Sunday, November 4, 2012

Pemuda PAS Kedah lapor SPRM isu projek Kerpan



Oleh Harakah Kedah & Panglima Perang
dppnkedah@yahoo.com

ALOR SETAR: Kehilangan ‘misteri’ RM6.15 juta dari Projek Ternakan Udang Kerpan membabitkan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah telah diadukan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini 4 November.

Laporan itu menggesa SPRM menyiasat penyelewengan tersebut yang tidak mengembalikan keuntungan diperolehi kepada entiti pengurusannya menerusi akaun khas diwujudkan.

Malah turut mengakibatkan anak syarikat terbabit diarah mahkamah membayar saman RM2.16 juta kepada syarikat rakan usahasama.

Pendedahan mengenai perkara itu telah dibuat Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Stadium Sultan Abdul Halim pada 23 Oktober lalu.

Kontroversi projek tersebut bermula sejak tahun 1993 apabila mengorbankan beribu-ribu ekar tanah petani di Kerpan, Ayer Hitam.

Kemudian pada 27 Disember 2007, satu perjanjian pengurusan dengan persetujuan nisbah keuntungan 40:60 telah dibuat antara Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) dengan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB).

KASB merupakan syarikat ditubuhkan bersama antara Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) ketika di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun, keuntungan sebanyak RM6,156,397.00 telah hilang secara ‘misteri’ di mana gagal dimasukkan ke dalam akaun khas yang diwujudkan dan tidak diagihkan.

Akibatnya, KASB telah mengemukakan saman terhadap KAIMB dan memenangi kes itu pada 5 Jun 2012 apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan KAIMB membayar sebanyak RM2,160,993.40 kepada KASB.



No comments:

Post a Comment