Saturday, February 2, 2013

ARC kian berkembang di Kedah



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Golongan anak muda menzahirkan cara tersendiri dalam menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Antaranya menerusi penyertaan mereka sebagai anggota Alternative Riding Club (ARC).

Ternyata semarak konvoi bermotosikal melibatkan kira-kira 3,000 individu pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar awal bulan ini kekal membugar.

Maka Pemuda PAS berusaha meluaskan penyertaan golongan ini ke kawasan seluruh negeri Kedah menerusi pelancaran ARC peringkat kawasan.

Pelancaran kawasan pertama di Kedah melibatkan Kawasan Sungai Petani yang berjaya menarik lebih 80 penyertaan baru menjadikan keahlian kawasan itu meningkat kepada hampir 400 penunggang berdaftar pada majlis di Dewan MPSPK, Tikam Batu, di sini 20 Disember lalu.

Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi dalam ucapannya melahirkan harapan agar sambutan itu dipanjangkan sebagai semangat anak muda untuk menawan Putrajaya.

Ujarnya, kemampuan PAS menghimpun dan mendisiplinkan penunggang motosikal dari kalangan anak muda perlu terus menjadi ikon yang disegani.

Pelancaran yang diadakan bersama dengan Majlis Makan Malam Kelab Motosikal Kedah itu telah disempurnakan Adun Kupang, Johari Abdullah mewakili Exco Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib. Hadir sama Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh.


No comments:

Post a Comment