Saturday, January 7, 2012

Majlis Ulama warnai Tahun Baru 2012 di Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Bagaikan mentari pagi, terbitnya kian menyinari bumi. Seumpama itulah para ulama dilihat menzahirkan peranan mereka di Kedah. Bahkan hadirnya mereka di gelandangan ummah, seperti kemunculan yang telah lama dinantikan. Hal itu jelas dilihat pada dua majlis ulama yang mewarnai kedatangan tahun baru 2012.

Di Alor Setar, berlangsung program Lantunan Mahabbah Rasulillah Perdana di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada 30 dan 31 Disember lalu. Ia sebagai kesinambungan majlis seumpama yang telah diadakan sepanjang tahun 2011. Majlis selama dua hari kelolaan Yayasan Paksi itu padat dengan pengisian yang menjurus kecintaan kepada Rasulullah saw.

Antara ulama yang menjadi pembicara pada majlis itu ialah Dato’ Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad, Dato’ Dr Haron Din serta tiga anak ulama tersohor iaitu Ustaz Ahmad Fawwaz Dato’ Mohd Fadzil, Ustaz Nik Abduh Dato’ Nik Abdul Aziz dan Ustaz Mohd Khalil Dato’ Seri Abdul Hadi.

Turut ditampilkan juga personaliti antaranya Raja Mazian Raja Mohamed dan Nora yang membawa mesej agar setiap muslim menjadikan Rasulullah sebagai idola kehidupan.

Kemuncaknya pada malam akhir, lebih 10,000 hadirin datang mengenakan pakaian serba putih dan bersama melantunkan kerinduan kepada Rasulullah melalui selawat dan qasidah selain mendengar tausiyah disampaikan Syeikh Muhd Zainal Asri Romli dan Syeikh Ahmad Fahmi Zam-zam.

Manakala keesokannya 1 Januari, berlangsung pula Majlis Mahabbah Dan Ijtimak Ulama Turath di perkarangan Surau Perwaja, Gurun anjuran Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah dan Surau Perwaja.

Menjelang Maghrib, lebih 10,000 hadir memenuhi dataran lapang di situ untuk solat berjamaah dan selepas Isya’ hadirin mendengar amanat disampaikan para ulama antaranya Tuan Guru Salleh Musa, Tuan Guru Awang Lanai, Tuan Guru Yusof Hussin, Syeikh Hassan Bangkok dan ramai lagi.

Melihat sambutan luar biasa pada kedua-dua majlis julung kali itu, pastinya iman di hati membenarkan, bahawa fajar Islam kian menyinsing, menumbuhkan benih subur yang tersembunyi di tanah tandus. Para ulamalah fajar itu, yang akan menyuburkan rakyat negeri ini menuju “baldatun thayyibah wa rabbun ghafur”.

 Solat jamaah, lambang kekuatan umat Islam




Melantunkan salawat dan qasidah


Alunan salawat dan qasidah menyegarkan cinta pada Rasulullah


Saf ulama di atas pentas utama


Orang ramai khusyuk mendengar amanat para ulama


Rakyat tetap mendokong ulama


Para ulama mengetuai saf hadapan solat jamaah ribuan hadirin

Berhimpun atas dasar kecintaan kepada Rasulullah

No comments:

Post a Comment