Sunday, August 7, 2011

Kepentingan rakyat sentiasa jadi keutamaan

SUNGAI PETANI: Keutamaan rakyat menjadi agenda yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat, demikian ditegaskan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Antara perkara penting diberi perhatian itu adalah soal pemilikan tanah kepada rakyat negeri ini.

Menurutnya, terdapat rakyat yang telah mendiami tanah tertentu selama generasi demi generasi tetapi tidak diberikan geran tanah walaupun membuat permohonan.

Malah katanya, terdapat kes di mana tanah kerajaan dengan mudah diberi kepada syarikat-syarikat atau pemilik syarikat tertentu dengan keluasan hingga ribuan ekar.

Jelas Phahrolrazi, kerajaan ketika ini sedang giat menyediakan rumah sebanyak mungkin untuk dimiliki rakyat khususnya rumah mampu milik.

Perkara itu terangnya, sedang dilakukan berperingkat-peringkat sama ada dibina sendiri oleh pihak kerajaan atau disyaratkan kepada pemaju.

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) ujarnya, adalah antara agensi utama dalam meneraju usaha kerajaan tersebut melibatkan tanah-tanah milik kerajaan negeri.

“Yang penting rakyat dapat memiliki rumah mengikut kelayakan dan kemampuan mereka. Ada rakyat dalam kumpulan miskin tegar tidak mampu beli rumah walaupun murah, mereka ini kita diberikan percuma.

“Terdapat kes di luar bandar, mereka ini selepas beberapa keturunan mendiami tanah kerajaan, dari hutan kepada tanah kerajaan tetapi tiada geran. Bukan mereka tidak memohon, tapi mungkin sebab ‘hijau’, mereka tak dapat, ditolak,” terangnya.

Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat ujarnya, Jawatankuasa Tanah telah dibentuk di setiap daerah untuk memproses permohonan mendiami tanah yang telah lama dikemukakan.

Tegas beliau, dalam masa sama kerajaan negeri menyekat permintaan untuk keluasan tanah yang besar dari syarikat-syarikat.

Beliau juga melahirkan kekesalan kerana semasa di bawah pemerintahan BN, mereka telah meluluskan keluasan tanah hingga ribuan ekar kepada orang perseorangan atau syarikat-syarikat tertentu dan terdapat pula yang kemudiannya memajak pula kepada syarikat lain.

Sedangkan katanya, rakyat yang hidup seumpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ tidak diberikan tanah atau dihalau dari tanah berkenaan.

Jelasnya, kerajaan negeri akan hentikan semua perbuatan mengambil kesempatan mengaut kekayaan di atas tanah kerajaan sebaliknya mengalu-alukan permohonan dari rakyat untuk mengguna dan memiliki tanah dengan had 10 ekar ke bawah.

Semua tindakan itu ujarnya, adalah sebagai tanggung jawab kerajaan kepada rakyat, apatah lagi rakyat turut memberi sumbangan kepada pembangunan negeri.

“Tidak sepertimana BN, projek besar habis duit tapi hasil tidak dapat pun kepada rakyat. Sebaliknya peruntukan-peruntukan kita disalurkan kepada rakyat dan kita sentiasa bela rakyat,” tegas Phahrolrazi.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

No comments:

Post a Comment