Tuesday, May 15, 2012

Memartabatkan institusi pondok

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Usaha agar Kedah kembali dikenali sebagai negeri yang mempunyai banyak pondok perlu dilaksanakan sebagai gerakan bersepadu dan terancang, demikian seru Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.

Ujar beliau, tindakan itu sekaligus akan menjadikan Kedah tumpuan untuk mencari ilmu sebagaimana juga di Kelantan dan Patani, Thailand.

Malah katanya, pendekatan di pondok juga perlu diolah agar mampu melahirkan para daie yang dapat memberi peranan dakwah mereka ke tengah masyarakat.

“Usaha memahamkan Islam perlu dipergiat dan diperluaskan melalui peranan digerakkan dari institusi pondok,” ujarnya berucap pada Kursus Pengurusan Dan Kepimpinan Institusi Pondok di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Kampung Sungai Mati, di sini baru-baru ini

Sementara itu, pada slot Bicara Tokoh yang disampaikan Mudir Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah, Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam, beliau menegaskan peranan institusi pondok sebagai pusat perkembangan dakwah serta benteng aqidah umat Islam.

Ujarnya, pondok telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad sepertimana para penuntut (ahli suffah) datang ke Madinah.

“Mereka ini duduk di situ dan berguru dengan Nabi s.a.w sendiri untuk beberapa tempoh waktu dan mengambil istifadah secara langsung yakni bertalaqi ilmu daripada Nabi s.a.w. Tradisi ini dikekalkan para ulama secara turun temurun yakni dari zaman Nabi s.a.w kepada zaman sahabat, tabiin, thabit tabiin hinggalah ke hari ini,” terangnya.

Jelasnya, sistem di pondok berbeza dengan sistem pendidikan biasa termasuk di universiti kerana di pondok menitikberatkan soal pengambilan ilmu dari guru yang layak serta menjadi qudwah kepada penuntutnya.

Ilmu juga katanya berbeza dengan pengetahuan yang dapat diambil di mana sahaja kerana ilmu tidak hanya mengajar otak dan minda tetapi turut memberi contoh akhlak baik, mendidik dan membentuk keperibadian.

Malah katanya,  Tuan Guru turut bermukim di dalam kawasan pondok di mana dia sentiasa dilihat ada, baik memimpin pengajian atau upacara ibadah atau juga sekadar turut serta.

Perkara itu ujar beliau, berbeza dengan universiti di mana seringkali pelajar tidak tahu mengenai keberadaan Naib Canselor atau pensyarahnya ketika pengajian berlangsung apatahlagi untuk memimpin atau turut serta dalam aktiviti di universiti.

Beliau turut melontarkan nasihat kepada masyarakat agar imej pondok dijaga, tidak dipandang rendah serta dijadikan tempat longgokan sampah atau telaga buruk dengan menghantar anak-anak bermasalah untuk dipulihkan.

“Suasana di pondok sangat barakah, bahkan dapat mengubah mereka yang jahat menjadi baik. Usahakan juga dihantar ke pondok anak-anak yang cerdas minda dan baik pekerti ke pondok, walaupun institusi pondok berupaya mengubah dan memproses manusia biar dari sebarangan latarbelakangnya,” tuturnya.

Menurutnya, jika dilihat sejarah penubuhan pondok-pondok di Kedah, didapati ianya diwujudkan di kawasan yang terdapat masalah dalam masyarakatnya.

Jelasnya, peranan Tuan Guru Pondok telah merubah tempat bermasalah sedemikian menjadi pusat ilmu.

Pun begitu tegasnya, pondok bukan tempat pelarian, sebaliknya keperluan kepada masyarakat untuk hidup beragama.

Demikian itu katanya, imej terhadap institusi pondok mesti dibetulkan dari pandangan sebagai tempat manusia bermasalah, orang malas, tempat kotor dan tidak tersusun serta pelbagai tanggapan negatif.

“Hakikatnya, di institusi pondoklah terletaknya warisan kenabian, ilmu pengetahuan untuk penyucian jiwa dalam menggapai mardhatillah. Di sinilah tempat para ulama’ menyebarkan ketamadunan dan ilmu agama yang sangat bernilai martabatnya,” ujar beliau.

Menghadapi masa depan yang kian mencabar, beliau melontarkan saranan agar institusi pondok tetap dikekal dan dipertahankan dengan sedikit penambahbaikan.

Cadang beliau, untuk menambahbaik dan menaiktaraf institusi pondok agar ia berupaya menghadapi cabaran semasa, konsep atau metodologi “Menghimpunkan cara lama yang penuh berkat dengan cara moden yang ada faedahnya,” perlu diperkenal dan dilaksanakan.

Pada majlis itu juga Sheikh Ahmad Fahmi turut sudi menyempurnakan melancarkan portal rasmi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa) selaku Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menaungi 24 pondok di seluruh Kedah.


No comments:

Post a Comment