Oleh RIDUAN MOHD NOR Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap paruntukan yang diterima oleh ahli Parlimen BN sebanyak RM 1.5 juta menandakan bahawa BN sudah berada dalam keadaan terdesak untuk terus berkuasa.
DPPM mempersoalkan, apakah jentera BN sudah terlalu lemah sekarang sehingga terpaksa disuntik dengan RM 1.5 juta lagi bagi memulihkan jentera mereka yang semakin lesu di bahagian-bahagian? Atau mungkinkah segala program yang mereka laksanakan selama ini belum mampu ‘menjinakkan’ hati pengundi-pengundi untuk bersama mereka sehingga terpaksa ditambah dengan jumlah yang besar bagi membeli hati mereka?
Kemungkinan juga peruntukan ini sebagai tanda mengikat kesetiaan ahli Parlimen BN dengan BN ekoran adanya khabar angin mendakwa beberapa orang ahli Parlimen BN terutama dari Sabah yang akan ‘melompat’ parti kebelakangan ini. Malah, terdapat juga khabar angin bahawa beberapa orang ahli parlimen BN dari semenanjung turut menyuarakan hasrat yang sama untuk melompat parti menyeberang ke Pakatan Rakyat. Kesemua perkhabaran ini meresahkan Perdana Menteri dan bagi meredakan kekusutan ini, beliau sanggup menyerahkan sejumlah RM 1.5 juta untuk dibelanjakan di parlimen masing-masing.
DPPM mempersoalkan dari mana Barisan Nasional memperolehi duit sebanyak itu sehingga mampu berbelanja beratus juta ringgit sebagai peruntukan kepada setiap ahli parlimen mereka. Ini belum dikira dengan jumlah yang mereka telah serahkan sebelum ini dan akan serahkan semasa kempen pilihan raya umum nanti. Jika ianya datang dari duit kerajaan, mengapa tidak disalurkan juga kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana pengundi di kawasan mereka juga adalah rakyat di negara ini yang layak mendapat segala kemudahan sebagaimana rakyat di parlimen dimenangi oleh BN.
Peruntukan besar ini menandakan BN hanya mampu bertahan melalui duit yang mereka taburkan untuk memastikan jentera mereka bergerak mengikut arahan. Duit inilah yang terus menyambung hayat mereka kepada suatu tempoh tertentu sehingga mereka tidak lagi peduli berapa banyak lagi duit rakyat dan kerajaan terpaksa dihabiskan bagi ‘membela’ ahli dan pemimpin parti mereka. DPPM yakin, talian hayat ini akan terhenti dan riwayat hidup BN akan tamat sepenuhnya jika mereka kalah dalam PRU ke 13 kerana tiada lagi peruntukan yang akan mereka nikmati seperti sekarang.
No comments:
Post a Comment