Saturday, August 18, 2012

Perutusan Aidil Fitri 1433


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Syawal menjadi manifestasi kejayaan dan kemenangan orang beriman dalam mujahadah menempuh ujian rohani dan fizikal sepanjang Ramadan. Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa kekuatan yang terbit dari tarbiyah Ramadan dengan usaha bersungguh-sungguh mencari reda dan keampunan Allah, akan mengangkat diri manusia ke martabat takwa seterusnya membebaskan diri dari azab neraka dan mendekatkan kita kepada kenikmatan syurga-Nya.

Dengan sebegitu besar kurniaan Allah yakni janji kebahagiaan pada kehidupan akhirat, maka sewajarnya keizzahan yang ditimba sepanjang Ramadan ini perlu terus dilangsungkan dalam kehidupan hingga menjadi jati diri sebenar seorang insan.

Khusus untuk anak muda, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah berharap agar perjuangan Ramadan telah membekalkan kita semangat menempuh realiti kehidupan dan menjadikan kita rakyat yang peka kepada ummah dan negara. Hakikatnya, dipundak kita terpikul harapan untuk sentiasa di saf hadapan merungkai segala rencam dan kebejatan yang membelengu. Paling utama adalah melaksanakan amanah membela ummah dari penindasan dan kezaliman, seterusnya membebaskan negara dari cengkaman ketidakadilan dan penyelewengan.

Demikian itu anak muda, marilah kita buktikan bahawa Ramadan dan Syawal adalah waktu penting yang telah menyatukan kita. Maka kita persiapkan pula untuk menghadapi hari penting negara yakni Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari saat ini.

Kerana Ramadan tidak mampu mengekang kerakusan nafsu pemerintahan Umno-BN. Hanya dengan undi anak muda berupaya menunjukkan mereka lorong kebenaran.

Natijahnya selepas PRU13, kita akan berada di Putrajaya menegakkan Malaysia yang makmur. Itulah kesejahteraan kita di dunia yang kerananya, kita mengharap kurniaan kesejahteraan di hari akhirat dari Tuhan Yang Maha Pengampun. Salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamdu.


USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Pemuda PAS Kedah


No comments:

Post a Comment