Saturday, January 28, 2012

Kritikan Dr Aziz Bari ditegur

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kritikan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak dibidas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Menurutnya, kritikan Aziz itu sebagai keterlaluan apabila ‘menghambat’ Ustaz Azizan menyertai BN dan melabelkan sebagai pro-Auku.

“Dr Aziz Bari tak perlu celupar dalam mengemukakan pandangan! Ini bukan kali pertama beliau mengkritik secara keterlaluan pimpinan PAS. Sebelum ini beliau pernah menyamakan Presiden PAS seperti Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan membuat gesaan meletak jawatan.

“Beliau ahli akademik, kritikan biarlah dalam kerangka intelek dan kewajaran. Tetapi Dr Aziz Bari dilihat lebih politik dari orang politik,” selarnya.

Ujar Ahmad, sebagai ahli akademik dalam bidang perundangan, Aziz Bari perlu berperanan mewaraskan penyelesaian terbaik melalui penilaian faktor yang melingkari Ustaz Azizan sebagai seorang Menteri Besar.

Katanya lagi, sebagai individu yang diiktiraf pakar perlembagaan, beliau sepatutnya lebih memahami kekangan dan dilema dalam hubung kait perundangan melibatkan antara Negeri dengan Persekutuan.

“Patutkah dengan hanya isu ini Ustaz Azizan dihambat untuk masuk BN? Siapa Dr Aziz Bari? Beliau bercakap untuk siapa? Kenyataan tersebut mengguris hati ahli PAS dan menimbulkan rasa tidak senang rakyat Kedah.

“Jadi, beliau tidak perlu menimbulkan situasi pertarungan politik sebaliknya saya syorkan mailah Kedah kerap sikit, kenali MB Kedah dengan lebih dekat. Mungkin satu hari, Dr Aziz boleh jadi orang kuat di Kuin pula. Dr Aziz perlu ramai kawan dalam politik jangan perbanyakkan musuh,” seru Ahmad.

Dr Aziz dalam satu wacana menggesa Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Ustaz Azizan berikutan isu penggunaan Auku di Kuin. Aziz juga mengatakan bahawa Azizan sepatutnya menyertai BN kerana didakwa pro-Auku.

Thursday, January 26, 2012

Serang Azizan Razak tidak bijak

Oleh Mohd Sayuti Omar
Saya tidak mengikuti isu membabitkan MB Kedah Azizan Razak yang dikatakan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah kesekian lama diperjuang untuk dihapuskan. Saya tidak tahu apakah 'konsekuens' isu itu di sebaliknya. Sebesar manakah atau sejauh manakah Azizan telah menyokong akta yang kini dibenci kerana dikatakan telah menyekang mahasiswa itu.
Khabarnya sampai ada protes besar-besaran dalam media massa, menerusi blog, muka buku dan sebagainya.

Ada sebab kenapa saya tidak mengikuti atau mempedulikan isu berkenaan. Kerana isu itu berlegar dalam lingkungan sesama sendiri, maka tidak wajar saya kira ia diperbesarkan. Isu itu seharusnya diselesaikan secara baik dengan diam tanpa gemercingan ke luar.

Dalam saat pilihan raya menjelma sepatutnya semua pihak mengelakkan dari bertembung sesama sendiri dan bersikap mendiamkan apa-apa yang masing-masing tidak berkenaan di antara satu sama lain. Jangan membuka banyak lubang intip untuk mengintip musuh nanti musuh akan mencuri peluang menerobos melalui lubang itu. Pembangkitan isu berkenaan boleh diibaratkan sebagai membuka lubang untuk musuh.

Mulut sesama sendiri perlu diam saat hendak melakukan serangan ke atas musuh. Kalau saat hendak ambush musuh tetapi sesama sendiri masih bercakap dan bercakaran bukan saja musuh terlepas tetapi diri sendiri akan menjadi mangsa kelak.

