Friday, August 5, 2011

Majlis Konvokesyen KIDU Kali Ke-10

Oleh IZWAN ABDUL HALIM








POKOK SENA: Seramai 32 graduan menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) Kali Ke-10 yang berlangsung dengan gilang gemilang di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, di sini 31 Julai lalu.

Penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kidu, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi Kidu.

Pada majlis penganugerahan tersebut juga menyaksikan dua siswi menggungguli penerimaan Anugerah Emas atas kecemerlangan akademik mereka iaitu Adni Amiruddin dan Madihah Md Daud. Anugerah tersebut disampaikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tuan Guru turut menyampaikan Anugerah Khas sebagai mengenang dan menghargai jasa tokoh penting pembangunan Kidu iaitu Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor. Plak anugerah telah diterima anak saudara Almarhum, Ustaz Hamadah Mohamed Shauki sebagai wakil keluarga Almarhum.

Memulakan ucaptama seusai penyerahan plak anugerah tersebut, Ustaz Abdul Hadi nyata menahan sebak hinggakan terlihat air matanya menitis sebelum beliau menyapu dengan tangan.

Dalam ucaptamanya, beliau menekankan mengenai kepentingan ilmu yang merupakan projek terpenting dalam menyampaikan mesej dakwah Islam.

Tegasnya, manusia memerlukan ilmu dalam menjalankan peranannya kepada tugas ibadah, dakwah dan amanah sebagaimana Allah SWT mengilmukan Nabi Adam AS.

“Untuk merealisasikan peranan manusia di atas muka bumi hendaklah dimulakan dengan dibangunkan diri manusia menurut acuan Allah SWT iaitulah dengan ilmu al-Quran, mengilmukan akal dan jasad supaya beriman,” terangnya.

Ujar beliau, Islam telah memimpin manusia secara meluas dengan ilmu walaupun tanpa kemudahan komunikasi canggih yang ada pada hari ini.

Malah katanya, ilmu telah menjadi benteng pertahanan Islam ketika mana pelbagai fahaman lain mengalami keruntuhan.

Pun begitu beliau mengingatkan, musuh Islam berusaha untuk menjurangkan manusia dari Islam dengan membina Islamophobia.

Terang Ustaz Abdul Hadi lagi, kedatangan fahaman lain telah memperhambakan manusia, sedang Islam datang membebaskan manusia, malah Islam juga datang tanpa menguasai hak bumi sebagaimana dilakukan penjajah.

Demikian itu, beliau menyeru para graduan agar tidak hanya semata-mata memiliki segulung diploma tetapi perlu berilmu dan faham serta mampu menterjemahkan ilmu kepada masyarakat.

Terdahulu, Dato’ Ir Phahrolrazi dalam ucapannya menegaskan bahawa Kidu akan terus dipertahankan sebagai institusi pendidikan tinggi milik PAS.

Majlis tersebut kembali diadakan di premis tersebut setelah sekian kalinya dilangsungkan ditempat lain. Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan Pesta Konvo yang diadakan selama tiga hari tiga malam.



No comments:

Post a Comment