derita penduduk diselami sambil bicaranya turut menuturkan rangsangan semangat dan doa.


Menjelang waktu berbuka, beliau menuju ke masjid yang telah dijadualkan untuk berbuka bersama penduduk, bertahlil dan mengimamkan solat. Setiap kali dalam rutin di masjid itu, beliau mengambil kesempatan menyampaikan tazkirah sebanyak tiga kali berselang dengan solat tarawikh dan witir. Usahanya itu sebagai membina semangat untuk mendirikan amal Islami dalam kehidupan seharian.



Kesungguhan seumpama turut dilaksanakan Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman. Ramadan ini beliau lebih ligat berziarah menemui penduduk yang memerlukan perhatian dalam kawasannya. Keprihatinan membuatkan beliau adakalanya leka dalam menyantuni setiap yang ditemui hingga menjangkau masa kebiasaan. Mereka yang berjasa juga terdiri dari kalangan ulama dan veteran PAS turut dikunjungi dalam menyampaikan sumbangan beliau. Dipenghujung petang pula, tempat tumpuan ramai ditujunya untuk mengedarkan bubur lambuk sebagai hidangan berbuka.
















Begitu juga Adun Jeneri, Yahya Abdullah yang setiap kali Ramadan akan memeriahkan rumahnya dengan iftar bersama amilin parti, para pimpinan kawasan, Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan Dun dan Ketua-ketua Kampung. Ruang seperti inilah dimanfaatkan dalam mengukuhkan amal jamaie disamping beliau turut menghulurkan sumbangan. Kesempatan majlis sama digunakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga berasal dari Sik untuk turut serta menyampaikan sumbangannya.


Thursday, August 25, 2011

S/U Pemuda PAS Kedah terima rawatan di PMC

ALOR SETAR: Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi (gambar) yang juga Pegawai Khas (Belia) Menteri Besar Kedah, kini telah dimasukkan ke wad di Putra Medical Centre (PMC) kelmarin setelah mengalami demam panas selama seminggu dan keadaannya dilaporkan serius.

Doktor yang merawat beliau mengesyaki Ustaz Rosli mendapat jangkitan kuman (Typhoid fever) dan kini sedang dirawat dengan IV Antibiotic.

Marilah sama-sama kita doakan agar Allah memberi kekuatan untuknya kembali pulih dan dapat melaksanakan amanah beliau dengan penuh dedikasi sepertimana selalu.

Wednesday, August 24, 2011

Yakin Najib adakan PRU tahun ini - Mahfuz


Oleh Harakah Kedah

ALOR SETAR: Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar yakin Pilihan Raya Umum akan berlangsung sebelum hujung tahun ini.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan Pilihan Raya Umum sebelum Perhimpunan Agung Umno memandangkan gelombang untuk menjatuhkannya terlalu kuat ketika ini.

Antara perkara tersebut ujar Mahfuz, dapat dilihat dengan terbit buku yang mengecam dan mengkritik Najib.

“Jika pilihan raya diadakan selepas Himpunan Agung Umno, akan ada kumpulan-kumpulan gerakan untuk menjatuhkan Najib ini mengambil kesempatan mengkritik Najib dalam Himpunan Agung Umno dan akan ada tuntutan-tuntutan untuk mendesak Najib berundur.

“Sebab itu saya yakin pilihan raya akan diadakan dalam tahun ini,” terang beliau pada Iftar Perdana dan Taklimat Gerakan Gelombang Bersepadu sempena Sambutan Nuzul Quran PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini 19 Ogos baru-baru ini.

Tambah Mahfuz lagi, jika sekiranya Najib melakukan rombakan Kabinet sekalipun, akan berlaku pergolakan dalaman Umno yang lebih dahsyat.

Mengulas mengenai Gerakan Gelombang Bersepadu PAS Kedah, beliau menegaskan bahawa jentera PAS di semua peringkat perlu melakukan pengurusan maklumat agar sampai ke corong telinga rakyat serta melaksanakan keadilan dan ihsan.

Jelas beliau, keadilan dan ihsan merupakan dua elemen dakwah yang membawa kepada gelombang besar penerimaan kepada Islam sebagaimana dapat difahami dari Surah An-Nasr dan peristiwa Fathu Makkah di mana manusia berbondong-bondong menerima Islam.

Terangnya, Islam di masa Nabi Muhammad SAW semakin diterima antaranya melalui pelaksanaan keadilan dan ihsan.

Maka tegas Mahfuz, kejayaan hari ini juga boleh dicapai berdasarkan penyebaran dan penguasaan maklumat dari pelaksanaan program-program keadilan dan ihsan.

