Monday, August 8, 2011

Mengutamakan kerja perjuangan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru para pemegang jawatan di dalam PAS menjadikan kerja perjuangan meninggikan Islam sebagai kerja utama manakala kerja-kerja lain termasuk mencari nafkah sebagai membantu kepada usaha tersebut.

Beliau berkata sedemikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan dan Pelancaran Gelombang Bersepadu PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 30 Julai lalu.

Ujar beliau, kewafatan Nabi SAW tidak memadamkan cahaya Islam, sebaliknya perjuangan Islam diteruskan dengan Allah memilih sebahagian dari hamba-Nya untuk meneruskan perjuangan ini.

Tegasnya, perjuangan ini bukan sahaja untuk mempertahankan akidah tetapi juga berhubung soal duniawi.

Tugas dakwah jelasnya, bukan hanya mengiman dan mengIslamkan manusia tetapi juga menegakkan negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT di mana terkandung padanya kesempurnaan ajaran Islam.

“Bagi merealisasikan tanggung jawab ini, mestilah melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar seboleh-bolehnya bagi mencapai kuasa pemerintahan. Kalau tak mampu, (maka) jadi kumpulan pendesak yang boleh menyampaikan amanah Allah SWT kepada seluruh manusia.

“Di sini menunjukkan bahawa, perjuangan kita berkonsepkan risalah yang dibawa para Nabi dan Rasul tidak ada pemisahan politik dengan dakwah,” jelas beliau.

Ujar Tuan Guru, sebagaimana perjuangan para Nabi dan Rasul, akan ada yang mencapai kejayaan menjadi pemerintah dan ada pula dengan kekuatan jihad menegur pemerintah zalim.

Menghadapi realiti, para pimpinan serunya perlu kepada kebijaksanaan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Beliau memberikan beberapa contoh cabaran dihadapi antaranya diri sendiri, harta dan keluarga, masyarakat yang jahil, pertikaian ahli dan sebagainya.

Demikian itu katanya, adalah satu kebijaksanaan apabila tokoh-tokoh gerakan Islam memilih jalan demokrasi dalam menegakkan Islam bersesuaian kefahaman manusia.

Selain itu ujar Ustaz Abdul Hadi, strategi siasah kepimpinan di peringkat tertinggi juga perlu difahami dan difahamkan di peringkat dalaman organisasi.

Perkara itu katanya, perlu dalam membina kekuatan PAS dan kelangsungan perjuangan Islam di masa akan datang.

Kerana ujar beliau, PAS bergantung kepada kekuatan organisasi tidak sepertimana Umno yang bergantung kepada duit dan eksploitasi jentera kerajaan.

Maka ucapnya, menjadi amanah untuk menggerakkan lajnah sebagai jentera parti yang menuju kepada memahamkan masyarakat kepada Islam.

No comments:

Post a Comment