Monday, May 21, 2012

Tarbiyyah jangan statik, kembangkan metodologi

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Usrah sebagai penggerak tarbiyah tidak boleh berada dalam keadaan statik, sebaliknya perlu dikembang, diperbaiki dan diperelokkan kesenian metodologinya, demikian lontaran Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyyah Dan Pengkaderan PAS Pusat, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Ujarnya, hal itu agar dakwah yang dihasratkan berjaya sampai kepada mad‘u kerana tujuan tarbiyyah menerusi usrah adalah untuk memfakihkan orang yang ditarbiyah itu.

“Sekiranya tidak, muflis dalam tarbiyyah boleh berlaku iaitulah fenomena kejemuan atau malas menghadiri program tarbiyyah,” nasihatnya pada Liqa’ Nuqaba’ PAS Kedah, di Tikam Batu, di sini baru-baru ini.

Beliau menyeru agar mencontohi tarbiyyah dilakukan Baginda Nabi s.a.w di mana kemuncak mereka yang ditarbiyah itu hinggakan sanggup mati syahid.

Bahkan tegasnya, mereka itu adalah umat contoh yang menyebabkan Islam diterima di dua pertiga dunia.

Jelas beliau, tarbiyyah adalah proses pembinaan dan pembentukan dan bukannya berlaku secara ‘kun faya kun’.

Oleh itu nasihatnya, walaupun sibuk dengan agenda memerintah, tarbiyyah tetap jangan abaikan.

Selain itu, usaha tarbiyyah katanya, perlu direncana untuk memahamkan mereka yang telah menyertai PAS atau baru menyertai PAS termasuklah juga dari kalangan bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Ujar beliau, para naqib dan naqibah mesti diselia untuk memenuhi keperluan di semua peringkat termasuk menyelaraskan teks usrah selain pembahagian kategori mad‘u seperti melibatkan guru, pelajar, kakitangan perkhidmatan awam, swasta, elit dan profesional.

Beliau turut melontarkan saranan agar penerangan atau pameran mengenai pelaksanaan tarbiyah diadakan supaya dilihat sebagai keperluan penting dalam PAS.


No comments:

Post a Comment