Saturday, August 13, 2011

Kembangkan amal kebajikan setiap masa

AYER HITAM: Amal kebajikan perlu dilakukan pada setiap masa dan tidak terhenti hanya pada bulan Ramadan semata-mata, demikian seru Adun Ayer Hitam, Ustaz Abd Ghani Ahmad.

Katanya, jangan hanya dijadikan Ramadan untuk memprogramkan kebajikan sebaliknya diteruskan usaha itu setiap masa kepada golongan memerlukan.

Ujar beliau, walaupun ganjaran pahala dilipatkali gandakan semasa Ramadan, tetapi golongan kurang bernasib baik sentiasa ada disepanjang masa yang memerlukan keprihatinan masyarakat.

“Sebelum ini, nasib golongan memerlukan agak sukar mendapat bantuan biarpun diberikan bukti dan dokumen bertulis bahawa mereka terdiri di kalangan golongan tersebut. Pelbagai tanggapan negatif diberikan kepada mereka hingga kadang-kadang permohonan mereka ditolak dengan alasan tiada peruntukkan, syarikat tidak untung, tiada keputusan sebab mesyuarat belum putus lagi dan berbagai-bagai alasan yang diberikan.

“Akhirnya, tempat mengadu mereka ialah Pusat Khidmat Wakil Rakyat samada mereka datang sendiri atau melalui Ketua Kampung. Pusat Khidmat Wakil Rakyat pula akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut samada menyediakan peruntukkan melalui bajet wakil rakyat atau memperolehi sumbangan-sumbangan atas iniasitif sendiri,” ujar beliau ketika menyampaikan tazkirah pada Majlis Sumbangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Ayer Hitam di Sungai Korok Alor Biak, di sini 6 Ogos lalu.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa semua pihak yang berautoriti sama ada di pihak agensi kerajaan atau korporat, badan kebajikan dan sukarela perlulah memudah cara fungsi mereka dengan cepat dan berkesan.

Dengan harapan ujarnya, hajat golongan memerlukan dapat dipenuhi sewajarnya walaupun mungkin mereka kurang memenuhi maklumat diperlukan pihak penyumbang.

“Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak menjalankan fungsi mereka dengan baik dan cepat. Tapi ada sesetengah pula cuba melambat-lambatkan dengan pelbagai alasan. Inilah yang dinamakan karenah birokrasi,” ujarnya yang berharap semangat membantu golongan memerlukan mengatasi segala permasalahan tersebut.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

No comments:

Post a Comment