Saturday, February 2, 2013

Penyelewengan dalam YIKed diadu ke SPRM



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah hadir untuk kali ketiga dalam tempoh sebulan menggesa siasatan penyelewengan yang pernah berlaku semasa pemerintahan BN Kedah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, 10 Disember baru-baru ini.

Kali ini aduan adalah mengenai ‘arahan politik’ salah guna kuasa dan salah urus tadbir Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKed) hingga menghadapi perintah saman RM11 juta oleh mahkamah.

Ia ekoran kegagalan YIKed menyelesaikan masalah tanah yang telah dipersetujui bersama dengan Syarikat Senisinga Sdn Bhd di mana ketika itu Senisinga mengambil alih pinjaman tidak berbayar (NPL) Southern Finance Berhad.

YIKed sebelum itu membuat pengambilan semula tanah di Tandop untuk projek pembangunan Kawasan Industri Ringan Tandop dengan usahasama Syarikat Cayman Development Sdn Bhd di mana syarikat usahasama Yiked Pengkalan Kundor Sdn Bhd ditubuhkan dengan ekuiti 20:80.

Bagi mendapat pinjaman kos pembiayaan pembangunan, Cayman telah menggadai tanah-tanah di situ kepada Southern Finance Berhad dengan jaminan korporat oleh YIKed.

Bagaimanapun, Yiked Pengkalan Kundor Sdn Bhd gagal membangunkan projek ini sekaligus tidak dapat membayar balik pinjaman dan pampasan kepada tuan-tuan tanah.

Rentetan itu, Syarikat Long Island Properties (K) Sdn Bhd dipilih meneruskan projek terbengkalai tersebut di mana sebuah syarikat usahasama Long Island Development Sdn Bhd antara YIKed dan Long Island Properties ditubuhkan sekaligus mengubah cadangan pembangunan asal kepada Perumahan Desa Seraya.

Untuk itu, Long Island Development bertanggung jawab menebus semula tanah yang tergadai dari Southern Finance Berhad tetapi gagal menebus 16 keping hak milik.

Ketika sama, Long Island Development memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri permohonan ubah syarat dan pecah sempadan atas tanah tersebut di mana Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan terhadap permohonan itu dan Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah telah mengeluarkan hak milik tanah baru.

Keadaan ini menimbulkan dua pemilikan atas satu tanah hingga mencetuskan saman Senisinga ke atas YIKed dan Kerajaan Negeri Kedah atas tindakan menyalahi undang-undang dan fraud yang menyebabkan pengeluaran hak milik dipecah bahagi. Dakwaan itu juga kerana rumah-rumah dibina di atas tanah yang dipertikaikan tanpa menyerahkan 16 hak milik asal dari pegangan bank.

YIKed kalah dalam saman tersebut dan diperintah mahkamah membayar RM11 juta kepada Senisinga.

No comments:

Post a Comment