Tuesday, October 2, 2012

Himpunan Hijau 1,000 Ekor Ayam




Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BERSAHAJA tetapi berjaya memupuk hubungan muhibah dan ceria serta menyampaikan mesej parti. Begitulah suasana program Himpunan Hijau BBQ 1,000 Ekor Ayam anjuran Dewan Pemuda PAS Baling dalam kesungguhan mereka mengakrabkan hubungan dengan golongan muda. Malah Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menyifatkan program tersebut sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang membuktikan penganjurannya telah meluaskan interaksi mesra Pemuda PAS dengan masyarakat dalam Parlimen Baling.

Program bermula dengan konvoi 700 motosikal anak muda membawa bendera PAS dari lima destinasi parlimen itu menuju ke Markas PAS Baling di Kupang. Di situ mereka menunaikan solat berjamaah dan menyambut ketibaan Ustaz Nasrudin. Gabungan besar konvoi itu kemudian bergerak ke lokasi himpunan yang terletak 300 meter dari situ.

Di tapak himpunan telah ramai hadirin yang datang bersama keluarga berada di situ sedang pihak urusetia bertungkus lumus menyiapkan hidangan. Di satu sudut, petugas BBQ sibuk membakar ayam dengan peralatan terkini.

Tarikan awal bermula dengan Leman Raja Lawak yang berceloteh dengan hadirin disusuli ucapan pimpinan terdiri daripada Adun Kupang, Johari Abdullah; Yang DiPertua PAS Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan dan Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi.

Dalam keenakan menikmati hidangan nasi bersama ayam BBQ dan sup ayam, hadirin turut disajikan deklamasi sajak oleh Ustaz Nasrudin. Biarpun spontan, sajak sinis tersebut berjaya menjelaskan kepada hadirin perihal Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri sehari sebelumnya.

Leman Raja Lawak kembali mengisi slot utama ceramah pada malam itu. Nyata pendekatan ceramahnya yang santai tetapi mengolah hampir segala isu dan mudah difahami. Bukan sahaja menyegarkan pendengar, bahkan hadirin turut mengiyakan motif ceramah yang dicorakkannya. Slot terakhir ceramah diisi Ustaz Nasrudin yang banyak menyuntik keyakinan untuk Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya.

Menurut Pengarah Program, Ustaz Mohd Hilmi Abdul Wahab, himpunan itu sebagai menyemarakkan dokongan anak muda dalam Kawasan Baling untuk kekal bersama gerakerja PAS. Ujarnya, penduduk Baling khususnya golongan muda sejak pilihan raya 2008 lalu telah menunjukkan peningkatan sokongan memberangsangkan kepada PAS. Momentum itu terangnya, akan sentiasa diperkemaskan dalam usaha mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Baling, Dun Kuala Ketil dan Dun Kupang serta menawan Dun Bayu sekaligus membantu mempertahankan kemenangan negeri Kedah.



No comments:

Post a Comment