Monday, August 22, 2011

Isu buah Moktan-Ni Jawapan Kepada Ketua Pemuda Umno Kedah

Daripada : Kedah La

 

Ni dia penjelasan Kedah Agro isu buah moktan

Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham mengepalai Demontrasi Isu Buah Rambutan Di Dewan Naka



10,000 pemilik dusun buah rambutan di Padang Terap buat demonstrasi haram (gambar atas, kira betul2 memang ada 10,000 seperti dilaporkan Bernama. Jumlah tu lebih sikit dari himpunan Bersih 2.0 yang dilaporkan 6,000 kehadiran) kerana kununnya kerajaan negeri tak tunai janji nak ambil rambutan mereka yang berlambak tak terjual.

Berikut adalah penjelasan yang tersiar dalam akhbar Warta Darul Aman edisi internet (Wartakedah.net) berhubung isu tersebut. Kedah La siar berita tu siap dengan tajuk macam nak kata dekat puak2 demo haram tu.. awat hangpa ngok sangat!!!.. Sila baca:


Pemilik rambutan kena hubungi Kedah Agro, bukan tunggu kerajaan datang kait buah!!!

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM



ALOR SETAR – Dakwaan kepada kerajaan negeri tidak menunaikan janji dengan tidak memungut buah rambutan penduduk adalah tidak benar.

Ini kerana Pusat Pengetinan Buah di Sungai Petani memerlukan 600 kilogram hingga satu tan buah rambutan untuk ditinkan dan seterusnya dipasarkan.

Pengarah Urusan Pusat Pengetinan Buah, Ir. Zamri Yusof berkata, sejak kilang itu mula beroperasi pada 17 Julai 2011, masalah yang mereka alami adalah kekurangan buah untuk ditinkan.

“Kita ambil buah hari-hari, satu hari boleh proses 600 kilogram buah rambutan untuk ditinkan.

“Sejak mula operasi, jadi masalahnya buah tak cukup, masalah paling besar bagi orang kampung tak ada orang nak kait buah tersebut,” jelas beliau ketika dihubungi bagi mengulas keluhan pemilik dusun daerah Padang Terap yang rugi dengan lambakan rambutan akibat daripada kerajaan negeri tidak memungut buah tersebut.

Tambah beliau, pihak kilang telah membuat tawaran kepada penduduk kampung bagi membeli buah rambutan jenis deli, anak sekolah ataupun gading dengan harga RM0.70 sekilogram.


Seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, penduduk tidak perlu menunggu kerajaan negeri untuk membeli buah mereka, jika ada peraih yang menawarkannya dengan harga yang lebih tinggi, mereka boleh jual.

Kerajaan negeri hanya membeli lebihan buah yang gagal dijual bagi mengatasi masalah lambakan yang dialami oleh penduduk.

“Penduduk di daerah Padang Terap juga kita telah beri tawaran untuk mereka jual buah rambutan kepada kita.

“Kita juga menawarkan buah rambutan jenis lain dengan harga RM0.50 sekilogram harga di ladang.

“Jika penduduk setuju, mereka boleh berurusan dengan pihak kilang, begitu juga dengan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai, kita akan pergi kutip buah yang telah dikait.

“Maka, di sini tidak timbul kerajaan negeri tidak memungut buah penduduk, kita boleh kutip di detiap kampung bagi memenuhi keperluan pemprosesan,” jelas beliau.

Kepada pemilik dusun yang ingin bekerjasama dengan kerajaan negeri, mereka boleh menghubungi Pengurus Pemasaran Kedah Agro Holdings Berhad, Tarmizi di talian 012-5990486 ataupun hantar pesanan ringkas di hotline Kedah Agro, 013-4945000.

Munajat Perdana PRU-13 PAS Kedah

Sunday, August 21, 2011

PAS Kedah gerak gelombang ranapkan BN


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sambutan kepada PAS sejak 2008 semakin besar di mana di Kedah sahaja untuk tahun 2011 sehingga kini menerima lebih 1,600 permohonan untuk menjadi ahli.

Demikian itu, gelombang penerimaan kepada PAS dan Pakatan Rakyat serta gelombang penolakan kepada BN perlu diteruskan, demikian seru Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Dalam menjayakan usaha tersebut, PAS Kedah katanya, akan melaksanakannya secara tersusun melalui Gerakan Gelombang Bersepadu dengan slogan “Sejahtera Dikekal, Pincang Diranap”.

Jelas beliau, gerak kerja kepada usaha itu akan dilakukan melalui pengemblengan sumber-sumber kekuatan dalaman parti untuk mengubah kecenderungan pengundi di Kedah dalam meneruskan penolakan kepada BN dan mengekalkan PAS dan Pakatan Rakyat di Kedah.

