Thursday, February 16, 2012

Kerana 'pilih kasih', BN halang pembangunan ke Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sikap pilih kasih BN yang menerajui Kerajaan Pusat merupakan punca perubahan sengaja tidak dibawa ke negeri Pakatan Rakyat, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Malah katanya, sikap itu menunjukkan bahawa BN tidak menghayati dan melaksanakan konsep federalisma yang menyatukan semua negeri di bawah Persekutuan Malaysia.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Kerajaan Pusat juga mengambil cukai dari rakyat di semua negeri termasuk Kedah. Bahkan negeri-negeri Pakatan Rakyat juga tidak pernah menghalang sebarang usaha dan pemberian dari Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat,” ujarnya membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam lawatannya ke Kedah, Muhyiddin menyata bahawa perubahan lebih besar dapat dibawa ke Kedah jika BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Di mana katanya, matlamat pembangunan boleh dicapai dengan lebih mudah sekiranya kepimpinan negara dan negeri diterajui parti yang sama.

Pun begitu sanggah Ahmad, semua halangan berlaku akibat sikap pilih kasih BN sebagaimana berlaku dalam isu royalti petroleum.

Jelasnya, ketika Terengganu ditadbir PAS, royalti petroleum disekat namun diberikan semula ketika BN mengambil alih. Kelantan yang diterajui PAS langsung dinafikan royalti tersebut, sedangkan ketika sama Sabah diberikan.

“Jadi sebenarnya, keadaan ini dicipta oleh BN. Semua hal dinafikan hanya kerana berbeza parti, adakah ini yang dimaksudkan Muhyiddin?

“Jika ini menjadi kesukaran kepada BN untuk melaksanakan pembangunan di seluruh negara, maka lihat nanti bagaimana Putrajaya di bawah Pakatan Rakyat. Perubahan lebih baik akan dibawa kepada semua rakyat dan negeri, insya-Allah” jawab beliau.


No comments:

Post a Comment