Tuesday, August 2, 2011

Malaysia mampu jadi negara kuat dan hebat - Presiden PAS

SUNGAI LALANG: Malaysia mampu menjadi negara yang hebat dan kuat sekiranya kepelbagaian dari semua kaum dapat disatukan, demikian keyakinan dilontarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perkara itu ujarnya, kerana setiap kaum di negara ini mempunyai keistimewaan masing-masing.

Tegas beliau, penjajahlah sebenarnya yang telah memisahkan antara kaum dan memperhambakan kaum-kaum yang ada di negara ini.

Terang Ustaz Abdul Hadi, peperangan berlaku kerana adanya pihak yang melampau dan zalim.

Maka apabila tidak ada yang melampau dan zalim ujarnya, secara tabienya manusia akan tolong menolong antara satu sama lain.

Untuk itu serunya, semua kaum di negara ini perlu menerima hakikat bahawa mereka telah berada di dalam sebuah negara dan disatukan dengan keadilan.

“Dasar adil adalah untuk semua bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk bukan Islam. Bila PAS buat kerjasama dengan KeADILan yang di dalamnya juga ada bukan Islam; Cina dan India, bila PAS mengadakan persefahaman dengan DAP, maka media-media Umno; Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, TV3 dan lain-lain membuat dakyah mengatakan PAS sudah meleweng daripada Islam.

“Mereka mengatakan PAS diperkudakan DAP, DAP perkudakan PAS. Maknanya mereka akui PAS adalah parti Islam. Umno tak mengapa kerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan, dengan PPP, (tetapi) PAS tidak boleh kerana PAS ini parti Islam. Alhamdulillah.

“Bila sebut parti Islam bukan bermakna tidak boleh kerjasama dengan bukan Islam. Al-Quran ajar manusia dijadikan pelbagai bangsa dan berpuak-puak. Manusia kena berhubungan bukan sahaja dalam sekampung, dalam negara, tetapi juga dunia. Ini tabie alam yang ditetapkan Allah,” terang Tuan Guru.

Untuk itu, beliau menyeru semua kaum bersatu agar negara ini mampu menjadi kuat dan hebat.

“Jangan kita bina negara dengan duit, dengan kebendaan. Berlumba-lumba untuk kepentingan masing-masing, jangan. Dengan semangat kebangsaan masing-masing, ini tidak boleh. Sayang kepada bangsa tidak menjadi salah. Yang menjadi salah ialah assabiyah di mana kamu menolong bangsamu berlaku zalim kepada kaum lain. Ini makna assabiyah. Ini diharam, dilarang oleh Islam,” jelas beliau.



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

No comments:

Post a Comment