“Kita memilih Kedah Sejahtera dikekalkan, kepincangan BN diranapkan di mana kita singkatkan kepada “Sejahtera Dikekal, Pincang Diranap”.

“Maksudnya kekal pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah dan menumbangkan BN diperingkat Pusat,” terang beliau pada Iftar Perdana dan Taklimat Gerakan Gelombang Bersepadu sempena Sambutan Nuzul Quran PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini 19 Ogos baru-baru ini.

Ujarnya, kuning dipilih sebagai warna tema kepada gerakan tersebut yang akan dipantau pelaksanaannya sehingga ke peringkat kawasan-kawasan.

Antara lain, Sanusi menyeru agar PAS di semua peringkat seluruh negeri Kedah agar memanfaatkan media baru seperti facebook memandangkan pengguna di Malaysia adalah yang keempat tertinggi di dunia berbanding populasi.

Ujarnya, walaupun ianya merupakan medium sosial, tetapi jentera PAS perlu memanfaatkannya sebagai laman kempen.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dalam ucapannya pada majlis sama turut menegaskan bahawa musuh politik akan sentiasa memburuk-burukkan PAS.

Jelasnya, musuh mengguna dan memanipulasikan media untuk memberi pelbagai gambaran kepada PAS.

Katanya, oleh kerana dalam konteks demokrasi persepsi sangat penting, seluruh jentera PAS perlu memanfaatkan medium terkini dalam menyaingi tindak balas tersebut.



Friday, August 19, 2011

Elakkan timbul salah faham keagamaan - Ulama PAS Kedah


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Negeri Kedah menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati menyentuh perkara berkaitan agama di masa akan datang.

Ketuanya, Sheikh Mohamad Abdullah berkata, semua pihak harus mengelak dari mengadakan kegiatan yang boleh menimbulkan salah faham berkaitan keagamaan.

Ini kerana katanya, agama adalah satu perkara sensitif di mana sepatutnya perlu difikirkan terlebih dahulu kemungkinan yang akan timbul dari usaha mengadakan hal berkaitan dengannya.

“Sebab itulah dengan permasalahan gereja baru ini telah timbul pelbagai reaksi disebabkan semua pihak tidak mahu timbul masalah (pada agamanya). Setiap orang itu merasa bertanggung jawab terhadap agamanya. Kerana itulah orang Islam merasa bertanggung jawab terhadap Islam di mana hal Islam tidak boleh disentuh sewenangnya.

“Saya berpendapat, perkara-perkara seperti ini tidak patutlah diadakan kerana ia akan menimbulkan sebagaimana berlaku tersebut. Adalah lebih baik kita membuat kegiatan-kegiatan kebajikan atau perkara yang tidak akan menimbulkan salah faham terhadap agama.

“Apatah lagi kalaulah perkara itu dilihat untuk mempengaruhi orang Islam yang boleh membawa kepada pengertian untuk memurtadkan,” ujarnya melontarkan nasihat ketika mengulas isu serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Selangor baru-baru ini.



Thursday, August 18, 2011

Cari barakah dengan mengeluarkan zakat fitrah



KODIANG: Disebalik kekurangan pada diri atau kehidupan, sifat syukur tetap perlu ditanam kepada Allah kerana Dialah yang membuka nikmat melalui pemberian dari pihak lain.

Demikian seruan Adun Ayer Hitam, Ustaz Abd Ghani Ahmad kepada para penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Majlis Penyampaian Bantuan Am JKM Kubang Pasu, baru-baru ini.

Ujarnya, para penerima harus bersyukur menerima sumbangan tersebut kerana masih ramai lagi juga layak tetapi tidak pernah menerimanya.

Nasihat beliau, pada bantuan yang diterima juga perlulah dicari barakah di mana pada Ramadan ini diperuntukkan bahagian untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Pada majlis itu, Ustaz Abd Ghani menyerahkan bantuan bulanan kepada 100 penerima dan beliau turut menyampaikan sumbangan hamper berupa keperluan Aidil Fitri bagi pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Ayer Hitam.

