Monday, August 15, 2011

Kedah terus terajui usaha menyatukan ilmuan Islam


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kedah merintis usaha menyatukan ilmuan Islam yang terdiri daripada para pengkuliah agama di surau dan masjid seluruh negeri ini apabila mengadakan Ijtimak Pengkuliah Umumi di Sri Mentaloon, di sini 6 Ogos lalu.

Menurut Pengarah Ijtimak, Ustaz Ahmad Yahaya, himpunan itu merupakan kesinambungan dari usaha penyatuan yang telah dibuat sebelum ini melibatkan para tenaga pengajar dan institusi pengajian nizami dalam negeri Kedah.

Di mana hasil dari itu ujarnya, 36 sekolah agama membentuk gabungan atas nama Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa), manakala Majlis Guru Pondok pula menyatukan 24 pondok di seluruh negeri ini.

“Kita melihat, sesudah kita berjaya menggabungkan institusi bersifat nizami, maka kita merasakan satu keperluan menggabungkan tenaga-tenaga yang menyampaikan kuliah ilmu dan tersebar di seluruh negeri ini pula,” terang beliau.

Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dalam pengisiannya pada ijtimak itu menyeru para pengkuliah agar bersatu seumpama rantaian tasbih.

Ujarnya, dalam konteks pentadbiran Islam di Kedah, Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama adalah kepala tasbih dan para pengkuliah seumpama anak-anak tasbih.

Katanya, para pengkuliah berperanan meningkatkan pengetahuan agama agar dapat menyampaikan ilmu dan menyatukan masyarakat selain menangani pengaruh-pengaruh yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jelas beliau, tugas yang sedang didokong itu adalah usaha menyampaikan risalah para mursalin dan anbiya di mana ia wajib disampaikan kerana adanya ilmu dari kalangan pengkuliah.

Demikian itu terangnya, kewajipan ke atas menyampaikan ilmu tersebut adalah perlantikan dari Allah dan Rasul.

Pun begitu, beliau berharap para pengkuliah tidak hanya memiliki ilmu tapi juga mempunyai iltizam terhadap ilmu.

Beliau juga menyeru agar pendekatan mengajar relevan dengan suasana masyarakat zaman sekarang di mana mementingkan ilmu itu disampaikan untuk mudah difahami serta huraian yang memuaskan.

Syeikh Baderudin turut melontarkan perasaan kurang bersetuju beliau terhadap penerangan pelbagai mazhab dalam pengajaran hingga masyarakat menjadi keliru.

Jelasnya, perkara itu berbeza dengan pengajian di universiti yang mahukan penuntut menjadi ‘mutabasir’ yakni berpandangan jauh.

Selain itu, beliau menjelaskan peranan pengkuliah dalam menangani pengaruh-pengaruh lain seperti Syiah dan Wahabi yang telah diwartakan fatwa larangannya di Kedah sejak 11 tahun lalu.


No comments:

Post a Comment