Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Negeri Kedah menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati menyentuh perkara berkaitan agama di masa akan datang.
Ketuanya, Sheikh Mohamad Abdullah berkata, semua pihak harus mengelak dari mengadakan kegiatan yang boleh menimbulkan salah faham berkaitan keagamaan.
Ini kerana katanya, agama adalah satu perkara sensitif di mana sepatutnya perlu difikirkan terlebih dahulu kemungkinan yang akan timbul dari usaha mengadakan hal berkaitan dengannya.
“Sebab itulah dengan permasalahan gereja baru ini telah timbul pelbagai reaksi disebabkan semua pihak tidak mahu timbul masalah (pada agamanya). Setiap orang itu merasa bertanggung jawab terhadap agamanya. Kerana itulah orang Islam merasa bertanggung jawab terhadap Islam di mana hal Islam tidak boleh disentuh sewenangnya.
“Saya berpendapat, perkara-perkara seperti ini tidak patutlah diadakan kerana ia akan menimbulkan sebagaimana berlaku tersebut. Adalah lebih baik kita membuat kegiatan-kegiatan kebajikan atau perkara yang tidak akan menimbulkan salah faham terhadap agama.
“Apatah lagi kalaulah perkara itu dilihat untuk mempengaruhi orang Islam yang boleh membawa kepada pengertian untuk memurtadkan,” ujarnya melontarkan nasihat ketika mengulas isu serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Selangor baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment