Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Garis panduan
baru untuk pemasangan papan iklan di Bandaraya Alor Setar sebagaimana diumumkan
Datuk Bandar adalah satu langkah ke arah mengangkat masyarakat yang bertamadun
dan bermaruah, demikian menurut Ketua Pemuda PAS kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.
Sehubungan itu katanya, Dewan Pemuda PAS Kedah mengalu-alukan pengenalan
garis panduan tersebut.
Ujar beliau, usaha itu perlu dilihat secara positif dan disokong semua
pihak di mana ia telah menjulang martabat dan penghormatan sekaligus menyekat
eksploitasi khususnya ke atas kaum hawa.
“Setiap wanita, biarpun mereka tiada pertalian darah dengan kita,
hakikatnya mereka adalah ibu, isteri atau anak perempuan kepada seorang lelaki.
“Demikian itu kami berpandangan, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang
begitu lantang mengkritik dan menyindir garis panduan tersebut tentunya tidak
mahu melihat ibu atau isteri atau anak perempuannya dijadikan produk
pemerdagangan dan hiasan mata dalam penampilan tidak sopan dan menjolok mata.
“Kami yakin, setiap lelaki budiman tidak akan membiarkan perkara tersebut berlaku
bukan sahaja ke atas ibu, isteri dan anak perempuan mereka, tetapi seluruh kaum
wanita,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, Keng Liang tidak harus prejudis dan stigma bahawa setiap
garis panduan atau peraturan yang diperkenalkan itu dilabelkan sebagai hudud
atau undang-undang syariah Islam.
Dalam pandangan lebih luas ujar Ustaz Ahmad, peraturan atau undang-undang
yang digubal ke arah kesejahteraan dan keharmonian serta meninggikan darjat
manusia perlulah disokong bersama.
“Sebagai rakyat, kita berhak bersuara mengkritik atau membantah tetapi
mestilah disusuli cadangan kepada penambahbaikan yang lebih efisien.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah secara terbuka dan sukarela menawarkan kesediaan
kami untuk berdialog dan berbincang dengan Keng Liang dan sesiapa sahaja dalam
usaha menerangkan sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam agar ia tidak
terus menjadi salah sangka.
“Suka juga kami menyatakan jika sekiranya garis panduan seperti itu
dianggap kecil dan remeh, ia sebenarnya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri
Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat begitu komited memikul amanah lebih besar
terhadap hak dan masa depan setiap individu rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak bahawa berdasarkan pengalaman
sedia ada, sebarang perkara yang timbul berkaitan hudud atau syariah Islam
seringkali dimanipulasi pihak tertentu terutamanya Utusan Malaysia yang
merupakan lidah rasmi ‘Syaitan Dikenali’.
Maka, Dewan Pemuda PAS Kedah tegasnya, menyeru seluruh masyarakat bertamadun
dan bermaruah untuk terus memboikot Utusan Malaysia dan media fitnah yang
seangkatan dengannya.
No comments:
Post a Comment