Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Manusia mampu melaksanakan perintah Allah apabila adanya hidayah iman di dalam diri, demikian menurut Ahli Parlimen Baling, Dato’ Ustaz Taib Azzemuddin Md Taib.
Katanya, dengan hidayah iman, manusia berupaya melaksanakan ibadah walaupun dilihat sukar pada tanggapan akal atau perhitungan ilmu manusia.
Misalnya ujar beliau, orang Islam menjalani puasa tanpa minum walaupun setitis air, sedangkan fungsi tubuh badan manusia akan terjejas akibat kekurangan air sebagaimana difahami dalam ilmu perubatan.
Namun terbukti ujarnya, tidak ada orang Islam yang benar-benar berpuasa jatuh sakit kerana hal tersebut.
Jelas bekas Imam Masjid Negara itu, kemampuan sedemikian adalah kerana hidayah iman yang mengajar manusia bahawa kebenaran adalah dari sisi Allah di mana Dia Maha Mengetahui dalam menentukan ibadah buat manusia.
Dengan hidayah iman terangnya, ia menjernih dan memandu manusia dalam kegelapan dan dari keinginan hawa nafsu.
Terdahulu, dalam tazkirah Ramadhannya itu, Ustaz Taib menerangkan empat jenis hidayah kepada manusia bermula dari hidayah tabie yang memberi ilham kepada fitrah makhluk sebagaimana bayi baru lahir berkehendakkan kepada susu ibu.
Diikuti dengan hidayah kecenderungan yang menyempurnakan lagi hidayah tabie dan pancaindera sepertimana haiwan mengenali jenis makanannya sendiri atau anjing yang mampu mengesan sesuatu dengan deria hidungnya.
Berbanding makhluk lain, manusia dilebihkan dengan hidayah akal kerana manusia perlu hidup bermasyarakat dan akal juga membetulkan kesilapan kecenderungan.
Misalnya kecenderungan manusia kepada makanan diperbetulkan akal dengan nasihat memilih makanan yang tidak memudaratkan kesihatan diri.
Namun terang Ustaz Taib, hidayah akal tidak mampu menanggapi kebenaran agama. Kerana apabila manusia menanggapi agama dengan akal, ia akan menggambarkan tuhan dalam pelbagai rupa.
Sedangkan kebenaran agama itu letakknya di sisi Allah. Demikian itu, tegas beliau, manusia memerlukan kepada hidayah iman.
No comments:
Post a Comment