Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan limpahkan keberkatan buat golongan memerlukan

Ramadan hadir bersama dengan segala limpahan rahmat dari Allah SWT. Bukan sahaja ibadah digandakan ganjaran pahalanya, bahkan golongan memerlukan mudah mendapat perhatian.

Pancaran itu kelihatan kian mencerah di Kedah dengan pelbagai kegiatan dan usaha membantu golongan tersebut semakin rancak diadakan.


Di Sik, Yayasan Sultanah Hamimah telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima bantuan terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya di Dewan Wawasan Gemilang, di sini 4 Ogos baru-baru ini.

Sultanah Kedah, Tuanku Hamimah Hamidun berangkat mencemar duli menyampaikan sendiri sumbangan berupa barang keperluan harian dan wang tunai.

Hadir sama pada majlis tersebut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ustazah Siti Ashah Ghazali; Pegawai Daerah Sik, Dato’ Ismail Said; Pengerusi Persatuan Wanita Kedah di Wilayah Persekutuan/Selangor, Datin Wira Hasnah Abu Samah selaku penganjur majlis serta Ahli-ahli Yang Berhormat lain.


Manakala di Kubang Pasu, seramai 824 Guru Al-Quran dan Bidan Kampung menerima sumbangan berupa wang tunai dan keperluan harian pada majlis yang diadakan di Masjid Lembah Keriang, Changloon, di sini 4 Ogos baru-baru ini.

Penyampaian sumbangan diketuai oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul dan Ahli-ahli Yang Berhormat lain mewakili Menteri Besar.

Sumbangan dari peruntukan Yayasan Islam Kedah ini mula diperkenalkan sejak tahun 2009 lagi dan disampaikan setiap kali Ramadan termasuk kepada bidan kampung bukan Islam.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

No comments:

Post a Comment