Apakah motif atau isu sebenarnya di sebalik serangan ke ataz Azizan Razak saya tidak tahu. Hanya hari ini apabila saya membaca laporan di sebuah portal melaporkan Abdul Aziz Bari juga mengecam Azizan Razak sampai minta Azizan Razak menyertai BN kalau hendak sokong AUKU baru saya tahu mengenai isu berkenaan. Kenyataan atau protes Aziz Bari itu saya kira agak keras dan menjadikan saya bingkas untuk mengulas.

Serangan kepada MB Kedah itu puncanya kerana Azizan menyokong tindakan Kolej Insiniah Kedah (KUIN) menggantung lima orang pelajarnya yang terlibat dalam tunjuk perasaan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Jadi mereka yang mahukan AUKU dihapuskan marah kepada sokongan Azizan itu, menterjemahkan Azizan tidak bersama mereka.

Sokongan itu diheret kepada soal ikrar dalam Buku Jingga. Kononnya dengan pendirian Azizan itu beliau telah bersikap menyanggah kandungan Buku Jingga. Tidak dinafikan dalam Buku Jingga ada dinyatakan untuk menghapuskan AUKU. Pernyataan dan janji di dalam Buku Jingga itu sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat dan sudah diterima sebahagian besar rakyat.

Memanglah dari segi prinsipnya tindakan Azizan itu bertentangan dengan aspirasi Buku Jingga. Tetapi adalah melampau kalau beliau diserang dengan berbagai cemuhan, apa lagi serangan itu sama jenis serangan ke atas Najib Razak, Sharizat Abdul Jalil atau Rosmah Mansor. Bagi saya kenyataan Abdul Aziz Bari seperti dipetik itu saya lihat tidak cermat dan agar boros. Kalaupun beliau anti kepada AUKU tetapi Aziz tidak sepatutnya begitu lancang menyerang Azizan.

Beliau kena ingat dan faham sebusuk dan seburuk mana Azizan dia masih bersama Pakatan Rakyat dan MB kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Saya kira mereka yang menyerang Azizan Razak sudah melupai adat dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terlampau geramkan UBN. Tidak boleh juga bila kita tidak senang dengan stail dan sikap seseorang kita terus menyerang mereka bila timbul saja isu yang dibangkitkan sedangkan ia boleh dibahas atau diselesaikan secara baik.

Kalau semua faham tindakan (kenyataan sokongan) Azizan itu sebenarnya ia tidak ke mana dan mudah gelabah. Ia tidak sedikitpun pun menghalangkan cita-cita untuk menghapuskan AUKU. KUIN adalah sebahagian daripada ratusan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) yang masih mengguna pakai akta berkenaan atau tertakluk dengan akta najis itu. Bukan KUIN sahaja yang mempraktikannya, tetapi pusat-pusat pengajian lain juga berbuat demikian.

Saya percaya Azizan juga tidak bersetuju dengan akta yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara itu. Apa lagi Azizan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (oposisi) yang sangat memerlukan kepada kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa untuk mendokong Pakatan Rakyat. Kenapa beliau menyokong tindakan itu, perlu di lihat dari sudut lain yang lebih profesional dan akademik serta politik, bukan secara harfiah. Inilah kita kadang kala kerana terlalu emosi sangat tidak dapat menyelami erti di sebalik makna. Tidak dapat menyelami erti lain daripada apa yang kita difahamkan. Ada kalanya kita terbawa-bawa dengan rasa dendam kepada seseorang itu ke mana saja.

Apa yang perlu difahamkan, KUIN tidak boleh bertindak di luar mana-mana akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia terikat dengan syarat-syarat dan undang-undang tubuhnya. Walaupun KUIN itu dibawah kerajaan negeri yang prinsip politiknya tidak suka kepada akta itu, ia tidak boleh tidak dari memperakui akta berkenaan dan tidak boleh mengabaikannya. Mana-mana ada mahasiswa yang bersalah dan perlu dihukum maka akta itu masih relevan dan digunakan.

