Tuesday, August 16, 2011

Menteri Besar Kedah pertama dari kalangan ulama

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Belum pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini, Kedah dipimpin oleh Menteri Besar yang merupakan seorang ulama, demikian menurut Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Menurutnya, dengan kelulusan yang ada kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bermakna ulama sedang mengetuai kerajaan ketika ini.

“Selalu yang menjadi Menteri Besar bukan dari kalangan ulama. Sebab itulah sebelum ini timbul istilah ulama dan umara. Ulama orang lain, umara orang lain. Tetapi kali ini yang memerintah, dialah ulama dan dia juga umara.

“Saya kira inilah prinsip Islam yang sebenarnya dalam sesuatu negara yang hendak disebut Negara Islam di mana salah satunya adalah kepimpinan,” ujarnya pada Ijtimak Pengkuliah Umumi di Sri Mentaloon, di sini 6 Ogos lalu.

Katanya, perkara itu berbeza sebagaimana fahaman Barat yang meletakkan dua golongan tersebut secara berasingan sebagaimana mereka mengasingkan agama dengan pemerintahan.

Tegas Dato’ Phahrolrazi, perkara itulah yang dikenali sebagai sekularisme hingga membuat umat Islam jatuh dalam kejahilan dan tidak tahu menahu mengenai pemerintahan.

Menyingkap sejarah, beliau berkata, serangan sekularisme itu menyebabkan Islam kembali ke tempat-tempat pengajian termasuk pondok yang menjadi benteng terakhir umat Islam.

Malah ujarnya, penjajah yang datang bersama doktrin agama mereka juga gagal mempengaruhi institusi pondok sebagaimana mereka berjaya mewujudkan sekolah-sekolah mubaligh sepanjang penjajahan.

Terangnya, kejahilan ummah dan keadaan ketika itu yang tidak menggambarkan tasawwur Islam sebenar menyebabkan agama dipandang lekeh dan tiada masa depan.

Namun ujarnya, kebejatan di sebalik kemajuan dalam kehidupan duniawi masa kini menyebabkan manusia menilai tujuan hidup lalu kembali kepada Islam.

Demikian itu tegas beliau, peranan para pengkuliah umumi sangat penting dalam keperluan masyarakat kini.

Kerana katanya, masyarakat memerlukan ulama dan ulama pula memegang serta menjadi panduan kepada masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa rencam dan perkembangan dalam masyarakat era ini memerlukaan para pengkuliah juga meningkatkan ilmu Islam mengikut keadaan semasa.

No comments:

Post a Comment