Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 akan menjadi momentum padu untuk Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya, demikian keyakinan dilontarkan Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Konvensyen, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Konvensyen tersebut bertema ‘Bersihkan Malaysia’ dengan Kedah selaku tuan rumah bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini pada Sabtu, 14 Januari ini.
Menurut Phahrolrazi, konvensyen tersebut akan dihadiri perwakilan dari seluruh negara di mana setiap parti akan diwakili 600 pimpinan selain turut terbuka juga kepada pemerhati yang berminat.
Ujar beliau, sesi pagi akan bermula dengan ucapan pimpinan politik dari setiap parti. Malah, turut akan mengambil bahagian berucap maklumnya, adalah dari kalangan budayawan, pelajar, petani, pekerja dan ahli akademik.
Manakala sesi penggulungan pada sebelah petang pula ujar beliau, akan membariskan pimpinan utama Pakatan Rakyat.
Pada sesi sebelah malam, akan diadakan Rapat Rakyat Perdana yang mensasarkan lebih 100,000 hadirin.
Sempena himpunan tersebut juga maklum beliau, akan diadakan majlis munajat yang dipimpin Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din.
Seterusnya acara kemuncak pada malam itu adalah ceramah dari pimpinan utama dan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13.
Terdahulu katanya, pra-konvensyen itu akan dimulakan dengan ceramah perdana pada malam sebelumnya iaitu Jumaat, 13 Januari di semua 15 parlimen dalam negeri Kedah melibatkan para pimpinan dari ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment