Thursday, November 8, 2012

PAS ceramah kerana BN monopoli media massa



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: PAS terpaksa menggunakan pentas ceramah sebagai medium penerangan berikutan media arus perdana dimonopoli secara khusus hanya untuk kepentingan pemerintahan BN, tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS sejak empat tahun lalu tidak pernah sekali pun diberi ruang untuk bersiaran atau ke udara di corong Radio Kedah FM.

Sebaliknya ujar beliau, Umno-BN merakusi media perdana semahunya termasuk menyebarkan fitnah dan laporan tidak benar terhadap Pakatan Rakyat.

Ustaz Ahmad berkata demikian sebagai menjawab tempelakan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyatakan bahawa PAS hanya tahu berceramah berbanding mentadbir kerajaan negeri.

“Demokrasi berat sebelah yang diamalkan ini menyebabkan PAS tiada pilihan lebih popular melainkan pentas ceramah.

“Pun demikian, pelaksanaan ceramah oleh PAS tidak pernah mengganggu perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di mana telah terbukti sepanjang empat tahun pentadbiran ini telah menjangkau pelbagai pencapaian.

Bahkan jelasnya, pentas ceramah turut menjadi medium penerangan berkesan terhadap pencapaian Kerajaan Negeri hingga Umno-BN Kedah terpaksa mengambil langkah sama turut serta mengadakan ceramah memburukkan Kerajaan Negeri Kedah walaupun mereka mempunyai akses luas kepada media massa.

Dewan Pemuda PAS Kedah juga katanya, melahirkan rasa berbangga mengadakan ceramah kerana ia termasuk kerja-kerja yang banyak dibuat para Nabi disamping menulis dan mentadbir.

Ini ujar beliau, sebagaimana ayat 5 surah Nuh yang bermaksud: “(Nabi Nuh berkata) “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam”.”

Terang Ahmad, hakikatnya Umno-BN berasa bimbang terhadap kesungguhan PAS dan Pakatan Rakyat meneruskan jelajah ceramahnya.

“Jika Umno-BN mahu penerangan menerusi pentas ceramah ini dihentikan, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar BN yang menerajui pemerintahan negara memberi ruang seluas-luasnya kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk akses media massa dan elektronik secara adil sebagaimana digunakan Umno-BN,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

No comments:

Post a Comment