Hadir sama Pengarah JKM Negeri, Zulkifly Ramli dan Penolong Pengarah Jabatan Audit Negeri, Ayu Bismin Ahmad.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Wednesday, August 17, 2011

Sumbangan Ramadhan bersemarak di Kedah

ALOR SETAR: Ganjaran pahala berlipat ganda yang Allah berikan di bulan Ramadan bukan sahaja menyuntik kekuatan dalam mengerjakan ibadah, tetapi turut menjadikan tangan orang beriman sentiasa terbuka untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Menyedari terdapat fakir miskin yang tidak menerima bantuan dari mana-mana pihak, Adun Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh telah menyampaikan sumbangan kepada 30 fakir miskin dalam satu majlis di Masjid Gunung Sali, di sini 13 Ogos baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Dr Ismail turut menyampaikan sumbangan untuk lima surau dalam Kariah Gunung Sali.

Para penerima dan tetamu juga diraikan dengan jamuan berbuka puasa pada majlis tersebut.

Manakala di Jerlun, seramai 29 fakir miskin menerima bantuan zakat dari Jabatan Zakat Negeri yang disampaikan Adun Ayer Hitam, Ustaz Abd Ghani Ahmad di Masjid Padang Perahu, di sini 12 Ogos baru-baru ini.

Pada majlis sama, Ustaz Abd Ghani turut menyerahkan saguhati wang tunai kepada anak-anak kariah yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun 2010 lalu.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


Tuesday, August 16, 2011

Menteri Besar Kedah pertama dari kalangan ulama

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Belum pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini, Kedah dipimpin oleh Menteri Besar yang merupakan seorang ulama, demikian menurut Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Menurutnya, dengan kelulusan yang ada kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bermakna ulama sedang mengetuai kerajaan ketika ini.

“Selalu yang menjadi Menteri Besar bukan dari kalangan ulama. Sebab itulah sebelum ini timbul istilah ulama dan umara. Ulama orang lain, umara orang lain. Tetapi kali ini yang memerintah, dialah ulama dan dia juga umara.

“Saya kira inilah prinsip Islam yang sebenarnya dalam sesuatu negara yang hendak disebut Negara Islam di mana salah satunya adalah kepimpinan,” ujarnya pada Ijtimak Pengkuliah Umumi di Sri Mentaloon, di sini 6 Ogos lalu.

Katanya, perkara itu berbeza sebagaimana fahaman Barat yang meletakkan dua golongan tersebut secara berasingan sebagaimana mereka mengasingkan agama dengan pemerintahan.

Tegas Dato’ Phahrolrazi, perkara itulah yang dikenali sebagai sekularisme hingga membuat umat Islam jatuh dalam kejahilan dan tidak tahu menahu mengenai pemerintahan.

Menyingkap sejarah, beliau berkata, serangan sekularisme itu menyebabkan Islam kembali ke tempat-tempat pengajian termasuk pondok yang menjadi benteng terakhir umat Islam.

Malah ujarnya, penjajah yang datang bersama doktrin agama mereka juga gagal mempengaruhi institusi pondok sebagaimana mereka berjaya mewujudkan sekolah-sekolah mubaligh sepanjang penjajahan.

Terangnya, kejahilan ummah dan keadaan ketika itu yang tidak menggambarkan tasawwur Islam sebenar menyebabkan agama dipandang lekeh dan tiada masa depan.

Namun ujarnya, kebejatan di sebalik kemajuan dalam kehidupan duniawi masa kini menyebabkan manusia menilai tujuan hidup lalu kembali kepada Islam.

Demikian itu tegas beliau, peranan para pengkuliah umumi sangat penting dalam keperluan masyarakat kini.

Kerana katanya, masyarakat memerlukan ulama dan ulama pula memegang serta menjadi panduan kepada masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa rencam dan perkembangan dalam masyarakat era ini memerlukaan para pengkuliah juga meningkatkan ilmu Islam mengikut keadaan semasa.

Monday, August 15, 2011

Kematian: Pengajaran kepada yang hidup

Apabila melihat liang lahad dikorek oleh penggali kubur maka nyatalah bahawa berlaku kematian. Gambar ini dirakam ketika saya mengiringi jenazah Hj Zakaria Bin Hj Ahmad ke perkuburan di Masjid An-Najah, Ayer Hitam. Beliau merupakan bapa saudara saya yang telah terlantar sakit buah pinggang di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sejak 10 Mei 2011 lalu. beliau kembali kerahmatullah ketika semua ahli keluarga sedang berbukia puasa di rumahnya. 

Sebaik sahaja jenazah beliau dikebumikan, ramai ahli keluarganya yang turut serta menimbus kembali tanah yang dikorek. Mereka tidak melepaskan peluang untuk berbakti di saat-saat akhir kepada arwah. Semasa hayatnya, beliau pernah menjadi Setiausaha Masjid Ar-Rahman, Kerpan dan menggerakkan aktiviti jamuan moreh apabila menjelang Ramadhan pada setiap tahun sejak 1997.     

