Wednesday, December 28, 2011

Penjelasan Isu Madrasah Salihiah Kanchut

wartakedah.net

Latarbelakang:
PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta ingin memulih dan memajukan Kompeks Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan sahaja memulihkan bangunan terbengkalai tetapi keseluruhan kawasan di sekitar itu. Pelaburan besar itu bakal memberi peluang ekonomi serta peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negeri ini. Isu yang timbul ialah dalam kawasan yang mahu dibangunkan itu terdapat tanah wakaf berkeluasan 0.08 hektar dan di atas tanah itu ada bangunan yang dinamakan Madrasah Salihiah. Pemegang amanah harta wakaf itu adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Kerana harta wakaf itu terbabit dalam pelan pembangunan maka ia dicadang untuk dirobohkan sementara dan dibangunkan sebuah surau baru di tempat yang sama.

Dakwaan yang timbul dan penjelasannya:

1. Perobohan surau adalah tindakan zalim
Kerajaan negeri tidak lakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap tanah wakaf yang libatkan kepentingan Islam. Ia dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah yang diketuai oleh Dato' Sheikh Badaruddin Hj Ahmad. Majlis Fatwa bermuzakarah dan memutuskan bahawa surau tersebut boleh diroboh berdasarkan kaedah Istibdal iaitu berlaku pindah wakaf kepada manfaat yang lebih besar. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada MAIK selaku pemegang amanah surau untuk mendapatkan wakaf yang baharu. Di lokasi yang dirobohkan akan dibina surau baru yang lebih luas boleh mengisi 400 jemaah dalam satu masa berbanding 200 jemaah dalam surau lama. Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baharu diberi lagi. Roboh satu dapat dua dan lebih manfaat!

2. Mufti Kedah dipaksa turut kehendak kerajaan negeri
Yang Berbahagia Dato' Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berada di bawah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini adalah Yang DiPertuan Agong, bukannya lantikan oleh Menteri Besar. Justeru tuduhan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas. Mufti juga tidak membuat keputusan berseorangan, mereka bermuzakarah secara mendalam dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah yang terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof  (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh dipertikaikan.

3. Surau baru berada dalam kompleks membeli belah, sukar dimasuki
Surau baru yang akan dibina berada di aras bawah kompleks dan boleh dimasuki dari luar pada bila-bila masa walaupun kompleks beli belah ditutup. Ia menampakkan syiar sebuah surau dari luar, ada kubah dan boleh melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Sedangkan Madrasah Salihiah yang ada sekarang hanya di buka waktu Zohor dan Asar. Pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak dimakmurkan sepanjang lima waktu.

4. Surau bernilai 100 tahun, ada nilai sejarah mesti dipertahankan
Sebenarnya bangunan surau yang kononnya bernilai 100 tahun di atas tapak itu sudah diroboh tahun 2007 dan dibina sebuah bangunan yang baharu (yang ada kini). Sebahagian besar bangunan itu adalah ruang pejabat yang disewakan kepada sebuah syarikat insuran, hanya satu ruang digunakan untuk bersolat. Bangunan itu baru berusia 4 tahun dan pampasan yang diberikan dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan tersebut.

5. Seluruh bangunan Madrasah Salihiah yang berusia 4 tahun itu adalah surau atau Rumah Allah
Rumah Allah adalah gelaran untuk bangunan surau atau masjid yang menepati syarat. Antara syaratnya ialah tandas mesti terpisah dari bangunan utama musolla seperti mana hampir kesemua masjid yang terdapat di dunia ini. Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil Rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang diguna untuk surau macam surau yang terdapat di mana-mana bangunan lain juga.

6. Surau itu dimakmurkan oleh kira-kira 200 jamaah pada setiap waktu solat
Tidak benar. Hanya ada beberapa buah rumah orang Islam berhampiran surau itu kerana ramai yang sudah berpindah. Orang Islam yang masih tinggal, lebih selesa berjemaah di Masjid Zahir. Solat berjemaah di surau itu biasanya hanya waktu Zohor dan Asar, dihadiri beberapa orang yang bekerja di situ. Waktu Maghrib, Isya dan Subuh, pagar pun berkunci. Jika benar surau itu mempunyai 200 anak khariah, mengapa tiada seorang pun yang datang bersolat Subuh? Ramai yang berdemonstrasi membantah bangunan itu dirobohkan tempohari mengaku ahli khariah tetapi sebenarnya mereka adalah penduduk Taman Wira Mergong, bukannya ahli khariah di situ. Bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insuran dari sebuah madrasah atau surau.

7. Sepatutnya ganti wakaf (RM1.48 juta) dibuat di sekitar lokasi tersebut juga
Cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya bagaimana hendak memenuhkan surau ganti wakaf yang dicadangkan itu sedangkan kawasan tersebut bukan perkampungan yang ramai orang Islam. Bukankah lebih baik memikirkan untuk memenuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang dibina itu. Dan lebih baik juga RM1.48 juga diguna untuk membina surau di mana-mana kawasan ramai penduduk. Bukan setakat untuk solat tetapi juga untuk pelbagai kegiatan umat Islam yang lain. Pahala yang mengalir kepada pihak yang mewakaf tentulah lebih besar.