Kalau KUIN tidak menggunapakai akta itu pasti ia bertentangan dengan akta penubuhannya yang mana kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menghendaki menggunapakai akta berkenaan. Semua kena akui bahawa AUKU walaupun dalam proses penghapusan masa kini, tetapi ia masih belum dihapuskan, jadi ia masih valid untuk KUIN juga.

Contohnya begini, kita tidak suka dengan tol yang dikenakan oleh pihak menguruskan lebuh raya sekarang ini kerana ia membebankan. Malahan kita berjanji untuk menghapuskannya kalau kita memerintah. Tetapi selagi kita belum memerintah, lebuh raya itu tetap terikat dengan perjanjian kerajaan, kita wajib membayarnya. Tidak membayar bermakna kita melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

Jadi bila Azizan Razak menyokong tindakan KUIN itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan akta itu. Begitu juga bila kita membayar tol bukan bermakna kita bersetuju dan redha dengan pengenaan tol itu. Beliau menyokong sebagai menghormati keputusan institusi berkenaan yang bertindak menggunakan undang-undang yang masih berlaku (valid). Manakala kita membayar tol dalam paksa itu juga kerana menghormati syarat-syarat yang dikenakan kepada kita. Kedudukannya sama bukan?

Kaedah atau hal-hal seperti ini perlu difahami secara mendalam. Baik mahasiswa, pemimpin pelajar dan ahli politik perlu fahami mengenai perkara ini dan kedudukan sebenarnya. Apa guna kita menyerang sesama sendiri, kalau tindakan itu akan dilihat sebagai kita berpecah belah sesama kita, tiada ada guna langsung.

Kepada saya, (maaflah) mereka yang mempertikaikan tindakan Azizan, membesar-besarkannya apa lagi menyerang termasuk sampai mengungkit perangai dan peribadinya tidak bijak dan bukan orang yang memakai minda politik sepanjang masa. Mereka tidak ada sikap tasamuh di dalam politik. Mereka hanya berfikir dengan apa yang ada di hadapan mereka saja dan tidak melihat kebenaran-kebenaran lain yang berlegar di sekeliling mereka. Maaflah...

Nasib baik dalam kes ini para pemimpin tertinggi nampaknya faham dan tidak terikut dengan nafsu amarah yang mentah itu.

Perhatikan apakah kenyataan sokongan Azizan kepada tindakan KUIN itu adakah dibangkit oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat? Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Rasanya tidak ada. Ini menunjukkan para pemimpin lebih bersikap profesional dan tahu waktu mana hendak bergaduh dan waktu mana untuk tutup mulut. Bermain politik ibarat kita berlakibini kita kena tahu waktu mana hendak bergaduh masa mana hendak bertengkar fasal nasi hangit. Kalau waktu senja kita bergaduh ertinya sepanjang malam kita akan kerugian...

Justeru mahasiswa, bloger yang anti AUKU dan sebagainya silalah tututp mulut anda. Hasrat dan matlamat untuk hapuskan AUKU itu tidak akan terhenti dengan hanya Azizan Razak membuat kenyataan menyokong tindakan KUIN itu. Malahan cara anda menyerang Azizan itu ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan tumpuan untuk menghapuskan AUKU yang telah dimeteraikan dalam Buku Jingga itu.

Kalau anda bijaksana anda tidak ungkitkan secara terbuka kenyataan Azizan Razak itu dan menerima tindakan KUIN itu. Anda patut berjumpa dan berbincang dengan Azizan. Dalam pertemuan itu anda secara senyap mengemukakan memorandum agar Azizan campur tangan melepaskan pelajar berkenaan. Cara ini paling fatanah dan menggambarkan anda - orang-orang yang mengkritik secara terbuka adalah orang yang bijaksana dan berfikiran tenang. Saya rasa Azizan juga akan bersetuju dengan permintaan anda secara diplomasi itu.


Bijaksanalah di dalam melayani isu-isu politik dan pilihlah subjek-subjek untuk diperkatakan, jangan pakai 'rawal' semua sekali. Politik perlu bijaksana yang bijaksana. Dan Abdul Aziz Bari yang baru melangkah kaki secara rasmi dalam lautan politik itu juga saya rasa sudah mula menunjukkan sikap tidak bijaksananya. Aziz sepatutnya tidak serang Azizan seperti itu yang mana boleh melukai hati penyokong MB Kedah itu, tetapi yang afdal memberi penjelasan kenapa Azizan membuat kenyataan sokongan itu. Mendamaikan dan bukan menghuruharakan lagi minda itulah politik harmonis.

Monday, January 16, 2012

Kenyataan Rasmi Ketua Pemuda PAS Kedah

KENYATAAN RASMI
KETUA PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
17 Januari 2011


Adalah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah amat menghormati hak kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.


USTAZ AHMAD BIN YAHAYA

Yang Umno Suka, Tidak Suka, Paling Tidak Suka

Oleh HARAKAH KEDAH

Yang Umno Suka
dewan lengang kosong tanpa ada sesiapa


Yang Umno Tidak Suka
bila persiapan untuk berhimpun diadakan, namun mereka terus harap banyak kerusi akan kosng


Yang Umno Paling Tidak Suka
rasa nak tumbang dah tengok, lalu jaja cerita ini gambar superimpose

Wednesday, January 11, 2012

Perginya seorang penyokong tegar PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Di mana sahaja program penting PAS atau Pakatan Rakyat di seluruh negara, pasti beliau tidak ketinggalan.

Kelibat penampilannya yang berjubah serban, berkaca mata hitam, bertongkat dan bertasbih besar serta butang-butang lencana dikenakannya sentiasa menarik perhatian umum biar di mana beliau berada.

Namun susuk tubuh tua yang kental jiwanya itu kini telah pergi mengadap Allah azzawajalla untuk selama-lamanya.

Penyokong tegar PAS, Mohd Isa Lebai Ahmad kembali ke rahmatullah jam 10.32 malam tadi di rumahnya di Kampung Bukit Bertam, Selama, Perak. Jenazah beliau akan dikebumikan jam 11.00 pagi ini.

Harakah difahamkan, sehari sebelumnya beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Petani kerana darah tinggi.

Dalam usia 88 tahun itu, arwah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh Mat Isa tetap istiqamah menghadiri setiap program penting PAS atau Pakatan Rakyat di seluruh negara sebagai menyatakan sokongannya.

Program besar terakhir dihadirinya adalah Himpunan Bebaskan Anwar 901 di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya malam itu, beliau sempat singgah mengikuti ceramah di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Anwar bebas, tugas saya sudah selesai, saya mahu pulang,” demikian kata-kata terakhir allahyarham selepas diumumkan keputusan perbicaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Arwah juga pernah ditahan polis pada Himpunan Aman Bersih 2.0 tahun lalu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dikalangan para pendokong agama-Nya. Al-Fatihah.

Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi bersama rombongan
Pemuda PAS Kulim/Bandar Baru menziarahi jenazah Pak Teh tengah malam tadi

Jangan pisahkan aku & dia, Tuhan tolonglah kucinta dia....

ABANG Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

"Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu."

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

"Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama."

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

"Ya RAHMAN... jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan."

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

"Ya AZIZ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL... berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

"Ya RAHMAN... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!"

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

"Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan."

"Ya ALLAH... rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

"Ya SAMIE’...terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini."

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM...ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

"Ya HAKIM... ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

"Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira."

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis misih ada.

"Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami."

* (Wawancara eksklusif Editor Sinar Harian, MAZLINDA MOHD NOR bersama Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ariffin).

