Wednesday, August 3, 2011

Imej bersih PAS tarik bukan Islam sertai DHPP

ALOR SETAR: Imej politik PAS yang bersih dari rasuah antara tarikan masyarakat bukan Islam menyokongnya, demikian akui Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) PAS Negeri Kedah, Tan Weng Fatt.

Menceritakan pengalaman peribadi, jelasnya beliau sebagai ahli perniagaan sememangnya tidak pandai berpolitik.

“Tetapi saya ada terlibat dengan kerja-kerja persatuan amal. Saya tidak kenal rasuah dan kerja jahat. Saya dapati dalam PAS tidak ada rasuah. Sejak 8 Mac (2008) saya sekeluarga bersama PAS,” ceritanya.

Dengan tertubuhnya DHPP ujarnya, usaha mendekati dan menghubungkan masyarakat bukan Islam dengan PAS telah diusahakan.

Maklumnya, pihak beliau pernah menganjurkan dialog dengan masyarakat Cina dalam menyuarakan sama pandangan dan kehendak peniaga untuk memajukan Bandaraya Alor Setar.

Begitu juga masalah penduduk bukan Islam di Pulau Langkawi, DHPP katanya telah memanjangkan banyak perkara berkaitan kepada wakil kerajaan negeri.

Antara perkara itu termasuklah berkaitan pembinaan Wat Siam dan kawasan perkuburan Hindu hingga akhirnya geran berkaitan diperolehi dari Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Antara kenangan manis kepada Tan adalah dalam menghubungkan masyarakat Siam di Naka, Padang Terap dengan PAS.

“Ketika kami mula-mula pergi sana hanya ada dua orang sudi datang jumpa. Mereka tidak mahu pada PAS, mereka percaya kepada orang Melayu,” terangnya.

Ditanya sebab masyarakat Siam tidak percaya kepada orang Melayu, ujarnya adalah kerana masyarakat Siam sering diberi janji oleh orang Melayu Umno di sana tetapi tidak ditunaikan sehingga difikiran mereka begitu kuat menolak orang Melayu.

Maka, DHPP berusaha meyakinkan masyarakat Siam di sana bahawa PAS tidak seperti yang mereka sangkakan.

“Jadi kami buat program di sana. Jam 6 petang hanya beberapa orang hadir. Pukul 8 malam pun hanya ada 200 hingga 300 orang sahaja. Saya sangat susah hati kerana Menteri Besar akan sampai,” ceritanya mengimbau detik itu.

Tetapi apabila MB tiba sekitar jam 9 malam di situ ujarnya, ribuan orang Siam juga hadir sehingga MB kagum.

Pun begitu akuinya, dalam menjalankan gerakerja dan membentuk pasukan yang kuat, DHPP masih memerlukan masa dan sokongan. Beliau berharap agar PAS Kedah dapat mewujudkan dana khas untuk tujuan itu.

Selain itu cabaran lain ujar Tan, adalah persepsi ramai bahawa DHPP tidak berperanan kerana tidak dijemput dan dialukan sama dalam program-program kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu masih perlu difahamkan kepada semua pihak bahawa DHPP adalah entiti parti dan sememangnya wajar ia tidak menerima jemputan rasmi.



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

No comments:

Post a Comment