8. Di sekitar itu juga terdapat gereja, mengapa gereja tidak dirobohkan sekali
Gereja tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan. Andainya gereja sengaja mahu dimasukkan, maka ganti gereja juga terpaksa dibuat di kompleks membeli belah itu. Adakah umat Islam negeri ini bersedia melihat sebuah gereja di kompleks membeli belah?

9. Pemaju Aman Central adalah orang kafir, mengapa beri peluang orang kafir majukan ekonomi mereka?
Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju tersebut. PKNK adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak boleh bersikap ‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.’ Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung.

10. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, Rumah Allah (masjid atau surau) diroboh untuk sebuah shopping complex
Tidak benar. Masjid Alor Malai pernah diroboh untuk pembangunan menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi ‘panas’ kerana pihak pembangkang kini merasa ‘terlebih pandai’ dari para ulamak yang ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah.

BERITA GEMBIRA UNTUK RAKYAT: KEDAH LUPUS HUTANG PINJAMAN PELAJARAN


Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak atas keputusan melupuskan pinjaman pelajaran bagi kes-kes terpilih.

1. DPPNK merasakan keputusan ini sangat bijak dan tepat serta kena kepada sasaran. Ia adalah satu bentuk tawaran tulen kepada golongan yang tidak sepatutnya dibebankan dengan hutang tidak wajar. Kematian, penyakit kronik, gila dan tiada daya membayar adalah golongan-golongan yang ditimpa musibah. Mereka wajib dibantu.

2. DPPNK merasakan tindakan ini selaras dan merupakan bukti perlaksanaan Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS serta komitmen penerusan agenda Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat.

3. Tindakan ini merupakan satu lonjakan positif bersifat jangka panjang dalam menjaga kebajikan rakyat yang sudah sedia terhimpit dengan kos tinggi sara hidup. Ia bukanlah satu bentuk tindakan 'one off' yang bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat.

4. DPPNK merasakan dengan keupayaan kewangan terbatas serta hutang tinggalan Barisan Nasional yang bertimbun, penghapusan hutang kepada golongan terpilih adalah wajar sebagai permulaan.

5. Tindakan kerajaan negeri merupakan satu cara perkongsian hasil negeri dengan rakyat yang wajar dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin lain.

6. DPPNK yakin keputusan ini adalah berita baik kepada seluruh penjamin yang terbeban sejak sekian lama. Keputusan ini sudah pasti melegakan penjamin seterusnya mereka akan memaksimumkan sumbangan untuk pembangunan negeri dalam bentuk yang lebih sesuai.

7. DPPNK juga berpendapat, Kerajaan Pusat yang mengutip hasil yang lebih banyak sepatutnya melaksanakan program ini di peringkat nasional. Adalah memalukan dengan segala hasil mahsul yang dijana daripada rakyat dengan begitu banyak, Kerajaan Pusat tidak berani bertindak seperti dilakukan oleh sebuah Kerajaan Negeri.

DPPNK yakin dengan pengumuman serta tindakan Dato' Seri Diraja Menteri Besar dalam menyelesaikan masalah ini akan mendapat sokongan daripada rakyat. Ia adalah satu lagi pencapaian hebat Kerajaan Negeri Kedah. Tahniah!

"Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua."


Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan DPPNK

Monday, December 26, 2011

Bila Mukhriz menari ikut Utusan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir tidak perlu mengikut rentak tari mainan akhbar Utusan yang dilihat terus membina persepsi mengelirukan berhubung Madrasah Salihiah.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan, asas kukuh berkaitan perkara itu telah pun diperjelaskan dan seharusnya Mukhriz tidak perlu mencari ‘glamour’ dengan menidakkannya.

“Kita nak ingatkan Mukhriz, dari segi hukum ia dilaksanakan setelah mendapat nasihat Majlis Fatwa Negeri. Ini bukan kerja menghancurkan macam Umno pernah buat. Berbeza dengan kerajaan pimpinan Umno yang pernah merobohkan surau dan masjid di beberapa tempat sebelum ini.

“Tetapi ini adalah pembangunan semula tapak berkenaan yang telah terbengkalai sekian lama. Sepatutnya Mukhriz kena rakam tahniah kerana dalam masa sama ruang solat dapat diperbesar dan diimarahkan. Amalan ini berlaku juga sepertimana pembesaran Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Nabawi di Madinah,” terangnya.

Ujar beliau, jika Umno selama ini mengaku jaguh soal pembangunan, sepatutnya Mukhriz menyahut pelawaan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bahawa kerajaan dan pembangkang sama-sama memerintah dengan turut serta menyokong usaha untuk masa hadapan itu.

Tegas Ahmad, Pemuda PAS Kedah menyokong usaha kerajaan negeri dalam menguruskan perkara itu dan berdiri teguh dengan kepimpinan Ustaz Azizan.


