Saturday, August 6, 2011

Prihatin Ramadhan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Kerinduan kepada Ramadan hinggakan ramai yang tidak sabar menanti kerahmatannya. Maka benarlah doa Baginda Nabi SAW yang memohon keberkatan Rejab dan Sya’ban serta mengharap disampaikan kepada Ramadan. Limpahan nikmat yang Allah kurniakan kepada Ramadan menjadi rebutan kepada orang beriman untuk mengadakan kebaikan. Dengan itu berimbanglah hubungan sesama manusia di atas kasih sayang Allah apabila golongan berada dan pemegang amanah menunaikan tanggung jawab kepada mereka yang memerlukan.

 









Perlumbaan kepada kebajikan itu dapat dilihat apabila Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia telah menyumbangkan 5,440 kilogram dari beku kepada sekolah-sekolah agama dan rumah anak yatim negeri Kedah. Majlis penyerahan dan pengagihan telah diadakan di Sekolah Integrasi Faizin, Guar Chempedak, pada 28 Julai baru-baru ini.

Tentunya sumbangan sedemikian rupa menghadirkan kegembiraan khususnya buat anak-anak pelapis ulama agar Ramadan dapat dilalui dengan sebaiknya.


Begitu juga nasib Maidin Abdullah dari Kampung Belakang Pendang yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran minggu lalu. Atas tanggung jawab selaku pemimpin, Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman telah berkunjung menyampaikan sumbangan keperluan Ramadan kepada Maidin, 31 Julai baru-baru ini. Nyata, sumbangan kecil itu sedikit sebanyak mengubat duka yang masih berbekas di hati Maidin.

 









Manakala di bumi perjuangan Memali, anak As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud iaitu Ustaz Mohd Islah Ibrahim mengetuai sahabat-sahabatnya memberikan sumbangan kepada para balu syuhada. Mereka telah mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah sempena kedatangan Ramadan menemui dan menyampaikan keperluan berupa barangan harian dan wang tunai kepada para balu pada 30 Julai lalu. Sumbangan turut dipanjangkan hingga ke Perak menemui salah seorang pejuang Memali yang masih hidup, Razale Kadir di Kampung Sungai Bedarah, Ulu Selama sehari selepas itu.

Razale yang pernah menghadapi siksaan berat pihak polis dan ditahan di Kem Tahanan Kemunting kini berada dalam keuzuran. Namun, keprihatinan warga Memali dan ingatan kepada sejarah itu sentiasa menyuburkan semangat perjuangan di dadanya.


Menghadapi penyakit kencing manis sudah cukup terasa derita, apatah lagi apabila kaki terpaksa dipotong kerananya. Lalu seluruh rutin kehidupan turut menerima kesan sama. Begitulah nasib dihadapi Ahmad Md Noor dari Kampung Kuala Nau di sini.

Sejak kakinya terpaksa dipotong, beliau tidak mampu memberikan khudratnya untuk melaksanakan kerja kampung dilakukannya selama ini. Mujurlah, anak-anak dan saudara terdekat membantu.

Prihatin dengan kepayahan ke atasnya, Adun Kupang, Johari Abdullah telah mengunjungi Ahmad dan menyerahkan sumbangan kerusi roda dengan harapan memudahkan pergerakannya.

Ternyata sumbangan itu menghadirkan seri keriangan kepada Ahmad yang tidak henti-henti menguntumkan senyuman sepanjang kunjungan Johari ke rumahnya pada 19 Julai baru-baru ini.


Johari turut mengunjungi warga emas, Naatikah Bakar yang terlantar sakit sejak menjalani pembedahan. Beliau yang kini dijaga anak perempuannya mengadu pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun tidak menerima sebarang bantuan.

Melalui Sekretariat Wakil Rakyat (SKWAT) Baling, Johari akan berusaha memanjangkan perkara itu kepada pihak berkenaan.

No comments:

Post a Comment