Tuesday, January 10, 2012

Bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah sertai PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JERLUN: Tindakan bekas-bekas pegawai tertinggi kerajaan menyertai PAS dan Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa mereka sudah muak dengan Umno-BN yang cuba memperalatkan para pegawai kerajaan untuk kepentingan Umno-BN, demikian ditegaskan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar.

Hakikat itu juga ujarnya, membuktikan bahawa ramai pegawai kerajaan telah lama menyokong perjuangan PAS, tetapi hanya mengisytiharkan secara rasmi menjadi ahli apabila telah pencen dari perjawatan.

Beliau menyatakan demikian selepas menerima serahan borang menyertai PAS dari bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah, Ishak Ahmad di Kampung Alor Biak, di sini malam tadi.

Tiga bulan lalu, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dato’ Adnan Ibrahim dan bekas Pegawai Tertinggi TLDM, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menyertai PAS dalam satu majlis di Taiping.

Turut menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mahfuz adalah 16 anak muda diketuai oleh Muhamad Maududi Abd Ghani.

Hadir sama berceramah semalam ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Abd Ghani Ahmad dan Pengerusi KeADILan Negeri Kedah, Ahmad Kassim.



Monday, January 9, 2012

Kedah tuan rumah, Konvensyen PR momentum ke Putrajaya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 akan menjadi momentum padu untuk Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya, demikian keyakinan dilontarkan Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Konvensyen, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Konvensyen tersebut bertema ‘Bersihkan Malaysia’ dengan Kedah selaku tuan rumah bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini pada Sabtu, 14 Januari ini.

Menurut Phahrolrazi, konvensyen tersebut akan dihadiri perwakilan dari seluruh negara di mana setiap parti akan diwakili 600 pimpinan selain turut terbuka juga kepada pemerhati yang berminat.

Ujar beliau, sesi pagi akan bermula dengan ucapan pimpinan politik dari setiap parti. Malah, turut akan mengambil bahagian berucap maklumnya, adalah dari kalangan budayawan, pelajar, petani, pekerja dan ahli akademik.

Manakala sesi penggulungan pada sebelah petang pula ujar beliau, akan membariskan pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Pada sesi sebelah malam, akan diadakan Rapat Rakyat Perdana yang mensasarkan lebih 100,000 hadirin.

Sempena himpunan tersebut juga maklum beliau, akan diadakan majlis munajat yang dipimpin Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din.

Seterusnya acara kemuncak pada malam itu adalah ceramah dari pimpinan utama dan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13.

Terdahulu katanya, pra-konvensyen itu akan dimulakan dengan ceramah perdana pada malam sebelumnya iaitu Jumaat, 13 Januari di semua 15 parlimen dalam negeri Kedah melibatkan para pimpinan dari ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.


Saturday, January 7, 2012

Majlis Ulama warnai Tahun Baru 2012 di Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Bagaikan mentari pagi, terbitnya kian menyinari bumi. Seumpama itulah para ulama dilihat menzahirkan peranan mereka di Kedah. Bahkan hadirnya mereka di gelandangan ummah, seperti kemunculan yang telah lama dinantikan. Hal itu jelas dilihat pada dua majlis ulama yang mewarnai kedatangan tahun baru 2012.

Di Alor Setar, berlangsung program Lantunan Mahabbah Rasulillah Perdana di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada 30 dan 31 Disember lalu. Ia sebagai kesinambungan majlis seumpama yang telah diadakan sepanjang tahun 2011. Majlis selama dua hari kelolaan Yayasan Paksi itu padat dengan pengisian yang menjurus kecintaan kepada Rasulullah saw.

Antara ulama yang menjadi pembicara pada majlis itu ialah Dato’ Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad, Dato’ Dr Haron Din serta tiga anak ulama tersohor iaitu Ustaz Ahmad Fawwaz Dato’ Mohd Fadzil, Ustaz Nik Abduh Dato’ Nik Abdul Aziz dan Ustaz Mohd Khalil Dato’ Seri Abdul Hadi.