Saturday, December 24, 2011

Isu Turun Bendera PM: Pemuda PAS Ikrar Bela Mahasiswa

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.
Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.
Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.
“Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.
Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.
“Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah,” katanya.
Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
“Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.

Thursday, December 22, 2011

Kemuncup Perjuangan: Dasar PAS Dijamin Majlis Syura


Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatullah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, sama ada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumaraha dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada di puncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bila mana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi  (para sahabat) dan mereka yang mengikuti di belakangnya (tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis Syura Ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz, dan Timbalannya Datuk Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agung adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agung dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.
PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai rahmatul lil alamin.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna  langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruang tamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah rahmatul lil alamin telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk  mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.

Salam perjuangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Disember 2011

Saturday, December 17, 2011

'Jom Shopping' Muslimat PAS bantu warga emas

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Antara maksud berkebajikan itu bukan semata-mata menghulurkan sesuatu pemberian mendasari keperluan, tetapi juga soal menyelami punca permasalahan, menuntun keluar ke jalan penyelesaian serta selimutan kasih sayang dan keprihatinan.

Menyantuni golongan warga emas, Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang telah mengadakan program ‘Jom Shopping’ baru-baru ini.

Pada program julung kali itu, seramai 10 warga emas dipilih untuk membeli-belah barangan keperluan mereka di Pasaraya Besar Giant Alor Setar.

Mereka diiringi aktivis Nisa’ dan Muslimat Pendang dengan dibekali RM100 setiap orang bagi tujuan tersebut.

Ketua Muslimat PAS Pendang, Datin Dr Rahimah Sahit berkata, program tersebut sebagai mencontohi pendekatan dilakukan Kerajaan Negeri Selangor dan mereka itu dipilih dari kalangan warga emas yang kurang berkemampuan.

Selesai membeli-belah di pasaraya itu, semua warga emas berkenaan diraikan lagi dengan makan bersama para aktivis Nisa’ dan Muslimat PAS Pendang.

Thursday, December 15, 2011

Petanda Umno sesat, menyesatkan Melayu



MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sering menjadi bahan kecaman Umno sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, nama Tok Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakan Tok Guru tidak disenangi Umno? Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu kepada wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah Kelantan, 10 Disember 2011.




Harakah: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?
Tuan Guru Nik Abdul Aziz: PAS diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala kita wajib bersyukur. Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu. Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat. Umno mengira dia telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah. Misalnya motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu. Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala, sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan. Jika kita duduk bawah kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah kita dengan Allah Taala, kena terima semua.


Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?
Kita dididik oleh Islam hendaklah menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat. Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia. Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala. Inilah cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain, hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT nak guling macam mana, nak tukar macam mana?


Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?
Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia (orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing) sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang? Jika Umno sendiri nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini. Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut Umno. PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini, maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno. Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena fikir kesudahannya.


Isu agama dipolitikkan, sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?
Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi wajib. Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah? Kalau agama lain, politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa? Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama, berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa? Ini kerja politik, jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja. Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama lain politik lain?


Maknanya Umno tiada hujah, putar belit mereka sahaja?
Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang sembahyang. Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri, bagaimana berumah tangga, berjiran. Mengurus kewangan, adakah sebarang harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini 23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa, sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan. Jadi bukan sembahyang sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya, pemikiran hingga 23 tahun. Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan, bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari dari timur ke barat. Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia, tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA. Banyak tok-tok guru pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik. Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini semua tanda Umno itu sesat. Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.


Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?
Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia. Pergi ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang, boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia. Jadi benda kena jaga ni bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus. Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno. Kalau Umno kata dia ikut kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.



Wednesday, December 14, 2011

Blogger UMNO sertai PAS Di Kedah, lagi akan menyusul...

Oleh : http://kedahla.blogspot.com/

Blogger dan aktivis maya UMNO, Husaini Harun, yang terkenal dengan serangan-serangan terhadap PAS di alam maya sebelum ini, kini menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PAS.

Borang diserahkan kepada Timbalan YDP PAS Kawasan Alor Setar, Haji Zulkifli Yahaya di pertemuan santai bloggers dan rakan maya PAS Daerah Kota Setar yang diadakan Pejabat PAS Kawasan Alor Setar. Sementara itu satu majlis rasmi penyertaan beliau dan rakan-rakan muda secara beramai-ramai ke dalam PAS akan diadakan di kawasan DUN Bakar Bata

Sementara itu seorang lagi blogger UMNO Kedah dijangka menyertai PAS dalam masa terdekat. Penyertaan mereka ke dalam PAS merupakan pukulan terhadap kumpulan aktivis maya UMNO Kedah kerana mereka adalah anak didik kepada Dr. Novandri dan Papagomo dan telah menyertai banyak kem latihan cyber troopers UMNO.





Peranan ulama menuju Putrajaya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Ulama memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat para amilin PAS untuk terus mendokong gerakerja PAS dalam kerangka yang digariskan Islam. Malah, para ulama juga merupakan tonggak PAS untuk meyakinkan masyarakat terhadap perjuangan dan cita-cita PAS melalui wadah politik ini.