Anak beliau yang bongsu, Fatimah Binti Hj Zakaria sedang menjirus air mawar di pusara. Beliau redha dengan pemergian ayah yang dikasihi dan rela menerima ketentuan taqdir Ilahi. Nun di sudut hati, ketabahan dan kesabaran menerima ujian Allah cukup sukar untuk direalisasikan walaupun mudah untuk diucap.    
Saya menekuni satu persatu ayat yang diungkap oleh pembaca talqin. Rupanya suatu pengajaran kepada yang hidup agar mengambil iktibar apa yang telah berlaku kepada arwah yang telah menyahut panggilan Ilahi di saat kita semua bergembira melaksanakan ibadah Ramadhan. Jika diamati, isi talqin memberi pengajaran yang berguna kepada yang hidup agar mengikut segala suruhan Allah jika mahu selamat di Akhirat.
Catatan YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad
Adun Ayer Hitam

Kedah terus terajui usaha menyatukan ilmuan Islam


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kedah merintis usaha menyatukan ilmuan Islam yang terdiri daripada para pengkuliah agama di surau dan masjid seluruh negeri ini apabila mengadakan Ijtimak Pengkuliah Umumi di Sri Mentaloon, di sini 6 Ogos lalu.

Menurut Pengarah Ijtimak, Ustaz Ahmad Yahaya, himpunan itu merupakan kesinambungan dari usaha penyatuan yang telah dibuat sebelum ini melibatkan para tenaga pengajar dan institusi pengajian nizami dalam negeri Kedah.

Di mana hasil dari itu ujarnya, 36 sekolah agama membentuk gabungan atas nama Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa), manakala Majlis Guru Pondok pula menyatukan 24 pondok di seluruh negeri ini.

“Kita melihat, sesudah kita berjaya menggabungkan institusi bersifat nizami, maka kita merasakan satu keperluan menggabungkan tenaga-tenaga yang menyampaikan kuliah ilmu dan tersebar di seluruh negeri ini pula,” terang beliau.

Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dalam pengisiannya pada ijtimak itu menyeru para pengkuliah agar bersatu seumpama rantaian tasbih.

Ujarnya, dalam konteks pentadbiran Islam di Kedah, Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama adalah kepala tasbih dan para pengkuliah seumpama anak-anak tasbih.

Katanya, para pengkuliah berperanan meningkatkan pengetahuan agama agar dapat menyampaikan ilmu dan menyatukan masyarakat selain menangani pengaruh-pengaruh yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jelas beliau, tugas yang sedang didokong itu adalah usaha menyampaikan risalah para mursalin dan anbiya di mana ia wajib disampaikan kerana adanya ilmu dari kalangan pengkuliah.

Demikian itu terangnya, kewajipan ke atas menyampaikan ilmu tersebut adalah perlantikan dari Allah dan Rasul.

Pun begitu, beliau berharap para pengkuliah tidak hanya memiliki ilmu tapi juga mempunyai iltizam terhadap ilmu.

Beliau juga menyeru agar pendekatan mengajar relevan dengan suasana masyarakat zaman sekarang di mana mementingkan ilmu itu disampaikan untuk mudah difahami serta huraian yang memuaskan.

Syeikh Baderudin turut melontarkan perasaan kurang bersetuju beliau terhadap penerangan pelbagai mazhab dalam pengajaran hingga masyarakat menjadi keliru.

Jelasnya, perkara itu berbeza dengan pengajian di universiti yang mahukan penuntut menjadi ‘mutabasir’ yakni berpandangan jauh.

Selain itu, beliau menjelaskan peranan pengkuliah dalam menangani pengaruh-pengaruh lain seperti Syiah dan Wahabi yang telah diwartakan fatwa larangannya di Kedah sejak 11 tahun lalu.


Sunday, August 14, 2011

BUKTI: PENEMUAN MANIPULASI IC-PARTI UMNO BOLEH DIHARAMKAN

Kenyataan Akhbar
Dewan Pemuda Pas Malaysia
Ahad 14hb Ogos 2011

Adakah UMNO Boleh Diharamkan ?

Dewan Pemuda PAS Malaysia  telah menjumpai suatu bukti yang cukup mengemparkan negara melibatkan UMNO, Suruhanjaya Pilihanraya(SPR), Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) dan  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(ROS).  Semua pihak yang terbabit wajib bertanggungjawab terhadap perkara yang dibangkitkan ini. Bukti-bukti  yang Dewan Pemuda PAS Malaysia berikan hanyalah tiga daripada ribuan data yang dimiliki. Tiga data ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku dalam sistem maklumat negara kita.

