Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Sikap Pengerusi
Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai kekal mempertahankan Ketua Pemuda Gerakan
Kedah, Tan Keng Liang berhubung sindiran kontroversinya mengenai garis panduan
papan iklan di Bandaraya Alor Setar menunjukkan sikap angkuh dan sombong
pemimpin parti itu.
Ketua Pemuda PAS Pendang, Ustaz Fuzi Saad berkata, Gerakan Kedah ternyata
bebal apabila terus menongkah arus sensitiviti semasa yang telah meluahkan rasa
tidak senang dengan ulasan dilakukan Keng Liang.
“Sewajarnya teguran, laporan polis dan ajakan berdialog dari pelbagai pihak
telah menyedarkan Gerakan Kedah untuk membetulkan keterlanjuran tersebut dan
bukannya terus menegakkan benang basah, seolah-olah mengajak berperang.
“Dr Cheah juga seakan menganggap perkara ini remeh apabila mendakwa
sindiran Keng Liang melalui twitter itu sebagai peribadi.
“Jika demikian, akan berleluasalah tindakan peribadi yang
sewenang-wenangnya mengganggu gugat keharmonian, bahkan mungkin keselamatan
awam. Dr Cheah harus sedar implikasi kenyataannya itu,” bidas Fuzi.
Menurut beliau, kedegilan Pengerusi Gerakan Kedah itu juga menjurus kepada
sikap mengapi-apikan permusuhan dan sentimen negatif ke atas garis panduan
tersebut tanpa cuba mendapatkan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan
perkara itu.
Malah katanya, tindakan Dr Cheah menempelak ajakan Pemuda PAS Kedah untuk
berdialog jelas satu amalan politik tidak matang dan kegagalan memanfaatkan
peluang meredakan konflik.
“Sepatutnya beliau membidas dakwaan sandiwara itu kepada Pemuda Umno Kedah
yang secara tiba-tiba bangun membela Islam dari sindiran Keng Liang.
“Sedangkan ketika sama Pemuda Umno menikus berdiam diri apabila Islam jelas
nyata dihina pemimpin utama MCA, Dato’ Dr Chua Soi Lek.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno memberi nasihat atau teguran
kepada rakan komponennya dalam BN berkaitan Islam,” ujar beliau.
Katanya lagi, kedangkalan Gerakan Kedah mempertahankan prejudis mereka
membayangkan budaya yang ada pada segelintir pemimpin dalam komponen BN
iaitulah kemaruk kepada ikon seks dan kelucahan.
Oleh itu ujarnya, rakyat di negara ini diseru menolak BN yang nyata
mempunyai minda merbahaya terhadap maruah dan keselamatan kaum wanita.
No comments:
Post a Comment