Sehubungan itu, gemblengan tenaga para ulama perlu disepadukan secara terancang dan terarah lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU13 akan datang yang memfokuskan usaha menawan Putrajaya dan mengekalkan kemenangan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Atas inisiatif itulah Dewan Ulama PAS Pusat mengadakan Ijtimak Pilihan Raya Ulama Haraki (Zon Utara) melibatkan Perlis, Kedah dan  Pulau Pinang di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini baru-baru ini.

Pada ijtimak tersebut, dua kertas kerja dibentangkan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri bertajuk “Ribat Mujahidin Dalam Jihad PRU13” dan “Isu-isu Negara”.

Sunday, December 11, 2011

Pemuda PAS yakin PR menang di Langkawi

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

LANGKAWI: Biarpun berada terpisah oleh samudera lautan, bukan bermakna angin perubahan tidak menghembus datang. Sebaliknya ia membakar semangat agar sokongan sama turut berlaku di pulau pelancongan yang masyhur ini.

Demikian keyakinan Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi pada pertemuan bersama Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Ulu Melaka, di sini baru-baru ini.

Bagi mereka, perubahan di Kedah Semenanjung dan kemampuan Pakatan Rakyat mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dengan baik menjadi modal untuk memastikan penduduk Langkawi memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU nanti.

Pada pertemuan tersebut, Pemuda PAS Langkawi membentangkan persiapan mereka yang dipertanggungjawabkan menyusun jentera pemuda untuk gerakerja Parlimen Langkawi dan Dun Ayer Hangat serta Dun Kuah.

Kunjungan Pemuda PAS Negeri Kedah ke Langkawi itu sebagai melengkapkan siri Lawatan Mahabah menghadapi pilihan raya ke semua 15 Parlimen dan 36 Dun dalam negeri Kedah.

Thursday, December 8, 2011

ISU GURU : Kerajaan BN Tikusputihkan Guru


Oleh: YB MOHD NASIR ZAKARIA
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) ingin menyatakan rasa simpati yang amat mendalam terhadap situasi terkini yang dihadapi oleh para guru dan bakal guru di negara ini. Pelbagai masalah dan kerenah melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menular menjangkiti sektor pendidikan negara kita. DPPNK menuntut Kerajaan menyelesaikan dengan segera beberapa kemelut yang berlaku.

Pertama. Isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan dan di fakulti-fakulti pendidikan. Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.

Kedua. Kementerian perlu menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan sehingga 7 bulan. Graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM. Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa.

Ketiga. Menteri Kewangan membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun lewat bajet 2012. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Berlakunya pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baru seperti yang dibahaskan oleh saya yang dinafikan oleh menteri rupanya terjawab. Ia tetap melibatkan guru.

Keempat. Pengumuman dan kenyataan bersimpang siur KPM juga mengecewakan graduan. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.

Kelima. Polisi KPM membingungkan. Bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!

Keenam. Kenyataan terbaru berkenaan 5000 graduan sudah ditemuduga juga dilihat amat mengelirukan. Bangunnya ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri. Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti.

Ketujuh. Kenyataan kerajaan yang ingin membawa 13 000 guru asing juga menambahserabutkan lagi polisi KPM. Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina.

Kelapan. KPM wajar menstrukturkan semula kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau tutup sahaja fakulti dan Universiti Pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000. Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.

Cukuplah dengan pelbagai isu yang boleh menimbulkan kegelisahan warga pendidik yang menjadi tonggak pembangunan ilmu warga Malaysia. Isu kuarters guru, isu 9 jam bekerja dan isu elaun pengangkutan dan perpindahan yang belum kesudahan.

Justeru itu DPPNK berpandangan, Kementerian wajib menyelesaikan segera isu ini. Kepada warga guru yang menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah. Fikir-fikirkan dan buat pilihan tepat dalam PRU 13.

Tuesday, December 6, 2011

DEDAH 1: BARISAN NASIONAL BUAT HUTANG UNTUK RAKYAT MALAYSIA

DEDAH 1: BARISAN NASIONAL BUAT HUTANG UNTUK RAKYAT MALAYSIA


Berdegar-degar perwakilan Umno menghentam Pakatan Rakyat. Maki hamun adalah senjata orang terdesak. Jerkah adalah ganti kepada hujah. Ugutan adalah ganti kepada tawaran. Biarkan sahaja ketakutan, kerisauan dan kebimbangan itu menelan pakatan kuasa yang sudah tua itu. Mari kita lihat penyelewengan dan kedurjanaan mereka terhadap rakyat Malaysia. Saya tidak tahu adakah ia dosa, kesalahan atau kebanggaan. Saudara timbang sendiri.

Mari kita sama-sama belajar. Lihat graf dan statistik ini. Ia adalah untuk tahun 2007 sehingga 2011.



Pertama. Kita dapat lihat hutang yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Adalah sangat malang bagi sebuah negara kaya sumber seperti Malaysia, mempunyai hutang sebesar itu.