Bukti Pertama : Identiti  Azhar Bin Ahmad

Maklumat JPN




Maklumat SPR  :



Maklumat Keahlian UMNO :





Bukti Kedua : Identiti Besah Binti Mat

Maklumat JPN :




Maklumat SPR  :



Maklumat Keahlian UMNO :





Bukti Ketiga : Identiti Mansor Bin Ahmad

Maklumat JPN :




Maklumat SPR  :



Maklumat Keahlian UMNO :




Ketiga-tiga bukti di atas boleh membawa maksud bahawa :
  1. Setiap identiti  hanya dibezakan dengan dua digit terakhir kad pengenalan masing-masing. Nama, tarikh lahir, kod negeri , digit ke-9  dan digit ke-10 adalah serupa. Pemuda PAS mempunyai  ribuan bukti yang seumpama ini. Ini membuktikan ia bukan suatu kebetulan, sebaliknya lebih mirip kepada suatu manipulasi pilihanraya.
  2. Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad mempunyai dua kad pengenalan dan boleh mengundi dua kali dalam satu pilihanraya.
  3. Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad  mempunyai dua keahlian UMNO cawangan dan boleh mengundi dua kali di mesyuarat peringkat cawangan UMNO.
Berdasarkan ribuan bukti yang dimiliki oleh Pemuda PAS Malaysia, maka adalah mustahil bagi Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  tidak mengetahui manipulasi yang berlaku ini. Manipulasi ini bukan sahaja melibatkan SPR tetapi melibatkan secara terus kepada pertubuhan UMNO, sebuah parti yang menjadi tunggak pemerintah Barisan Nasional(BN) yang semakin reput dimamah usia. Jika seorang Setiausaha Agong UMNO tidak dapat mengesan manipulasi data dalam partinya maka beliau merupakan seorang Setiausaha UMNO yang paling lemah dalam sejarah. Tidak wajar bagi Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak meneruskan perkhidmatannya. Tetapi jangan pula Presiden UMNO memberi alasan ia hanyalah kesilapan kerani sahaja.
Pemuda PAS Malaysia mendesak kepada  Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia(ROS) bertindak tegas terhadap manipulasi yang melibatkan pertubuhan dan ahli UMNO.  Jika terbukti  Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad  pernah mengundi dua kali dalam pemilihan peringkat cawangan maka mungkin banyak mesyuarat cawangan UMNO menjadi tidak sah. Seterusnya UMNO bakal berdepan dengan krisis 1988 yang menyebabkan pertubuhannya diharamkan.  Ini merupakan manipulasi yang sangat serius berlaku dalam negara.  Ahli-ahli UMNO berhak mendapat penjelasan daripada presiden mereka. Rakyat Malaysia juga mahu penjelasan daripada Presiden UMNO dan Ketua Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dengan manipulasi yang berlaku.

Pemuda PAS juga mendesak agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi  penjelasan kepada rakyat Malaysia bagaimana Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad boleh mengundi dua kali. Tan Seri Aziz, Pengerusi SPR jangan hanya mencari alasan bahawa manipulasi ini hanyalah perkara kecil.  Kalau manipulasi ini kecil bagaimana Dewan Pemuda PAS boleh memiliki ribuan bukti terhadap masalah ini.
Pemuda PAS  mendesak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kepada rakyat Malaysia bagaimana Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad boleh memilik dua kad pengenalan yang berbeza. Jangan memberi alasan mereka adalah individu yang berbeza kerana Dewan Pemuda PAS memiliki ribuan bukti penyamaran yang sama dan hampir sama.
Dewan Pemuda PAS merasa kesal dengan keraguan terhadap  sistem maklumat dalam JPN, SPR dan ROS. Ruang ini boleh digunakan oleh pihak berkepentingan untuk memenangi sesuatu pemilihan atau sesuatu pilihanraya. Suatu badan bebas harus ditubuhkan untuk menyiasat manipulasi yang telah kami buktikan selama ini.

SUHAIZAN BIN KAIAT
PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI PEMUDA PAS  MALAYSIA
KETUA  PEMUDA PAS JOHOR.
0197285174

MURTAD: KALAU UMNO IKHLAS SILA SETUJU DENGAN PAS JANGAN BERDALIH LAGI

KUALA LUMPUR, 14 Ogos ─ Di sebalik kontroversi berkaitan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja, Dewan Pemuda PAS pusat menggesa kerajaan pusat mengadakan satu akta yang khusus bagi menangani isu-isu berkaitan dengan murtad.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuaratnya semalam bagi mempertahankan akidah umat Islam, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mahu kerajaan menukar kembali cuti hujung minggu hari Ahad kepada Jumaat sebagai hari kebesaran umat Islam.