Turut ditampilkan juga personaliti antaranya Raja Mazian Raja Mohamed dan Nora yang membawa mesej agar setiap muslim menjadikan Rasulullah sebagai idola kehidupan.

Kemuncaknya pada malam akhir, lebih 10,000 hadirin datang mengenakan pakaian serba putih dan bersama melantunkan kerinduan kepada Rasulullah melalui selawat dan qasidah selain mendengar tausiyah disampaikan Syeikh Muhd Zainal Asri Romli dan Syeikh Ahmad Fahmi Zam-zam.

Manakala keesokannya 1 Januari, berlangsung pula Majlis Mahabbah Dan Ijtimak Ulama Turath di perkarangan Surau Perwaja, Gurun anjuran Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah dan Surau Perwaja.

Menjelang Maghrib, lebih 10,000 hadir memenuhi dataran lapang di situ untuk solat berjamaah dan selepas Isya’ hadirin mendengar amanat disampaikan para ulama antaranya Tuan Guru Salleh Musa, Tuan Guru Awang Lanai, Tuan Guru Yusof Hussin, Syeikh Hassan Bangkok dan ramai lagi.

Melihat sambutan luar biasa pada kedua-dua majlis julung kali itu, pastinya iman di hati membenarkan, bahawa fajar Islam kian menyinsing, menumbuhkan benih subur yang tersembunyi di tanah tandus. Para ulamalah fajar itu, yang akan menyuburkan rakyat negeri ini menuju “baldatun thayyibah wa rabbun ghafur”.

 Solat jamaah, lambang kekuatan umat Islam




Melantunkan salawat dan qasidah


Alunan salawat dan qasidah menyegarkan cinta pada Rasulullah


Saf ulama di atas pentas utama


Orang ramai khusyuk mendengar amanat para ulama


Rakyat tetap mendokong ulama


Para ulama mengetuai saf hadapan solat jamaah ribuan hadirin

Berhimpun atas dasar kecintaan kepada Rasulullah

Sunday, January 1, 2012

TRAGEDI MAHASISWA AMBANG 2012 : BANGKITLAH WAHAI RAKYAT


Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat kesal, dukacita dan amat marah terhadap pihak kerajaan Barisan Nasional dengan tindakan yang cukup tidak bertamadun, zalim dan kotor terhadap mahasiswa yang memperjuangkan hak kebebasan akademik. Penahanan 17 orang mahasiswa yang berhimpun secara aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta kecederaan yang dialami oleh tiga orang mahasiswa adalah lambang kemunduran demokrasi Malaysia. 

Justeru, DPPNK menuntut Kerajaan Barisan Nasional dengan serta merta bertindak:

Pertama : Bebaskan  semua mahasiswa yang ditahan tanpa syarat.

Kedua : Menghapuskan serta-merta akta zalim Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ketiga: Hapuskan serta-merta Akta Perhimpunan Aman.

Keempat:  Membayar semua kos rawatan perubatan bagi mahasiswa yang cedera.

Kelima: Memohon maaf kepada semua mahasiswa dan rakyat Malaysia

Sekali lagi DPPNK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim pihak kerajaan. Kami juga menyeru seluruh mahasiswa dan rakyat bangkit menghentikan segala kezaliman Barisan Nasional. Mahasiswa sebagai pemimpin dan pembimbing masa depan jangan gadaikan negara anda. Bergeraklah ke seluruh pelusuk negara; kampung,  desa, tanah rancangan, bandar dan bandaraya. Harunglah sungai, denai, bukit dan lembah. Berilah peringatan kepada yang alpa. Sedarkanlah mereka yang lena. Tamatkanlah riwayat pemerintahan Barisan Nasional yang sudah lama.


Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan DPPNK
Ahli Parlimen Padang Terap