Kedua. Peratusan hutang Kerajaan Persekutuan adalah semakin meningkat berbanding dengan Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK). 53.8 peratus adalah sudah serius. 60 peratus akan menjadikan negara kita kritikal.

Ketiga. Bilangan rakyat Malaysia terkini mencecah 27,565,821 orang berdasarkan maklumat bancian penduduk dan perumahan tahun 2010. Baiklah, kita bundarkan kepada 28 juta. Maka setiap rakyat Malaysia menanggung RM 16,276 (Enam Belas Ribu Dua Ratus Tujuh Puluh Enam Sahaja). Saya yang tulis pun tanggung hutang jugak.

Apabila pemimpin berhutang bagi pihak negara, sedarlah wahai kawan-kawan muda remaja bahawa kerajaan sebenarnya berhutang bagi generasi kita. Kitalah yang akan menanggung bersama generasi akan datang. Menurut mereka yang fanatik Barisan Nasional, ia adalah biasa. Jasa Barisan Nasional adalah lebih besar. Bagi pendokong dan penyokong politik baru, kerajaan perlu bertukar.

YB Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Sunday, December 4, 2011

Teks Usrah DPPNKedah (November)


HIJRAH
DALAM MISI MENUBUHKAN NEGARA ISLAM & MENEGAKKAN SYARIAT
 
 
Melaksanakan misi ini, ianya tidaklah berlaku secara spontan melainkan beberapa strategi dan langkah bijak telah diambil oleh Rasulullah saw ke arah pembentukan Daulah Islamiyyah.
 
Baiatul Aqabah ( Baiatul Kubra ) adalah merupakan detik akhir dari perancangan besar Nabi saw untuk membina kedaulatan Islam setelah 12 tahun Baginda saw bertungkus lumus membentuk syakhsiyyah dan aqidah ummah agar mereka kembali mentauhidkan Allah dan memakmurkan muka bumi dengan sifat mahmudah .

Kandungan baiah itu sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir Rha. :
"Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah al Ansori rha kami bertanya : “Wahai Rasulullah , di atas dasar apakah kami berbaiah ? Sabda Rasulullah saw : “Di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas atau malas, di atas dasar bernafqah di masa susah atau senang, di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah swt dengan tidak memperduli celaan orang mencela dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak–anak kamu, jika kamu melakukan itu nescaya diberikan untuk kamu syurga .”

* Baiah yang dianggotai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan ( Nusaibah bt Kaab dan Asma’ bt Amru ) itu adalah merupakan tunas dan benih subur untuk Islam bertapak di Madinah ( Yathrib ) . Setelah selesai mereka berbaiah, satu persatu berjabat tangan dengan Rasulullah saw maka Rasul saw melantik 12 orang naqib mewakili kaum mereka.
 
 
Bermulanya Hijratul Kubra

Setelah menyaksikan kesempitan ruang untuk Baginda menegakkan Islam di bumi Makkah sebagai sebuah Negara berpelembagaan dan berdaulat, ditambah pula dengan tekanan dan ancaman yang kian berlipat ganda dikenakan ke atas Islam dan perjuangannya, maka Nabi saw mengizinkan para sahabatnya berhijrah ( keluar ) dari bumi Makkah menuju Yathrib setelah menerima baiah dari penduduk Yathrib.
 
Nabi saw. bersabda : "Sesungguhnya aku telah diberitahu akan negeri hijrah kamu, iaitu Yathrib. Maka barangsiapa yang mahu keluar ( hijrah ) maka hijrahlah kepadanya ( Yathrib ) ."
 
Pensyariatan hijrah ini juga boleh dilihat bagaimana Allah menegaskannya di dalam al Quran.
 
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan." (Surah al Anfaal : Ayat 72)

 
Hijrah Bukan Takut Melarikan Diri

Rasul saw dan para sahabat rhm melakukan hijrah adalah untuk mendaulatkan syariat Ilahi, justeru itu tidak timbul soal takut dan melarikan diri. Sebaliknya hijrah adalah perintah dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi saw.
 
Sabda Rasulullah saw.
"Aku bermimpi bahawa aku berhijrah ke negeri yang banyak pokok tamar, aku menyangka Yamamah atau Hajar, tiba–tiba tempat itu ialah Yathrib."
 
Lihat pula bagaimana Umar al Khattab rha berhijrah. Kenyataannya sangat pasti bahawa ia bukan hijrah seorang yang penakut yang melarikan diri .

Umar berkata :
"Sesiapa yang mahu ibunya kehilangan anak, meyatimkan anaknya dan menjandakan isterinya, maka silalah berjumpa dengan ku di belakang lembah ini."

 
Hijrah Adalah Perjuangan

Islam adalah agama yang menuntut supaya syariatnya didaulatkan dan segala hukum hakamnya dikuatkuasakan sebagai satu perundangan yang mengawal kehidupan manusia di atas muka bumi.
 