Kini hanya beberapa negeri menetapkan Jumaat sebagai cuti hujung minggu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Nasrudin (gambar) berkata, PAS pernah mengesyorkan Akta Murtad sebelum ini tetapi telah ditolak.

Katanya, Dewan Pemuda PAS telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) untuk menangani isu pencemaran akidah khasnya berkait dengan kes murtad.

“Insya-Allah Forkad akan terus berperanan khasnya operasi pembanterasan usaha memurtadkan umat Islam dan operasi pemulihan akidah bagi Muslim yang tercemar akidah dan keliru terhadap pegangan agamanya.

“Dewan Pemuda PAS bersedia memberi kerjasama dengan semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah,” kata beliau sambil menambah, “kita sokong Jais yang bertindak untuk menyelamatkan akidah ummat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini.”

Namun katanya, Jais juga mestilah bermuhasabah dan jika jelas agensi itu tersalah langkah, mestilah memohon maaf kepada umat Islam atas tindakan mereka meroboh, merantai dan menutup rumah Allah seperti yang pernah berlaku ke atas Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Masjid Kampung Berembang di Ampang dan Masjid Fatimah az Zahra’ Taman Kosas Ampang.

“Begitu juga mengenai tangkapan yang dilakukan ke atas penceramah-penceramah hanya kerana kesalahan tidak mempunyai tauliah sedang Jais boleh mengeluarkan tauliah kepada penceramah tersebut untuk membolehkan mereka berdakwah,” katanya lagi.

Katanya, murtad di negara ini berlaku disebabkan beberapa punca, tetapi sama ada faktor itu kecil atau besar, ia perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri.

Nasrudin juga berkata, Pemuda PAS mahu pihak berkuasa mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

Selain itu, Pemuda PAS juga mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

Menurut Nasrudin, Pemuda PAS juga menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal dapat membuat agihan adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

Sayap PAS itu juga mencadangkan supaya agensi kerajaan membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan-kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan Orang Asli, Sabah dan Sarawak dan juga mendesak kerajaan menambah pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik.

Dalam kenyataannya, Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS juga tidak mahu berlakunya pelanggaran hak bukan Islam yang telah dipelihara seperti menafikan hak mereka melaksanakan aktiviti agama mereka dan melakukan pencerobohan terhadap hak-hak mereka.

“Umat Islam mestilah peka dan sensitif dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai akidah dan keperibadian mereka sebagai seorang Muslim.

“Serentak itu menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim mendalami agama Islam melalui sumbernya yang betul agar keyakinan atau pegangan agamanya tidak mudah tergugat dan tercemar,” katanya lagi.

Hidayah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Manusia mampu melaksanakan perintah Allah apabila adanya hidayah iman di dalam diri, demikian menurut Ahli Parlimen Baling, Dato’ Ustaz Taib Azzemuddin Md Taib.

Katanya, dengan hidayah iman, manusia berupaya melaksanakan ibadah walaupun dilihat sukar pada tanggapan akal atau perhitungan ilmu manusia.

Misalnya ujar beliau, orang Islam menjalani puasa tanpa minum walaupun setitis air, sedangkan fungsi tubuh badan manusia akan terjejas akibat kekurangan air sebagaimana difahami dalam ilmu perubatan.

Namun terbukti ujarnya, tidak ada orang Islam yang benar-benar berpuasa jatuh sakit kerana hal tersebut.

Jelas bekas Imam Masjid Negara itu, kemampuan sedemikian adalah kerana hidayah iman yang mengajar manusia bahawa kebenaran adalah dari sisi Allah di mana Dia Maha Mengetahui dalam menentukan ibadah buat manusia.

Dengan hidayah iman terangnya, ia menjernih dan memandu manusia dalam kegelapan dan dari keinginan hawa nafsu.

Terdahulu, dalam tazkirah Ramadhannya itu, Ustaz Taib menerangkan empat jenis hidayah kepada manusia bermula dari hidayah tabie yang memberi ilham kepada fitrah makhluk sebagaimana bayi baru lahir berkehendakkan kepada susu ibu.

Diikuti dengan hidayah kecenderungan yang menyempurnakan lagi hidayah tabie dan pancaindera sepertimana haiwan mengenali jenis makanannya sendiri atau anjing yang mampu mengesan sesuatu dengan deria hidungnya.

Berbanding makhluk lain, manusia dilebihkan dengan hidayah akal kerana manusia perlu hidup bermasyarakat dan akal juga membetulkan kesilapan kecenderungan.

