Friday, September 14, 2012

Kalimah "Jihad" berkumandang di Sungai Petani



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Kalimah-kalimah jihad tentunya sedang menggegar seluruh dunia lantaran kebiadaban musuh Islam kepada junjungan agung Nabi Muhammad SAW.

Episod terbaru penyiaran filem ‘Innocence of Muslims” karya seorang Yahudi Amerika Syarikat ternyata mengulangi siri penghinaan terhadap Baginda Rasulullah SAW.

Tentunya tidak ada seincipun bumi umat Islam yang reda dengan sebarang bentuk sindiran, apatah lagi penghinaan jelas menerusi perbuatan sebagaimana digambarkan filem berkenaan.

Maka, bantahan dan kecaman dizahirkan umat Islam seluruh dunia adalah ekspresi kecintaan kepada Rasulullah sekaligus ketidakrelaan menerima perbuatan sedemikian dari terus berulang.


Sewajarnya, telah menjadi perkara maklum kepada setiap penghuni muka bumi bahawa penghinaan ke atas mana-mana agama dan tokohnya sekalipun adalah urusan yang wajib dihindari sama sekali.

Amerika Syarikat secara khusus perlu segera tampil memohon maaf dan mengambil tindakan kepada penerbitan berkenaan. Jika tidak, besar kemungkinan api kemarahan umat Islam upaya membakar negara Uncle Sam itu.

“Kami sedia berikan nyawa demi mempertahankan Rasulullah SAW!” demikian antara ungkapan jihad pada Himpunan Bantah Filem Hina Nabi di Masjid Padang Temusu, di sini 14 September.

Ia tentunya sebahagian dari jutaan laungan kesediaan umat Islam di seluruh dunia untuk melancarkan jihad bagi menghentikan penghinaan yang berlaku.

Himpunan aman kendalian Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah itu disertai umat Islam dari pelbagai peringkat umur dan kaum termasuk warga Bangladesh dan Pakistan.

Bantahan diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Antara pimpinan yang hadir sama ialah Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi; Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Nasir Zakaria; Yang DiPertua PAS Kawasan Sungai Petani, Abdullah Jusoh dan Timbalan Pengerusi KeADILan Kedah, Ir Zamri Yusuf.


No comments:

Post a Comment