Al Imamul Ghazali pernah berkata :
"Dunia adalah ladang akhirat dan tidaklah sempurna agama tanpa dunia sementara kerajaan dan agama dua perkara yang berkembar. Agama adalah tapak ( asal ) dan kedaulatan ( sultan ) adalah pengawal . Suatu yang tiada tapak ( asal ) baginya maka pasti ia runtuh ( binasa ) dan suatu yang tiada pengawal pasti ia hilang ( sia–sia ). Malah tidak sempurna kerajaan dan pegawainya kecuali dengan kedaulatan."
 
Kedaulatan yang dimaksudkan adalah untuk memastikan manusia hidup diatur urus berasaskan pedoman wahyu ilahi . Firman Allah swt .
 
"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

Bertolak dari kesedaran dan tanggungjawab itulah, maka Nabi saw dan para sahabat memperjuangkan kedaulatan Islam meskipun mereka terpaksa meninggalkan tanahair tercinta. Sabda Rasulullah saw:
 
"Sesiapa yang keluar ( hijrah ) dari rumahnya sebagai seorang pejuang di jalan Allah Azza wa jalla kemudian ia berkata ( dengan tiga jarinya ibu jari , telunjuk dan jari tengah dihimpunkan ) mana mana mereka yang berjuang lalu ia jatuh tersungkur dari kenderaannya dan mati maka tetaplah pahalanya disisi Allah atau ia disengat oleh binatang lalu mati maka telah tetaplah pahalanya di sisi Allah atau mati biasa maka sesungguhnya tetaplah pahalanya di sisi Allah Azza wa Jalla."
 
Firman Allah swt :
"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nisaa’: Ayat : 100)

Tegasnya, perjuangan Rasulullah saw untuk meletakkan Islam mengatasi segala bentuk fahaman ( ideologi atau berhala ) dan memartabatkan ummahnya dapat disingkap melalui peristiwa hijrah ini. Justeru itu, kalendar baru bagi ummat Muhammad saw dikira dari tarikh mula berlakunya hijrah.
 
Kalendar tersebut merupakan bermulanya diari baru, bagi ummat Islam muncul sebagai ummat yang berdaulat dan menjadi kuasa baru buat ummat manusia seluruhnya ke arah meletakkan mereka sebagai ummat yang bebas dari perhambaan sesama hamba dan sekaligus memerdekakan manusia dari belenggu fahaman dan anutan agama ciptaan manusia serta fatamorgana dunia yang penuh tipu daya.
 
 
Agenda Menegakkan Negara Islam
 
Menegakkan Negara Islam sebagai Baldatun Toiyyibatun wa Rabbun Ghafur dan mendaulatkan syariat Ilahi adalah menjadi asas utama hijrah Rasulullah saw ke Madinah.
 
Semata–mata untuk mendirikan solat, puasa, haji dan zakat tidak memerlukan Nabi saw. berhijrah ke Madinah dan barangkali Makkah adalah tempat yang lebih sesuai malah Nabi tidak mendapat tentangan hebat dari kuffar Quraisy andainya perjuangan baginda sekadar untuk solat dan mengerjakan haji.
 
Baginda ditentang dan diperangi apabila Baginda saw berjuang untuk mendaulatkan syariat Ilahi menjadikan Islam sebagai cara atau pedoman dalam segala aspek hidup ummat manusia. Dari sekecil kecil perkara seperti memakai sepatu ke tandas hingga kepada sebesar–besar perkara seperti memimpin dan memerintah Negara, diajar oleh Baginda saw agar ianya dilaksana berasaskan manhaj Islami dengan sumber asalnya wahyu Ilahi dan sunnah Baginda saw sendiri.

 
Hijrah Adalah Pengorbanan

Sebuah perjuangan pastinya tidak lepas dari pengorbanan sebagai harga perjuangan tersebut. Semakin penting perjuangan itu, semakin tinggi nilai pengorbanan yang mesti dibayar oleh para pejuangnya.
 
Berjuang menegakkan negara Islam dan mendaulat syariat Ilahi adalah merupakan sepenting–penting urusan demi meletakkan agama Allah tinggi mengatasi segalanya dan serentak itu memartabatkan ummahnya agar tidak lagi menjadi ummat belasahan pula hina di mata dunia.

 
Pengorbanan Harta

Peristiwa Suhaib ar-Ruumi yang dihalang oleh kuffar Musyrikin dalam perjalanan beliau hijrah ke Madinah, Suhaib terpaksa meninggalkan seluruh harta kekayaan yang diperolehi sewaktu mengurus perniagaannya di Makkah sebagai 'passport' untuk menjayakan hijrah beliau. (setelah beliau diletakkan syarat bahawa beliau hanya dibenarkan hijrah selepaskan meninggalkan seluruh hartanya)
 
Harta telah tiada nilainya lagi bagi Suhaib berbanding kepentingan hijrah ke arah mendaulatkan syariat Allah swt di muka bumi ini. Demi hijrah yang bermisikan kedaulatan Islam itu, Suhaib memilih untuk tidak bersama hartanya asal sahaja beliau dibebaskan pergi ke Madinah melepasi halangan atau sekatan kuffar Musyrikin.
 