Misalnya kecenderungan manusia kepada makanan diperbetulkan akal dengan nasihat memilih makanan yang tidak memudaratkan kesihatan diri.

Namun terang Ustaz Taib, hidayah akal tidak mampu menanggapi kebenaran agama. Kerana apabila manusia menanggapi agama dengan akal, ia akan menggambarkan tuhan dalam pelbagai rupa.

Sedangkan kebenaran agama itu letakknya di sisi Allah. Demikian itu, tegas beliau, manusia memerlukan kepada hidayah iman.


Saturday, August 13, 2011

Kembangkan amal kebajikan setiap masa

AYER HITAM: Amal kebajikan perlu dilakukan pada setiap masa dan tidak terhenti hanya pada bulan Ramadan semata-mata, demikian seru Adun Ayer Hitam, Ustaz Abd Ghani Ahmad.

Katanya, jangan hanya dijadikan Ramadan untuk memprogramkan kebajikan sebaliknya diteruskan usaha itu setiap masa kepada golongan memerlukan.

Ujar beliau, walaupun ganjaran pahala dilipatkali gandakan semasa Ramadan, tetapi golongan kurang bernasib baik sentiasa ada disepanjang masa yang memerlukan keprihatinan masyarakat.

“Sebelum ini, nasib golongan memerlukan agak sukar mendapat bantuan biarpun diberikan bukti dan dokumen bertulis bahawa mereka terdiri di kalangan golongan tersebut. Pelbagai tanggapan negatif diberikan kepada mereka hingga kadang-kadang permohonan mereka ditolak dengan alasan tiada peruntukkan, syarikat tidak untung, tiada keputusan sebab mesyuarat belum putus lagi dan berbagai-bagai alasan yang diberikan.

“Akhirnya, tempat mengadu mereka ialah Pusat Khidmat Wakil Rakyat samada mereka datang sendiri atau melalui Ketua Kampung. Pusat Khidmat Wakil Rakyat pula akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut samada menyediakan peruntukkan melalui bajet wakil rakyat atau memperolehi sumbangan-sumbangan atas iniasitif sendiri,” ujar beliau ketika menyampaikan tazkirah pada Majlis Sumbangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Ayer Hitam di Sungai Korok Alor Biak, di sini 6 Ogos lalu.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa semua pihak yang berautoriti sama ada di pihak agensi kerajaan atau korporat, badan kebajikan dan sukarela perlulah memudah cara fungsi mereka dengan cepat dan berkesan.

Dengan harapan ujarnya, hajat golongan memerlukan dapat dipenuhi sewajarnya walaupun mungkin mereka kurang memenuhi maklumat diperlukan pihak penyumbang.

“Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak menjalankan fungsi mereka dengan baik dan cepat. Tapi ada sesetengah pula cuba melambat-lambatkan dengan pelbagai alasan. Inilah yang dinamakan karenah birokrasi,” ujarnya yang berharap semangat membantu golongan memerlukan mengatasi segala permasalahan tersebut.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Friday, August 12, 2011

Sumbangan Ramadhan Rakan BlackBerry YB Mohd Nasir

KUBANG ROTAN: Ramadan mencetuskan hubungan kasih sayang sesama manusia yang tidak pernah henti apatah lagi dalam usaha meraih limpahan keberkatan bulan mulia ini.

Tidak mahu terlepas peluang yang hanya berkunjung setahun sekali ini, satu kumpulan menggelar diri mereka sebagai Rakan BlackBerry Messenger (Rakan BBM) Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa telah mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan untuk tujuan tersebut.

Walaupun baru mempunyai 13 anggota, kumpulan baru tersebut telah menggerakkan program awal mereka menghulurkan sumbangan keperluan harian sempena Ramadan kepada golongan memerlukan dan ziarah sehari itu turut disertai Penaung Eksekutifnya, Mohd Nasir sendiri pada 6 Ogos baru-baru ini.

Menurut salah seorang anggotanya, Yusrin Zakri Adnan, inisiatif itu sebagai membantu meringankan beban golongan memerlukan selain mengajak Rakan BBM untuk sama menginsafi kedaifan holongan tersebut.

Ujar beliau, semua Rakan BBM juga bergerak sebagai mendokong komitmen Mohd Nasir sebagai Adun yang sangat prihatin kepada penduduk dalam Dun beliau.

Seusai menghabiskan jelajah sehari itu, mereka bersama menikmati hidangan berbuka puasa di Restoran Nelayan Kuala Kedah dalam usaha mengeratkan hubungan keanggotaan.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my