Mendengar berita pengorbanan Suhaib ar Ruumi rha tersebut , Baginda Rasul saw berkata :
“beruntunglah Suhaib , beruntunglah Suhaib“
 
Pengorbanan yang dilakukan oleh Suhaib ar Ruumi bukan sahaja mendapat pengiktirafan dari Rasulullah saw bahkan turut mendapat sanjungan dari Allah swt. Dengan firman-Nya :

"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." (Surah al Baqarah .Ayat : 207)

 
Pengorbanan Perasaan

Pengalaman yang dialami oleh Abu Salamah rha melakarkan segalanya, bagaimana perasaan terpaksa diketepikan jua demi mengharapkan agar hijrah berjaya dilakukan.
 
Sebagaimana umum mengetahui bahawa hijrah berhadapan dengan sekatan ( road block ) dan halangan oleh pihak kuffar guna menghalang dan menggagalkan hijraturrasul saw.
 
Antara mereka yang berhadapan dengan sekatan kuffar itu ialah Abu Salamah dan isterinya Ummu Salamah radiyallahu ‘anhuma. Turut serta dalam sekatan itu ialah anggota keluarga Abu Salamah dan keluarga isterinya.
 
Keluarga isterinya mengambil isterinya ( ummu Salamah rha ) dan keluarganya mengambil anaknya. Namun Abu Salamah tetap meneruskan hijrah ke Madinah tanpa anak dan Isterinya.
 
Sehinggalah beberapa ketika setelah pemergiaan Abu Salamah, Ummu Salamah hanya menangis pagi dan petang dan akhirnya menimbulkan rasa simpati dari sebahagian anggota keluarganya dan Ummu Salamah dan anaknya dibenarkan kembali ke pangkuan suaminya di Madinah. Ummu Salamah berhijrah bersama anaknya meredah padang pasir sejarak 500 kilometer .

Ummu Salamah dibantu oleh Uthman bin Talhah bin Abi Talhah sejurus beliau tiba bersama anaknya di Tan`im yang membawanya sampai ke Quba’.
 
Pengorbanan perasaan yang dilalui oleh para sahabat ini turut dilihat melalui doa Baginda saw bagi menenangkan perasaan para sahabat yang amat merindui kampung halaman dan ahli keluarga mereka.
 
“Ya Allah! campakkan rasa kasih kami kepada Madinah sebagaimana kami kasih kepada Makkah atau lebih kasih daripadanya. “

 
Hijrah Adalah Penyatuan

Hijraturrasul saw turut mencatat sejarah bagaimana Baginda saw mempersaudarakan golongan Ansar ( Madinah ) dengan golongan Muhajirin ( Makkah ) serta berjaya menamatkan persengketaan kaum antara Aus dan Khazraj yang berselisih sejak sekian lama.
 
Hijrah membuka lembaran baru yang menyatukan mereka sedang penyatuan itu pula menjanjikan kekuatan dan kehebatan kepada mereka serta mereka mula digeruni oleh lawan. Malah persaudaraan erat mereka menjadikan mereka mendapat keampunan dan kemuliaan disisi Allah swt . Firman Allah swt :
 
"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah ( Muhajirin ) serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Surah al Anfaal .Ayat : 74)

Nilai perpaduan yang diterap dan dididik oleh Rasulullah saw sangat berkesan dan menyentuh perasaan. Lihat sahaja bagaimana keperihatinan Nabi saw terhadap nilai persahabatan dan perpaduan ini dalam peristiwa gotong royong membina Masjid an Nabawi di atas tapak tanah tempat baginda berhenti dan turun dari unta dalam peristiwa hijrah.
 
“Ya Allah, tiada kehidupan sebenar kecuali kehidupan di akhirat, maka ampunilah Ansar dan Muhajirin.”
 
Kemuliaan dan kehebatan perpaduan mereka sebenar dicerna dari nilai persaudaraan dan persahabatan yang tiada taranya. Saksikan bagaimana mereka ( Ansar dan Muhajirin ) mempamerkan nilai ukhuwwah mereka dalam membentuk perpaduan kental yang tentunya menjadi syarat kekuatan ummat ini.
 
Tatkala mereka sampai ke Madinah, Rasulullah saw telah mempersaudarakan di antara Abdur Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’. Saad telah berkata kepada Abdur Rahman bin Auf : “Saya adalah orang yang paling kaya dikalangan Ansar, marilah kita bahagi dua hartaku dan saya mempunyai dua isteri, maka lihatlah yang mana satu kamu suka agar aku ceraikan dia lalu apabila selesai iddahnya maka kamu kahwinilah ia." Abdur Rahman bin Auf menjawab : "Semoga Allah memberkati kamu dan keluargamu dan hartamu, tunjukkan aku dimanakah pasar kamu." maka ia dibawa ke pasar Bani Qainuqa’.

 
Hijrah Adalah Kedaulatan

Kemuncak kejayaan hijrah ialah apabila Baginda meletakkan Piagam Madinah atau Miithaaqul Maadinah sebagai perlembagaan negara Islam pertama justeru ia menepati sebuah perjanjian antara kerajaan yang dibentuk dengan rakyat yang dipimpin.
 
Asas terpenting di dalam piagam ini ialah:
“Apa jua yang menjadi perselisihan dikalangan kamu maka tempat rujuknya ialah Allah Azza wa Jalla dan Muhammad saw.” Inilah kedaulatan Islam .
 
Hijrah Rasul saw membina kedaulatan Islam dan meletakkan ummatnya aman, harmoni, bahagia, tenang, selamat, bertamaddun, maju, berjaya dan kuat. Islam menjadi asas dan sumber pedoman atau petunjuk, sementara ummah pula sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus kehidupan di dunia berasaskan agama.
 
Syiar Negara Islam pula sebagaimana ungkapan Ruba`i bin `Amir kepada Rustam Panglima Parsi :
“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesame hamba kepada menghambakan diri kepada Allah yang maha Esa , ( mengeluarkan manusia ) dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan ( mengeluarkan manusia ) dari kedholiman ideology kepada keadilan Islam.”


Hijrah Adalah Kemenangan

Bermula dengan kejayaan Nabi saw melepasi kepungan rumah baginda oleh 11 mafia yang dilantik mewakili kabilah masing–masing, Nabi saw terus mencipta kejayaan demi kejayaan sehinggalah tiba di Madinah .

Ancaman pertama ( di rumah Baginda ), Nabi saw berjaya melepasinya dengan menabur pasir ke atas kepala musuh seraya membaca firman Allah swt :

"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)." (Surah Yaasin Ayat : 9)
 
Ancaman kedua ialah sewaktu Baginda Rasul saw bersama Abu Bakar di dalam Gua Thur. Ianya adalah saat yang paling getir pula terputus hubungan dengan pihak luar.

Peringkat awal, Abu Bakar rha telah menunjukkan rasa resah berhadapan dengan situasi sedemikian, tetapi Nabi saw sangat optimis bahawa hijrahnya untuk menegakkan Negara Islam dan mendaulatkan syariat Allah pasti tidak disia–siakan oleh Allah Jalla wa `Ala. Lantas Baginda menegaskan :

“ Jangan bimbang ( berduka cita ) sesungguhnya Allah bersama kita “
 
Penegasan tersebut telah dirakamkan oleh Allah swt .dalam firman-Nya di surah at-Taubah :
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".
 
"Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."  (Surah at Taubah .Ayat : 40)

Ternyata Allah swt telah menghantar nusrah dan ma`unah-Nya kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan agamaNya. Nabi saw dan Abu Bakar rha selamat dari kepungan tersebut dan meneruskan hijrahnya ke Madinah.
 
Ancaman ketiga, dikala Nabi saw berhadapan dengan Suraqah bin Malik yang begitu teruja dengan tawaran pembesar Quraisy lalu berhajat benar ia membunuh Nabi saw. Ternyata Suraqah bukan sahaja tidak berjaya membunuh Nabi saw malah mencederakan Baginda pun tidak berupaya .
 
Sebaliknya Nabi saw penuh bergaya dan hebat, menawarkan hadiah lebih lumayan mengatasi apa yang ditawarkan oleh pembesar musyrikin. Nabi saw menawarkan 2 gelang maharaja Farsi. Gelang yang ditawarkan oleh Nabi saw akhirnya dipakaikan kepada Suraqah bin Malik di zaman pemerintahan Saiyidina Omar al Khattab rha. setelah amirul mukminin berjaya mengalahkan Parsi sang kuasa besar dunia dan merampas gelang tersebut.
 
Saiyidina Omar al Khattab memanggil Suraqah untuk memakai gelang tersebut seraya mengajar Suraqah agar berkata :
“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah merampaskan keduanya dari Kisra bin Hurmuz yang pernah berkata : Akulah tuhan kepada manusia dan Tuhan telah memakai keduanya kepada Suraqah bin Malik .”
 
Ketibaan nabi saw di Madinah disambut penuh gembira dan meyakinkan oleh golongan Ansar dengan slogan yang menandakan mereka adalah golongan yang menang dan berjaya malah bakal muncul menjadi ummat yang terbaik memimpin dunia.
 
“Bulan purnama telah terbit menaungi kita, dari arah Tsaniah al Wida’. Wajiblah ke atas kita bersyukur, apa yang diseru kerana Allah oleh yang menyeru. Wahai orang yang dibangkitkan dikalangan kita, kamu membawa perkara yang mesti ditaati.”

Tertegaknya negara Islam Madinah, Islam tidak lagi diperkotak katik dan dipersenda melainkan mereka terpaksa menerima tentangan sengit dan akhirnya terpaksa akur dan tewas kepada Islam. Bermula dari peperangan Badar al Kubra hinggalah Pembukaan Kota Makkah, nabi saw terus meletakkan Islam dan ummatnya unggul di pentas antarabangsa sebagai bangsa dan agama yang merdeka dan menang.